Wednesday, 31 October 2012

When the smile goes by...

 
Assalammualaikum w.b.t
 

28 Oktober 2012 - Tarikh yang aku takkan lupakan sampai bila-bila. Lebih kurang pukul 8.30 pagi, aku ke Klinik Elizabeth, di Bukit Gambir untuk buat simple check up. Just nak tahu, apa punca perut aku rasa semacam lately ni.

Aku tak ingat aku patient yang ke berapa. Tapi aku tak tunggu lama. Lepas nama aku dipanggil, aku dan Edy terus masuk. Lepas brief condition aku and period aku yang tak regular sejak 5 bulan lepas, Dr Teoh (aku tak sure nama dia apa) suruh aku baring, untuk discan. Kebetulan masa tu, Dr Teoh ada panggilan. Jadi tinggal aku dan Edy sahaja di situ. Waktu sedang berbaring, Edy macam biasa ambil gambar aku. Al-maklumlah teringat kenangan dengan Najla dulu. Aku pun layankanlah dengan buat macam-macam posing. Kitorang gelak-gelak macam klinik tu kitorang yang punya. Moment yang cukup indah buat kami masa tu.

Beberapa minit kemudian, Dr Teoh datang semula. Aku cuba serius dan fokus pada screen. Dr Teoh tanya aku bahagian mana yang aku rasa sakit, aku tunjuk abdomen sebelah kiri. Dr Teoh scan kiri kemudian ke kanan.

"Ok kita tengok, rahim you cantik. No pregnancy. Tak ada masalah.."

Memang itu dalam expectation sebab aku tengah period. Aku pandang Edy. Edy senyum-senyum. Berangan, kot.

"Ok, you tengok sebelah kiri, nampak ni apa?"

Aku blur. "Tah, tu apa doktor?"  

"Ok, ini ovari you. Nampak tak ada bulat besar ni? Ini ovarian cyst. Sudah 6 cm ye.."
 
 
Left Ovarian Cyst

Aku pura-pura tak dengar. Harap sangat apa yang aku dengar tadi salah. Cyst? Aku tahu itu bukan petanda baik. Aku tanya lagi untuk confirmation. Dr Teoh dengan tenang beri jawapan sama. Aku pandang Edy. Muka Edy berubah. Sangat berubah. Muka yang sama aku tengok masa Edy terima berita aku kena bersalin dulu!

Aku bangun dari katil. Aku rasa lemah sangat. Langkah aku longlai. Aku rasa nak putar balik masa dan tak nak tahu tentang berita tu. Edy terus senyap. Tak ada sepatah kata pun yang keluar. Dr Teoh cuba explain tentang ovarian cyst. Aku tak habis-habis tanya tentang punca. Aku semacam tak boleh terima hakikat. Aku rasa sebak. Dr Teoh minta aku jangan panik sebab berita baiknya, cyst aku cuma air, bukan daging. Cuma berita buruknya, saiznya terlalu cepat membesar. Dr Teoh beri harapan supaya aku percaya cyst ni akan hilang sendiri nanti. Cuma, jangan terlambat. Dr Teoh minta aku rujuk ke pakar 2-3 bulan lagi. 2-3 bulan?! Aku rasa untuk tunggu hingga ke tempoh itu sangat lama. Cyst aku sekarang sudah pun 6 cm!

Keluar je dari bilik doktor, kebetulan kami terjumpa dengan jiran Edy. Macam biasa, senyuman kami lemparkan. Aku tak pernah lupa kata-kata jiran Edy yang sangat menyentuh hati kami, "Senyum-senyum je. Alhamdulillah, dah ada lah tu.." Kebetulan pada tangan aku ada kertas scan yang Dr Teoh print tadi. Aku cepat-cepat masukkan dalam handbag. Aku senyum tawar.

