Sunday, 30 October 2011

Menjadi Isteri Yang Baik

Semalam dan kelmarin, aku ke rumah kawan aku. Biar aku namakan dia sebagai A. A seorang isteri dan kini sedang hamil anak pertama. Aku kenal A sejak tahun pertama di universiti. Kami terpisah dek jarak negeri selepas tamat belajar. Kemudian, aku dan A sudah jarang berhubung kerana kekangan masa dan sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Alhamdulillah A kini sudah dekat dengan aku kerana A bertukar ke JB atas sebab mengikut suami. Inilah peluang keemasan untuk kami bersua. Kebetulan waktu aku datang, suami A bekerja. Edy pula ada urusan yang perlu diselesaikan. Jadi, peluang itu kami gunakan untuk bertemu.

Sebenarnya, sudah lama hajat aku dan A nak melepak sama-sama macam ni. Tapi atas beberapa faktor yang tak mengizinkan, aku dan A terpaksa tangguhkan hasrat kami. Bila A berkesempatan, dia akan datang ke rumah aku. Kali ni, aku tak nak menghampakan A, aku temankan A di rumahnya. Teman A masak, dan kami habiskan masa makan dan berbual bersama. Seronoknya dapat spend masa dengan A dalam tempoh tu. Setiap kali bersama A, aku rasa tenang. Sejak dulu. A pula memang seorang yang tenang dan seorang yang berfikiran positif. Sangat positif hampir dalam semua perkara walaupun dalam situasi A sedang diperkata orang. Ya Allah, baiknya A!

Dan aku berasa tenang untuk berbincang segala hal dengan A. Aku bukan bercerita tentang hal yang buruk, tetapi aku suka berbincang mengenai bagaimana aku boleh memperbaiki diri untuk menjadi seorang isteri yang baik dan solehah.

A selalu mendidik hati aku untuk sentiasa menjadi seorang isteri yang baik, taat pada suami, hormati suami, an sentiasa  menggembirakan hati suami. Aku boleh layan cerita A hinggai 4-5 jam. Sambil dengar, sambil tu dalam hati aku berdetik-detik, kenapalah aku tak boleh jadi sebaik A. Aku rasa, dibandingkan dengan A untuk kategori isteri mithali, aku memang jauh panggang dari api.

Aku suka mendengar cerita yang begitu positif dari A merangkap seorang teman, isteri dan bakal ibu. Selain arwah mak dan kakak-kakak aku yang menjadi inspirasi, aku selalu jadikan A sebagai idola aku dalam contoh menjadi isteri yang baik.

A tak pernah kecewa kalau aku tolak sebarang pelawaan dia, kerana A ingin aku taati suami dan jangan sampai menjadi derhaka kerana ingin menjaga hati seorang kawan. Lagi pula Edy dan aku jarang berjumpa. Tentulah bila Edy balik, kami nak habiskan masa bersama. Dia cinta hati aku. Dan yang penting, dia suami aku. Orang yang terutama dalam hidup aku kini.

Selain itu, aku sangat mengkagumi dalam hal A menangani permasalahan dengan ibu mertuanya. Kasihan A, dia bukan sahaja tidak pernah bersua muka dengan ibu mertuanya, malah dia tidak diterima sebagai menantu! Sebaik-baik manusia seperti A diuji dengan ibu mertua sebegitu. Syukurlah keluarga mertua A yang lain termasuk bapa mertuanya terima dan menyayangi dia sebagai orang baru dalam keluarga mereka. Tabahnya A. Benarlah orang selalu bilang, orang yang baik-baik selalu diuji dengan dugaan. Diuji dengan kenikmatan selalunya menyebabkan manusia selalu alpa. Jadi, sebagai hamba-Nya, bersyukurlah kita bila diuji dengan ujian dan dugaan. Kerana itu lebih mendekatkan kita kepada Dia. Insya-Allah.

A begitu istimewa di mata aku. Selain cantik, bijak, A juga seorang yang beragama. Dia seorang anak yang baik juga. Aku sangat sayangkan A sebagai seorang sahabat. Semoga, jarak yang memisahkan kita nanti tidak akan menghalang perhubungan ini.

