Thursday, 27 October 2011

Manisnya Dugaan Ini

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal dia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal dia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." [al-Baqarah : 216]

Pemergian Najla tanpa diduga dahulu hampir melumpuhkan seluruh jiwa aku. Hampir membuatkan aku jatuh terjelepok tak mampu untuk berdiri lagi. Hampir menggugat keimanan aku pada-Nya. Hampir menghancurkan diri aku. Segalanya umpama punah, seolah tiada harapan. Begitulah penangan kehilangan Najla. Mujahid yang telah bersemai dalam rahimku itu, dilahirkan dengan tidak cukup bulan dan pergi menemui Allah Yang Maha Esa 22 hari selepas bersama kami. Najla Batrisya binti Mawardi. Seindah empunya nama.

Sewaktu aku hampir rebah, sewaktu masa hadapanku seolah gelap, sewaktu jiwaku menjadi kosong, sewaktu air mata tidak lekang membasahi, Allah memimpin aku yang lemah ini kembali ke jalan-Nya  menerusi hidayah-Nya, menerusi simpati dan keprihatinan hamba-hamba-Nya, menerusi kasih sayang-Nya yang melimpah-ruah, dan menerusi segala hikmah yang tersembunyi di sebalik semua ini.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal dia amat baik bagimu.."

Sebagai seorang insan biasa, yang tidak lekang dari dosa, yang penuh alpa, tentulah kehilangan Najla sesuatu yang tidak pernah aku duga, jauh sekali untuk dipinta. Namun, Dia Maha Mengetahui akan segala sesuatu. 

Aku bersyukur. Walau pada awalnya aku ralat dan kerap menyalahkan diri sendiri sebagai punca pemergiannya, tapi kini perasaan itu berbeza sekali. Nikmat kesyukuran itu akhirnya dapat ku pupuk perlahan-lahan dan sokongan yang tidak pernah putus dari keluarga dan rakan-rakan memberikan aku seribu harapan yang lebih menggunung lagi pada masa hadapan.

Kehadiran Najla walau sebentar cuma memberikan satu pengalaman berharga yang tidak dapat dibeli di mana-mana. Memberikan impak luar biasa kepada kami suami isteri, ahli keluarga dan teman terapat. Sungguh luar biasa kehadirannya dan Najla sungguh istimewa dalam hati kami semua.

Aku tidak pernah kesal dengan apa yang telah berlaku. Aku pernah dipersalahkan atas tindakan aku membawa Najla bercuti seawal usia kandungan Najla baru mencecah 5 bulan. Diperli, disindir, dah menjadi asam garam untuk aku dan Najla. Aku sedar walaupun aku tak pernah faham kenapa, kehadiran Najla dalam hidup kami membuatkan sesetengah orang tidak senang. Itu yang menjadikan Najla begitu istimewa pada aku. Sewaktu dia belum mengenal dan melihat dunia, perasaannya sudah diduga sebegitu rupa. Aku tahu Najla mengerti semua itu. Maafkan ibu, Najla. Ibu tak dapat membendung semua tu kerana ibu pun terima dengan air mata.

"Hidup yang penuh dengan juntaian air mata ibarat menyirami sepohon bunga yang akhirnya akan mekar kembang kelopaknya, sebaliknya pohon bunga yang kembang tanpa disirami, pasti akan layu jatuh ke muka bumi. Muhasabahmu akan melahirkan bibit-bibit kesabaran dan ketenangan."

Dua bulan, aku dengan segala upayanya berusaha untuk cuba menangkis perasaan sedih ini. Alhamdulillah, perasaan aku hampir pulih  sepenuhnya. Cuti tiga bulan ini,  bakinya aku isi dengan pelbagai aktiviti dan percutian bersama suami tercinta, Edy. Aku sedar, walaupun aku telah kehilangan Najla, tapi aku masih lagi punyai Edy. Orang yang mencintai aku sepenuh hati dan tidak pernah bosan melayani segala karenah aku. Aku masih lagi boleh meraih kebahagiaan dengan Edy dan sudah tentu aku boleh lagi memberikan Edy adik-adik Najla bukan?Insya-Allah...

Dalam masa yang panjang ini, telah memberi kesempatan pada kami untuk punyai lebih banyak masa bersama, berkasih-sayang, bermesra. Sungguh indah aturan yang telah disusun Allah ini.

Edy juga selalu bercerita betapa indahnya pengalaman kami membawa Najla dalam perut tika itu bercuti ke Singapore dan Sibu. Najla telah merasai semua itu walau pada hayatnya dia tidak dapat merasai secara realiti, tetapi dia pasti telah berkongsi keterujaan bersama kami.

Aku pernah menyalahkan diri kerana terlalu aktif membawa Najla ke sana ke mari. Seorang sahabat karib mengingatkan aku tentang takdir yang telah tertulis untuk Najla sedari Loh Mahfudz. Walau apa pun daya kita, sekali pun jika aku tidak membawa Najla ke mana dulu, sekali pun aku hanya duduk membatu, jika telah ditakdirkan Dia dengan Kun Fayakun, maka apa yang dikehendaki-Nya tiada siapa mampu menghalang. Subhanallah.

Aku tidak cemburu memandang rakan-rakan yang telah punyai anak sebagai pelengkap kebahagiaan hidup berkeluarga. Malah aku turut berasa syukur dan sentiasa mendoakan agar kebahagiaan itu sentiasa ada dalam hidup mereka. Aku juga berdoa agar mereka tidak berada di tempatku, cukuplah aku yang merasa, kerana Dia tahu aku mampu memikulnya, dan tentu lebih pedih jika aku melihat orang lain yang berduka.

"Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu kepada kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka, (sebagai) bunga kehidupan dunia, agar Kami uji mereka dengan (kesenangan) itu. Kurnia Tuhanmu lebih baik dan lebih kekal." [131;20] 

"Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang bertakwa"[132;20] 

"Dan (ingatlah kisah) Zakaria, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri (tanpa keturunan) dan Engkaulah ahli waris yang terbaik." [89;21] 

Apa yang pasti, puteri kesayangan kami akan menanti kelak di pintu syurga untuk memimpin tangan kami masuk bersama-samanya nanti. Insya-Allah. 

1 comment:

  1. suci dan bersih...syurga pasti untuk Najla..Semoga rohnya tenang di sana..Amin.. :')

    ReplyDelete

Click! Click! Click!