Monday, 23 July 2012

Andai Najla bisa mendengar...

Assalammualaikum Najla, puteri hati ibu dan ayah yang dirindui selalu... Tengah buat apalah agaknya bidadari ibu ini di sana? Barangkali sedang leka bermain-main dengan para wildan yang lain.

Najla sayang...

Ingat tak tentang peristiwa setahun lalu? Peristiwa 3 Ramadhan 1432H? Tarikh 3 Ramadhan ini sangat bermakna buat ibu dan ayah. Segala-galanya tentang Najla. Tentu sekali tarikh 3 Ramadhan ini tidak mungkin ibu lupakan kerana sayang ibu ini telah lahir ke dunia, mengubah hampir separuh hidup ibu dan ayah. Secara tidak langsung, kami secara rasminya bergelar seorang ibu dan ayah di dunia.

Najla sayang...

Ingat tak betapa kuatnya sayang ibu ini menangis ketika dilahirkan? Ibu terharu dengar tangisan anak ibu yang pertama. Kuat dan sangat mengejutkan kerana bayi sekecil Najla bisa menangis sekuat itu. Waktu itu, ibu berasa lega kerana ibu tahu anak ibu ini sihat walaupun tidak cukup bulan.

Najla sayang...

Ibu minta maaf jika hari pertama sayang di dunia, tidak mendapat sepenuh perhatian ibu di sana. Ibu masih buntu. Masih tak percaya sudah melahirkan seorang anak. Masih belum bersedia. Waktu ibu melihat sayang di inkubator, ibu masih bingung. Ibu masih tak percaya ibu sudah bergelar 'ibu'. Bila ibu pulang, barulah ibu merasa rindu. Ibu menangis saban malam kerana sudah berpisah jasad dengan sayang. Masa tu, barulah keinginan ibu untuk temankan saya di hospital begitu membuak-buak. Sebab itu, ibu sanggup berulang-alik dalam keadaan ibu yang sangat tidak terurus untuk temankan sayang berjam-jam lamanya. Masa tu Najla masih di inkubator lagi.

Najla sayang...

Ingat tak pada hari ke-6 Najla dilahirkan. Hari itu adalah kali pertama ibu dapat memegang Najla. Sebab waktu itu Najla sudah tidak perlu duduk dalam inkubator lagi. Ibu peluk Najla seerat-eratnya, cium pipi Najla berkali-kali, mengagah-agah Najla hinga berkerut-kerut dahi Najla kerana tidur Najla diganggu ibu. Ibu terlalu bahagia sayang waktu itu. Ibu tersangat bahagia hingga hampir semua adik-beradik, ibu kirimkan MMS gambar Najla yang sangat comel itu. Ibu terasa dunia ini cukup indah buat ibu.

Najla sayang...

Setahun sudah berlalu. Ibu macam tak percaya masa berlalu begitu pantas. Segala memori manis bersama Najla sentiasa tersemat rapi dalam minda ibu. Ibu sentiasa memandang gambar Najla di dinding. Ibu terasa seperti Najla begitu dekat dengan ibu hari-hari. Ayah juga begitu. Selalu ayah bilang pada ibu, "Kita dah ada anak kan? Peneman hidup kita di sana nanti..." Kadang-kadang ibu rasa sebak dengan kata-kata ayah. Tapi ibu kena kuat. Ibu dan ayah kena teruskan juga hidup tanpa Najla. Ibu seperti tak percaya ibu masih bertahan lagi sehingga ke hari ini. Syukur kerana Allah SWT masih mengizinkan ibu bertemu dengan Ramadhan Kareem ini sekali lagi. Jika dipandang kembali pada masa lalu, sewaktu ibu terlalu merasa kehilangan sayang, waktu itu, ibu selalu rasa ibu takkan hidup lama lagi. Ibu selalu ingin bersama-sama sayang di sana. Syukurlah hidayah Allah itu segera datang dalam pelbagai cara. Syukurlah Allah SWT sentiasa menunjukkan hikmah-Nya yang tersembunyi selepas ibu kehilangan sayang. Sejujurnya, ibu merasa syukur dengan dugaan kehilangan ini. Walaupun ibu tak dapat menjaga sayang di dunia, tapi ibu dapat merasa nikmat Allah yang lain.  Terlalu banyak hikmah yang Allah beri pada ibu. Sejak ibu kehilangan sayang, ibu sentiasa berpegang pada satu kata-kata, "Ketentuan Allah Adalah Yang Terbaik." Dalam keadaan ibu sedih, gusar, bingung, ibu sentiasa kembali kepada pegangan ibu ini. Ibu yakin, setiap apa yang Allah tentukan itu adalah yang terbaik untuk ibu dan ayah. Kadang-kadang ibu merasa sedih juga bila apa yang ibu hajati tidak dikurniakan. Tapi ibu tahu Allah sentiasa berikan yang terbaik buat ibu. Mungkin sekarang ibu masih sibuk dengan tugas ibu. Ibu masih cuba mengadaptasi dengan tempat baru. Bila ibu sudah betul-betul bersedia, barangkali pada waktu itulah rezeki anak-anak ibu akan kunjung juga. Mungkin sudah tidak dapat ditahan lagi kehadiran mereka. Siapa tahu kan, sayang? Susunan Allah itu cukup indah. Kita tidak mampu persoalkan.

Najla sayang...