Semoga suatu hari nanti, aku dapat menjadi seperti A. Dapat menjadi seorang isteri yang solehah, ibu yang penyayang, dan seorang teman yang baik. Malah, sabar untuk melalui setiap ujian mendatang.
Insya-Allah.

Saturday, 29 October 2011

Bayi Meninggal Dunia

Menunggu Di Pintu Syurga

"Disamping para malaikat dan Hurul-aini (bidadari syurga), maka kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh, juga menyambut kedatangan ibu bapanya di pintu syurga. Sabda Rasullulah saw yang bermaksud : " Ketika aku mikraj ke langit, tiba-tiba aku mendengar suara kanak-kanak. Aku bertanya : " Wahai Jibril, siapakah mereka itu?" Jibril menjawab : Mereka adalah anak cucu orang Islam yang meninggal dunia sebelum baligh. Mereka itu di asuh oleh Nabi Ibrahim as sampai orang tuanya datang." (HR. Abu Daud)

Anak-anak orang Islam yang meninggal dunia pada waktu kecil, di alam Barzakh dia dikumpulkan pada suatu tempat di bawah penjagaan Nabi Ibrahim as. Setelah kiamat tiba, mereka langsung dipindahkan ke dalam syurga. Jadi mereka tidak melalui Mahsyar,hisab,mizan dan sebagainya.

Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud : "Tiap-tiap anak orang Islam yang mati sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah." (HR. Bukhari dan Muslim)

Setelah dipindahkan ke dalam syurga, maka anak-anak kecil ini lupa kepada kehidupan dunia. Mereka lupa kedua ibu bapanya, lupa kepada kampung halamannya dan sebagainya. Tiba-tiba pada suatu hari, ketika mereka sedang bermain-main menikmati kesenangan syurga, maka ada malaikat yang memberitahu, "Wahai Wildan, lupakah kamu kepada kedua orang tuamu?Sekarang mereka sudah berada di pintu syurga. "Ketika itulah baru mereka tahu dan ingat kembali kepada ayah bonda mereka yang selama ini mereka lupakan.

Mendengar apa yang dikatakan oleh malaikat itu, dalam keadaan menangis dan membawa air dengan segera mereka berlari menuju ke pintu syurga. Sesampainya di sana, mereka melihat Hurul-aini sedang tegak berbaris sepanjang jalan dengan memakai pakaian dan perhiasan yang serba indah.

Setelah pintu syurga terbuka, dengan diiringi nyanyian merdu Hurul-aini, maka orang-orang pun berebut masuk ke dalamnya, dan ketika itulah anak-anak kecil ini sibuk mencari kedua ibu bapanya. Mereka mencari ke sana ke mari, tetapi tidak berjumpa. Sambil menangis dan memegang air maka pergilah mereka kepada malaikat serta bertanya: "Wahai malaikat, mana ayah dan ibu kami?"

Menjawab malaikat: Wahai Wildan, sungguh malang nasib kamu, kedua orang tua kamu terjatuh ke dalam neraka." Mendengar ungkapan yang demikian itu, maka anak kecil tadi menangis sejadi-jadinya, menangis menghiba dengan ratapan yang menyayat hati: "Wahai ibuku, wahai ayahku,apakah kesalahanmu,apakah dosamu sehingga kamu terjatuh ke dalam neraka?Begitulah ratapan mereka.

Berkata Malaikat: "Wahai wildan jangan menangis, pergilah kamu memohon bantuan kepada Nabi Muhammad SAW." Setelah anak kecil ini mengadu kepada Nabi Muhammad SAW, maka Nabi Muhammad pun mengangkat kedua tangannya berdoa, lalu dikeluarkanlah orang-orang mukmin yang berda dalam neraka itu. Inilah syafaat Nabi Muhammad SAW yang ketiga di akhirat. Petama pada waktu ditimbang antara dosa dan pahala, yang kedua pada waktu meniti Shiratul Mustaqim yang ketiga ketika mengeluarkan orang dari dalam neraka. Maka ketika itu bertemulah antara anak-anak kecil tadi dengan kedua orang tuanya dengan perasaan gembira.

Firman Allah SWT yang maksudnya : "Pada hari itu mereka berjumpa dengan perasaan gembira. " (Ad-Dahr: 11)

Najla, tunggu ibu dan ayah sayang. Bawa kami bersamamu ke syurga Firdausi.

