Monday, 30 April 2012

Mencari Ketenangan Abadi

Sudah tiba masanya untuk aku benar-benar mencari ketenangan abadi. Kenapa sekarang? Apa tidak tenangkah aku selama ini? Statement ni keluar sebab cik P datang ke?

Tak.. Tak..

Memang sudah tiba masanya untuk aku mencari ketenangan hakiki. Cinta yang amat aku dambakan dari Dia.

(Kronologi)


20 Februari 2004. Saat yang aku tak boleh nak lupakan bila abah kata masanya sudah tiba. Aku cium pipi abah berulang kali. Aku tahu abah nak pergi.  Bila sahaja aku suapkan bubur yang mak buat, abah menangis. Tiba-tiba abah kata, "Deria rasa abah dah kena tarik. Masa abah dah tak lama". Aku peluk abah erat-erat sambil menangis. Pesakit-pesakit lain mungkin agak pelik dengan situasi itu. Mereka hanya menatapi pelukan hiba kami anak-beranak. Adik-beradik lain cuba sembunyikan air mata. Aku memang tak dapat nak bendung lagi kesedihan. Kenapa abah begitu yakin abah dah nak pergi? Mungkin inilah kelebihan yang Allah beri pada abah selaku hafiz dan imam. Mungkin pengalaman abah bertahun-tahun menguruskan jenazah dan mentalkinkan si mati memberi abah banyak pengalaman tentang kematian. Abah juga sempat menulis wasiat untuk kami dengan bersaksikan kakak aku dan kawan baik abah. Abah sempat selesaikan solat asar. Abah masih lagi boleh berjalan sendiri ke bilik air untuk mengambil wuduk. Aku tengok solat terakhir abah dengan air mata. Usai sahaja solat asar, abah nazak. Bersaksikan mak dan kami adik-beradik. Mak terduduk. Aku peluk erat abah dan ajarkan kalimah shahadah. Hinggalah abah keluarkan satu ayat terakhir, "Allahhhhhhh!" dan berakhirlah hayat abah. Sedu-sedan kami menangis tapi kami ingat pesanan terakhir abah, "Jangan meratapi kematian abah nanti".


9 April 2004. Sudah 49 hari abah tinggalkan kami. Semalamnya mak sakit perut. Diarrhea. Bila mak masuk hospital, tak seperti selalu, mak banyak tidur. 3 hari sebelum tu aku ingat lagi betapa gembiranya mak bila mak jumpa beg kesayangan abah tersorok atas almari. Mungkin abah yang letak atas sana sebelum abah masuk hospital. Mak kata, mak selalu mimpi abah datang cari beg tu tapi tak ketemui. Lepas mak jumpa beg abah, mak kata mak jumpa abah dalam mimpi. Abah gembira dan pegang beg tu. Mak gembira sangat cerita pada aku. Mungkin aku masih mentah masa tu. Aku sekadar endah tak endah sahaja dengar cerita mak. Aku masih 17 tahun. Aku mungkin tak mengerti kasih dan cinta seorang isteri kepada suami yang telah bersamanya lebih 40 tahun. Sehari selepas tu terus mak kena diarrhea. Aku jaga mak di hospital berbaringkan kerusi malas yang sedia ada. Seingat aku pukul 3 pagi, mak kejut aku dan beritahu sesuatu yang di luar fikiran aku waktu itu. Mak bilang, roh mak dah nak keluar sambil mak tunjukkan pada jari kaki. Aku bangun, sekadar selimutkan kaki mak, baringkan mak yang terbangun, dan tidur semula selepas mak menyambung tidur. Aku tak tahu jika itu petanda terakhir sebelum mak pergi. Aku hanya menganggap mak sekadar mengigau. Sebelum tu lagi aku sudah dapat petanda bila mana waktu aku kemaskan baju-baju dan kain batik mak, yang aku temui hanya kain batik lepas. Tak ada satu pun kain batik yang sudah berjahit. Sampai naik hairan aku. Tapi kebetulan sahaja abah baru meninggal, jadi pada fikiran aku, itu semua hanyalah kebetulan kerana memang kain-kain batik lepas itu baru sahaja mak guna untuk selimutkan jenazah abah. Selepas asar Jumaat, 9 April 2004, mak mula tenat. Mak sempat minta kakak aku bacakan Yassin. Mak cuba ikut bait-bait bacaan itu. Sehingga ayat ketiga, tiba-tiba mak kaku. Kakak aku menjerit memanggil doktor. Setelah diperiksa, doktor sahkan mak telah pergi selamanya. Doktor bilang,  mungkin mak terlalu rindu pada abah. Kami merelakan mak pergi. Pergi untuk bertemu abah tercinta di syurga Insya-Allah. 