Beberapa bulan selepas Najla meninggal, ibu dan ayah telah sempurnakan aqiqah Najla. Tapi kami tak buat kenduri besar-besaran. kami wakilkan pihak Ez Qurban untuk laksanakan aqiqah sayang. Ibu guna duit sumbangan yang sahabat handai dan saudara-mara beri sewaktu Najla meninggal dahulu. Banyak juga ibu dapat. Dalam RM1000 lebih. Cukup untuk 2 ekor kambing. Tapi kerana Najla anak perempuan yang sekadar mencukupi dengan seekor kambing, jadi sebahagian duit sumbangan itu, kami aqiqahkan untuk kakak sepupu Najla, Siti Safiyya Azzahra, anak Cik Leha. Najla dan Safiyya sebaya. Itulah pengubat rindu ibu pada Najla. Alhamdulillah, kedua-dua aqiqah telah disempurnakan di dua buah negara yang penduduknya miskin. Aqiqah Najla di Bangladesh manakala aqiqah Safiyya di Kemboja. Ibu tak kisah di mana tempat aqiqah Najla dilaksanakan. Yang penting, ibu telah sempurnakan hak Najla. Ibu nak Najla tahu, Najla sudah diaqiqahkan. 

Najla sayang...

Semalam ibu dan ayah telah berziarah ke pusara kecil sayang. Najla tahu tak, pokok puding yang ayah tanam sudah besar dan tinggi. Hampir sama tinggi dengan ibu. Ibu asyik bercerita dengan ayah peristiwa sehari sebelum ibu lahirkan sayang. Waktu tu, ibu masih berpuasa. Hinggalah puasa ibu terbatal dengan pemeriksaan VE. Ibu menangis bila tahu serviks ibu sudah terbuka 4 cm. Selepas menjamah sedikit makanan, segera ibu ditolak ke labour room. Ibu tak dapat lupakan wajah ayah yang masih bingung. Ibu tetap takkan lupa macam mana ayah sangat takut dengan kehilangan ibu. Hingga dalam labour room, kami berpelukan erat, menangis semahu-mahunya. Ibu pula masa tu dah tak fikir tentang nyawa ibu. Ibu cuma fikir tentang nyawa Najla sahaja. Ibu sangat berharap Najla selamat dilahirkan. Ibu dan ayah asyik mengimbau peritiwa manis itu berulang kali. Hinggakan tadi malam ayah masih juga tak tidur hingga pukul 2.30 pagi. Ayah kata, dia masih teringat-ingat saat Najla diiqamatkan. Waktu tu, tiba-tiba sahaja Najla berhenti menangis bila dengar suara ayah. Macam-macam lagi cerita kami tentang sayang. Hinggakan sebelum ibu menaip entry ini pun, ayah masih lagi bercerita tentang Najla. Betapa kami sangat rindukan kamu sayang. Walau dalam rindu, kami tetap panjatkan kesyukuran kerana dapat menjaga sayang walaupun untuk seketika. 

Najla sayang...

Tahu tak antara kita banyak persamaan. Selain pangkal nama kita yang bermula dengan huruf  'N', kita punyai  pangkal tarikh kelahiran yang sama. Ibu dilahirkan pada 3 Jun. Najla pula 3 Ogos. Selain itu, kita berdua telah dilahirkan pada waktu yang hampir sama juga iaitu tengah malam. Ibu dilahirkan pada pukul 12.58 pagi, dan Najla pula pada pukul 1.02 pagi. Cuma beza 4 minit je kan. Lagi satu, ibu juga dilahirkan pada bulan Ramadhan. Kalau Najla dilahirkan pada 3 hari puasa iaitu 3 Ramadhan, ibu pula dilahirkan 3 hari sebelum habis puasa, iaitu pada 28 Ramadhan. Dan yang paling penting, kita dilahirkan di hospital yang sama iaitu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Unik kan? Apalagi yang sama? Oh ye, ibu juga pernah tingal di wad A2 selama 5 hari. Kalau Najla kena tinggal di wad A2 dulu kerana tak cukup berat, ibu pula kena tahan kerana terlebih berat. Siap terlebih gula dalam badan lagi. Terpaksalah arwah nenek Najla berulang-alik ke hospital tengok ibu dicucuk-cucuk setiap hari. Dahlah waktu tu raya. Arwah nenek beraya di hospital la gamaknya menemankan ibu yang obes ni. Kasih seorang ibu, waktu raya pun tak dipeduli kerana kasih pada anak yang dicintai. Itulah yang ibu turut lakukan seperti mana arwah nenek dulu, bila ibu menemankan Najla di hospital selama 22 hari. Tak kira penat, sakit, lapar. Semua ibu ketepikan semata-mata untuk Najla sayang.

Najla sayang...

Hari ni ibu baru sahaja tiba dari kampung ayah. Ibu sambut puasa bersama keluarga ayah. Seperti biasa, nenek Najla akan belikan barang-barang dapur untuk kami. Nenek Najla tu memang sangat pemurah dan baik hati. Ada sahaja barang yang akan dibekalkan untuk ibu bawa pulang. Sesampai sahaja di rumah, ibu terus kemaskan semua bahan-bahan kering itu. Ibu juga turut sediakan bahan-bahan untuk masak berbuka seminggu. Ibu blend bawang besar, bawang putih, cili kering, dan cili padi. Kemudian ibu pack dalam bekas berasingan dan ibu tulis guna permanent marker nama setiap bahan. Ibu takut ayah tak tahu apa ada dalam setiap bekas tu. Ibu buat semua ni supaya ibu tak penat nak prepare makanan untuk berbuka dan bersahur nanti. Ibu rasa seronok sangat dapat sediakan makanan berbuka untuk ayah. Tadi ibu masak nasi kismis dan ayam masak kurma. Walaupun tak berapa sedap macam nenek masak, tapi ayah tetap suka. Pak usu Najla pun tambah berkali-kali. Ibu tak suka beli makanan dari bazar. Kalau boleh, ibu nak ayah rasa air tangan ibu juga. Ibu takkan pernah lupakan jasa ayah. Najla tahu tak, tahun lalu, lepas ibu bersalinkan Najla, ayahlah orang yang jaga ibu dalam pantang. Ayahlah orang yang sediakan makanan ibu 5 kali sehari walaupun ayah sedang berpuasa, Ayahlah orang yang sediakan bahan mandi untuk ibu. Ayahlah orang yang pakaikan ibu parem dan bengkung. Semuanya ayah yang buat. Ayah tak pernah mengeluh penat walaupun ayah berpuasa dan kemudian perlu berulang-alik ke hospital pula. Kerana itu, ibu nak balas balik jasa ayah walaupun ibu tahu dalam hal kerja rumah, ayah lebih arif dari ibu. Ibu tetap cuba nak sediakan makanan yang terbaik untuk ayah walaupun ibu tahu ayah lebih hebat memasak dari ibu. Ibu rasa bertuah sekali kerana dikurniakan suami seperti ayah Najla. Ibu takkan sia-siakan hidup ayah Najla.

