Monday, 23 July 2012

Andai Najla bisa mendengar...

Assalammualaikum Najla, puteri hati ibu dan ayah yang dirindui selalu... Tengah buat apalah agaknya bidadari ibu ini di sana? Barangkali sedang leka bermain-main dengan para wildan yang lain.

Najla sayang...

Ingat tak tentang peristiwa setahun lalu? Peristiwa 3 Ramadhan 1432H? Tarikh 3 Ramadhan ini sangat bermakna buat ibu dan ayah. Segala-galanya tentang Najla. Tentu sekali tarikh 3 Ramadhan ini tidak mungkin ibu lupakan kerana sayang ibu ini telah lahir ke dunia, mengubah hampir separuh hidup ibu dan ayah. Secara tidak langsung, kami secara rasminya bergelar seorang ibu dan ayah di dunia.

Najla sayang...

Ingat tak betapa kuatnya sayang ibu ini menangis ketika dilahirkan? Ibu terharu dengar tangisan anak ibu yang pertama. Kuat dan sangat mengejutkan kerana bayi sekecil Najla bisa menangis sekuat itu. Waktu itu, ibu berasa lega kerana ibu tahu anak ibu ini sihat walaupun tidak cukup bulan.

Najla sayang...

Ibu minta maaf jika hari pertama sayang di dunia, tidak mendapat sepenuh perhatian ibu di sana. Ibu masih buntu. Masih tak percaya sudah melahirkan seorang anak. Masih belum bersedia. Waktu ibu melihat sayang di inkubator, ibu masih bingung. Ibu masih tak percaya ibu sudah bergelar 'ibu'. Bila ibu pulang, barulah ibu merasa rindu. Ibu menangis saban malam kerana sudah berpisah jasad dengan sayang. Masa tu, barulah keinginan ibu untuk temankan saya di hospital begitu membuak-buak. Sebab itu, ibu sanggup berulang-alik dalam keadaan ibu yang sangat tidak terurus untuk temankan sayang berjam-jam lamanya. Masa tu Najla masih di inkubator lagi.

Najla sayang...

Ingat tak pada hari ke-6 Najla dilahirkan. Hari itu adalah kali pertama ibu dapat memegang Najla. Sebab waktu itu Najla sudah tidak perlu duduk dalam inkubator lagi. Ibu peluk Najla seerat-eratnya, cium pipi Najla berkali-kali, mengagah-agah Najla hinga berkerut-kerut dahi Najla kerana tidur Najla diganggu ibu. Ibu terlalu bahagia sayang waktu itu. Ibu tersangat bahagia hingga hampir semua adik-beradik, ibu kirimkan MMS gambar Najla yang sangat comel itu. Ibu terasa dunia ini cukup indah buat ibu.

Najla sayang...

Setahun sudah berlalu. Ibu macam tak percaya masa berlalu begitu pantas. Segala memori manis bersama Najla sentiasa tersemat rapi dalam minda ibu. Ibu sentiasa memandang gambar Najla di dinding. Ibu terasa seperti Najla begitu dekat dengan ibu hari-hari. Ayah juga begitu. Selalu ayah bilang pada ibu, "Kita dah ada anak kan? Peneman hidup kita di sana nanti..." Kadang-kadang ibu rasa sebak dengan kata-kata ayah. Tapi ibu kena kuat. Ibu dan ayah kena teruskan juga hidup tanpa Najla. Ibu seperti tak percaya ibu masih bertahan lagi sehingga ke hari ini. Syukur kerana Allah SWT masih mengizinkan ibu bertemu dengan Ramadhan Kareem ini sekali lagi. Jika dipandang kembali pada masa lalu, sewaktu ibu terlalu merasa kehilangan sayang, waktu itu, ibu selalu rasa ibu takkan hidup lama lagi. Ibu selalu ingin bersama-sama sayang di sana. Syukurlah hidayah Allah itu segera datang dalam pelbagai cara. Syukurlah Allah SWT sentiasa menunjukkan hikmah-Nya yang tersembunyi selepas ibu kehilangan sayang. Sejujurnya, ibu merasa syukur dengan dugaan kehilangan ini. Walaupun ibu tak dapat menjaga sayang di dunia, tapi ibu dapat merasa nikmat Allah yang lain.  Terlalu banyak hikmah yang Allah beri pada ibu. Sejak ibu kehilangan sayang, ibu sentiasa berpegang pada satu kata-kata, "Ketentuan Allah Adalah Yang Terbaik." Dalam keadaan ibu sedih, gusar, bingung, ibu sentiasa kembali kepada pegangan ibu ini. Ibu yakin, setiap apa yang Allah tentukan itu adalah yang terbaik untuk ibu dan ayah. Kadang-kadang ibu merasa sedih juga bila apa yang ibu hajati tidak dikurniakan. Tapi ibu tahu Allah sentiasa berikan yang terbaik buat ibu. Mungkin sekarang ibu masih sibuk dengan tugas ibu. Ibu masih cuba mengadaptasi dengan tempat baru. Bila ibu sudah betul-betul bersedia, barangkali pada waktu itulah rezeki anak-anak ibu akan kunjung juga. Mungkin sudah tidak dapat ditahan lagi kehadiran mereka. Siapa tahu kan, sayang? Susunan Allah itu cukup indah. Kita tidak mampu persoalkan.

