Monday, 27 August 2012

Sesudah Tiga Syawal

Bismillahirrahmanirahim
 

Alhamdulillah, sudah tiga Syawal aku dan Edy meraikannya sebagai suami isteri. Genap setahun juga puteri kesayangan kami, Najla Batrisya meninggalkan kami. Apa yang berlaku telah memberi kami sejuta hikmah, membuka mata aku seluasnya, dan mengajar aku erti siapa kawan dan lawan. Syukur Allah SWT telah memberi aku peluang berada di samping hamba-hambaNya yang diredhai. Aku sekadar memohon agar Allah SWT terus berikan diri ini kekuatan dan kesabaran dalam meniti jalan yang penuh liku.
 
 
Ibu di istana kecil Najla
 
 
Syawal dulu dan sekarang tidak jauh bezanya pada aku. Syawal zaman kanak-kanak hingga remaja memberi kenangan manis bersama arwah mak dan abah yang kini hanya terpahat sebagai memori. Pengorbanan dan kasih sayang mak abah tak pernah aku lupakan. 8 tahun sudah Syawal dirai tanpa mereka di sisi. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat buat mereka.
 
 
2001 - Masa aku tingkatan 3. Berdiri dari kiri: angah, salleh, abang poji,
 long, kak leha. Duduk dari kiri: anim, mak, abah, aku.
 
 
2002 - Masa aku tingkatan 4. Berdiri dari kiri: Salleh, abang poji, abah, mak,
 long, tahrir. Duduk dari kiri: Anim, angah, aku. Actually adik-beradik
aku ada 8 orang semua.
 
 
 
2010 - My big family :)
 
 
Syukur Alhamdulillah, aku masih diberi kesempatan untuk meraikan Syawal ini bersama Edy tercinta, suami yang telah banyak mengajar aku erti hidup dan susah senang. Bila aku mendambakan kehadiran seorang anak, kesetiaan Edy di sisi sudah cukup mengubat hati. Hingga aku selalu berdoa agar Edy sentiasa bahagia di samping aku hingga ke akhir nyawa. Aku juga bersyukur, ikatan antara kami telah menjalin hubungan di antara dua buah keluarga. Aku mendapat mak ayah yang baru, adik-beradik yang baru serta sanak saudara yang baru. Alhamdulillah, hingga ke saat ini, aku bersyukur dengan apa yang aku miliki.
 
 
2012 - Tahun yang penuh kesyukuran. Pengganti duka tahun lalu.
Lihatlah betapa cerianya kami :)
 
 
2012 - Nadia (aka Ummi Najla) & Edy


"Semoga kehadiran Syawal dalam hidup kami menjadi pengikat setia hubungan kami dalam redha-Nya."
Amin.

Thursday, 16 August 2012

Saat Terakhir?

Assalammualaikum w.b.t


Masya-Allah. Kenapalah blog aku ni sepi tak bertepi selalu. Sebenarnya aku dah banyak kali draft. Tapi semua tak habis taip. Semuanya gara-gara kerja yang tak pernah berhenti hadir (_ _*).

Ok, saje nak cerita tentang persiapan raya sebab bila blogwalking, rata-rata pun semua cerita tentang raya. Alhamdulillah, tahun 2012 ni banyak beri sinar baru dalam hidup aku dan Edy walaupun kami sering dibelenggu dengan kerja yang tak pernah habis. Barangkali kerana kesibukan ini juga, Allah belum berikan kami pengganti Najla. Sebab Dia lebih tahu masa yang terbaik untuk kami, kan? Dan kerana kesibukan yang sudah dijangka itulah aku lebih senang membuat persiapan raya sedari awal lagi. Rasanya sebelum Ramadhan lagi aku sudah bersiap siaga. Aku ada tulis dalam entry Persiapan Raya? sebelum ni. Bila sudah menghampiri Syawal, aku sudah tidak sibuk lagi untuk mencari itu dan ini. Alhamdulillah semuanya insya-Allah sudah lengkap dalam bersederhana. Rumah pun sudah siap dikemas. Cuma tinggal bilik air yang perlu dicuci, kuih-muih yang perlu dipindah ke dalam bekas kuih raya, halaman dan belakang yang perlu disapu, dan langsir sliding yang perlu ditukar. Hari ni, kami sudah pun mula bercuti sekolah. Aku tidaklah terus menyudahkan segala kerja-kerja rumah. Tah apa angin, aku masih lagi sibuk mengemas kini filing PBS dan memasukkan markah pelajar secara online. Tiada kerisauan sebab persiapan sudah direncana dari awal. Dan perbelanjaan juga sudah diatur sebaiknya. Alhamdulillah.