Najla sayang...

Ibu sudah berjanji pada Allah untuk menjadi seorang isteri yang baik untuk ayah. Ibu juga ingin menjadi muslimah contoh. Ibu masih mencuba. Ibu harap jalan yang ibu pilih ini sentiasa diredhai Allah. Ibu ingin menjadi orang yang baharu. Ibu amat berharap agar ibu terus istiqamah dengan perubahan ini. Terima kasih sayang kerana memberi rasa kecintaan ini. Ibu sedar, segala rasa sayang di dunia ini hanyalah pinjaman dari-Nya. Yang kekal hanyalah cinta pada Dia. Adakalanya ibu rasa sangat takut. Takut akan kehilangan lagi. Ibu pernah merasa kehilangan arwah atok dan nenek. Kemudian ibu kehilangan Najla. Ibu takut akan kehilangan orang lain yang ibu sayang. Terutama ayah. Tapi ayah selalu pesan, cinta ibu pada ayah mestilah kerana Allah. Supaya ibu akan redha bila apa-apa berlaku pada cinta ibu itu. Ibu akan terus cuba. Mencuba segala-galanya kerana Allah semata-mata. Ibu tidak akan berputus asa. Ibu akan cuba untuk jadi yang lebih baik supaya ibu dapat berjumpa sayang nanti di sana.

Akhir kata dari ibu, Selamat Hari Lahir Sayang. Berbahagialah Najla di sana. Insya-Allah kita akan dipertemukan juga. Kasih dan sayang ibu pada Najla takkan berbelah bahagi walaupun kelak ibu akan mencurahkan kasih sayang ibu pada adik-adik Najla. Ibu sayang Najla selamanya. Salam kasih dari ibu dan ayah. 

Saturday, 21 July 2012

Workaholic

Tajuk memberangsangkan?

Si cemerkap ini sudah menjadi workaholic akhir-akhir ini? Boleh percaya ke? Aku pun tak pasti kenapalah aku jadi gila kerja 2-3 minggu ni. Atau pun mungkin sebab aku nak kena kejar balik semua kerja-kerja yang dah tertangguh? Kalau kerana itu memang aku setujulah sangat sebab aku memang suka bertangguh-tangguh buat kerja sampailah tiba-tiba baru aku perasan due date dah dekat. So akibatnya, setiap hari aku tak cukup tido nak kejar dateline! <-- Ambik ko Jah!

Aku dah tak tahu macam mana nak arrange schedule aku. Memang sangat-sangat tak terurus. Ni belum ada anak lagi. Nanti bila dah ada anak, boleh ke aku jadi SuperMak? atau jadi Incredible Hulk? Haha! Tak dapat bayangkan. Tapi jenis aku, bila kena pikul tanggungjawab yang wajib, aku boleh jadi lebih terurus. Sekarang ni tak berapa nak terurus kononnya sebab belum ada anak, so tak apalah tangguh kerja sekali-sekala. Qada' dulu mana-mana tidur yang tak cukup. Nanti bila dah ada anak, nak sikat rambut pun dah tak sempat. So sekarang, sempat-sempatkanlah apa yang patut. Alasan!

Lagi satu yang menjadi kegilaan aku sekarang ialah bila aku dipertanggungjawabkan untuk siapkan blog sekolah sebab kena join Smart School Blog Competition. Korang cubalah tengok blog aku ni, agak-agak berapa bintang korang nak bagi? Ke tak de bintang? Memang sah-sahlah nak join contest ni macam satu benda yang tak logik pada aku sebab actually aku buta blog. Blog yang ada sekarang ni pun aku cuma tahu create new post, edit layout, edit picture header, and tambah gadget sikit-sikit. Yang  lain memang hampeh. 

Tapi dek kerana aku ni seorang penjawat awam yang patuh kepada segala arahan, so aku terima juga tugas tu walaupun aku tahu aku tak delah layak sangat nak buat blog untuk sekolah. Aku cuba juga berkolaborasi dengan cikgu IT sekolah aku. Tapi disebabkan due date penghantaran URL dah semakin hampir (hari ni), so aku pun tak naklah menyusahkan orang lain minta tolong ajar itu ini. Padan muka aku. Sapa suruh bertangguh kerja. 

So, aku cuba juga dengan otak 4 kerat belajar sendiri dari You Tube, and tutorial blogger lain. Part ni memanglah sangat menguji kesabaran dan kecerdikan aku. Lagi-lagi bila vlogger tu lebih banyak membebel daripada ajar apa yang aku nak cari. Sampai kadang-kadang tu aku jerit kat You Tube tu dengan harapan vlogger tu tersedak, "Woi cepatlah tunjuk, cakap banyak pulak!" :D

Seriously aku rasa macam nak muntah belajar cara buat drop down menu, edit picture header guna photoshop, upload gambar guna photobucket, buat link tu, buat link ini. Sampaikan aku terlupa nak mandi semalam sebab sibuk menghadap laptop 24 jam. Mujur sempat buatkan sahur untuk Edy and adik aku. Lepas pastikan diorang sahur, aku terus tidur. Adik aku pelik tengok aku tak sahur. Lepas tu selamba je cakap, "Yelah, orang perempuan mana pernah puasa penuh." Aku jawab balik, "Eh adalah. Orang perempuan mengandung!"