Najla sayang...

Beberapa bulan selepas Najla meninggal, ibu dan ayah telah sempurnakan aqiqah Najla. Tapi kami tak buat kenduri besar-besaran. kami wakilkan pihak Ez Qurban untuk laksanakan aqiqah sayang. Ibu guna duit sumbangan yang sahabat handai dan saudara-mara beri sewaktu Najla meninggal dahulu. Banyak juga ibu dapat. Dalam RM1000 lebih. Cukup untuk 2 ekor kambing. Tapi kerana Najla anak perempuan yang sekadar mencukupi dengan seekor kambing, jadi sebahagian duit sumbangan itu, kami aqiqahkan untuk kakak sepupu Najla, Siti Safiyya Azzahra, anak Cik Leha. Najla dan Safiyya sebaya. Itulah pengubat rindu ibu pada Najla. Alhamdulillah, kedua-dua aqiqah telah disempurnakan di dua buah negara yang penduduknya miskin. Aqiqah Najla di Bangladesh manakala aqiqah Safiyya di Kemboja. Ibu tak kisah di mana tempat aqiqah Najla dilaksanakan. Yang penting, ibu telah sempurnakan hak Najla. Ibu nak Najla tahu, Najla sudah diaqiqahkan. 

Najla sayang...

Semalam ibu dan ayah telah berziarah ke pusara kecil sayang. Najla tahu tak, pokok puding yang ayah tanam sudah besar dan tinggi. Hampir sama tinggi dengan ibu. Ibu asyik bercerita dengan ayah peristiwa sehari sebelum ibu lahirkan sayang. Waktu tu, ibu masih berpuasa. Hinggalah puasa ibu terbatal dengan pemeriksaan VE. Ibu menangis bila tahu serviks ibu sudah terbuka 4 cm. Selepas menjamah sedikit makanan, segera ibu ditolak ke labour room. Ibu tak dapat lupakan wajah ayah yang masih bingung. Ibu tetap takkan lupa macam mana ayah sangat takut dengan kehilangan ibu. Hingga dalam labour room, kami berpelukan erat, menangis semahu-mahunya. Ibu pula masa tu dah tak fikir tentang nyawa ibu. Ibu cuma fikir tentang nyawa Najla sahaja. Ibu sangat berharap Najla selamat dilahirkan. Ibu dan ayah asyik mengimbau peritiwa manis itu berulang kali. Hinggakan tadi malam ayah masih juga tak tidur hingga pukul 2.30 pagi. Ayah kata, dia masih teringat-ingat saat Najla diiqamatkan. Waktu tu, tiba-tiba sahaja Najla berhenti menangis bila dengar suara ayah. Macam-macam lagi cerita kami tentang sayang. Hinggakan sebelum ibu menaip entry ini pun, ayah masih lagi bercerita tentang Najla. Betapa kami sangat rindukan kamu sayang. Walau dalam rindu, kami tetap panjatkan kesyukuran kerana dapat menjaga sayang walaupun untuk seketika. 

Najla sayang...

