Thursday, 3 November 2011

30 Minggu

Sudah berkali-kali aku cuba untuk berkongsi kisah kelahiran pramatang Najla. Sesuatu yang sangat indah untuk dijadikan kenangan aku dan Edy. Cuma aku belum cukup kuat sebelum ni. Hari ni, genap 3 bulan kelahiran Najla. Dan lebih kurang 2 bulan sudah sejak Najla meninggalkan kami. Aku juga sudah mula bertugas selepas bercuti 'sakan' 3 bulan. Alhamdulillah, keadaan emosi aku bertambah baik. Jujur aku katakan, pemergian Najla satu rahmat bagi kami. Kami berasa tenang dan lebih dekat pada-Nya. Jika ujian ini diberikan sebagai kifarah, aku redha dan merasa syukur. Kehilangan Najla telah mengajar aku apa makna sabar, redha, dan syukur kepada-Nya. Alhamdulillah. Tiada kata indah untuk menggambarkan betapa kami amat bersyukur dengan kehadiran Najla. Insya-Allah semoga perkongsian ini amat bermakna untuk semua orang.

23 Julai 2011

9 malam - Aku dan kawan sekolah memenuhi undangan perkahwinan kakak pelajar kami di Hotel Mutiara. Seperti biasa, Edy ada tanggungjawab di Muar dalam urusan kerja.

Majlis baru 10 minit bermula, tiba-tiba perut aku rasa sakit. Kerana ini kandungan sulung, sudah tentu pengalaman merasa saat contract tidak ada. Perut aku kejang, pinggang sakit. Aku tak pasti adakah itu yang dipanggil Braxton Hicks. Selama satu jam aku menahan sakit. Dalam pada tu, sempat lagi aku men'google'ing tanda-tanda contraction. Dari pemahaman aku, memang aku sedang mengalami kontraksi.

10.30 malam - Kami mohon pulang awal sebelum usai majlis. Rasa sakit semakin menjadi-jadi. Apa yang aku buat, pegang perut dan dalam masa sama urut-urut pinggang. Jika pergi sebelumnya aku yang memandu, baliknya kawan aku pula yang ambil alih. Kawan aku terpaksa hantar aku ke rumah sahaja kerana dia ada urusan lain malam tu.

11.00 malam - Housemate aku hantar aku ke hospital. Apa yang aku sempat capai cuma buku merah. Melucukan, aku ke hospital dengan muka yang bermake up dan tudung yang berlilit-lilit. Kononnya sebab ke majlis kahwin la kan. Sesampai je kat wad bersalin, aku tak boleh nak cakap apa kat pak guard. Cuma aku tunjukkan perut aku dengan muka yang berkerut. Fahamlah agaknya aku dah sakit nak bersalin. Kemudian ditahan dan disoalnya housemate aku. Ikutkan, hanya suami sahaja yang dibenarkan, atau pun, ibu bapa jika suami tidak dapat hadir. Aku terus meluru ke lif dalam keadaan yang masih sakit. Dah malas aku nak ulang ayat, "Suami saya tak ada, kawan saya teman". Dihalangnya pula housemate aku tu sampai berlaku scene kejar-mengejar. Aku terus tarik housemate aku masuk lif, dan pak guard yang kejar kami tu jerit, "Cik, cuma suami je yang boleh masuk!", sambil pintu lif tertutup aku sempat cakap, "Suami saya tak adalah!". Huh, tak pasal-pasal dah termarah guard tu. Aku faham tugas mereka, dah tentu sekali mereka tak mahu dipersoal atau diambil tindakan atas keizinan mereka untuk sembarangan orang masuk. Tapi keadaan waktu tu berbeza. Terdesak. Aku tekan butang 2 ke wad saringan. Mujur sebelum ni, masa kakak aku bersalin, aku ada ke situ. Jadi, tahulah aku mana nak dituju.