Masuk je dalam kereta, aku beritahu Edy, aku nak nangis. Aku menangis semahu-mahunya. Sejujurnya aku takut dengan berita yang baru aku terima. Edy cuba pujuk. Aku rasa pujukan Edy hari itu belum cukup melegakan. Aku cari iphone dan google tentang symptoms ovarian cyst. Hampir kesemua simptom itu aku dah alami lewat ini. Ya Allah, kenapa aku tak pernah terfikir aku ada masalah ni since period aku mula tak teratur. Aku selalu terfikir ini cumalah masalah dalam perut. Tak pernah terdetik langsung dalam fikiran, ada kaitan dengan reproductive system aku. Macam-macam bayangan negatif datang menerpa. Aku nangis semahu-mahunya. Tapi yang lucunya, aku sempat ambil gambar aku waktu menangis tu. Haih la...

Aku cuba tahan dan simpan kesedihan ni jauh dalam hati. Tapi bila balik dan tengok mak sudah menunggu, air mata aku terus laju. Memang hati tisu!

Mak pegang kepala terkejut dengar berita itu. Aku rasa lapar walaupun tengah sedih. Aku makan pucuk betik kegemaran dengan sambal mangga. Air mata terus mengalir sama dengan tangan yang menyuap nasi. Mak dan Edy terus membisu. Lepas cuci pinggan, aku ke bilik sambung menangis.

Dalam masa yang sama, aku terus call agent insurans, Kak Leha dan Angah. Lepas habis bercakap dengan diorang, aku menangis lagi. Aku memang orang yang tak kuat. Waktu tu, aku rasa terlalu rindu pada arwah mak. Aku macam nak cakap pada arwah mak, aku rasa dah tak tertanggung lagi dengan semua ini. Aku nak tanya mak, dulu masa mak mengandungkan aku, hidup mak penuh dengan ujian ke sehingga aku juga diuji sebegini? Tapi mak dah tak ada. Cuma dengan Edy aku meluah sehabis rasa. Edy datang memujuk dan minta aku redha. Tapi aku macam hilang akal. Macam-macam aku mengomel hingga aku luah rasa takut tak dapat mengandungkan anak Edy. Edy minta aku istighfar, ingat ini ujian dari Allah, takdir-Nya. Edy tak nak aku terus hanyut. Edy bilang, anak itu adalah satu rezeki. Rezeki yang adakalanya dari darah daging sendiri atau mungkin dari orang lain. Edy tegar untuk ambil anak angkat asalkan aku sihat, selamat, dan bahagia dengan dia. Dengarkan kata-kata Edy buat tangisan aku lagi kuat. Aku terus menangis sampai tertidur.

Dalam waktu aku tertidur, rupanya Edy pun sebak. Edy cuba sembunyikan perasaan dia dalam-dalam sejak dari klinik. Tapi tak tertahan agaknya bila tengok aku dan tertutup mata; tertidur. Aku terjaga. Edy membelakangkan aku. Aku tanya dari belakang, dia takut aku mati ke?Jawapan dari Edy waktu tu sangat menyentuh hati. Bila terima reaksi Edy, aku rasa betul-betul lega. Aku tahu kami masih ada hubungan yang kuat untuk aku teruskan kehidupan dan tak mengalah dulu. Aku tak tahu berapa jam aku dan Edy melayan perasaan. Perasaan yang sama sewaktu kami perlu terima kehilangan Najla. Aku tidak mahu rasa kehilangan lagi. Ya Allah, kasihanilah aku dan Edy. Kami mencintai kerana-Mu Ya Allah. Berilah kami menikmati cinta ini di dunia-Mu. Dan izinkanlah kami untuk bersatu semula di sana nanti.

Sebelum balik, aku salam cium mak. Aku minta mak doakan. Aku bilang pada mak tak perlu risau tentang kos rawatan. Apa-apa pun, aku ada insurans untuk cover in case aku kena warded nanti. Aku tak suka nak minta-minta di luar kemampuan aku sendiri. Insya-Allah, dengan keyakinan yang aku pegang bahawa Allah sentiasa akan mencukupkan keperluan kami di dunia, maka kami akan sentiasa berasa cukup.