Tahu tak antara kita banyak persamaan. Selain pangkal nama kita yang bermula dengan huruf  'N', kita punyai  pangkal tarikh kelahiran yang sama. Ibu dilahirkan pada 3 Jun. Najla pula 3 Ogos. Selain itu, kita berdua telah dilahirkan pada waktu yang hampir sama juga iaitu tengah malam. Ibu dilahirkan pada pukul 12.58 pagi, dan Najla pula pada pukul 1.02 pagi. Cuma beza 4 minit je kan. Lagi satu, ibu juga dilahirkan pada bulan Ramadhan. Kalau Najla dilahirkan pada 3 hari puasa iaitu 3 Ramadhan, ibu pula dilahirkan 3 hari sebelum habis puasa, iaitu pada 28 Ramadhan. Dan yang paling penting, kita dilahirkan di hospital yang sama iaitu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Unik kan? Apalagi yang sama? Oh ye, ibu juga pernah tingal di wad A2 selama 5 hari. Kalau Najla kena tinggal di wad A2 dulu kerana tak cukup berat, ibu pula kena tahan kerana terlebih berat. Siap terlebih gula dalam badan lagi. Terpaksalah arwah nenek Najla berulang-alik ke hospital tengok ibu dicucuk-cucuk setiap hari. Dahlah waktu tu raya. Arwah nenek beraya di hospital la gamaknya menemankan ibu yang obes ni. Kasih seorang ibu, waktu raya pun tak dipeduli kerana kasih pada anak yang dicintai. Itulah yang ibu turut lakukan seperti mana arwah nenek dulu, bila ibu menemankan Najla di hospital selama 22 hari. Tak kira penat, sakit, lapar. Semua ibu ketepikan semata-mata untuk Najla sayang.

Najla sayang...

Hari ni ibu baru sahaja tiba dari kampung ayah. Ibu sambut puasa bersama keluarga ayah. Seperti biasa, nenek Najla akan belikan barang-barang dapur untuk kami. Nenek Najla tu memang sangat pemurah dan baik hati. Ada sahaja barang yang akan dibekalkan untuk ibu bawa pulang. Sesampai sahaja di rumah, ibu terus kemaskan semua bahan-bahan kering itu. Ibu juga turut sediakan bahan-bahan untuk masak berbuka seminggu. Ibu blend bawang besar, bawang putih, cili kering, dan cili padi. Kemudian ibu pack dalam bekas berasingan dan ibu tulis guna permanent marker nama setiap bahan. Ibu takut ayah tak tahu apa ada dalam setiap bekas tu. Ibu buat semua ni supaya ibu tak penat nak prepare makanan untuk berbuka dan bersahur nanti. Ibu rasa seronok sangat dapat sediakan makanan berbuka untuk ayah. Tadi ibu masak nasi kismis dan ayam masak kurma. Walaupun tak berapa sedap macam nenek masak, tapi ayah tetap suka. Pak usu Najla pun tambah berkali-kali. Ibu tak suka beli makanan dari bazar. Kalau boleh, ibu nak ayah rasa air tangan ibu juga. Ibu takkan pernah lupakan jasa ayah. Najla tahu tak, tahun lalu, lepas ibu bersalinkan Najla, ayahlah orang yang jaga ibu dalam pantang. Ayahlah orang yang sediakan makanan ibu 5 kali sehari walaupun ayah sedang berpuasa, Ayahlah orang yang sediakan bahan mandi untuk ibu. Ayahlah orang yang pakaikan ibu parem dan bengkung. Semuanya ayah yang buat. Ayah tak pernah mengeluh penat walaupun ayah berpuasa dan kemudian perlu berulang-alik ke hospital pula. Kerana itu, ibu nak balas balik jasa ayah walaupun ibu tahu dalam hal kerja rumah, ayah lebih arif dari ibu. Ibu tetap cuba nak sediakan makanan yang terbaik untuk ayah walaupun ibu tahu ayah lebih hebat memasak dari ibu. Ibu rasa bertuah sekali kerana dikurniakan suami seperti ayah Najla. Ibu takkan sia-siakan hidup ayah Najla.

Najla sayang...