Kul 6 lebih aku terjaga semula. Disebabkan aku tak boleh solat, terus menghadap laptop lagi sampai terlupa nak gosok gigi. (Haha). Aku dah mula nak give up sebab banyak lagi criteria yang diorang nak aku belum buat. Rasa macam nak tarik diri dah. Aku memang tawakal. Sempat lagi makan kuew teaw yang aku buat pagi tadi. (Eh, ko dah gosok gigi belum?). Mak oiii, pedasnye!!! Tengah-tengah datang idea mencurah-curah, sakit perutlah pulak. Lepas pelbagai ujian yang mendatang, akhirnya blog sekolah yang sangat-sangat tak seberapa ni berjaya juga disiapkan dan disubmit kepada pihak penganjur. Nak tengok hasilnya? But, please jangan compare blog ni dengan blog sekolah lain ye. Sebab hasilnya memang tak seberapa. Ampun Puan Pengetua!

Sila klik link ini.

Mungkin pada blogger otai, nak buat blog macam ini kacang goreng je. Tapi untuk amatur macam aku yang masih lagi merangkak-rangkak ni, bila dah siap blog ni satu kebanggaan jugalah sebab nak terkeluar juga biji mata aku buat blog ni sampai pagi. Sampai eye bag aku ni sekali tengok dah macam panda dah. Haha!

Wacaaaa!!!!!

Oklah. Nak restkan mata. Insya-Allah nanti aku update lagi cerita-cerita terbaru. Banyak sebenarnya yang aku nak cerita tentang peristiwa setahun lalu. Macam tak percaya dah setahun dah...

Akhir kata, salam Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini dihayati dan dipertingkatkan keimanan kepada-Nya. Insya-Allah.

Monday, 9 July 2012

Just RM100

Tadi pergi Mydin. Saje nak cari langsir ready made untuk raya nanti. Tak mahal. Murah dan cantik (bagi akulah). Aku ambil 4 set awalnya, satu untuk sliding door, satu untuk master room, satu untuk bilik adik and satu lagi untuk mini office Edy. Then, aku round ke belakang sikit. Tup-tup ternampak satu area yang ada jual buku. Tak pernah pula aku nampak sebelum ni. Bila aku pergi jenguk, semua penulis favourite aku! Aku memang hectic bab-bab buku ini. Sanggup berhabis duit kalau jumpa buku yang berkenan di hati. Lagi-lagi bila tengok harga di Mydin lebih murah dari kedai buku biasa, aku tak fikir panjang. Aku tak tahu bila lagi aku nak ke MPH atau POPULAR semata-mata untuk cari buku. Kebetulan dah jumpa, aku grab je. Bila nak baca? Itu belakang kira. Hihi. Bila dah ambil buku-buku yang berkenan dalam masa kurang 2 minit, tiba-tiba aku rasa duit dalam purse macam tak cukup. Aku takkan keluarkan duit lagi sebab memang sudah budget dalam RM300 sahaja untuk beli langsir-langsir malam ni. So? Haha, aku letak balik 2 langsir favourite. Padahal sebelum tu termimipi-mimpi nak beli langsir tu. Tapi kerana kegilaan aku lebih kepada buku-buku ini, aku korbankan jua :). Total duit lebur untuk buku-buku ini about RM100++. Ok la kan?

My passion

Sunday, 8 July 2012

Persiapan Raya?


Assalammualaikum w.b.t



Dalam tak sedar, Ramadhan bakal menjelma dalam tempoh kurang 2 minggu. Aku pula masih gigih mengganti puasa yang berbaki 9 hari lagi. Banyaknya 9 hari?! Tahun lalu, aku cuma berpuasa 2 hari. Hari ketiga, puasa aku dibatalkan dengan pemeriksaan VE. Jadi, secara keseluruhannya, aku perlu mengganti puasa 28 hari. Tempoh 19 hari yang telah aku ganti itu buat aku rasa 9 hari bukanlah satu tempoh yang lama. Saat-saat akhir yang kritikal dengan kerja yang bertubi-tubi ini aku penuhkan dengan berpuasa hampir setiap hari kecuali weekend. Mungkin aku sempat berehat sehari sebelum 1 Ramadhan menjelma. Harapan dan doa aku, semoga Allah SWT berikan kesihatan yang baik pada aku untuk melunaskan puasa qada' ini.


Percaya atau tak, aku sudah mula membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang kurang 2 bulan. Dua pasang baju kurung sudah siap aku beli. Tidak kurang juga sepasang baju Melayu untuk Edy dan adik lelaki aku. Kami memilih tema purple tahun ini. Insya-Allah, jika punya kelapangan sebelum Ramadhan, aku ingin bawa Edy dan adik lelaki aku membeli sepasang dua lagi baju kemeja atau pun T-shirt beserta seluar dan kasut di Jusco. Insya-Allah, bila semua urusan beli-belah sudah selesai, bulan Ramadhan nanti tidaklah aku memikirkan sangat tentang keperluan raya lagi. Tapi mampukah aku menahan godaan jualan sempena Hari Raya nanti? Haha. Kita tunggu dan lihat.


Mak mertua aku sangat menyokong semangat aku yang berkobar-kobar tahun ni. Tak kurang juga Edy. Aku sudah mula sibuk mencari bekas kuih raya, langsir, dan cadar. Setiap kali weekend, bila aku ikut Edy balik kampung, mesti aku akan meronda kedai-kedai sekitar Bukit Gambir untuk mencuci mata. Masa yang agak panjang aku gunakan sebaiknya untuk menilik satu persatu barang yang sangat murah di sana berbanding Kulai atau pun JB. Tak pernah aku seteliti dan seteruja ini. Mungkin kerana aku ingin meraih kembali suasana Aidilfitri setelah Aidilfitri 2011 mencatat memori duka yang tak mungkin dilupakan.