Aku tak terus ke hospital hari tu. Keluar sahaja tol, kami singgah ke Tesco Kulai yang cuma beberapa minit dari rumah. Edy cuba mahu kendurkan rasa sedih kami. Tak tahulah kenapa waktu tu aku lebih suka mencapai barang yang berwarna hijau. Dari mangkuk, cawan, sudu, dan dulang semuanya berwarna hijau, langsung tak sama dengan warna kegemaran aku selama ni; biru, hitam dan pink. Mata aku masih bengkak waktu jalan-jalan di sana. 
 
 
Di Tesco
 
Malam tu aku tak tidur lena. Setiap 2 jam aku terjaga. Trauma. Aku cuma lalu minum air. Dalam mimpi aku yang tak lena tu, aku ternampak-nampak cyst berwarna merah dan bulat dalam ovari aku. Aku rasa macam nak cucuk bagi air dalam tu keluar laju. Tapi aku takut. Aku cakap dengan cyst tu, "Kecillah, kecillah. Jangan rosakkan ovari aku. Aku nak mengandung lagi.."

29 Oktober 2012 - Pagi tu aku pergi sekolah macam biasa. Ada kerja yang perlu disudahkan. Aku tak nak in case kena warded, kerja-kerja sekolah ditinggalkan. Aku bercerita dengan 2-3 guru yang pernah experienced tentang cyst. Alhamdulillah, mereka tak biarkan aku keseorangan. Banyak motivasi yang aku dapat kutip hari tu. Buat aku cukup kuat nak hadapi apa sahaja keputusan dari doktor nanti.

8.30 pagi - Aku rasa sakit tulang belakang dan perut macam direntap. Tiba-tiba je sakit tu datang. Aku cuba kawal diri dan perasaan. Aku doa banyak-banyak minta tak ada perkara buruk berlaku. Aku sempat hantar SMS pada abang Shahperi minta tolong doakan cyst aku sembuh depan Kaabah nanti.

3.00 petang - Usai kerja, kami terus ke Johor Specialist. Masa tu, aku dah mula rasa tenang. Redha dengan apa sahaja ketentuan dari-Nya. Aku yakin segala yang berlaku ini penuh hikmah. Rasa takut dah mula pergi. Aku sudah bersedia dengan apa sahaja yang akan diberitahu oleh doktor nanti.

3.45 petang - Kami atur pertemuan dengan doktor pakar O&G, Doktor Hafetz. Dua jam aku menunggu di luar. Walaupun nampak lama, tapi aku tak rasa langsung masa yang berlalu. Aku spend masa sepenuhnya berbual dengan Edy. Bercerita dengan hal yang tak ada kaitan dengan cyst aku. Hinggalah akhirnya nama aku dipanggil....
 
 
Sewaktu menunggu dengan tenang :)

Aku tak boleh nak cerita dulu apa yang Doktor Hafetz beritahu. Insya-Allah, lagi seminggu aku update, selepas janji temu kedua kami nanti.

Doakan aku :)