Hari ni, sudah 27 Ramadhan. Cepat sungguh masa berlalu. Ahad ini insya-Allah kita bakal menyambut aidilfitri. Malam semalam, aku dan Edy hidupkan pelita (walapun aku duduk rumah taman). Sambil tu, kami cuba mengimbas peristiwa pada malam yang sama setahun lalu. Apa yang kami ingat, tahun lalu kami banyak berendam air mata. Tiada pelita, tiada baju baru, tiada langsir baru, dan boleh dikatakan segala-galanya tiada yang baru. Semuanya serba serbi ringas sahaja. Baik kami suami isteri, mak ayah mertua, keluarga aku sendiri, semuanya berkabung menghormati pemergian Najla tercinta. Namun tahun ni cukup berbeza. Setiap ahli keluarga aku begitu teruja untuk menyambut aidilfitri yang bakal tiba. Banyak perancangan rapi yang mereka rencanakan. Kadang-kadang, saja aku cetuskan pertanyaan, "Kenapa tahun lepas tak meriah macam ni ye?", terus mereka bilang, "Tahun lepas kita berkabung..." Senyap dan terus mengertilah aku betapa aku seharusnya bersyukur kerana ahli keluarga aku sebolehnya ingin menjaga hati aku dan Edy selama ini.

Namun, aku masih berasa sedih untuk tinggalkan Ramadhan, bulan yang penuh barakah, bulan dimana umat Islam berebut-rebut melaksanakan ibadah. Sejak kembalinya aku dari Mekah, aku terlalu rindu untuk beriktikaf di Masjidil Haram. Bila tibanya Ramadhan, aura tanah suci itu masih membara dalam hati aku. Aku sanggup bangun malam, menonton solat sunat terawih di Masjdil Harim di Astro Oasis. Ah, rindunya saat itu! Dan alhamdulillah, Allah masih beri aku kesempatan untuk aku memperbaiki ketidak sempurnaan dalam ibadah aku selama ini. Dan keindahan Ramadhan kali ini sangat-sangat bermakna bagi aku bila terasa keajaibannya seperti di tanah suci. Biarlah menjadi rahsia aku dengan-Nya. Syukur, keyakinan doa aku kepada-Nya tiada sedikit pun rasa ragu. Aku sentiasa berasa selamat dalam lindungan-Nya. Semoga perasaan ini akan terus kekal selamanya. Hingga akhir hayat. Semoga pengakhiran hidup kami nanti dalam pengakhiran yang baik.

Buat semua rakan-rakan blogger yang dikasihi, berdoalah semoga kita bakal bertemu Ramadhan yang penuh barakah ini pada tahun-tahun akan datang. Semoga kalian dirahmati dan dilindungi Allah hendaknya. Berhati-hati dalam perjalanan pulang ke kampung tercinta. Banyakkan bersabar dengan kerenah pengguna jalan raya. Jangan dilupa mereka yang serba tiada. Sewaktu kita merasa syukur, pasti ada yang sedang berduka. Sama-sama kita menghulur kasih yang tulus, agar duka mereka sedikit luruh.

Tahniah kepada rakan-rakan yang telah dikurniakan cahaya mata di bulan Ramadhan ini. Tidak lupa kepada mereka yang telah kehilangan insan tercinta, takziah dari saya. Semoga kalian tabah untuk menghadapi dugaan ini.