Friday, 28 October 2011

Kelahiran

"Martabat seorang wanita itu diangkat daripada seorang isteri kepada seorang ibu tika melahirkan anaknya"

Kelahiran. Suatu keadaan yang mana hanya dapat dirasai keindahan saat sakit itu oleh seorang ibu yang sedang mengandungkan anaknya.

Kelahiran. Seorang ibu berhempas pulas, dengan sedaya yang ada untuk melahirkan anak yang ingin didengar suara tangisannya.

Kelahiran. Suatu keadaan yang telah mengangkat martabat seorang wanita daripada seorang isteri kepada seorang ibu.

Kelahiran. Seorang suami yang berdebar menanti anak pertama, melihat anaknya selamat dilahirkan, saat mengazankan, mengiqamatkan, saat air mata mengalir tanpa boleh dikawal, rupanya telah bergelar seorang ayah.

Kelahiran. Sesuatu yang disambut sebagai berita gembira oleh sesiapa pun yang mengetahuinya.

Indahnya saat kelahiran itu.

Aku tak akan pernah lupakan saat-saat melahirkan Najla. Walaupun Najla tiada kini, tangisan pertama Najla tak akan aku lupakan sampai bila-bila. Tak akan aku lupakan bagaimana aku dapat menatap Najla saat itu. Hanya syukur yang terucap.

Syukur Alhamdulillah kerana aku telah melaluinya. :)

Allah SWT Menggantinya

Ketika berlaku Tsunami di Acheh, Darmi bin Tengku Cut Haji kehilangan segalanya, lelaki berusia 44 tahun itu kehilangan isteri dan tiga anak perempuannya. Pada mulanya dia berharap isteri dan anak-anaknya masih hidup sebagaimana juga dirinya. Dia mencari mereka selama berminggu-minggu, tetapi tidak pernah menemui. Dia berusaha dan tidak berputus asa, malah terus mencari isterinya di sekolah kerana isterinya seorang guru. 

Sayangnya, dia tidak pernah menemui kerana kemungkinan mereka memang sudah meninggal dunia. Dalam pencariannya yang panjang itu, Darmit telah bertemu jodoh dengan seorang gadis berusia 16 tahun yang bekerja sebagai seorang guru dan mengajar di sekolah rendah. Darmit telah mengahwininya.

Tidak lama selepas itu, isteri Darmit hamil. Lebih mengujakan, isterinya hamil kembar tiga. Setelah melahirkan, rupanya kesemua anak-anak kembarnya itu adalah anak perempuan. Masya-Allah. Sungguh dalam musibah itu, Darmit menghadapinya dengan sabar dan Allah menggantikan semula kehilangan Darmit dengan memberi seorang isteri dan tiga anak perempuan sekaligus.

"Dan tatkala Tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah kepadamu dan jika kamu mengingkari, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih." [Ibrahim : 7]

Thursday, 27 October 2011

Manisnya Dugaan Ini

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal dia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal dia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." [al-Baqarah : 216]

Pemergian Najla tanpa diduga dahulu hampir melumpuhkan seluruh jiwa aku. Hampir membuatkan aku jatuh terjelepok tak mampu untuk berdiri lagi. Hampir menggugat keimanan aku pada-Nya. Hampir menghancurkan diri aku. Segalanya umpama punah, seolah tiada harapan. Begitulah penangan kehilangan Najla. Mujahid yang telah bersemai dalam rahimku itu, dilahirkan dengan tidak cukup bulan dan pergi menemui Allah Yang Maha Esa 22 hari selepas bersama kami. Najla Batrisya binti Mawardi. Seindah empunya nama.

Sewaktu aku hampir rebah, sewaktu masa hadapanku seolah gelap, sewaktu jiwaku menjadi kosong, sewaktu air mata tidak lekang membasahi, Allah memimpin aku yang lemah ini kembali ke jalan-Nya  menerusi hidayah-Nya, menerusi simpati dan keprihatinan hamba-hamba-Nya, menerusi kasih sayang-Nya yang melimpah-ruah, dan menerusi segala hikmah yang tersembunyi di sebalik semua ini.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal dia amat baik bagimu.."

Sebagai seorang insan biasa, yang tidak lekang dari dosa, yang penuh alpa, tentulah kehilangan Najla sesuatu yang tidak pernah aku duga, jauh sekali untuk dipinta. Namun, Dia Maha Mengetahui akan segala sesuatu. 