24 Ogos 2011. Hari terakhir aku dan Edy bersama Najla. Rasanya sudah tidak mampu aku nak coretkan segala kenangan itu lagi. Sudah banyak kenangan yang aku luahkan di sini sebagai kenang-kenangan aku dan Edy bersama Najla. Banyak keputusan drastik aku dan Edy ambil selepas pemergian Najla. Mungkin kerana itu anak sulung kami, darah daging kami, dan kehilangan itu hanya dikongsi kami suami isteri, jadi banyak yang telah kami lakukan untuk lupakan kesedihan atas kehilangan Najla. Antaranya ialah berhijrah dari Johor Bahru ke Kulai. Sebelum kami melakukan penghijrahan itu, aku dan Edy telah beristikharah, bersolat hajat, bertanya pendapat orang-orang yang arif sehingga satu keputusan rasmi dibuat, hijrah. Hijrah ini bukan sahaja berpindah tempat tinggal, tapi hijrah ini juga telah merangkumi jiwa kami. Walau pada mulanya banyak juga dugaan yang kami perlu lalui bersama, aku yakin ini adalah yang terbaik buat kami. Mungkin juga terbaik buat anak-anak kami nanti.


*****


Maaf jika entry ini terlalu beremosi. Banyak sekali perkara yang menganggu fikiran aku akhir-akhir ini. Tapi aku yakin dan percaya ini semua dugaan dari-Nya. Kerana kasih dan sayang-Nya, Dia telah kirimkan kami tanda kasih itu dalam bentuk UJIAN. Alhamdulillah.

Sekian.


Friday, 27 April 2012

Hari Yang Indah

Hari ni aku tak berapa nak sihat. Suara tak ada and tekak sakit. Alhamdulillah murid-murid aku semua baik-baik belaka hari ni. Siap pesan kat aku untuk minum air masak banyak-banyak.

Lepas tu, terjumpa pulak taiko kucing sekolah kami tengah tido di bilik guru. Comel kan :)

Wednesday, 25 April 2012

Wordless Wednesday


Soon. Insya-Allah :)

p/s : Terjumpa baby cot ni dekat kedai perabot. Berdoa kuat-kuat dalam hati supaya dapat beli baby cot ni untuk adik-adik Najla. Amin :) 

Friday, 20 April 2012

Positive!

Memori indah 27 Januari 2011 bila sahaja aku dan Edy mendapat berita gembira dengan UPT positive Najla memang tidak akan dilupakan. Masih aku simpan elok UPT itu. Ah, seronoknya perasaan melihat double line yang banyak merubah hidup kami. Indahnya saat itu. Aku amat berharap semoga aku cepat mengandung semula dan memulakan hidup sebagai seorang ibu kepada anak-anak kami nanti. Biarlah masa yang menentukannya. Aku pasti Allah SWT mendengar doa kami. Cuma kami masih menunggu saat-saat terindah itu tiba :).

Tengah berpenat-penat hari ini sambil melayan gambar-gambar sewaktu aku mengandungkan Najla dulu, aku terasa nak share moment indah itu di sini. Indahnya saat-saat ini :)

 


 
Cukuplah gambar ini sahaja. Banyak cerita yang kami nak sampaikan pada Najla sebenarnya bila dia besar nanti melalui gambar-gambar ini. Namun, Allah lebih menyayanginya dan sudah tentu Najla telah mendapat tempat terbaik di sana. Syukur kerana aku berpeluang untuk melahirkan seorang ahli syurga. Memang indah bila terkenang jerih-perih sewaktu mangandungkan dan melahirkan Najla. Semua tu berakhir dengan satu kegembiraan sehingga kini.


"Ibu and ayah love you so much sayang :)"

Semoga Allah SWT kabulkan usaha dan doa kami suami isteri untuk menjadi ibu dan ayah buat adik-adik Najla secepat mungkin.

"Ya Allah, kabulkanlah doa kami. Semailah zuriat dalam rahimku ini. Janganlah Kau biarkan Kami hidup sendirian tanpa zuriat. Sesungguhnya Kau sebaik-baik mewarisi".

Amin...