Saya mohon ampun atas segala keterlanjuran bahasa dalam blog ini. Selamat menyambut aidilfitri dan ayuh kita semarakkan malam-malam terakhir Ramadhan ini.


Wassalam...

Sunday, 5 August 2012

Terima kasih teman!

Dedikasi ini ditujukan kepada semua teman-teman akrab yang setia di sisi ketika aku terlalu bersedih atas kehilangan Najla.
 
 
1. Nur Hidayah Othman

Sahabat karib merangkap rakan sekerja yang bersama sedari awal kandungan Najla. Dayot nama timangan aku pada dia :).

Dua hari selepas Najla meninggal dunia, aku jadi semakin kusut. Hati aku terasa pedih. Teramat perit dan sesak rasa waktu itu. Jadi, aku mencari adik beradik dan kawan-kawan untuk mengadu air mata yang memang tak boleh dibendung lagi.

Kawan pertama yang aku cari ialah Dayot. Aku ingat lagi waktu aku call, Dayot sedang mengajar. Aku bercadang nak telefon semula. Tapi aku tahu Dayot takkan sampai hati biar aku sendiri. Dayot masih tetap berbual dan sanggup keluar dari kelas semata-mata untuk bercakap dengan aku. Aku kehilangan kata-kata. Yang aku tahu, menangis dan menangis. Spontan Dayot menangis juga. Masih terasa perit lagi. Manakan tidak bila Dayot antara yang menghadap Najla sewaktu Najla tenat dan menemani aku sehingga ke Muar. Yang melihat dan memujuk aku sewaktu aku pegang erat tubuh kaku Najla, tidak mahu lepas. Pasti kesedihan itu masih lekat di hati. Waktu aku peluk tubuh kaku Najla, Dayot duduk di hadapan aku, pujuk aku dengan sebuah cerita ringkas, "Nad, aku pernah dengar, bayi macam ni nanti dia akan tunggu depan pintu syurga. Bila Allah tanya kenapa mereka tak nak masuk, mereka jawab, mereka akan tunggu sampai mak ayah mereka masuk bersama", terus Dayot teresak bila cerita itu disudahkan. Ada sedikit perasaan dalam diri aku yang sukar digambar bila dengar cerita itu. Terharu bercampur sebak. Dan berderaianlah air mata kami berdua tanpa henti.

Kata-kata Dayot yang tak boleh aku lupa waktu bercakap dengan aku di telefon, "Nad, kalau boleh diberi separuh kesedihan kau pada aku, aku nak Nad. Aku cemburu kau diuji hebat macam ni."

Terima kasih Nur Hidayah Othman. Aku sayang dan akan rindu kau selalu. Terima kasih atas segala mesej, call, email, dan kata-kata semangat yang tak pernah putus. Dan terima kasih juga kerana telah mengenalkan aku pada cinta agung Yang Maha Esa. Alhamdulillah, aku bersyukur dengan apa yang aku perolehi sekarang :)
 

2. Siti Aisyah binti Tajudin

Kak Aisyah, seorang yang begitu telus sejak kali pertama aku dipostingkan ke situ. Setiap kali bekerja bersama, segala kerja menjadi mudah. Sama ada aku atau dia, kami mudah berbincang. Tapi selalunya lebih kepada hal kerja.