Aku bersyukur. Walau pada awalnya aku ralat dan kerap menyalahkan diri sendiri sebagai punca pemergiannya, tapi kini perasaan itu berbeza sekali. Nikmat kesyukuran itu akhirnya dapat ku pupuk perlahan-lahan dan sokongan yang tidak pernah putus dari keluarga dan rakan-rakan memberikan aku seribu harapan yang lebih menggunung lagi pada masa hadapan.

Kehadiran Najla walau sebentar cuma memberikan satu pengalaman berharga yang tidak dapat dibeli di mana-mana. Memberikan impak luar biasa kepada kami suami isteri, ahli keluarga dan teman terapat. Sungguh luar biasa kehadirannya dan Najla sungguh istimewa dalam hati kami semua.

Aku tidak pernah kesal dengan apa yang telah berlaku. Aku pernah dipersalahkan atas tindakan aku membawa Najla bercuti seawal usia kandungan Najla baru mencecah 5 bulan. Diperli, disindir, dah menjadi asam garam untuk aku dan Najla. Aku sedar walaupun aku tak pernah faham kenapa, kehadiran Najla dalam hidup kami membuatkan sesetengah orang tidak senang. Itu yang menjadikan Najla begitu istimewa pada aku. Sewaktu dia belum mengenal dan melihat dunia, perasaannya sudah diduga sebegitu rupa. Aku tahu Najla mengerti semua itu. Maafkan ibu, Najla. Ibu tak dapat membendung semua tu kerana ibu pun terima dengan air mata.

"Hidup yang penuh dengan juntaian air mata ibarat menyirami sepohon bunga yang akhirnya akan mekar kembang kelopaknya, sebaliknya pohon bunga yang kembang tanpa disirami, pasti akan layu jatuh ke muka bumi. Muhasabahmu akan melahirkan bibit-bibit kesabaran dan ketenangan."

Dua bulan, aku dengan segala upayanya berusaha untuk cuba menangkis perasaan sedih ini. Alhamdulillah, perasaan aku hampir pulih  sepenuhnya. Cuti tiga bulan ini,  bakinya aku isi dengan pelbagai aktiviti dan percutian bersama suami tercinta, Edy. Aku sedar, walaupun aku telah kehilangan Najla, tapi aku masih lagi punyai Edy. Orang yang mencintai aku sepenuh hati dan tidak pernah bosan melayani segala karenah aku. Aku masih lagi boleh meraih kebahagiaan dengan Edy dan sudah tentu aku boleh lagi memberikan Edy adik-adik Najla bukan?Insya-Allah...

Dalam masa yang panjang ini, telah memberi kesempatan pada kami untuk punyai lebih banyak masa bersama, berkasih-sayang, bermesra. Sungguh indah aturan yang telah disusun Allah ini.

Edy juga selalu bercerita betapa indahnya pengalaman kami membawa Najla dalam perut tika itu bercuti ke Singapore dan Sibu. Najla telah merasai semua itu walau pada hayatnya dia tidak dapat merasai secara realiti, tetapi dia pasti telah berkongsi keterujaan bersama kami.

Aku pernah menyalahkan diri kerana terlalu aktif membawa Najla ke sana ke mari. Seorang sahabat karib mengingatkan aku tentang takdir yang telah tertulis untuk Najla sedari Loh Mahfudz. Walau apa pun daya kita, sekali pun jika aku tidak membawa Najla ke mana dulu, sekali pun aku hanya duduk membatu, jika telah ditakdirkan Dia dengan Kun Fayakun, maka apa yang dikehendaki-Nya tiada siapa mampu menghalang. Subhanallah.

Aku tidak cemburu memandang rakan-rakan yang telah punyai anak sebagai pelengkap kebahagiaan hidup berkeluarga. Malah aku turut berasa syukur dan sentiasa mendoakan agar kebahagiaan itu sentiasa ada dalam hidup mereka. Aku juga berdoa agar mereka tidak berada di tempatku, cukuplah aku yang merasa, kerana Dia tahu aku mampu memikulnya, dan tentu lebih pedih jika aku melihat orang lain yang berduka.

"Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu kepada kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka, (sebagai) bunga kehidupan dunia, agar Kami uji mereka dengan (kesenangan) itu. Kurnia Tuhanmu lebih baik dan lebih kekal." [131;20] 

"Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang bertakwa"[132;20] 

"Dan (ingatlah kisah) Zakaria, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri (tanpa keturunan) dan Engkaulah ahli waris yang terbaik." [89;21] 

Apa yang pasti, puteri kesayangan kami akan menanti kelak di pintu syurga untuk memimpin tangan kami masuk bersama-samanya nanti. Insya-Allah. 

Thursday, 20 October 2011

Conceive

Aku ingin berkongsi pengalaman tentang beberapa kaedah yang aku  dah cuba dalam tempoh setahun menanti kehadiran Najla.

Actually, semua kaedah yang bakal aku listkan nanti semuanya berkesan. Dengan syarat: istiqamah. Nak lakukan apa-apa, kita mestilah istiqamah. Insya-Allah semua akan berhasil dengan izin dan kuasa-Nya.

Tapi sebelum tu aku nak beritahu, aku bukanlah seorang yang istiqamah dalam melakukan semua ni. Jadi, sikap yang tidak baik ni janganlah dicontohi ye.

1. Basal Body Temperature (BBT)

Kaedah pertama yang aku cuba ialah Basal Body Temperature (BBT). BBT ni fungsinya untuk menyukat suhu badan kita pada setiap pagi, pada waktu bangun tidur (waktu yang tetap setiap hari; contohnya pukul 6 pagi pada setiap hari), and untuk melihat pola peningkatan atau peurunan suhu badan dalam menstrual cycle. Dari kitar haid yang pertama, means hari pertama datang haid, suhu badan perlu disukat pada waktu yang dah difixkan. Aku sukat suhu badan aku pada waktu aku bangun pagi, iaitu pukul 6 pagi, setiap hari. 

Termometer yang aku guna ialah termometer digital, tapi harga murah, RM 12 je and aku pun tak pasti precise atau tak. Daripada rujukan aku, kena pakai ovulation thermometer. Puas aku cari di merata farmasi, tapi tak pernah ada rezeki untuk dapat termometer ni.  So, as an alternative, termometer biasa menjadi pilihan terakhir. Kelemahan termometer ni ialah aku perlu tunggu hampir satu minit sampai bunyi 'bip bip' untuk bacaan suhu keluar. So pada aku, kalau nak cuba kaedah BBT ni, baik berkorban duit sikit untuk beli termometer digital macam  yang doktor guna kat klinik tu, precise and result keluar dalam masa 3 saat je. Aku beli termometer yang ini pun bila Najla dah lahir. Jenama termometer untuk Najla yang aku beli ni ialah 'Microlife'.

Berbalik semula pada kaedah BBT ni, once bila dah bangun pagi tu, pergerakan badan cuba dikurangkan seminima mungkin untuk elakkan berlaku sebarang perubahan suhu badan. So better termometer tu diletakkan bersebelahan dengan tempat tidur. 

Untuk catat suhu yang disukat, perlulah gunakan carta BBT. Carta ni boleh dapat kat mana-mana web. Just taip BBT Chart, then akan keluarlah pelbagai jenis carta. Dulu aku print carta ni dari laman web Rahsia Mudah Hamil. Tapi tak silap aku, carta ni gunakan Farenheit bukan Celcius. So, aku buat pengubahsuaian sikit kat carta ni untuk disesuaikan dengan Celcius. 

Perbezaan suhu badan pada waktu subur tak de lah banyak sangat, about 1 degree celcius je. Termometer yang aku pakai ni bacaan dia satu tempat titik perpuluhan, example 37.5 degree celcius. So, carta tu aku buat setiap senggatan dia beza 0.1 degree celcius, starting from 36.0 sampailah 38.0, dalam 20 senggat. Bila buat macam ni nampak sikit perubahan suhu badan kita. Kelebihan buat BBT ni, kita boleh trace bila waktu subur (ovulation day) berlaku. 

Waktu badan berovulasi akan menyebabkan berlakunya peningkatan suhu badan dalam 1 degree celcius. So, bila dilihat pada carta BBT,  jika catatan suhu badan berlaku peningkatan, dikatakan dalam jangka waktu ini, kesuburan sedang berlaku.