Monday, 29 October 2012

Qurban and al-kisah Tutti Frutti

Assalammualaikum w.b.t
 

Alhamdulillah. Raya Haji sudah pun ke penghujungnya. Aku dan Edy sambut Aidiladha tahun ini di Muar. Syukur, ibadah qurban telah dilaksana. Namun ada kisah pahit di sebaliknya. Kesyukuran kami menyambut Aidiladha sedikit tercemar dengan adanya insan yang bermasam muka. Tahla. Aku malas nak ambil kira. Aku dan Edy tak pernah mencari musuh. Kami sedaya yang ada melayan orang lain sebaiknya, membantu seadanya, dan menjaga hati mereka sebolehnya walau hati kami sendiri adakalanya perlu diketepikan. Malah, keperluan dan hak kami juga selalu kami pinggirkan agar orang lain tidak merasa kurang. Tapi manusia, lumrahnya jarang bersyukur, kerana marah pada orang lain, kami yang dapat tempiasnya. Apakan daya, kami hanyalah manusia biasa, tidak ada apa-apa, yang ada hanyalah cinta dan kasih-sayang. Bersikap sedemikian dan berprasangka buruk tanpa usul periksa pada pendapat aku hanyalah sikap orang yang tidak matang. Aku tidak sekali-kali mahu mengeruhkan keadaan. Cukuplah sekadar menyerahkan pada Yang Maha Esa. Esok lusa, dapatlah mereka petunjuk dari-Nya.


Me & Edy (Aidiladha 2012)
 
 
With our niece and nephew
 
 
Ketupat (Makanan wajib)
 
 
Our qurban
 
 
Semoga menjadi kemudahan buat kami di sana
 
 
Ok, kita lupakan yang pahit. Pandanglah kemanisan yang kita masih ada. Pandanglah insan-insan yang masih mengasihi kita. Kasih sayang Allah itu Maha Luas. InsyaAllah, kita tak akan pernah kehabisan kasih sayang itu di dunia. Apatah lagi di akhirat kelak.

Hari raya kedua, 11 Zulhijjah bersamaan 27 Oktober 2012, aku mula rasa nak pitam, hilang selera makan, dan mula rasa nak muntahkan balik semua yang aku telan. Tak terfikir pula ini simptom apa. Mak dah mula senyum-senyum. Mesti ingatkan aku alami simptom 'pembawakan budak'. Aku baringkan diri atas kerusi panjang. Terlena. Bila sedar, aku rasa ada benda keluar dari Miss V. Aku senyum. Alhamdulillah, period rupanya. Bolehlah aku makan kat Tutti Frutti.

Beberapa minit lepas tu, aku senggugut yang Masya-Allah teruknya. Macam sakit nak bersalin. Aku berguling dalam bilik. Semua posisi tak kena. Sampai terdetik dalam hati, "Ya Allah, aku dah nak mati ke?". Kadang-kadang aku rasa macam nak meneran. Kesian Edy masa tu. Serba salah dibuatnya. Diurut, dipicit, semua jadi serba tak kena. Selepas hampir 1 jam, barulah aku mula rasa kebah. Barulah boleh gelak-gelak balik. Barulah boleh melantak tak ingat dunia.

Malam tu, aku dengan family Edy pergi makan kat Tutti Frutti. Aku tak minta pun, tapi kebetulan mak memang nak pergi, nak belanja semua makan. Jadi, kami berbondong-bondonglah ke Tutti Frutti di Muar selepas maghrib.

 
Mak with me. Mak kemasaman tergigit biji masam :)
 
 
Our family members
 
 
Walaupun perut aku masih lagi tak sedap, aku bolayankan je. Malas aku nak fikir sangat masa tu. Lagi pun, dah dua bulan rasanya perut aku rasa bloating. Lepas makan kat Tutti Frutti, kami jalan-jalan di Tanjung Mas. Aku dah mula rasa penat and tak selesa. Tapi muka kena sentiasa happy kan?
 
 
 
Keep smiling :)
 
 
Esoknya, sebelum balik, aku rasa tak sedap hati. Aku pergi check up juga. Kot-kotlah aku ni ada ulcer perut or masalah usus ke. Coz rasanya dah 2 bulan perut aku rasa tak sedap. Bukan time period je, tapi tak period pun rasa semacam.

 
And nak tahu doktor kata apa?
 
 
Tengok dulu pic mata aku yang macam apam ni. Agak-agak sebab apa ye? Did I cried?
 
 


Ok, nanti aku sambung cerita lagi...