Bila Najla tiada, Kak Aisyah tak putus-putus bagi sokongan pada aku. Dan sejak 2 tahun berkenalan, kali ini kami jadi begitu akrab. Sampaikan Kak Aisyah sanggup jadikan Atiqah, anak perempuan dia sebagai anak angkat aku. Hari ketiga aku kehilangan Najla, aku dan Edy ke rumah keluarga Kak Aisyah, berkongsi rasa hati dan kesedihan yang sukar digambarkan waktu itu. Suasana jadi sangat pilu. Ahli keluarga Kak Aisyah cuba tabahkan kami sedayanya. Cuba buat agar aku mampu mengukir senyuman. Rasanya sejak hari tu hubungan kami jadi bertambah rapat. Bukan dengan Kak Aisyah je, tapi dengan mak ayahnya juga. Paling seronok bila aku digelar 'ibu nad' untuk Atiqah. Memang terubat luka dalam hati kami waktu. Alhamdulillah, semakin hari luka dalam hati kami semakin sembuh. Rindu dan trauma kehilangan Najla sudah mula berkurang. Kami bersyukur atas limpahan kasih sayang yang kami terima ini. Terima kasih Kak Aisyah dan keluarga ;)
 
 
3. Nurul Shuhadak binti Zaidun

Kawan seuniversiti yang aku kenal sejak 2005. Paling banyak kenal buruk baik aku dan tahu juga serba banyak tentang aku. Aku panggil sebagai Chak. Aku selalu bilang pada Chak, apa yang berlaku dalam hidup aku ni adalah kifarah atas dosa-dosa aku. Chak tak mampu nak cakap apa bila tahu berita pemergian Najla. Bila kami bercakap dalam telefon, kami sama-sama menangis. Memang terlalu sebak. Masing-masing teresak. Berminit-minit kami melayan perasaan sendiri. Aku seolah-olah baru tersedar dengan kesilapan sendiri. Dosa sendiri. Dan mungkin jugalah apa yang berlaku ini sebagai penebus dosa-dosa aku. Dan apa yang telah berlaku secara tidak langsung menyedarkan aku semula dengan semua nasihat Chak yang aku tak endah sebelum ini. Aku bersyukur dalam aku terasa sempit waktu tu, Chak setia di sisi. Setia menjadi sahabat aku walau setiap nasihat dan kata-katanya selama ini pada aku umpama mencurah air ke atas daun keladi. Terima kasih Chak atas segalanya! Aku sayang ang sangat! Aku hargai segala usaha ang untuk aku jadi lebih baik.
 

4. Norsapiah Che Omar

Housemate yang aku kenal pada September 2010 bila kali pertama orang yang aku gelar Kak Nor ini dipostingkan ke sekolah aku. Lebih kurang selepas 3 bulan Kak Nor menjadi housemate aku, aku disahkan hamil dan kemudian pertama kali aku ke klinik mengesahkan kehamilan aku bertemankan Kak Nor. Dari 4 minggu hinggalah 30 minggu kehamilan, dari perut aku flat hinggalah memboyot, Kak Norlah yang selalu melihat perkembangan kandungan aku.

Kak Nor pula rajin melayan aku nak makan itu ini. Kebetulan pula masa aku mengandung dulu aku tiba-tiba ada penyakit malas nak masak. Tengok ikan mentah boleh muntah. Masuk dapur sekejap je dah mula rasa pening-pening. Tak tahulah kalau memang mengada sangat aku masa tu.

Kak Nor juga setia ada waktu Najla sedang nazak. Hingga ke akhir nafas Najla. Kemudian temankan aku ke Muar untuk lihat sendiri Najla disemadikan. Kak Nor juga yang banyak menyokong dan memberi kekuatan kepada aku sewaktu aku kerapkali disalahkan kerana terlalu aktif sewaktu mengandungkan Najla. Kak Nor cukup marah bila dengar ada yang bercakap belakang kenapa anak aku meninggal dunia dengan mengaitkan itu dan ini. Pada Kak Nor semua tu tak perlu dipersoalkan lagi kerana ini semua telah ditakdirkan, ada sebab musababnya kenapa ia terjadi. Aku cukup lega kerana Kak Nor sentiasa memotivasikan aku supaya aku kuat untuk hadapi semua ni. Setahun Kak Nor bersama aku, begitu banyak pahit maung yang kami rasa bersama. Terima kasih Kak Nor atas kesetiaan di sisi Nad selama ini :)
 

5. Sarmila Marlini

Orang yang aku dah anggap macam kakak sendiri di sekolah aku dahulu. Kak Mila yang aku panggil ini memang ceria sentiasa orangnya. Antara kami begitu banyak rahsia. Biarlah kami berdua sahaja yang tahu. Sejujurnya aku banyak bercerita pada Kak Mila dan begitulah sebaliknya.