Bila kehamilan berlaku, suhu badan yang naik tadi akan maintain, and bila kehamilan tidak berlaku, suhu badan akan turun semula. So masa ni, menstrual cycle berakhir. And bermulalah kitar haid yang pertama semula. 

Nak gunakan kaedah BBT ni mesti sekurang-kurangnya 3 bulan, barulah kita dapat lihat pola waktu kesuburan. Waktu subur bagi seseorang wanita ni tak sama setiap seorang. Tak semestinya pada hari ke-14. Ovulasi boleh bermula seawal hari ke-6 dan selewat hari ke-21. Maklumat yang aku tulis tentang BBT ni hanyalah melalui rujukan meng'google'ing dan pengalaman sendiri. Jadi kesahihan tu bukanlah 100%. 

2. Ovulation Kit

Kaedah BBT tadi aku mula guna start bulan ke-3 kahwin hingga bulan ke-6. Kenapa aku stop guna BBT tu sebab bila suhu dah turun, aku semacam frust sikit sebab dapat agak cik P akan datang lepas tu. Tapi Allah lebih tahu mana yang terbaik. Mungkin Dia nak beri aku peluang guna Ovulation Kit pula sebagai tambahan pengalaman sebelum hamil ni.

Ovulation Kit ni aku beli kat Guardian. Kit ni cara dia lebih kurang sama dengan UPT. Kena guna sample urine juga. Waktu test yang disuggestkan bukanlah waktu pagi kerana hormon LH akan mula dirembeskan sekitar 10 pagi dan ke atas. Sebaiknya gunakan kit ini pada waktu petang. Harga Kit ni around RM15-30. Aku tak berapa ingat. Dalam satu pack ada 5 kit. Kenapa sampai 5 kit? Supaya kita boleh cuba untuk beberapa hari bagi mengetahui waktu ovulasi berlaku. Oleh kerana harga untuk 5 kit ini adalah mahal, disarankan agar pengguna dapat menggunakan secara berhemah pada waktu yang dijangka akan berovulasi. 

Kalau UPT detect HCG, Ovulation Kit detect LH. LH ni akan dirembeskan sewaktu follicle menjadi matang dalam menghasilkan ovum. Ovulation Kit akan tunjuk result positif sama macam UPT, double line. So, sebaiknya bersama suami around 3 days starting from positive result. Perlu diingatkan, tak semestinya hari yang detect positive tu, telur atau kita panggil sebagai ovum dah dilepaskan ke tiub Fallopio. Sebab LH ni akan produced bila ovum mula dihasilkan dalam follicle dan hormon LH akan terus meningkat sehinggalah ovum dilepaskan ke tiub fallopio untuk dipersenyawakan. Selepas ovum dilepaskan, kuantiti hormon LH akan menurun. So better try for 2-3 days sebelum dan selepas ovulasi. Insya-Allah.

3. Abdomen Scanning

After 2 months using Ovulation Kit, aku terus stop. Tapi at least aku dah tahu the days yang aku subur. Lebih kurang starting hari ke-9 hingga hari ke-12. Bila aku try Ovulation Kit ni hari ke-14 and 15, negative result. So, tak semestinya waktu subur tu pada hari ke-14 untuk setiap wanita kan. Lagi pun kitar haid aku sampai hari ke-25 je. Mungkin itu juga yang menyebabkan the 14 is not the 'day' for me.

Aku ke Klinik Chia, di Taman Pelangi. Buat pemeriksaan pertama untuk tahu jika aku ada masalah lain. Just check urine dan scan je. Masa tu kebetulan aku kerap kencing. Rupanya ada masalah kencing kotor. Bila scan, rahim aku sihat, cuma retroverted, atau orang kita selalu panggil rahim terbalik. 

Rahim Terbalik? Macam mana bole terbalik. Aku pun terkejut masa tu. Ingat satu masalah besar. Masa tu appointment aku dengan Dr. Rosnah. Then Dr. Rosnah tanya, 'secretion' husband keluar semula? Aku jawab 'Ya'. Thats why ia keluar sebab position rahim tu. Lepas tu Dr. Rosnah beritahu cara yang betul bagi case macam ni. 