Ibu sudah berjanji pada Allah untuk menjadi seorang isteri yang baik untuk ayah. Ibu juga ingin menjadi muslimah contoh. Ibu masih mencuba. Ibu harap jalan yang ibu pilih ini sentiasa diredhai Allah. Ibu ingin menjadi orang yang baharu. Ibu amat berharap agar ibu terus istiqamah dengan perubahan ini. Terima kasih sayang kerana memberi rasa kecintaan ini. Ibu sedar, segala rasa sayang di dunia ini hanyalah pinjaman dari-Nya. Yang kekal hanyalah cinta pada Dia. Adakalanya ibu rasa sangat takut. Takut akan kehilangan lagi. Ibu pernah merasa kehilangan arwah atok dan nenek. Kemudian ibu kehilangan Najla. Ibu takut akan kehilangan orang lain yang ibu sayang. Terutama ayah. Tapi ayah selalu pesan, cinta ibu pada ayah mestilah kerana Allah. Supaya ibu akan redha bila apa-apa berlaku pada cinta ibu itu. Ibu akan terus cuba. Mencuba segala-galanya kerana Allah semata-mata. Ibu tidak akan berputus asa. Ibu akan cuba untuk jadi yang lebih baik supaya ibu dapat berjumpa sayang nanti di sana.

Akhir kata dari ibu, Selamat Hari Lahir Sayang. Berbahagialah Najla di sana. Insya-Allah kita akan dipertemukan juga. Kasih dan sayang ibu pada Najla takkan berbelah bahagi walaupun kelak ibu akan mencurahkan kasih sayang ibu pada adik-adik Najla. Ibu sayang Najla selamanya. Salam kasih dari ibu dan ayah. 

8 comments:

  1. Ummi, it was so sweet. Sebak saya baca. InsyaAllah, Najla akan sentiasa berbahagia di sana. InsyaAllah ummi.. Ummi beruntung sebab ummi masih ada husband. yang sentiasa bersama ummi susah dan senang. Hargai lah dia. InsyaAllah, lepas ni rezeki ummi untuk memegang status 'ibu' sekali lagi. Najla pasti gembira dengan kehadiran adik-adiknya. :)
    *hugs*

    ReplyDelete
  2. Thanks my dear. Kenapalah setiap kali baca comment2 fa mesti saya rasa terharu. RasA macam disayangi pula. Ececheh. Syukur saya punya husband sebegitu. Saya mengharapkan keredhaan dalam hubungan ini. Takut sekali sikap saya sehari2 membosankan dia. Mudah-mudahan, dengan hadirnya pengganti Najla, dapat melengkapkan hidup kami nanti. Aminnnn

    ReplyDelete
  3. Amin.......terharu ayah bace..t.kasih ibu. Tahniah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih juga atas tunjuk ajar dan kesabaran ayah pada ibu selama ni :).

      Kasihmu hingga ke syurga. InsyaAllah :)

      Delete
  4. Al fatihah untuk Najla..Mummy..dengan kehadiran bulan yang mulia ini, insyaallah ada berita gembira untuk mummy..Mummy antara golongan yang diuji kerna mummy mampu menghadapinya.Moga terus kuat ye..

    ReplyDelete
  5. Amin ya rabbal a'lamin. Mudah2an makbulllah doa lin. InsyaAllah lin. Bila sudah ada rezeki, akan ada juga rezeki anak buat saya. Memang tak sabar rasanya nak tunggu saat tu. Tq again lin :)

    ReplyDelete
  6. nak nangis ida baca post ummi nie....Insyaallah arwah najla mesti sentiasa tau apa yg ummi dia rasa...dia pun tau betapa sayangnya ummi dan ayah pd dia....dunia nie hanya persinggahan....nanti di sana kita akan kembali bersatu semula...hubungan antara anak dan ibu takkan pernah putus....takpe ummi.... Najla kan ada abg aiman kat Sana tue....agak2 depa tgh buat apa yer...:)

    ReplyDelete
  7. Thanks ida. Mujur ada abang aiman kat sana. Agaknya abang aiman tengah berkenal2an dengan najla. Mesti serok mereka semua bermain. Alangkah indahnya bila mengenangkan anak-anak kita adalah ahli syurga.. Tak ada apa yang perlu mereka takut :)

    ReplyDelete

Click! Click! Click!