Selepas cakap serba ringkas dengan nurse kat kaunter, aku diarah masuk ke dalam. Kemudian diarah baring. Pakaian aku masa tu memang agak menyusahkan. Masa nak menyelak, nurse kat wad tu nasihatkan dengan lembut, "Lain kali, kalau rasa sakit, datang hospital, pakai kain batik ye..", aku terkulat-kulat senyum. Terasa malu sangat. Tak apalah, bukan sengaja pun. Kemudian seorang doktor Melayu kecil molek, bercermin mata mulakanlah tugas soal-menyoal. Aku lalok-lalok jawab sebab sakit dan mengantuk sama masa sesi soal jawab tu. Dah habis bersoal jawab, doktor kecik molek tu pun masukkan speculum ke dalam vagina. Sambil tu sempat aku tengok kad nama doktor tu. Nama aku tak ingat tapi aku nampak jelas tahun lahir doktor ni pada pangkal IC '87', maknanya dia baru 24 tahun. Rasanya tengah housemanship training kot. Doktor kata ada vagina candidiasis. Aku pernah kena masa kandungan 2 bulan. Serviks masih belum terbuka. Sedar tak sedar, dah pukul 1 pagi. Aku ditahan wad. Memang aku stay wad sehelai sepinggang. Aku suruh housemate aku balik dulu dan kebetulan Edy dalam perjalanan dari Muar ke JB. Naik wad bersalin, gaya aku tak macam orang nak bersalin pun. Nurse-nurse kat kaunter tak hiraukan aku pun sampailah aku duduk, letak segala fail dari wad saringan n cakap,"Saya nak masuk wad." Terjegil mata nurse-nurse kat situ. Cara aku tu memang macam nak check in hotel. Lucu bila kenang balik. Dibacanya rekod aku secara ringkas. "Suami mana?", "Suami saya on the way", "Datang sendiri ke?", "Tak, datang dengan kawan tapi saya dah suruh dia balik." Tersenyum je nurse-nurse kat situ. "Bawak baju tak?", "Saya tak bawak apa-apa. Duit pun tak bawak." Tergelak diorang dengar jawapan aku. Muka aku pun selamba je. Lepas tu, aku diberi baju pink, jug air, dan cawan. Lepas salin-salin semua, aku terus tido. Nyenyak! Aku terjaga esoknya pukul 11 pagi. Masya-Allah! Terlepas subuh. Waktu doktor and nurse check sebelum tu, aku mamai. Tapi yang pasti, keadaan aku ok. Tak ada apa-apa. And petang tu aku discharge. Alhamdulillah.

30 Julai 2011

Sabtu yang dinanti semua orang. Dan cuti sekolah juga sempena menyambut kedatangan Awal Ramadhan.
Seminggu persekolahan yang memenatkan sebab aku terlibat dengan pengambilan gambar sekolah.

8.00 pagi - aku rasa ada letusan kecil, kemudian rasa basah. Aku panggil Edy. Aku bagi tahu Edy mungkin air ketuban pecah. Edy ambil tisu, aku cuba lap, warnanya keruh. Aku cuba tenang tapi Edy dah gelabah masa tu. Aku yakin mesti aku kena warded lagi. Aku kemaskan segala keperluan. Beg baby pun aku bawa. Aku ke klinik Chia dulu. Doktor check, scan, and kata pergi hospital cepat. Aku sempat tanya hospital mana yang doktor suggest, "You pegi HSA. Sana banyak equipment untuk baby prem. Kalau you pegi private, mesti habis puluh ribu." Aku angguk-angguk dengar penjelasan Dr. Lim. Kalau boleh memang aku nak yang terbaik. Apatah lagi ini bayi sulung. Tapi manalah nak cari duit puluh ribu tu. Tak sanggup rasanya nak susahkan hati Edy.