Waktu Najla di NICU kritikal, Kak Mila datang melawat. Kak Mila tak sanggup barangkali hendak melihat Najla sedemikian rupa. Tapi sempat lagi Kak Mila cuba meriahkan suasana sedih itu dengan berbuat lawak. Aku macam biasa dengan Kak Mila pasti tak kering gusi.

Bila Najla tiada, Kak Mila tak pernah berhenti mengingati aku.

Antara SMS dari Kak Mila yang buat aku terharu,

"Innalilh, takziah.. Kmi smua pun sdh dpt brita ni.. Allah lg mnyayangi najla.. Syukur, nad d bri ksmptn utk m'jga najla w'pun sketika.. Mgkn e2lh hikmah najla cpt lhir, dia smpt rs ksh syg ibu n ayh.. Syurgalh tmptnya.. Alfthah.."

"Alhmdlh nad n suami msh mampu mngwal emosi, nad jg dri baik2, dlm pntng bhya, jgn pnyakt lain plak dtg.. Nad n suami jer yg thu n rs tknan n kperitn.. Kmi smua simpti.. Kl akak pun x mmpu rsnya nk hdpi dugaan sbesr ni.. hti sorg ibu hnya tuhan jer yg thu kl khlngn insan t'syg.. Org lain sng ckp n nsht, tp hnya nad n suami jer thu btpa sdh n pilu, k lh nad, taip2 msg ni pun akak dh rs sebak.."

Pagi raya pun aku dapat mesej yang begitu mengharukan dari Kak Mila.

"Slm, slmt ari ry..hr gmbra utk org lain, tp hr b'duka plak utk nad n fmly.. Tbhkn ati.. Akak mtk maaf zhr n btin slh slp, gurau snda n t'ksr bhsa slma kta b'2gas.. dr mlm td tringt kt nad jer..k lh, jgn smpi x lalu mkn plak eh.. Mkn ckit br ada tnga.. K lh bye".

Paling buat aku terharu bila Kak Mila yang juga guru majalah sekolah sanggup penuhi impian aku untuk letakkan gambar Najla dalam majalah tahunan sekolah kami supaya kenangan pemergian Najla akan diingati sampai bila-bila.

"Blh sgt2, mmg dh ltak pun gmbr najla n dh antar bumi restu sblm dia mnggal, nnti naik sek ni, bumi restu akn bg bt smakn smula, ms 2 akak akn tmbhkn p'mtaan nad k.. InsyaAllah x mnjdi mslh, lgpun smua org syg najla n simpati ngn nad n suami.."

Terima kasih Kak Mila. Dan Allah SWT itu Maha Adil. Penantian Kak Mila selama 6 tahun untuk menimang cahaya mata kedua diperkenan-Nya. Barangkali inilah rezeki atas kebaikan Kak Mila pada semua orang selama ini. Muhammad Azri Haziq, putera kedua Kak Mila telah selamat dilahirkan pada 14 Januari 2012 yang lalu. Tahniah Kak Mila!

 
Terima kasih juga kepada semua rakan-rakan lain yang tidak saya sebutkan di atas yang telah bersungguh-sungguh mahu lihat saya gembira dan sembuh dari kedukaan ini. Hanya Allah SWT yang mampu membalas keikhlasan kalian.