Thursday, 25 October 2012

Tetamu Allah

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah, ketemu lagi kita pada 9 Zulhijah hari ini. Jemaah haji di sana sudah bersiap siaga untuk kemuncak haji, iaitu wukuf di Arafah. 

Bila tengok sahaja liputan tentang jemaah haji kita di sana, hati aku jadi cemburu dan sayu. Sayu sebab rindu akan bumi Makkah dan cemburu kerana tidak dapat menjadi tetamu agung-Nya sebagai jemaah haji.

Abang ipar aku juga antara 28 ribu jemaah haji Malaysia yang dipanggil untuk menunaikan haji pada tahun ini. Actually, turn dia lama lagi, tak silap aku 2035 kot baru sampai turn. Tapi, Allah Maha Pemurah. Abang ipar aku dipertanggungjawabkan menjadi peneman buat ayahnya yang juga dipanggil untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Teringat satu-satunya kiriman doa abang ipar aku waktu aku menunaikan umrah Mei lalu, "Diah, doakan abang Shahperi dapat jadi tetamu Allah...". 

Insya-Allah, turn kita semua bakal tiba juga untuk jadi tetamu agung Allah pada tahun akan datang.

Oklah, tak ada pun nak cerita. Sekadar simple entry mengubat kerinduan. Kejap lagi mahu berangkat pulang ke Muar meraikan Aidiladha di sana. Semoga perjalanan kalian dalam merayakan Aidiladha bersama keluarga tercinta diredhai Allah. Berhati-hati di jalan raya. Tak perlu rush sangat, kampung u all tak lari ke mana pun. Lembu yang nak korban yang mungkin lari, kot. Hihi. 

Semoga ibadah yang kita lakukan adalah kerana Allah SWT. Salam Aidiladha.


Me, wawa, and kakak (anak-anak sedaraku yang cantik-cantik belaka).
Beg yang aku pegang tu abang ipar aku bawak pergi haji. Tu beg aku masa gi
 umrah. Walaupun tuannya tak dapat gi haji, jadilah beg tuannya yang pergi haji :)

Abang shahperi and Edy. Kiut-miutnye :)

Serius aku terharu :)

Sunday, 14 October 2012

Perjalanan 'bidadari kecil' bernama Nuha

Sedang membelek Mingguan Wanita keluaran Oktober 2012, tiba-tiba terpandang coretan Editor MW, Nuri Supian tentang Perjalanan 'bidadari kecil' bernama Nuha. Tajuk yang cukup menarik dan menggamit hati kecil seorang ibu kepada Bidadari Syurga seperti aku. Berikut tulisan Nuri Supian yang aku taip semula.


Mingguan Wanita Oktober 2012

"Perjalanan anak manusia ada pelbagai ragam. Sewaktu Allah menghembuskan roh ke dalam jasad, ketika itu bermulalah destinasi, atau ia sekadar memberi pengalaman sementara kepada ibu si pemilik 'Rahim' untuk menikmati denyut jantung seorang anak manusia, hanya Dia yang mengetahui.

Bagaimanapun kesudahannya perjalanan anak manusia itu menuju destinasi, ia tetap mengikut perintah Yang Maha Esa. Jika dalam perjalanan itu dia dijemput pulang oleh Pemiliknya yang abadi, biarpun belum sempat sampai ke pintu Rahim, dia harus redha. Perjalanan sementara itu bukan perjalanan yang sia-sia... Dia tidak tewas dalam perjalanan, tetapi dia datang sekejap kerana mahu memberitahu si ibu pemilik rahim tempatnya bersemayam biarpun sementara, bahawa dia pulang ke sana kerana mahu menjadi 'bidadari syurga' menanti si ibu dan ayah di sana kelak.

Kedatangannya yang sekejap itu, bukan sebagai ujian tetapi sebuah anugerah besar yang menanti di sana. Jangan gusar.

Kedatangannya yang sekejap itu bukan untuk ditangisi tetapi untuk memberikan secebis senyuman bahawa dia sudah berdaftar menjadi milik kekal di sana...