Jika diimbas kembali peristiwa aku dan Edy mencari baju raya tahun lalu, aku rasa macam nak menangis. Aku ingat lagi, setiap kali masuk ke kedai baju, mesti aku akan keluar semula sambil menangis. Aku akan masuk semula ke kereta sambil melalak. Seingat aku, radio tidak kami pasang. Aku jadi benci dengar lagu-lagu raya. Aku tak ada hati nak menyambut raya. Aku masih terasa kehilangan Najla yang baru beberapa hari. Entah berapa kali percubaan kami untuk membeli baju raya gagal bila aku mula rasa sebak ternampak baju kurung kanak-kanak. Bila sedih, aku ajak Edy balik ke rumah semula. Bila kami keluar lagi, aku akan menziarah kubur Najla dulu. Aku akan menatap sepuas-puasnya kubur Najla yang masih merah. Kegilaan aku waktu itu buat aku rasa nak gali kubur Najla semula dan peluk dia erat-erat. Mujurlah Edy sentiasa mewaraskan aku dan ingatkan aku pada Allah. Akhirnya kami berjaya membeli baju raya sehari sebelum 1 Syawal. Entah macam mana, aku dan Edy tanpa merancang telah mengambil sepasang baju yang sedondon warna, PUTIH! Mungkin kerana hati kami lebih memikirkan Najla yang cuma bersarungkan kain kafan putih buat aku dan Edy turut memilih tema yang sama. Bila kami gantung baju raya kami di bilik, mak mertua aku tergamam. Dengar perlahan rintihannya, “Alahai, kenapalah putih...” Jadi, aku dan Edy membeli sepasang lagi baju raya berwarna coklat gelap untuk meredakan kegusaran mak mertua aku.


Kerana itu, semua ahli keluarga dan rakan-rakan karib aku faham benar dengan keterujaan aku kali ini. Aku ingin mengubat semula luka ini. Aku yakin luka kehilangan ini telah lama sembuh seiring dengan aku mula merasa redha dan syukur dengan pemergian Najla. Aku tidak mahu memandang ke belakang lagi. Apa yang sudah berlaku itu semua adalah tulisan takdir-Nya sedari Luh Mahfudz. Aku ingin menjadi hamba-Nya yang solehah, membahagiakan Edy dan kedua ibu bapanya, menjadi seorang ibu yang kuat, dan menjadi Muslimah contoh kepada Muslimah lain. Insya-Allah. Apa yang berlaku ini pasti ada sejuta hikmah-Nya. Dalam tak sedar, hikmah itu meniti perlahan dan adakalanya drastik dalam hidup aku dan Edy. Walaupun aku sebenarnya sangat-sangat berharap dengan kehadiran pengganti Najla, namun aku perlu redha dengan segala ketentuan-Nya. Ketentuan-Nya sentiasa yang terbaik untuk kami. Cepat atau lambat, rezeki anak itu pasti berkunjung jua. Amin.

Sunday, 1 July 2012

Berputiknya cinta di Madinah (Umrah Part 2)

Assalammualaikum w.b.t
Perjalanan dari Jeddah ke Madinah mengambil masa 6 jam, menyusuri jalan raya yang luas di mana kiri kanan jalan hanyalah gunung-ganang dan padang pasir yang tandus. Sekali sekala akan terlihat kelibat beberapa ekor kambing sedang berteduh di bawah pohon kurma yang rendang. Mata aku susah nak terlelap. Aku terlalu diulit dengan lukisan Allah yang maha cantik itu. Segala-galanya adalah batu-batuan dan pasir. Sepanjang perjalanan, hanya sekali sekala baru ternampak beberapa kedai atau petrol station yang setiap satu berbatu-batu jaraknya. Kehangatan cuaca panas mula terasa hingga ke dalam bas. Dalam tidak sedar, aku terlelap untuk beberapa jam sehinggalah kami memasuki kota Madinah.


Pemandangan dari dalam bas

Dalam keadaan masih mengantuk, aku terjaga bila mutawif kami mengumumkan bahawa kami bakal memasuki tanah suci Madinah. Aku terkejut bila nampak bangunan canggih penuh kiri kanan. Dari sebuah lembah yang tandus, tiba-tiba wujud pembangunan yang begitu pesat buat aku rasa terkagum. Bila menyusuri bangunan-bangunan hotel, tiba-tiba aku ternampak payung masjid Nabawi. Dari celah-celah bangunan, aku dapat lihat keindahan Nabawi dari dalam bas. Aku rasa begitu teruja. Walau belum jejakkan lagi kaki ke sana, aku sudah nampak keindahannya dari jauh. Aku seperti mahu menangis. Sejak di Jeddah, aku masih belum percaya yang aku sudah berada di rantau orang. Bila sahaja terlihat Nabawi, baru aku percaya. Ye, aku sudah di Kota Madinah. Ya Allah, semalamnya aku masih lagi di rumah menanda kertas soalan. Hari ini aku sudah berada di kota kecintaan Rasulullah SAW. Subhanallah!




Kami terus check in di Hotel Sofraa al Huda. Waktu tu lebih kurang pukul 6 petang kalau ikut waktu di Madinah. Kalau di Malaysia sudah pukul 11 malam. Aku dan Kak Una sebilik dan kami juga mendapat 2 rakan sebilik yang lain; Kak Su dan anak perempuannya, Sabiha atau aku panggil Biha sahaja. Tah macam mana, biras Kak Su pun sebilik dengan kami. Tapi itu tak menjadi satu masalah besar sebab kami berlima seperti satu keluarga. Kami sangat akrab dan mesra sehingga ke hari ini. Hari pertama di Madinah aku habiskan dengan tidur sahaja kerana tidak boleh solat sampai makan malam pun aku terbabas.