9.30 pagi - Macam sebelum ni, aku ke wad saringan. Sesi bersoal jawab agak pendek sebab dah ada rekod sebelum tu. Seorang doktor perempuan Cina, kecil molek, bercermin mata, berambut pendek, yang layan aku masa tu. Macam biasa, mesti aku tengok kad nama dulu. Tahun kelahiran '85'. Maksudnya usia 26 tahun. Mungkin dah jadi MO. Atau akan menamatkan latihan sebagai HO. Tak senonoh kan tabiat aku ni.

Kali ni pakaian aku memang sesuai untuk masuk situ. Aku tak berkain batik, sebaliknya aku pakai kain bergetah. Lebih selesa dan flexible. Seorang nurse masuk, check jantung baby sambil tanya aku, "Pad penuh tak?". Aku jawab, "Saya tak pakai pad", lepas tu aku pun kenalah marah dengan nurse tu, "Habis selama ni kalau period tak pakai pad ke?!". Mula-mula hati rasa menyeringai jugak. Sempat aku tengok name tag dia. Tapi aku positifkan semula fikiran. Ok, sepatutnya dalam hal sebegini kena pakai pad. Aku bukan sengaja tak pakai, tapi sebab dah 30 minggu tak period menyebabkan tiada stok pad kat rumah. Tak apa, nurse marah untuk kebaikan. Sebab apa, kuantiti darah atau air ketuban yang keluar sangat penting untuk jangkaan doktor tentang kondisi ibu. Dekat dinding wad saringan pun ditampal satu nota tentang bagaimana menganggar jumlah darah atau air ketuban yang keluar.

Doktor Cina tadi pun check perut, masukkan speculum, check bukaan serviks. Kerana ini kali kedua, aku lebih tenang. Alhamdulillah, semuanya berlangsung dengan baik dan tak rasa sakit pun. Confirm, memang air ketuban yang keluar. Dan doktor detect masih lagi ada infeksi vagina candidiasis. Mungkin kerana infection nil lah menjadi penyebab kebocoran amniotic sac aku ni. Aku terus dimasukkan ke wad bersalin.

31 Julai 2011

4.00 pagi - Pagi pertama, nurse ambil darah. Aku je, akak sebelah aku tak kena pun. Dalam mamai-mamai, aku perasan nurse tu tak boleh nak ambil darah aku. Sampai berangkat-angkat kaki nak cari salur darah. Aku cakap, "Tak apa, saya tahan. Cuba lagi", wah, betapa sabarnya aku waktu tu. Dah lah semalam kat wad saringan pun macam tu. Aku menyengih sambil beristigfar menahan sakit. JM tu putus asa sambil kata, "Minta maaf banyak-banyak kak", aku senyum je. Aku tak marah sebab aku yakin mungkin dia masih baru. Kalau tidak diberi peluang sebegini, pasti tiada pengalaman. Seorang staff nurse masuk. Tak sampai satu minit, done! Alhamdulillah. Sambung tidur.

6.30 pagi - Pemeriksaam rutin, check blood pressure, jantung baby, makan ubat. Lepas tu, aku terus bangun untuk solat subuh, sebelum tu ke bilik air dahulu. Darah?! Ye, ada darah. Anggaran satu pad. Aku terus jumpa doktor. Kerana hari itu hari Ahad, doktor yang bertugas hanya doktor on call. Itu pun hanya HO. Aku bagi tahu, ada darah, dan perut mengeras. Doktor, sister, nurse, tengok darah yang keluar tu and kata, "Dah show dah ni". Aku balik ke bilik semula, baring, seorang nurse yang agak veteran teman aku, sambil pegang perut aku. Mild contraction. Sambil tu aku sempat google maksud 'show' tu. Oh, tanda-tanda nak bersalin. Lepas tu aku mandi, dan qada' subuh kerana terlewat.