Bidadari Syurga Nor Farah Amani


"Hidup ini umpama sebuah roda. Adakalanya kita di atas, adakalanya kita di bawah.
Adakalanya kita gembira, adakalanya kita terluka.
Adakalanya kita mensyukuri nikmat rezeki,
Adakalanya kita menjadi kufur.
Semoga Allah SWT sentiasa memelihara hati kita,
Agar tetap teguh dengan keimananan kepada-Nya.
Amin..."
Assalammualaikum w.b.t

Rasa macam tak percaya kita sudah melepasi setengah bulan Ramadhan. Barangkali aku terlalu sibuk menyudahkan dan mengejar segala kerja sekolah hingga tak sedar masa yang semakin berlalu. Entry terakhir aku sebelum ni pada 3 Ramadhan. Malam ni sudah masuk 17 Ramadhan, Nuzul Qur'an. Ah, cepatnya masa meninggalkan kita! Rasanya masih lompang sana sini ibadah aku di bulan barakah ini. Bertadarus pun masih belum sempurna lagi. Memang jauh berbeza pengalaman bulan Ramadhan kali ni. Kerja sekolah yang sepuluh kali lebih banyak di sekolah baru memenuhkan setiap ruang masa aku. Sampaikan hari ni aku tak ikut Edy balik ke Muar atas alasan untuk menyudahkan segala kerja untuk meng'key in' markah PBS. Tapi aku lebih sibuk dari malam semalam hingga petang tadi mengemas rumah habis-habisan. Dah lama rasanya tak mencuci dan membuang segala 'sampah-sarap' yang aku simpan dalam rumah selama ni. Rasa lapang bila dah berjaya menyudahkan segala kerja rumah. Lepas berbuka tadi, badan aku dah mula terasa sengal-sengal. Sampaikan aku tak sedar bila aku terlelap waktu mengaji tadi. Sedar-sedar sudah 9.30 malam! (_ _*).

Dek kerana rasa rindu yang tak tertanggung pada blog kesayangan ini, aku nak update juga walau cuma secoret. Tah bila lagilah aku nak tulis entry terbaru lepas ni. Takut kekangan masa membataskan semua tu. BBT? Tah dah berapa banyak hari sejak Ramadhan ni aku tak ambil suhu. Nak blogwalking pun tak sempat lagi. Forum Ratu Hati memang sudah lama tak berjenguk. Mujurlah aku dah deactivate facebook. Kalau tak, lagi banyak godaan alam maya ni untuk aku buat semua kerja. Haha. Mujur rakan-rakan yang rindu sama aku sudi berViber dan berWhatsapp. Terubat juga hati bila kawan-kawan yang sudah jauh setia bertanya khabar.

Kembali kepada tajuk entry ini. Aku sekadar ingin berkongsi cerita mengenai seorang ibu yang baru sahaja aku kenal iaitu Hani. Tapi sebelum tu, aku nak beritahu, semua perkongsian cerita dalam blog ni bukanlah untuk meraih hit pembaca atau nak melabel blog aku ni sebagai blog 'sedih'. Tak. Semua cerita-cerita yang aku kongsikan selama ni adalah sebagai motivasi untuk ibu-ibu yang pernah mengalami peristiwa seserupa aku. Berkongsi itu lebih baik. Dan mendapat sokongan dari ibu-ibu lain yang pernah mengalami peristiwa hampir sama barangkali dapat menguatkan lagi semangat mereka. Ini yang pernah aku alami dulu waktu aku baru sahaja kehilangan Najla. Aku banyak menghabiskan waktu membaca blog-blog ibu yang pernah kehilangan anak. Aku juga turut meninggalkan comment dan email. Dan alhamdulillah, setiap sokongan dari penulis dan follower blog tersebut telah memulihkan semangat aku serba sedikit. Secara tak langsung memberi inspirasi kepada aku untuk mewujudkan blog ini. Teringat janji aku pada Najla, "Ibu akan tulis cerita kita dan cuba memberi semangat pada ibu-ibu lain supaya mereka tahu tentang cara menjaga bayi pramatang dan bagaimana untuk memulihkan kembali perasaan jika mereka kehilangan..."

Berikut adalah beberapa comment yang ditinggalkan Hani dalam entry Bidadari Syurga.

"salam, umi najla,sedih saya membaca blog ini.saya pun senasib dgn umi, sekejap saja dpt menjaga puteri saya hanya 80 hari di dunia.Allah lebih sayangkan puteri saya."

