Thursday, 16 August 2012

Saat Terakhir?

Assalammualaikum w.b.t


Masya-Allah. Kenapalah blog aku ni sepi tak bertepi selalu. Sebenarnya aku dah banyak kali draft. Tapi semua tak habis taip. Semuanya gara-gara kerja yang tak pernah berhenti hadir (_ _*).

Ok, saje nak cerita tentang persiapan raya sebab bila blogwalking, rata-rata pun semua cerita tentang raya. Alhamdulillah, tahun 2012 ni banyak beri sinar baru dalam hidup aku dan Edy walaupun kami sering dibelenggu dengan kerja yang tak pernah habis. Barangkali kerana kesibukan ini juga, Allah belum berikan kami pengganti Najla. Sebab Dia lebih tahu masa yang terbaik untuk kami, kan? Dan kerana kesibukan yang sudah dijangka itulah aku lebih senang membuat persiapan raya sedari awal lagi. Rasanya sebelum Ramadhan lagi aku sudah bersiap siaga. Aku ada tulis dalam entry Persiapan Raya? sebelum ni. Bila sudah menghampiri Syawal, aku sudah tidak sibuk lagi untuk mencari itu dan ini. Alhamdulillah semuanya insya-Allah sudah lengkap dalam bersederhana. Rumah pun sudah siap dikemas. Cuma tinggal bilik air yang perlu dicuci, kuih-muih yang perlu dipindah ke dalam bekas kuih raya, halaman dan belakang yang perlu disapu, dan langsir sliding yang perlu ditukar. Hari ni, kami sudah pun mula bercuti sekolah. Aku tidaklah terus menyudahkan segala kerja-kerja rumah. Tah apa angin, aku masih lagi sibuk mengemas kini filing PBS dan memasukkan markah pelajar secara online. Tiada kerisauan sebab persiapan sudah direncana dari awal. Dan perbelanjaan juga sudah diatur sebaiknya. Alhamdulillah.

Hari ni, sudah 27 Ramadhan. Cepat sungguh masa berlalu. Ahad ini insya-Allah kita bakal menyambut aidilfitri. Malam semalam, aku dan Edy hidupkan pelita (walapun aku duduk rumah taman). Sambil tu, kami cuba mengimbas peristiwa pada malam yang sama setahun lalu. Apa yang kami ingat, tahun lalu kami banyak berendam air mata. Tiada pelita, tiada baju baru, tiada langsir baru, dan boleh dikatakan segala-galanya tiada yang baru. Semuanya serba serbi ringas sahaja. Baik kami suami isteri, mak ayah mertua, keluarga aku sendiri, semuanya berkabung menghormati pemergian Najla tercinta. Namun tahun ni cukup berbeza. Setiap ahli keluarga aku begitu teruja untuk menyambut aidilfitri yang bakal tiba. Banyak perancangan rapi yang mereka rencanakan. Kadang-kadang, saja aku cetuskan pertanyaan, "Kenapa tahun lepas tak meriah macam ni ye?", terus mereka bilang, "Tahun lepas kita berkabung..." Senyap dan terus mengertilah aku betapa aku seharusnya bersyukur kerana ahli keluarga aku sebolehnya ingin menjaga hati aku dan Edy selama ini.

Namun, aku masih berasa sedih untuk tinggalkan Ramadhan, bulan yang penuh barakah, bulan dimana umat Islam berebut-rebut melaksanakan ibadah. Sejak kembalinya aku dari Mekah, aku terlalu rindu untuk beriktikaf di Masjidil Haram. Bila tibanya Ramadhan, aura tanah suci itu masih membara dalam hati aku. Aku sanggup bangun malam, menonton solat sunat terawih di Masjdil Harim di Astro Oasis. Ah, rindunya saat itu! Dan alhamdulillah, Allah masih beri aku kesempatan untuk aku memperbaiki ketidak sempurnaan dalam ibadah aku selama ini. Dan keindahan Ramadhan kali ini sangat-sangat bermakna bagi aku bila terasa keajaibannya seperti di tanah suci. Biarlah menjadi rahsia aku dengan-Nya. Syukur, keyakinan doa aku kepada-Nya tiada sedikit pun rasa ragu. Aku sentiasa berasa selamat dalam lindungan-Nya. Semoga perasaan ini akan terus kekal selamanya. Hingga akhir hayat. Semoga pengakhiran hidup kami nanti dalam pengakhiran yang baik.

Buat semua rakan-rakan blogger yang dikasihi, berdoalah semoga kita bakal bertemu Ramadhan yang penuh barakah ini pada tahun-tahun akan datang. Semoga kalian dirahmati dan dilindungi Allah hendaknya. Berhati-hati dalam perjalanan pulang ke kampung tercinta. Banyakkan bersabar dengan kerenah pengguna jalan raya. Jangan dilupa mereka yang serba tiada. Sewaktu kita merasa syukur, pasti ada yang sedang berduka. Sama-sama kita menghulur kasih yang tulus, agar duka mereka sedikit luruh.

Tahniah kepada rakan-rakan yang telah dikurniakan cahaya mata di bulan Ramadhan ini. Tidak lupa kepada mereka yang telah kehilangan insan tercinta, takziah dari saya. Semoga kalian tabah untuk menghadapi dugaan ini.

Saya mohon ampun atas segala keterlanjuran bahasa dalam blog ini. Selamat menyambut aidilfitri dan ayuh kita semarakkan malam-malam terakhir Ramadhan ini.


Wassalam...

3 comments:

  1. Ummi Najla, semoga kita sama2 diberi peluang bertemu Ramadhan akan dtg. Eid Mubarak. Na

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syukran jazillan ya ukhti. Eid Mubarak :)

      Delete
    2. amin.......seronok baca blog ummi najla

      Delete

Click! Click! Click!