2.00 petang - MO dan HO round untuk check ibu-ibu. Aku selalu akan dengar dengan teliti setiap perbincangan mereka. Bila ditanya, ada darah atau air keluar lagi, aku menggeleng. Lepas tu MO arahkan aku disuntik ubat matangkan paru-paru baby. Aku menangis. Sebak. Tak tahu kenapa. Mujur family aku dah datang melawat sebelum tu. Rasa lega sikit. Aku kemudian diarah minum air gula. Dulu aku pernah muntah. So, kena minum lagi. Tapi kali ni, aku tahankan juga. Demi bayi tercinta. Tak lama, keputusan diperolehi. Bebas kencing manis. Alhamdulillah.

4.00 petang - Aku tengah khusyuk tonton tv dengan akak sebelah katil. Akak ni dah seminggu dekat wad ni. Rupanya masih tak bersalin sebab akak ni ada masalah jantung, jadi perlu keputusan oleh pakar jantung dan tidak boleh di'induce' atau di'operate'. Bukaan serviks mesti sepenuhnya berlaku sendiri. Sebab tu, lama kena menunggu.

Nurse datang, bawa peralatan menyuntik. "Puan, saya nak suntik kejap ye". Lepas tanya kat mana nak suntik, aku terus baring mengiring sebab suntikan akan dibuat di punggung. Aku alihkan bantal merah kecil yang aku bawa dari rumah. Kemudian diberi semula oleh nurse tu, "Peluk bantal ni puan. Tahan sikit ye. Baca selawat. Ubat ni sakit", aku terdiam dan akur. Aku tak tahu nak bayangkan perasaan tu. Aku peluk bantal kuat-kuat sambil gigit baju. Terasa suntikan jarum. Terasa tusukan jarum tu menular ke seluruh pinggang dan badan. Air mata keluar. Ya Allah! Sakitnya! Aku tanya nurse, "Dah ke?", "Dah lama sudah puan". Ya Allah, aku ingat jarum tu masih ada lagi. Sebab sakit yang aku rasa macam jarum halus masuk ke salur darah. Badan aku mengerekot tahan sakit. Aku menangis. "Saya minta maaf puan. Puan, tak apa berkorban rasa sakit demi anak kita", aku sebak dengar ayat terakhir tu. Aku cuba kuat. Aku capai air zam zam. Berdoa, minum, dan sapu sikit kat bahagian kena suntik tu. Alhamdulillah, beransur lega.

1 Ogos 2011 / 1 Ramadhan

4.00 pagi - Ambik darah lagi! Sambil mamai tu, aku mengeluh, "Ambil darah lagi??". Staff nurse tu senyum je sambil kata, "Sikit je saya nak ambik. Tak apa, saya buat tak sakit ye. Doktor tak puas hati dengan keputusan darah semalam", aku diam je. Ok, betul memang tak sakit dan laju je darah aku keluar. Baru nak sambung tido, datang nurse kedua, "Puan, saya nak suntik ubat matangkan paru-paru baby. Ni suntikan kedua dan terakhir", aku angguk dan minta izin nak minum air zamzam. Aku peluk bantal. Sakit. Aku cepat-cepat buat macam semalam guna air zamzam. Lega. Nurse kata, "Tak sakit? Apa petuanya?", "Saya minum air zamzam", jawab aku. "Oh, kalau macam tu, saya nak bagi tahu patient lainlah petua ni", aku tersenyum. Prihatin sungguh staff nurse di sini. Sambung tidur.

Hari tu, tak ada darah atau air yang keluar. Aku cuma tak boleh miss makan antibiotic. Alhamdulillah, puasa pertama yang damai. Aku dapat berpuasa dan berbuka bersama Edy di wad. Kata nurse, kalau darah atau air dah berhenti, mungkin dah boleh keluar. Seronoknya hati aku masa tu. Berkobar rasa untuk tunggu esok. Alhamdulillah, dapat juga aku buat terawih malam tu di hospital.

2 Ogos / 2 Ramadhan

2.00 pagi - Aku terjaga. Perut mengeras.

2.30 pagi - Nurse buat pemeriksaan rutin. Aku bagi tahu perut mengeras. Rasanya dah setengah jam sekali mengeras. Mild contraction.

