Sunday, 5 August 2012

Bidadari Syurga Nor Farah Amani


"Hidup ini umpama sebuah roda. Adakalanya kita di atas, adakalanya kita di bawah.
Adakalanya kita gembira, adakalanya kita terluka.
Adakalanya kita mensyukuri nikmat rezeki,
Adakalanya kita menjadi kufur.
Semoga Allah SWT sentiasa memelihara hati kita,
Agar tetap teguh dengan keimananan kepada-Nya.
Amin..."
Assalammualaikum w.b.t

Rasa macam tak percaya kita sudah melepasi setengah bulan Ramadhan. Barangkali aku terlalu sibuk menyudahkan dan mengejar segala kerja sekolah hingga tak sedar masa yang semakin berlalu. Entry terakhir aku sebelum ni pada 3 Ramadhan. Malam ni sudah masuk 17 Ramadhan, Nuzul Qur'an. Ah, cepatnya masa meninggalkan kita! Rasanya masih lompang sana sini ibadah aku di bulan barakah ini. Bertadarus pun masih belum sempurna lagi. Memang jauh berbeza pengalaman bulan Ramadhan kali ni. Kerja sekolah yang sepuluh kali lebih banyak di sekolah baru memenuhkan setiap ruang masa aku. Sampaikan hari ni aku tak ikut Edy balik ke Muar atas alasan untuk menyudahkan segala kerja untuk meng'key in' markah PBS. Tapi aku lebih sibuk dari malam semalam hingga petang tadi mengemas rumah habis-habisan. Dah lama rasanya tak mencuci dan membuang segala 'sampah-sarap' yang aku simpan dalam rumah selama ni. Rasa lapang bila dah berjaya menyudahkan segala kerja rumah. Lepas berbuka tadi, badan aku dah mula terasa sengal-sengal. Sampaikan aku tak sedar bila aku terlelap waktu mengaji tadi. Sedar-sedar sudah 9.30 malam! (_ _*).

Dek kerana rasa rindu yang tak tertanggung pada blog kesayangan ini, aku nak update juga walau cuma secoret. Tah bila lagilah aku nak tulis entry terbaru lepas ni. Takut kekangan masa membataskan semua tu. BBT? Tah dah berapa banyak hari sejak Ramadhan ni aku tak ambil suhu. Nak blogwalking pun tak sempat lagi. Forum Ratu Hati memang sudah lama tak berjenguk. Mujurlah aku dah deactivate facebook. Kalau tak, lagi banyak godaan alam maya ni untuk aku buat semua kerja. Haha. Mujur rakan-rakan yang rindu sama aku sudi berViber dan berWhatsapp. Terubat juga hati bila kawan-kawan yang sudah jauh setia bertanya khabar.

Kembali kepada tajuk entry ini. Aku sekadar ingin berkongsi cerita mengenai seorang ibu yang baru sahaja aku kenal iaitu Hani. Tapi sebelum tu, aku nak beritahu, semua perkongsian cerita dalam blog ni bukanlah untuk meraih hit pembaca atau nak melabel blog aku ni sebagai blog 'sedih'. Tak. Semua cerita-cerita yang aku kongsikan selama ni adalah sebagai motivasi untuk ibu-ibu yang pernah mengalami peristiwa seserupa aku. Berkongsi itu lebih baik. Dan mendapat sokongan dari ibu-ibu lain yang pernah mengalami peristiwa hampir sama barangkali dapat menguatkan lagi semangat mereka. Ini yang pernah aku alami dulu waktu aku baru sahaja kehilangan Najla. Aku banyak menghabiskan waktu membaca blog-blog ibu yang pernah kehilangan anak. Aku juga turut meninggalkan comment dan email. Dan alhamdulillah, setiap sokongan dari penulis dan follower blog tersebut telah memulihkan semangat aku serba sedikit. Secara tak langsung memberi inspirasi kepada aku untuk mewujudkan blog ini. Teringat janji aku pada Najla, "Ibu akan tulis cerita kita dan cuba memberi semangat pada ibu-ibu lain supaya mereka tahu tentang cara menjaga bayi pramatang dan bagaimana untuk memulihkan kembali perasaan jika mereka kehilangan..."

Berikut adalah beberapa comment yang ditinggalkan Hani dalam entry Bidadari Syurga.

"salam, umi najla,sedih saya membaca blog ini.saya pun senasib dgn umi, sekejap saja dpt menjaga puteri saya hanya 80 hari di dunia.Allah lebih sayangkan puteri saya."

"salam umi,bb bru je meninggal pd 22/5/2012.anak yg ke-6,waktu mengandungkan dia, alhamdullilah tiada sebarang masalah.waktu salinkan dia semua ok, sya pun syukur kpd Allah krn semuanya selamat, tapi sejam selepas itu doc bg tahu kat suami anak sya ada masalah umi.doc pesan kpd suami jgn beritahu sya krn saya bru je lps bersalin.bb ditahan dlm wad nicu selama 8 hari.sehari ps tu bru sya tahu keadaan sebenar bb sya umi, hancur luluh hati sya.tak blh nk ckp apa hanya air mata yg kuar waktu tu.bb sya ada masalah jantung yg terlalu kronik umi dan bb tak boleh menghisap susu hanya menggunakan tiup.entahlah ini semua kerja Tuhan,Dia yg menentukan.hingga kini sya masih lagi trauma umi."