"Ayah bonda yang berasa sedih kerana kehilanganku, kesatlah air mata itu kerana kehadiranku yang sekejap itu untuk memberimu khabar gembira, bukan khabar duka. Usah bimbang pada kehilangan sementaraku ini, kerana aku tetap wujud di hatimu sampai bila-bila. Aku yang sudah kau hadiah sebuah nama indah sebelum menghantarku kembali ke alam 'sana' amat berterima kasih kerana walaupun sekejap , aku sudah bernama di sini."

"Datangku tanpa nama tetapi kembaliku sempat diberikan tanda. Nuha, indahnya nama itu. Kubawa nama pemberian ayah bonda ke alam sana agar nanti mudah mencariku dengan nama itu, apabila kita berkumpul kelak di sana..."

Catatan kecil ini sengaja saya ukir sebagai penawar duka kepada sepasang ayah bonda yang baru kehilangan 'bidadari kecil' mereka, setelah sekian lama menanti kedatangan itu. Nuha memang dipinjamkan sementara kerana ketika dilahirkan, dia tidak sempat mengalunkan indah dan gemeresik suaranya di pendengaran ayah dan ibunya, kerana dalam pengembaraannya sebagai anak manusia, dia kembali menemui Pencipta-Nya. Namun 'bidadari' ini sempat memberi sebuah kebahagiaan kepada pasangan muda itu.

Bagi anda yang lain, mungkin mengalami peristiwa yang sama, percayalah Allah telah memberikan kurnia-Nya kepada insan terpilih. Redha dan yakin bahawa kurniaan itu akan menjadi saham akhirat yang bakal memimpin tangan anda di Jannah apabila tiba masanya kelak. Air mata sedih anda hari ini, akan bertukar menjadi air mawar di sana kelak. Ingat bukan semua hamba-Nya terpilih seperti anda dan tabahlah menghadapi perpisahan sementara ini... Saya hanya mampu mendoakan agar anda tabah.

DARI TINTA
NURI SUPIAN"

Takziah kepada sahabat-sahabat yang baru saya kenal terutamanya melalui forum Ratu Hati. Kepada ibu arwah Ameena, iaitu Shaziera, semoga entry ini dapat mengubati kerinduan pada arwah Ameena.

Dan terutama untuk Ziyaad, mama kepada arwah Nuha, saya tak pasti adakah titipan Editor ini ada kaitan dengan awak. Saya harap, awak akan rasa sedikit terubat bila memahami maksud tulisan Editor tersebut.

Begitu juga buat ibu-ibu lain di Kelab IUD, dan mereka yang pernah melalui tempoh sesukar saya dahulu, insya-Allah masa akan mengubat segalanya. Allah SWT akan menggantikannya dengan kurniaan yang lebih baik selepas ini. Jika masih menunggu lama pengganti arwah, usahlah gusar kerana kita sudah punya bidadari kecil yang satu-satunya akan kita kenali apabila dibangkitkan kembali. Bergembiralah umpama kita mengharapkan akan ada orang yang menjemput kita di lapangan terbang di mana ribuan manusia ada di sana tapi tiada seorang pun yang kita kenal dan tiba-tiba sahaja seseorang melambai tangan dan memanggil nama kita.."Ibu..!" Begitulah agaknya di 'sana' apabila si ibu dan si anak saling mengenali. Wallahua'lam.

Semoga coretan entry ini dapat mengukir secebis senyuman di bibir anda.

Al-Fatihah buat kesemua bidadari cinta di syurga.

Tuesday, 9 October 2012

26? Never!

Situasi 1

A: Akak, berapa umur akak?

Aku: Sebelum tu, A bagi tahu dulu umur A.

A: 25 tahun.

Aku: Hah, memang patutlah A panggil I akak (masih tak nak bagi tahu umur).

A: Tapi berapa umur akak?