Sesiapa yang ada masalah ini, jangan risau. Because about 90% wanita yang mengalami keadaan ini boleh mengandung secara natural! Keajaiban Allah itu tiada siapa yang tahu. Cepat atau lambat sahaja yang menjadi perbezaannya kerana Allah lebih tahu waktu terbaik untuk Dia berikan amanah itu.

4. Positive!

6 Disember 2010 -->Surprise!!! Aku missed period. Tapi satu hari jela. Then excited check UPT. Positive!!! Tapi masa tu second line tu blur sikit. Aku cuba tanya kawan-kawan yang ada pengalaman. Ramai pelik sebab macam terlalu awal boleh detect. Aku tanya kakak aku, then kakak aku cakap dia pun macam aku, jenis boleh detect awal. Kalau ikutkan cycle days aku yang 25 hari je, means aku test masa tu hari ke-26. Masa aku buat UPT tu dah petang,  bukan waktu pagi. So, may be urine cair. Aku tunggu satu hari lagi. Masa tu memang rasa bersyukur sangat-sangat. Finally hampir setahun and setiap bulan buat UPT, ni lah first time dapat result positive. Syukur Alhamdulillah. Aku and suami berbunga-bunga je.

Esok aku buat UPT lagi, tapi aku still tak buat waktu pagi. Dalam tengah hari kot. Still positive tapi second line tu makin kabur.

Hari berikutnya, aku mula sakit perut. Sakit sangat-sangat. Memulas-mulas. Aku berguling-guling. Sakit tu betul-betul kat bahagian ari-ari. Dekat 4 jam rasanya aku sakit. 

Tiba-tiba, keluar darah. Ya Allah! Tapi darah yang keluar tak sama dengan darah period sebelum ni. Darah yang keluar tu panas dan tak berbau serta cair. Aku masih lagi sakit perut. Puas urut, letak minyak, tapi sakit masih berlarutan. 

Sampailah satu tahap yang teramat sakit tu, aku berlari ke bilir air, and 'splash!!!', keluar satu ketulan darah sebesar separuh telapak tangan. Aku tak tahu apa tu. Tapi yang aku tahu lepas keluar ketulan darah tu, sakit aku tadi terus hilang. 

Aku terus jumpa doktor, and doktor kata ada dua kemungkinan. Pertama, aku tidak mengandung. Apa yang aku alami itu adalah chemical pregnancy. Atas beberapa faktor kromosom yang tidak sempurna, menyebabkan kehamilan itu tidak boleh berlaku. Sebab itu pada awalnya UPT itu menunjukkan result positive kerana persenyawaan mungkin telah berlaku tetapi ia tidak sempurna. Dan akhirnya, dengan kehendak Allah, ia luruh semula. Kemungkinan kedua, mungkin aku telah hamil and telah mengalami keguguran.Aku pasrah walaupun sedikit kecewa mulanya.

Namun aku tetap bersyukur dengan kegembiraan sementara itu. Dua UPT yang menunjukkan result positive itu betul-betul menggembirakan hati aku. Syukur Alhamdulillah atas kegembiraan ini. Hanya Kau Maha Mengetahui.

5. Perubahan cairan serviks.

Lepas kejadian itu, aku teruskan check up di Klinik Chia. Kali ni aku jumpa Dr. Lim. Dr. Lim ni tegas sikit tapi dia jujur dan telus. Cakap terang and senang faham. Aku cuba luahkan tentang kerisauan aku mengenai kehamilan 'sementara' tu. Dr. Lim kata macam ni, "U tak sakit, tapi otak u yang sakit". Tu dia ayat Dr. Lim yang 'sangat terus terang' aku kira. Aku tanya lagi, bila tempoh sesuai untuk aku nak pregnant lagi, kena tunggu lepas 6 bulan ke? Pastu Dr. Lim cakap, "Bila-bila je u mahu, u boleh.  U sihat, tak payah tunggu 6 bulan. U tengok kalau u ada keluar itu macam putih telur, masa tu waktu u subur, sebab serviks u terbuka waktu tu", aku dengar sambil berfikir dan angguk-angguk je. Takut pulak  aku nak tanya lebih-lebih. Takut kena 'smash' lagi.