4.00 pagi - Ambik darah lagi!!!! Aku tanya nurse, kali ni memang rasa tak puas hati, kenapa hari-hari nak ambik, akak sebelah tak kena pun. Nurse tu senyum je. Rasanya tak sampai 2 minit dah siap lepas aku dipujuk dengan ayat, "Sikit je". Huh. Rasa macam nak lari dah dari hospital.

Usai solat subuh, aku rasa lenguh-lenguh dekat bahu dan leher. Rasa sakit. Hari tu, aku tak bermaya. Tapi masih lagi berpuasa. Kakak aku dah pesan tak payah puasa, tapi aku degil. Masih nak berpuasa. Aku minta Edy urut badan, leher, bahu bila dia datang melawat.

4.00 petang - Doktor pakar, Dr. Faizal, Dr. Kartik dan dua orang doktor HO, round pesakit. Dr. Faizal tak puas hati dengan keputusan analisis darah aku. Apa yang aku dengar, Dr. Faizal kata kondisi baby dalam keadaan bahaya sebab dari sample darah menunjukkan jangkitan kuman semakin meningkat. Seorang HO diarah untuk buat VE (bukaan serviks) pada aku. Aku pergi ke bilik khas, doktor India berambut kerinting ala maggie tu terus buat VE. Kali ni aku tak sempat nak tengok kad nama dia. Sebab aku dah berdebar. "Oh My God! 4 cm already!", teriak doktor tu. Keadaan jadi kelam kabut. Semua nurse, dan sister yang menjaga aku sebelum ni, masuk bilik dan tanya, "Dah berapa?", aku tunjuk dengan jari angka empat. Terjegil mata diorang. Doktor India tadi terus maklumkan pada Dr. Faizal. Aku diarah turun ke labour room waktu tu jugak! Tempahan bilik di labour room segera dibuat. Aku terkedu. Dah nak bersalin? Aku menangis, tak tahu apa ada dalam fikiran. Aku kusut. Aku nak ambil handphone untuk maklumkan Edy tapi dihalang nurse. Aku terus diarah duduk di wheel chair. Aku minta tolong sister ambil handphone. Alhamdulillah Edy sampai tepat pada waktunya. Edy terkejut tengok keadaan aku dan keadaan yang sedikit kelam kabut tu. Aku dan Edy berpelukan. Aku bagi tahu, masanya dah tiba. Kami sama-sama menangis. Nurse, sister, peluk aku erat-erat minta aku bersabar. Aku bertambah sebak. Pelukan hangat mereka mengingtkan aku kepada arwah mak aku. Tiba-tiba teringin untuk awah mak berada di sisi waktu ini. Aku nak di'drip', tapi sempat aku minta izin untuk makan dulu. Sambil menangis, aku cuba habiskan makan. Lepas di'drip', aku minta ke tandas. Dalam tandas, aku cuba buang air tapi air mata aku yang tak henti-henti keluar laju. Aku teresak-esak. Nurse ketuk pintu tandas, suruh aku keluar sebab takut aku terbersalin dalam tandas. Laju aku dikejarkan ke labour room. Edy masih lagi terkejut. Sampai Edy yang banyak bercakap selalunya, tak berkata apa pun petang tu.

Dalam labour room, sewaktu menuju ke bilik nombor 5, aku sempat tengok keadaan yang huru hara di situ. Aku dengar jeritan ibu-ibu, tangisan bayi, nurse-nurse dan doktor-doktor yang bergerak laju. Sangat sibuk! Besarnya tanggung jawab mereka dalam menyelamatkan dua nyawa.