"salam umi,bb bru je meninggal pd 22/5/2012.anak yg ke-6,waktu mengandungkan dia, alhamdullilah tiada sebarang masalah.waktu salinkan dia semua ok, sya pun syukur kpd Allah krn semuanya selamat, tapi sejam selepas itu doc bg tahu kat suami anak sya ada masalah umi.doc pesan kpd suami jgn beritahu sya krn saya bru je lps bersalin.bb ditahan dlm wad nicu selama 8 hari.sehari ps tu bru sya tahu keadaan sebenar bb sya umi, hancur luluh hati sya.tak blh nk ckp apa hanya air mata yg kuar waktu tu.bb sya ada masalah jantung yg terlalu kronik umi dan bb tak boleh menghisap susu hanya menggunakan tiup.entahlah ini semua kerja Tuhan,Dia yg menentukan.hingga kini sya masih lagi trauma umi."

"insyaallah umi, terima kasih di atas nasihat yg diberikan.mmg umi hingga kini wajah comelnya sentiasa terbayang di dpn mata hani.buat pengetahuan umi juga, saya bru kehilangan ibu yg tersayang pada 12/1/2012 yg lalu.dugaan terlalu byk umi, saya terlalu lemah.mungkin ibu pergi kerana sakit tua,tapi umi bila anak kita yg dikandung pergi utk selamanya...Allah saja yg tahu..mungkin umi pun dapat rasakannya..tq umi."

"nama bb hani- Nor farah amani n ibu aminah ibrahim.Betul kata umi mmg telalu perit rasanya..sebelum ini hani hanya mendengar berita kisah org lain n tak sangka semua ini terjadi ke atas hani."

"umi, samale cam hani, sampai skrg ni asyik menangis n setiap hujung mggu hani akan ke kubur menziarahinya.hani akan rasa puas klu hani dpt melihat pusaranya.entah umi, kdg2 tu kita xblh nk luah apa yg kita rasa.walaupun hani dh ada anak yg lain, tapi hani terlalu sayangkan bb ini...hani blum cukup kuat umi.luaran nmpk kuat tapi dalaman blum lg umi."

Rasa hati seorang ibu. Walaupun sudah beranak enam, hilang yang satu tetap tiada galang gantinya. Hinggakan setiap kali aku bercerita dengan kakak aku yang sudah beranak lapan itu pun, pasti dia akan turut menangis. Masih merasa trauma dengan kehilangan Najla barangkali. Mana-mana ibu pun tak sanggup nak menempuh situasi ini tak kiralah anak yang ke berapa, rasa pedih kehilangan tetap dirasai. Apatah lagi Hani yang sudah menjaga bayi beliau selama 80 hari! Subhanallah. Pasti kenangan Hani dengan arwah selama hampir 3 bulan itu sukar dilupai. Sedangkan aku yang baru bersama Najla selama 22 hari pun masih trauma hingga kini.

Aku cuba mereply sesegera mungkin setiap comment Hani. Cuma comment yang terakhir itu baru aku sedar tadi. Aku berharap semangat Hani segera pulih. Semoga Allah menitipkan rasa sabar dan redha pada Hani atas pemergian arwah. Sejujurnya, aku semacam sudah hilang ayat untuk diberi pada Hani. Aku tak pasti apakah cukup sudah segala nasihat dan sokongan yang diberi.

Sahabat pembaca yang dikasihi sekalian, ayuh kita doakan Hani agar semangatnya kembali pulih. Dan mari kita sedekahkan al-Fatihah kepada baby beliau Nor Farah Amani, dan juga ibu beliau Almarhumah Aminah Ibrahim. Berat sungguh dugaan yang dirasainya bila kehilangan 2 orang yang dicintai. Semoga Hani terus tabah dan sentiasa dalam perlindungan-Nya. Amin.

Ayuh kita bermuhasabah diri...

Click! Click! Click!