Esoknya aku terjaga pukul 2.30 pagi. Aku terus telefon Kak Mahari, isteri mutawif kami merangkap ex-schoolmate aku dulu. Aku yakin aku telah suci hari tu. Aku minta Kak Mahari tunggu aku untuk ke Masjid Nabawi bagi menunaikan solat subuh. Aku tinggalkan handphone dan kamera di bilik kerana aku dengar, di masjid Nabawi kawalan tersangat ketat.

Jarak hotel dan masjid cuma 50 meter. Hati aku berdebar. Rasa tak sabar nak melangkah ke sana. Bila sahaja aku melihat ribuan tiang di Nabawi, aku terpana. Bukannya aku tak pernah melihat bangunan secantik itu, tapi keindahan Nabawi memang sukar digambar. Barangkali aku sudah jatuh cinta pada Nabawi!





Waktu fajr di sana masuk pada pukul 4.12 pagi. Walaupun kami tiba awal, namun masjid sudah dipenuhi ribuan manusia. Aku terus menyusul Kak Mahari menuju ke ruang solat wanita. Setibanya di pintu, kelihatan beberapa wanita arab yang lengkap berpakaian abaya memeriksa setiap beg jemaah wanita. Setiap beg diperiksa satu persatu. Sesiapa yang membawa handphone dan kamera akan dirampas atau dilarang dari memasuki masjid. Uniknya mereka berkomunikasi dalam bahasa Indonesia. Bila sahaja jemaah yang bertelekung putih meluru masuk tanpa melalui pemeriksaan, pasti pegawai wanita arab itu akan menjerit, "Sabar ibu! Sabar ibu! Sini ibu, sini!". Aku sekadar menghormati peraturan yang diberikan. Tidak mahu mengambil risiko walau aku tahu ada cara untuk melepasi sekatan itu dengan membawa handphone atau kamera. Bagaimana? Anda tahu jawapannya :).

Bila sahaja sudah memasuki Nabawi, kami terus menuju ke deretan tong air zamzam. Aku terus mengambil cawan plastik pakai buang yang tersedia dan minum. Subhanallah, sedapnya! Hakikat rasa air zamzam yang sebenar memang sedap. Lebih sedap dari rasa susu segar. Barangkali kerana di tanah suci, keenakan rasanya terpelihara. Aku segera menunaikan solat tahiyatul masjid. Acapkali aku terlupa untuk segera bertahiyatul apabila aku terus sahaja melabuhkan punggung. Banyak hal ibadat sunat aku pelajari dari Kak Mahari terutama solat sunat mua'kad yang jarang sekali aku amalkan. Tidak lupa juga solat sunat jenazah yang kami laksanakan setiap waktu di sana kerana pasti ada sahaja jenazah yang akan disolatkan di masjid Nabawi.

Sabda Rasulullah SAW,

"Barangsiapa yang mengerjakan solat jenazah akan mendapat pahala sebesar bukit Uhud dan sesiapa yang mngiringi jenazah akan mendapat pahala sebesar dua bukit Uhud." 

Sementara menanti subuh, buat pertama kalinya aku bertahajud di masjid yang telah Allah SWT janjikan ganjaran pahala setiap ibadat sebanyak 1000 darjat. Terasa betapa hina dan rendahnya diri mengenangkan aku hamba yang banyak dosa. Dan terasa sayu bila dapat menunaikan subuh yang pertama di masjid Nabawi secara berjemaah.

Usai solat subuh, kami bergegas pulang. Bila sahaja melewati pintu keluar masjid, dari jauh aku sudah melihat betapa ribuan manusia berkerumun di luar. Aku kaget. Terus aku tanya Kak Mahari. Spontan Kak Mahari menjawab, "Jom cuci mata". Rupa-rupanya penjaja jalanan sedang melelong jubah, selendang, tudung, kopiah dan bermacam lagi. Mungkin kerana aku terlalu berhati-hati, aku jadi sangsi untuk membeli dengan penjaja jalanan yang rata-rata adalah warga Afrika. Kerana setahu aku, mereka tiada lesen dan bila sahaja polis Madinah meronda, mereka akan bertempiaran lari. Tapi menurut Kak Mahari, kalau nak membeli dengan mereka, pastikan sedia wang kecil secukupnya sebab ditakuti kalau ada polis, mereka terus lari dengan duit-duit kita sekali. Ambil barang dulu baru bayar duit. Begitulah caranya kalau mahu selamat. Selepas aku tahu caranya, aku ada juga beli selendang pashmina, kopiah, jubah lelaki, stoking, dan sejadah dari mereka. Aku tidak membeli-belah sangat di Madinah walau sudah diwar-war Kota Madinah sebagai syurga membeli-belah. Mungkin kerana aku sendiri di sana, tiada Edy. Jadi bekalan duit perlu diguna sebaiknya. Apa yang aku beli kebanyakkannya adalah sebagai hadiah untuk keluarga tercinta.


Purdah yang aku pakai untuk mengelakkan debu halus dan cuaca panas. Harga purdah ini ialah SR5. Di belakang aku adalah sebahagian penjaja jalanan. Gambar ini diambil lebih kurang pukul 11 pagi waktu Madinah.

Hari kedua di Madinah, kami telah menziarahi 3 buah masjid iaitu Masjid Quba', Masjid Qiblatain, dan Masjid Tujuh. Masjid pertama yang kami kunjungi ialah Masjid Quba'.

Sabda Rasulullah SAW,

"Barangsiapa yang berwudhuk dari rumahnya, kemudian mengerjakan solat sunat dua rakaat di Masjid Quba', maka dia beroleh pahala satu umrah."