Aku: (Malu-malu) Tua setahun je dari A.

A: Owh, tapi akak tak nampak macam 26 tahun la.

Aku: Haah, akak macam dah 30 kan.

A: Haah. (Dengan telus dan jujur)

Aku: (Sengih)

A: Akak nampak matang. Baguslah. Tak macam sesetengah yang umur 26 tahun tapi keanak-anakan.

Aku: Mungkin adik-beradik akak mostly dah tua. So, akak dah biasa bergaul dengan orang lebih tua dari kecil. Bayangkanlah abang sulung akak sebaya mak mertua. That's why la akak nampak matang (tua sebenarnya).

A: (Angguk faham).

Aku: (Senyum).



Situasi 2

Pem. am: Nurun, nama Nurun dah dikeluarkan tau. (dari senarai yang kena pergi perhimpunan guru muda Sabtu ni.)

Aku: (Blur sekejap sebab tak tahu pun terpilih kena pergi). Kenapa kak nama I dikeluarkan? Sebab I dah tua ke?

Pem. am: (Tergelak). Bukanlah. PPD nak 2 orang je. So, sekolah hantar cikgu baru.

Aku: (Sengih sambil gelak sama-sama dengan akak tu. Cikgu baru mestilah lagi nampak muda, kan?)



Situasi 3

Aku: Akak dari sekolah mana?

Miss N: Akak???! Aku 31 okey. Ko? (Macam bengang)

Aku: (Suara macam dengar tak dengar). 26....

Miss N: (Terbeliak). Akak dari Sekolah Z (suara serba salah).

Aku: Senyum (malu!!!!!).



Situasi 4

Akak J: Nadia, u umur berapa?

Aku: (Sambil buat peace). 26... (sambil senyum nampak gigi).

Akak Y: (Terdengar dan menyampuk). Hah??? 26?!!

Aku: Hihi.. Tulah, semua tak percaya saya ni masih muda remaja (sengih macam kerang busuk).

Akak J, Y, dan akak-akak lain yang ada dekat situ: (Tenung muka aku lama-lama sambil buat muka tak percaya).

Aku: (Senyum besar nampak gigi atas bawah).



Situasi 5

Murid: Cikgu, umur cikgu berapa?

Aku: 42... (acuh tak acuh).

Murid-murid: Eh, eh. Tapi cikgu nampak mudalah! Kitorang ingat umur cikgu baru 36...

Aku: Hahahahaha!




P/S: Ada tips nak bagi aku nampak muda tak? :D

Saturday, 6 October 2012

Tahniah, Tahniah dan Tahniah! I'm So Happy!

Assalammualaikum w.b.t
 
 
Selamat Hari Ahad semua. Well, i'm updating my blog at Muar right now. Sudah lama sejak Aidilfitri tidak pulang menjenguk my MIL and FIL. Nampak macam merajuk sikit diorang aku dah lama tak balik especially ayah yang selalu bilang dia sudah tua, mestilah selalu dijenguk. Bukan apa. Aku memang terikat dengan banyak komitmen akhir-akhir ni. Minggu lepas terlibat dengan pembentangan Kajian Tindakan. Semalam pula hantar abang ipar aku di Senai Aiport untuk menunaikan haji. Sepatutnya aku di Kulai menemankan kakak aku yang masih kesedihan kerana suaminya bepergian tapi tanggungjawab as menantu yang baik  perlu ditunaikan juga.
 
Straight to tajuk entry. Korang ingat tak tentang kawan baik aku yang baru sahaja kehilangan puteri keduanya kerana menghidap Edward Syndrome bulan Mei lalu? Boleh rujuk entry ini.
 
Actually aku baru je dapat tahu yang sekarang dia sedang preggy anak ketiga. 2 months already! Syukur alhamdulillah. Thanks to my dearest Kak Mila for telling me this good news (I've dedicated special entry for you - Terima Kasih Teman). Al-maklumlah aku ni serupa katak bawah tempurung, ditambah dengan FB yang sudah lama deactivate. Memang banyaklah berita yang aku tak tahu termasuklah jemputan kahwin dari kawan-kawan aku. I'm so sorry.
 