Lepas tu aku berazam untuk tak nak stress semata-mata untuk dapat anak. Dari pembacaan aku yang pelbagai, dalam keadaan tertekan untuk mendapatkan zuriat, kehamilan sukar untuk berlaku. Kerana otak kita yang mengawal segala hormon dalam badan. Tekanan boleh menyebabkan segala 'proses kehamilan' itu sedikit terganggu.

And aku follow cadangan Dr. Lim tu tentang cairan serviks macam putih telur tu. Masa tu aku just relax, enjoy it, and aku juga percaya jika bukan sekarang, masih banyak lagi masa untuk aku mencuba. Pertama kali rasanya aku betul- betul tenang dan tak stress lagi fikir tentang itu. Ya, pertama kali sejak setahun berkahwin. Aku betul-betul tenang.

27 Januari 2011 - aku terjaga dari mimpi. Masa tu pukul 4 pagi. Aku mimpi aku buat UPT, positive. Kalau dikira, memang aku dah missed period. Hari tu hari ke-26 cycle days. Kebetulan aku memang ada standby satu UPT kat rumah. Aku cuba. Bismillah. Dalam beberapa saat, double line! And kali ni, dua-dua line tu clear sangat. Ya Allah! Syukur Alhamdulillah. And aku yakin kali ini aku betul-betul dah pregnant. 

Aku tak terus jumps doktor O&G sebab masih terlalu awal and  confirm aku akan diminta datang semula lagi seminggu. Seminggu kemudian, aku check klinik biasa. Doktor buat UPT, and alhamdulillah still double line. Masa tu about 4 weeks 3 days. Dah masuk 6 weeks baru aku jumpa O&G and scan, alhamdulillah nampak mujahid kecil itu and heartbeat pun dah ada. Tiada kata indah yang terucap. Hanya syukur pada Yang Maha Esa. Penantian selama setahun berhasil kini. Bayi yang kami nanti akhirnya menginap tenang dalam rahimku. Syukur alhamdulillah. Itulah ucapan dari aku dan Edy yang tak pernah putus keluar. Berita gembira itu aku khabrkan kepada semua ahli keluarga. Mereka menyambutnya dengan rasa syukur dan gembira.

Selain kaedah-kaedah di atas, kita sebagai hamba-Nya yang senantiasa diuji perlulah tiada putus asa meminta-minta kepada-Nya. Allah s.w.t suka pada hamba-Nya yang sentiasa meminta, tawakal dan redha. Insya-Allah, sampai masa yang terbaik, Allah akan tunaikan juga permintaan seseorang hamba itu :)

Ok, tamat cerita bagaimana aku akhirnya berjaya conceive. Syukur pada Allah, dengan berkat kesabaran kami suami isteri, akhirnya Dia menyemai Najla dalam rahim aku.

ALHAMDULILLAH!

Monday, 17 October 2011

My New Blog

Assalammualaikum w.b.t


Tiada pilihan lain melainkan aku membuat semula sebuah blog baru. Barangkali blog ini lebih matang dari blog nurunnadia.blogspot.com sebelum ini. Inilah orang kata, "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan, inilah akibatnya". Aku dengan tanpa fikir panjang telah delete blog tersebut bila mana emosi sedih melanda diri sebelum ni. Permanently delete. Bila dah delete, rasa macam menyesal pulak. Walaupun aku ni bukanlah penulis blog yang tegar menulis setiap hari, tapi rasa sayang juga dengan kenangan-kenangan yang aku dah coretkan sebelum ni. Benda dah jadi kan.Tak perlulah dikesalkan lagi. Kata nak mulakan hidup baru selepas kesedihan pemergian Najla. So, blog pun kenalah baru. Aku harap, dengan azam baru, hidup baru, blog baru, segalanya akan merubah hidup aku ke arah yang lebih baik. Dan harapannya, agar blog baru ini akan terisi dengan penulisan yang lebih matang dan bernas. Insya-Allah.


Banyak yang ingin aku kongsikan dalam blog baru ini agar sedikit sebanyak dapat menjadi rujukan. Dari saat penantian selama setahun untuk conceive, saat mengandungkan Najla, saat melahirkannya dan saat-saat aku kehilangannya.  Mungkin part terakhir tu aku akan ambil masa untuk tulis sebab aku masih belum kuat untuk itu.


Semoga Allah s.w.t sentiasa memberi ilham untuk aku terus menulis. Amin.

Click! Click! Click!