Dah siap berbaring atas katil bersalin, aku dipasang CTG. Doktor pakar O&G, Dr. Ramadas, MO, HO, dan beberapa bidan, follow up pemeriksaan. Dr. Ramadas suruh hantar aku balik semula ke wad, seorang HO terangkan yang ini arahan Dr. Faizal. Setelah diterangkan bahawa aku dijangkiti kuman, Dr. Ramadas arahkan aku di'induced'. Aku dengar penerangan Dr. Ramadas sambil HO menulis laju segala keterangan selaju percakapan doktor India itu. "Puan, saya Dr. Ramadas, pakar O&G. Bla bla bla. Kandungan puan dalam bahaya kerana puan telah dijangkiti kuman jadi kita perlu selamatkan bayi segera. Bla bla bla. Risiko yang puan perlu tahu walaupun puan telah disuntik ubat matangkan paru-paru adalah kegagalan bayi untuk bernafas sendiri walaupun percentnya adalah kurang tapi saya tetap perlu terangkan. Bla bla bla". 'Bla bla bla' tu kerana aku tidak dapat tangkap apa yang dia cakap. Sangat laju! Seorang nurse sempat berbisik kat telinga aku, "Doktor ni memang macam ni. Kalau dia cakap, semua orang tak faham. Terpaksa nurse terangkan balik nanti", aku tersenyum kecil.

Bidan yang menjaga aku terus masukkan Pitocin, sejenis ubat induce yang disambung ke bahagian yang di'drip' tadi. Aku juga nak dipasang kateter untuk keluarkan air kencing. Kali pertama aku tolak dan buat secara 'natural', tapi kali kedua, permintaan aku ditolak. Terpaksa juga aku akur. Muka aku merah padam masa tu.

Nurse nak suntik aku dengan ubat tahan sakit. Aku ni semacam alah dah dengan jarum-jarum ni. Aku tolak sebab aku kata tak rasa sakit lagi. Berkerut nurse tu. Tapi dia akur.

Aku ditinggalkan dulu kerana keadaan ibu-ibu di bilik lain lebih genting. Tiba-tiba Edy masuk. Kami saling berpelukan dan menangis. Edy minta aku bertahan. Dan ayat yang betul-betul tak boleh aku lupakan, "Ayah nak hidup dengan ibu", aku cium tangan Edy berkali-kali, pohon segala dosa aku diampunkan. Kemudian Edy keluar.

Lama. Masih tiada apa-apa. Aku dah penat berbaring. Aku duduk. Sempat aku tengok graf jantung bayi pada CTG. Apa yang aku faham, strong contraction. Sebab 5 minit sekali. Tapi aku tak rasa sakit walaupun dan di'induced'. Aku baring, pusing kiri, pusing kanan, boring. Aku tanya HO yang keluar masuk, "Lama lagi ke doktor?", "Pukul 9 malam nanti kita buat VE sekali lagi".

9.00 malam - VE. Masih 4 cm. Apa yang aku dengar, doktor HO tu buat report, ibu alami strong contraction tapi tiada rasa sakit. Dua orang bidan masuk, pelik agaknya jumpa patient yang cool macam aku walau dah di'induced'. Selidik punya selidik, rupanya wayar tu bocor. Pitocin tu tak sampai kepada aku. Sesi tukar menukar wayar pun berlangsung. Ngilu rasanya bila ditekan-tekan drip aku. Tak sampai 10 minit rasanya, baru aku rasa sakit. Ya Allah, rupanya macam ni sakit contraction. Sakit perut macam senggugut tapi berkali-kali ganda sakitnya. Terasa lenguh kaki, pinggang. Selimut aku pun sampai terlorot. Aku cuba beristigfar. Ingat Allah. Rasa sakit tu datang setiap 5 minit. Aku jerit panggil nurse, aku minta pain killer. Pain killer ni takdelah kurang pun rasa sakit contract ni, tapi boleh buat kita  tertidur. Bila sakit datang semula, aku terbangun dan mengerekot lagi atas katil. Lepas tu tertidur semula. Aku rasa agaknya kalau masa wayar bocor tu aku dah disuntik pain killer, mesti aku dah tidur nyenyak, tak jaga-jaga sampai nurse pun mungkin tak perasan. Mungkin inilah hikmah-Nya aku tolak mula-mula supaya aku tak terus 'tertidur' dalam keadaan anak aku perlu disegerakan keluar. Bila rasa sakit datang, aku pusing ke kiri, ke kanan, kuis-kuis kaki kat hujung katil, selimut memang dah tak tahu kat mana. Sampai aku terlorot kat hujung katil yang memang condong tu. Berkali-kali. Puas nurse naikkan badan aku semula. Tapi jadi lagi. Sampaikan nurse tu macam dah fade up and bagi tahu aku, "Puan, kalau puan terus macam ni, nanti nak bersalin, anak puan termasuk dalam tong kuning ni". Heh. Aku bila dengar camtu, aku naikkan badan aku semula. Kesian pulak kat anak aku nanti kalau termasuk kat tong kuning yang memang betul-betul kat hujung katil tu.