Maka, sebelum melakukan ziarah, kami telah berwudhuk sedari hotel untuk mendapatkan fadhilat yang dijanjikan itu. Insya-Allah.

Selepas itu, tanpa berlengah kami terus mengunjungi Masjid Qiblatain. Qiblatain bermaksud dua kiblat. Pada awal permulaan Islam, Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis adalah kiblat bagi orang Islam. Orang-orang Yahudi sangat gembira dengan tindakan Rasulullah SAW dan orang Islam berkiblatkan Baitulmaqdis. Mereka akan menyindir baginda dengan berkata, "Muhammad menentang ajaran kita, tapi solat ikut kiblat kita." Namun jauh di sudut hati baginda sangat berharap agar suatu hari nanti Allah akan menurunkan perintah supaya arah kiblat ditukar ke Kaabah. Akhirnya selepas 16 bulan, Allah menurunkan ayat 144 surah Al-Baqarah yang memerintahkan supaya arah kiblat ditukarkan ke Makkah. Salah seorang sahabat yang menjadi saksi kepada peristiwa bersejarah ini adalah Barra Bin Aziz r.a. Kejadian itu berlaku sewaktu Rasulullah dan para sahabat sedang bersolat asar. Setelah turun ayat tersebut, beliau menghentikan sementara solatnya kemudian berpusing 180 darjah dan meneruskan solat dengan memindahkan kiblat ke arah kaabah. Makmum yang lain turut mengikut tingkah laku Rasulullah SAW berpindah arah kiblat.

Seterusnya kami telah berkunjung ke bukit Uhud di mana satu peristiwa penting dalam sejarah Islam telah berlaku. Iaitu peperangan dahsyat di antara pasukan Islam yang dipimpin Rasulullah SAW  dengan pasukan kafir Quraisy Makkah yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Kawasan di hadapan bukit Uhud itu telah menyaksikan pasukan Islam yang hanya berjumlah 700 orang itu bertempur habis-habisan dengan pasukan kafir Quraisy yang berjumlah 3000 orang. Seramai 70 orang pasukan Islam telah gugur syahid. Antaranya, Hamzah bin Abdul Muttalib, bapa saudara Rasulullah.

Sabda Rasulullah SAW,

"Jabal Uhud ini adalah satu bukit daripada bukit-bukit syurga."

Aku seperti tak percaya aku sudah berada di bekas tapak peperangan itu. Kami terus mendoakan 70 para syuhada di kawasan perkuburan Uhud.


Kawasan perkuburan Uhud.
Di belakang adalah Jabal Uhud (Bukit Uhud).


Selepas itu, kami sekadar melewati Masjid Tujuh. Dahulunya masjid tujuh ini merupakan tujuh pusat kawalan tentera Islam sewaktu perang Ahzab. Sewaktu tentera Islam berkawal, mereka bersolat di tempat kawalan masing-masing.

Bas yang membawa kami kemudiannya terus ke ladang kurma. Pada awalnya aku banyak menghabiskan duit berbelanja di sini. Tapi rupanya, ladang kurma ini merupakan tempat jualan yang agak mahal berbanding Pasar Kurma yang berada di utara Masjid Nabawi. Jadi sesiapa yang ingin memborong kurma, usahlah beli di ladang kurma. Pergilah ke Pasar Kurma kerana di situ harganya 2 kali lebih murah berbanding ladang kurma.


Di ladang kurma

Paling aku tak boleh lupakan ialah pengalaman di Raudhah. Raudhah merupakan tempat di mana Rasulullah SAW dan dua sahabat baginda Sayidina Abu Bakar r.a. dan Sayidina Umar r.a. dimakamkan. 


Raudhah
Source: Google
Sabda Rasulullah SAW, 

"Ruang di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga." 
Tidak hairanlah jika umat Islam dari segala pelusuk dunia sanggup berebut-rebut untuk beribadah di Raudhah. Tidak ketinggalan aku yang masih tidak dapat membayangkan keadaan Raudhah pada awalnya. Kali pertama aku ingin ke Raudhah, adalah pada hari ketiga di Madinah iaitu selepas waktu subuh, lebih kurang pukul 7 pagi. Selepas bersarapan di hotel dan berwudhuk, kami mengunjungi semula Masjid Nabawi. Jemaah wanita dikumpulkan mengikut kelompok bahasa yang hampir sama; Arab, Indonesia, Pakistan, India. Kami jemaah Malaysia dikumpulkan bersama-sama warga Indonesia, Singapura, dan Brunei. Sementara menanti giliran, seorang ustazah Indonesia memberikan tazkirah ringkas tentang Raudhah. Setelah beberapa lama menunggu dan mengikut giliran, kelompok jemaah mula bergerak ke Raudhah. Sampai sahaja di ruang hadapan Raudhah, aku jadi terpaku dengan gelagat jemaah kelompok lain yang begitu riuh sewaktu melangkaui ruang Raudhah. Keadaan seolah-olah jadi tak terkawal. Kelompok jemaah kami adalah giliran ketiga yang memasuki ruang Raudhah. Waktu itu baru aku faham kenapa suasana begitu riuh sebentar tadi. Ruang Raudhah yang tidak terlalu besar itu menjadi rebutan ribuan jemaah. Ruang jemaah wanita telah dipisahkan dari jemaah lelaki menjadikan ruang kawasan Raudhah menjadi semakin kecil. Sangat mendukacitakan apabila keharmonian dan peradaban di antara jemaah yang semakin hilang pertimbangan mencemarkan kesucian Raudhah. Kelompok jemaah sebelumnya yang tidak mahu berganjak keluar menjadikan ruang di Raudhah semakin sesak. Jemaah berasak-asak menolak di antara satu sama lain. Aku maju ke hadapan tanpa berjalan sendiri kerana dari awal aku sudah diasak. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah berdoa pada Allah SWT agar diberi kesempatann dan ruang untuk beribadah. Sambil itu, aku sempat membantu jemaah Malaysia yang hampir terjatuh ditolak dan nyaris dipijak oleh jemaah lain. Selepas beberapa ketika, tiba-tiba aku sudah berada di barisan hadapan Raudhah, di mana ruang itu benar-benar berada di antara makam Rasulullah SAW dan mimbarnya. Aku segera menunaikan solat hajat 2 rakaat. Solat dan doaku tidak lama kerana ramai yang sudah menunggu di belakang. Aku segera keluar usai solat dan mencari ruang solat di bawah mimbar nabi pula. Di ruang inilah baru aku dapat menunaikan solat sunat dengan tenang. Masa di Raudhah aku manfaatkan sepenuhnya dengan berdoa dan bersolat sunat. Tidak lupa juga aku mengirimkan salam kepada Rasulullah SAW dan para sahabat dari rakan-rakan dan ahli keluarga. Kebanyakan jemaah terus berteleku di ruang lain yang ada sehinggalah semua jemaah diarahkan keluar. Aku berpeluang melaksanakan ibadat di Raudhah sebanyak dua kali. Ada jemaah yang mendapat lebih dari itu. Semoga Allah SWT memakbulkan doa-doa kami dan mengampunkan segala dosa kami.