Sunday, 15 April 2012

Bidadari Syurga

Aku telah menerima satu comment dari Anonymous pada 14 April 2012 melalui entry Puteri Yang Pergi Tiada Kembali. Oleh kerana aku berada di Mersing dan kebetulan liputan 3G di situ sekejap ada dan sekejap tidak telah membantutkan aku untuk mereply comment itu sesegera mungkin. Comment dari Anonymous itu sangat menyentuh hati dan perasaan aku. Cukup jauh dugaan yang dilaluinya jika dibandingkan dengan ujian yang pernah menimpa aku 7 bulan lalu.

akum.. Saya melahirkan kedua-dua bayi kembar saya pd 05.07.2011 @ 35 mggu. Tarikh yg tidak akan dilupakan..05/07 merupakan anniversary kami,sekaligus menyambut kelahiran ke dua-dua kembar tanpa tangisan.. meninggal di dlm kandungan merupakan tamparan yg hebat buat saya.. kesedihan yg Allah bg pd kita ni SGT menginsafkan..tanpa sebab musabab dan condition both baby yg sgt baik menyebabkan saya lupa yg semua di dunia ni, hy pinjaman. Puan bertuah, dpt memeluk anak walau hanya seketika.. saya pula pada mulanya hanyut mencari2 sebab & punca kedua-dua baby saya ( 2.5 kg & 2 kg )dilahirkan IUD.. Spt Muslim yg lain, hy pd Allah lah sebaik2 tmpt mengadu...Moga Allah bg kita kekuatan redha.


Dan aku hanya mereply ringkas comment itu.

Wslm Puan Anonymous. Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita dengan saya. Terlebih dahulu saya ingin ucapkn takziah atas pemergian kembar puan. Jujur saya akui, ujian yang dilalui puan jauh lebih kuat dari pengalaman saya kerana puan perlu menghadapi pemergian dua anak sekaligus. Saya kelu. Tiada kata. Mungkin sedang membayangkan betapa sakitnya rasa rindu itu mengenangkan kedua-dua cahaya mata yang telah pergi jika saya berada di tempat puan. Ya, seperti yang puan kata, hanya Allah sebaik-baik tempat mengadu. Dan saya yakin, pasti semua ini punya beribu hikmah yang kita tak mampu nak singkap.

Baru saya tersedar betapa saya sebenarnya telah diberi nikmat menjaga anak saya walaupun untuk seketika. Terima kasih puan kerana telah mengingatkan saya untuk terus bersyukur dengan apa yang telah berlaku. Sekali lagi puan, takziah dari saya.

Wordless :"(

Al-fatihah~

Sejujurnya aku kelu. Tah kenapa kali ini aku seperti hilang ayat. Selalunya pasti aku akan memberikan ayat-ayat untuk memberi semangat dan sebagainya seperti yang selalu aku lakukan di forum Ratu Hati dalam Kelab Ibu IUD. Kali ini aku hilang kata. Mungkin kerana aku tidak dapat membayangkan bagaimana jika aku berada di tempat puan anonymous yang perlu menghadapi kehilangan dua anak sekaligus. Aku yakin puan anonymous ini seorang yang kuat dan tabah. Pasti lebih tabah dari aku dan kerana itulah Allah telah mengujinya sedemikian rupa yang mana mungkin aku tidak mampu untuk berhadapan dengan ujian seperti itu. Subhanallah.

Semoga Allah SWT memberi pengganti yang sihat dan lahir untuk menjadi anak-anak yang soleh dan solehah buat Puan Anonymous dan suami. (Maaf sebab saya tak tahu nama).

Dan semoga Allah SWT kurniakan juga pengganti arwah Najla buat kami suami isteri. Amin.

Wednesday, 11 April 2012

Wordless Wednesday


Pusara Najla. Al-Fatihah.

Monday, 9 April 2012

Al-Fatihah

9 April 2004 : Mak tercinta meninggalkan kami semua setelah 49 hari arwah abah pergi menghadap Illahi.

9 April 2012 : Genap 8 tahun sudah arwah mak pergi meninggalkan kami. Aku sangat merindui cinta dan kasih mak. Aku sangat mengkagumi ketabahan mak. Aku ingin jadi ibu yang berjasa seperti mak. Dan aku yakin sekiranya mak masih ada lagi, maklah orang yang akan setia di sisi aku sewaktu aku terlalu sedih menghadapi pemergian Najla. Aku dapat rasakan betapa mak akan memeluk aku dan menjaga aku saat itu tanpa jemu.

"Mak, kasihmu hingga ke syurga. Tiada tolok bandingnya kasihmu dengan semua harta di dunia ini. Semoga mak berbahagia di alam sana.."

Al-Fatihah untuk semua kekasih hatiku:

1. Masrom bin Sardi (Abah) - 20 Februari 2004
2. Rukimah binti Yusof (Mak) - 9 April 2004
3. Najla Batrisya binti Mawardi (Anakku yang tercinta) - 24 Ogos 2011

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas kalian~

Sent from my iPhone

Wednesday, 4 April 2012

Wordless Wednesday



  

My brother Tahrir and me :)

Click! Click! Click!