3 Ogos / 3 Ramadhan

12.45 malam - Dah 3 haribulan. Tak terfikir sama ada anak aku akan keluar sama pangkal lahir dengan aku atau pun tak. Tarikh lahir aku 3 Jun 1986. Pangkal '3'. If bersalin sekarang, samalah pangkal nombor hari lahir kami. Edy masuk lagi. Aku pulak tengah tidur masa tu. Bila terjaga, aku minta Edy urut-urut badan aku tapi Edy refused takut kalau effect apa-apa nanti. Dalam pada tu, sakit contract datang lagi. Aku minta Edy keluar sebab aku jadi manja dan mulalah nak nangis bila Edy ada kat sebelah. Kebetulan HSA ni tak benarkan suami masuk, tapi rezeki Edy malam tu dapat masuk berkali-kali. Mungkin kerana nurse-nurse kasihan pada keadaan aku yang kena bersalin tiba-tiba. Masa sakit tu datang aku sempat kerling jam. Lagi 15 minit pukul 1 pagi. Bermaksud akan dilakukan VE sekali lagi. Aku doa sungguh-sungguh pada Allah supaya tepat pukul 1 aku boleh bersalin. Dah tak tahan dah rasa. Hilang sakit, aku terlena semula.

1.00 pagi - Pushhh! Air ketuban pecah dan memancut. Aku jerit panggil doktor. Doktor dan dua orang bidan lari ke bilik aku dan tanya kenapa. Masa tu posisi kaki aku dah dalam kedudukan nak bersalin. Automatik. Aku dengar salah seorang bidan tu jerit, "Dah full!". Aku sempat tengok glove doktor tu penuh dengan darah sebab tengah sambut baby kat sebelah. Tapi mungkin sebab bayi aku pramatang, jadi aku diberi keutamaan dan ibu di bilik sebelah ditinggalkan dahulu. Mungkin ada bidan yang menjaga.

"Dah tak tahan dah!", teriak aku. "Sabar puan, jangan teran dulu!", kata doktor Cina tersebut. Disebabkan persiapan tidak dibuat, aku sempat tengok doktor tu dengan selaju mungkin tukar glove dan letakkan kertas hijau di bawah. Itu sahaja yang sempat dibuat. Takdelah sempat nak tarik stand untuk kaki atau tangan. Memang dah tak sempat. Dalam sakit aku bertahan, sebab fikirkan keselamatan anak aku. 'Cupp', bunyi gunting. Tapi sakit contraction memang betul-betul buat kena gunting tak rasa sakit langsung. "Ok puan, teran!". Aku tak teran tapi menjerit. "Jangan menjerit puan, teran macam nak buang air besar", lembut seorang bidan beritahu aku. Ok, walaupun dah banyak kali baca cara-cara nak bersalin, tapi betul-betul terlupa nak praktikkan. Dua kali teran, aku dengar tangisan pertama anak aku. Aku selamat melahirkan seorang puteri tepat pukul 1.02 pagi.