Banyak perkara yang baru bagi aku sewaktu di Raudhah, antaranya aku sempat memerhatikan sekelompok jemaah yang begitu taksub bergantungan di pagar makam Rasulullah SAW. Sambil itu, ada yang meraung-raung di makam baginda. Ada juga yang nekad menulis nama di tabir putih keliling Raudhah dengan harapan mereka dapat berkunjung semula ke situ. Apa yang mereka lakukan itu semua hanyalah bida'ah. Menurut mutawif kami, kerajaan Arab Saudi sebolehnya cuba menghapuskan kesan-kesan sejarah terdahulu kerana masyarakat Arab terlalu taksub dan mempercayai tempat suci tersebut akan membawa keberkatan dalam hidup mereka jika dipuja atau diambil sebahagian tanah dan pasirnya. Banyak monumen sejarah yang telah diganti dengan bangunan baharu. Hinggakan pagar tinggi terpaksa dipasang di makam Rasulullah SAW dan sahabat baginda untuk mengelakkan perkara-perkara sebegini.

Hari terakhir di Madinah merupakan saat yang paling sayu buat aku. Sejak semalamnya aku sudah siap mengemas luggage bag kerana ingin menumpukan sepenuhnya pada ibadat sebelum meninggalkan Nabawi. Sewaktu berkunjung ke Raudhah, aku menyampaikan salam kepada Rasulullah dan sahabat baginda. Aku juga turut berdoa agar diberi kesempatan lain untuk datang lagi ke Madinah sebagai tetamu Allah SWT. Kami terus bersiap-siap dan mandi sunat ihram sebelum meninggalkan Madinah. Luggagge bag telah diturunkan oleh pekerja hotel. Kami sempat merakamkan gambar bersama kumpulan jemaah kami sebelum meninggalkan hotel. Banyak keindahan dan kecantikan Kota Madinah yang masih tersemat segar dalam memori aku sehingga kini. Bila sahaja bas berlalu pergi, tiba-tiba sahaja air mata aku keluar laju sewaktu melihat masjid Nabawi dari jauh. Entah kenapa, aku bercita-cita tinggi untuk berkunjung lagi dan mati di sana. Kerana telah disarankan oleh Rasulullah SAW agar setiap umat baginda yang berkunjung ke sana supaya bercita-cita untuk mati di Madinah.

Sabda Rasulullah SAW,

"Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat di akhirat untuk mereka yang mati di Madinah."

Destinasi perjalanan kami seterusnya adalah menuju ke Bir 'Ali bagi berniat ihram di sana sebelum memasuki Kota Mekah kerana salah satu syarat wajib sebelum memasuki Makkah Al-Mukarramah adalah dalam keadaan berihram. Jarak Bir 'Ali dari Kota Madinah lebih kurang 20 minit. Terdapat sebuah masjid yang besar untuk para jemaah menunaikan solat sunat ihram sebelum berniat ihram. Apabila telah berniat ihram, maka terjatuhlah ke atas kami 13 perkara yang haram dilakukan sehinggalah kami selesai bertahallul nanti. Sebelum menyambung perjalanan, kesemua jemaah wanita bersalaman memohon maaf atas segala kesilapan yang barangkali tidak disedari selama kami berkenalan sejak 4 hari lalu. Perjalanan ke Kota Mekah mengambil masa lebih kuran 6 jam lamanya. Kami terus bertalbiah sehinggalah masing-masing terlelap kerana keletihan. Aku terus dalam debaran untuk menunaikan umrah wajib yang pertama dalam hidup ini. Bayangan Kaabah terus datang bertalu-talu. Dalam waktu aku berfikir-fikir itu, tanpa sedar aku juga hanyut dalam mimpi.

Insya-Allah sampai sini dahulu catatan pengalaman perjalanan aku di Madinah. Banyak sangat yang ingin diceritakan tapi rasanya biarlah aku tutup di sini dahulu. Insya-Allah akan ada entry berikutnya tentang pengalaman menunaikan ibadat dan umrah di Makkah al-Mukarramah pula. Semoga perjalanan penulisan ini diberkati-Nya. Minta maaf atas segala kekhilafan ilmu dalam catatan ini. Aku tinggalkan entry ini dengan beberapa lagi gambar di Madinah.


Di dataran berhadapan Masjid Nabawi.

Kak Una, Kak Mahari dan aku.



Solat jamak zohor dan asar terakhir sebelum meninggalkan Madinah.
Di belakang ialah pintu masuk ruang solat wanita di masjid Nabawi.


 Sebahagian kumpulan jemaah kami di lobby hotel.


Click! Click! Click!