"insyaallah umi, terima kasih di atas nasihat yg diberikan.mmg umi hingga kini wajah comelnya sentiasa terbayang di dpn mata hani.buat pengetahuan umi juga, saya bru kehilangan ibu yg tersayang pada 12/1/2012 yg lalu.dugaan terlalu byk umi, saya terlalu lemah.mungkin ibu pergi kerana sakit tua,tapi umi bila anak kita yg dikandung pergi utk selamanya...Allah saja yg tahu..mungkin umi pun dapat rasakannya..tq umi."

"nama bb hani- Nor farah amani n ibu aminah ibrahim.Betul kata umi mmg telalu perit rasanya..sebelum ini hani hanya mendengar berita kisah org lain n tak sangka semua ini terjadi ke atas hani."

"umi, samale cam hani, sampai skrg ni asyik menangis n setiap hujung mggu hani akan ke kubur menziarahinya.hani akan rasa puas klu hani dpt melihat pusaranya.entah umi, kdg2 tu kita xblh nk luah apa yg kita rasa.walaupun hani dh ada anak yg lain, tapi hani terlalu sayangkan bb ini...hani blum cukup kuat umi.luaran nmpk kuat tapi dalaman blum lg umi."

Rasa hati seorang ibu. Walaupun sudah beranak enam, hilang yang satu tetap tiada galang gantinya. Hinggakan setiap kali aku bercerita dengan kakak aku yang sudah beranak lapan itu pun, pasti dia akan turut menangis. Masih merasa trauma dengan kehilangan Najla barangkali. Mana-mana ibu pun tak sanggup nak menempuh situasi ini tak kiralah anak yang ke berapa, rasa pedih kehilangan tetap dirasai. Apatah lagi Hani yang sudah menjaga bayi beliau selama 80 hari! Subhanallah. Pasti kenangan Hani dengan arwah selama hampir 3 bulan itu sukar dilupai. Sedangkan aku yang baru bersama Najla selama 22 hari pun masih trauma hingga kini.

Aku cuba mereply sesegera mungkin setiap comment Hani. Cuma comment yang terakhir itu baru aku sedar tadi. Aku berharap semangat Hani segera pulih. Semoga Allah menitipkan rasa sabar dan redha pada Hani atas pemergian arwah. Sejujurnya, aku semacam sudah hilang ayat untuk diberi pada Hani. Aku tak pasti apakah cukup sudah segala nasihat dan sokongan yang diberi.

Sahabat pembaca yang dikasihi sekalian, ayuh kita doakan Hani agar semangatnya kembali pulih. Dan mari kita sedekahkan al-Fatihah kepada baby beliau Nor Farah Amani, dan juga ibu beliau Almarhumah Aminah Ibrahim. Berat sungguh dugaan yang dirasainya bila kehilangan 2 orang yang dicintai. Semoga Hani terus tabah dan sentiasa dalam perlindungan-Nya. Amin.

Ayuh kita bermuhasabah diri...

10 comments:

  1. Semoga hani tabah dan kuat..sedih xchenta baca pengalaman ibu hamil yg kehilangan anak yg tersayang..teringin sgt hati ni nak jadi seorang ibu...merasai nikmat seperti ibu-ibu yg lain...alhamdulillah bidadari syurga menanti kalian disana.

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah chenta. InsyaAllah.. Chenta akan ada anak sendiri juga. Chenta bukan tak bole mengandung. InsyaAllah bila Allah nak beri, tak mampu kita nak tahan lagi. Percayalah ye :)

    ReplyDelete
  3. Lin Doakan mummy arwah farah semoga dia tabah.Walaupun tak ada ayat yang boleh membantu merawat hatinya..namun masa akan mengubati-Nya...Siapa yang tak sedih anak dikandung selama 9 bulan dan lahir secara normal tiba-tiba disahkan mempunyai masalah jantung yang kronik?

    Dan lin berharap juga mummy najla mendapat sinar di bulan yang mulia ni..

    Semoga tuhan merahmati kalian..

    ReplyDelete
  4. Tq lin.. InsyaAllah. Semoga ada sinar buat kami di bulan mulia ini... Aminnnn

    ReplyDelete
  5. speechless.terus-terang,all the memories with arwah rushed into my head sebab kita sama-sama dapat rasakan keperitan yang ditanggung seorg ibu kehilangan anak.hanya doa saya kirimkan.

    ReplyDelete
  6. Ye niesa. Saya faham perasaan niesa. Sama2 kita berdoa agar rezeki untuk kita hadir di bulan mulia ini.. Amin..

    ReplyDelete
  7. Al-fatihah buat kedua-dua arwah..
    Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Hanya dengan mendekatkan diri kepada DIA sahaja akan membuatkan hati kita tenang untuk menghadapi ujian ini. " Apabila Allah ambil daripadamu sesuatu yang kamu tak sangka kehilangannya, pada suatu hari nanti DIA akan berikan kepadamu sesuatu yang kamu tak sangka akan memilikinya"

    ReplyDelete
  8. Hari ni baru sahaja saya merasa sedih. Tah kenapa perasaan jadi semacam berbaur. Bila baca kata-kata cikmie, saya berasa lega... Tq cik mie. Semoga Allah merahmati cik mie ;")

    ReplyDelete
  9. yer ummi saya juga dalam proses memulihkan semangat, tanpa sokongan dari keluarga dan rakan-rakan mana mungkin saya boleh menjadi seperti hari ini. Terima kasih juga buat ummi kerana banyak memberi tulisan-tulisan motivasi buat kami semua.Semoga Allah merahmati ummi juga..Amin ya Rabb..

    ReplyDelete
  10. Amin ya rabb. InsyaAllah cik mie. Akan ada yg terbaik dan tak disangka-sangka buat kita semua :). InsyaAllah

    ReplyDelete

Click! Click! Click!