Alhamdulillah. Syukur pada-Mu Ya Allah.

Doktor tu suakan anak aku sambil tanya, "Cepat cakap ini anak apa?". Disebabkan bayi pramatang, memang agak lain sikit. Aku cakap, "boy kot", "Cepat cakap ini baby apa?!", doktor tu tanya sekali lagi. "Kalau bukan boy, girl la kot", macam tu lah jawapan aku. Boleh ber'kot kot'. Lepas tu anak aku terus dibawa untuk dibersihkan.

Doktor Kartik masuk bilik aku dan kata, "Oklah. Walaupun anak you kecil, tapi suara dia boleh tahan. Kuat dia nangis", aku tersenyum je. Lega dengar ayat tu. Memang kuat anak aku nangis walaupun pramatang. Syukur. Aku penat, dan terlelap.

Sesi menjahit. Aku terjaga semula. Walaupun aku dah disuntik bius, tapi Masya-Allah, aku rasa macam dijahit hidup-hidup. Terangkat-angkat aku menahan sakit. Puas doktor yang menjahit tu cakap, "Puan, diam-diam puan. Jangan gerak-gerak". Aku masih lagi terangkat-angkat tapi tanpa suara. "Kenapa puan? Kan dah dibius. Masih sakit ke?", aku angguk-angguk je. Lepas tu boleh pulak nurse datang suruh aku sain borang kelahiran dalam keadaan aku tengah dijahit tu. Menggigil-gigil pegang pen. Sampai nak tembus kertas tu bila rasa sakit jarum tu tembus kulit.

Alhamdulillah, siap sudah sesi menjahit. Ingatkan tak kena gunting sebab bayi kecil. Kena juga rupanya.

Aku nak terlelap, tiba-tiba datang seorang nurse bawak anak aku yang siap dibalut. "Puan, kami nak bawak anak puan ke wad A3. Anak puan perlu dimasukkan ke incubator. Silakan puan cium anak puan". Aku kucup lembut anak aku yang tak sempat aku peluk. Sebak. Teringin nak peluk dan tatap wajah dia. Tapi aku nak dia segera dibawa ke incubator.

Tak lama, Edy masuk. Mata Edy merah. Kami berpelukan sambil menangis. Aku suruh Edy jumpa anak aku untuk diiqamatkan. Edy terus ke wad A3. Anak aku terlalu kecil, berat cuma 1.5 kg. Pertama kali Edy pegang, Edy terus menangis. Yelah, dengan tiba-tiba sahaja sudah bergelar ayah. Kata Edy, masa diiqamatkan, anak aku yang sebelum tu menangis terus senyap. Tenang. Mungkin kerana selama dia berada dalam perut aku dahulu, Edy selalu azankan. Pasti dia sangat mengenali suara itu. Sayu saat Edy bercerita. Berulang kali aku mendapat ucapan terima kasih dari Edy.

Syukur Ya Allah atas kurniaan-Mu ini. Aku bersyukur telah selamat melahirkan anak aku dan lengkaplah hidup kami suami isteri dengan kehadiran puteri tercinta. Alhamdulillah.

Najla Batrisya binti Mawardi. Cinta hati ayah dan ibu. Selamanya.

6 comments:

  1. sedihhh nya, tabah yea.. ujian awak lebih hebat.. saya juga pernah gugur masa kandungan 3 bulan, masa tu baru tau kembar sebenarnya.. pasti Allah ada perancangan yang lebih baik.. =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye mimie, setiap musibah pasti ada hikmahNya. ImsyaAllah mimie juga bakal dapat pengganti kembar dan Adam bakal dapat adik baru juga. Amin :)

      Delete
  2. : seriau saya baca pengalaman awak... semoga awak tabah...
    sama-samalah kite berusaha untuk dapat kan zuriat kite sendiri... Aminnn~

    ReplyDelete
  3. ternangis baca kisah akak ni :'(

    ReplyDelete

Click! Click! Click!