Aku rasa gembira. Betul-betul gembira. Tah kenapa ye, aku lebih gembira dengar berita kawan-kawan aku preggy berbanding berita dari aku sendiri (???). Actually minggu ni sahaja aku dapat tahu 3 daripada collegues aku sudah preggy. Paling menyentuh hati dari seorang adik, yang aku panggil sebagai R yang sudah mengandung 7 weeks tanpa diketahui. But the good news tu cuma diberitahu pada aku seorang. Kenapa aku? Tah ye. Aku dan R memang rapat sejak R posting kali pertama dulu. R terus approach aku, perkenalkan diri. Masa tu R baru sahaja 2 bulan berkahwin. Memang R seorang yang sangat baik hati, lemah lembut dan baik akhlaknya. Sejak R berkahwin, aku tak pernah tanya soalan tentang "Dah ada isi ke?", "R dah pregnant?" dan yang seangkatan dengannya sebab aku sendiri kurang selesa ditanya sebegitu setiap waktu.
 
Sampailah satu hari, dalam bulan Ramadhan, aku termimpi R jumpa aku dengan excitednya beritahu yang dia sudah mengandung. Siap tunjuk lagi aku yang dia sudah tidak pakai lagi platform shoes since preggy. Kebetulan esoknya, di sekolah aku ternampak R pakai flat shoes. Aku tersenyum. Tak berani nak bertanya. Tapi aku cerita tentang mimpi tu pada R selepas solat zuhur bersama. "Kak, saya belum ada lagi. Mak saya pun dah bising sebab orang kampung asyik tanya."  Aku tak ingat apa yang aku balas pada R cuma aku memang berharap sangat R pregnant cepat. Bukan mudah nak berhadapan selalu dengan kata-kata 'memilukan hati'. Aku pernah lalui perasaan itu dan aku tak nak R hadapi pressure yang sama.
 
Hinggalah Jumaat lepas, R jumpa aku dan separa berbisik beritahu tentang berita gembira itu. R pun tak sangka dia sudah pregnant 7 minggu since LMP raya hari itu. Aku peluk R. Gembira tak terkata. R salam dan cium tangan aku, buat aku bertambah terharu. Syukur pada-Mu ya Allah kerana memperkenankan doa-doa mereka terutama orang-orang yang sentiasa menyayangiku kerana cinta pada-Mu.
 
Kelmarin, sepupu aku telah selamat melahirkan sepasang kembar, identical, lelaki, di Hospital Sultan Ismail setelah penantian hampir 4 tahun. Bertambah syukur melihat gambar kedua-dua bayi itu yang cukup sifat dan sihat. Kebetulan berjumpa dengan makcik aku di airport semalam, terus dia mendoakan agar aku juga bakal mendapat berita gembira seperti anaknya. Bertambah-tambah terharu dan berbunga-bunga hati aku bila dalam masa seminggu banyak berita gembira yang dikhabarkan. Syukur Alhamdulillah Ya Allah atas rezeki kurniaan-Mu kepada mereka.
 
Insya-Allah, doa dan harapan tidak pernah putus agar aku juga bakal menerima ucapan tahniah itu dari mereka pula. Bila? Semua itu rahsia Allah dan sesungguhnya sesuatu yang ditunda itu pasti ada kebaikan pada masa akan datang. Dengan berkat kesabaran dan doa dari rakan-rakan,  aku dan Edy bakal dapat rezeki yang tertunda itu juga nanti, Insya-Allah. Siapa yang bisa jangka bukan? Ketentuan-Mu itu adalah yang terbaik buat kami.
 
Sekali lagi buat mereka, Tahniah, Tahniah, dan Tahniah!

Tuesday, 2 October 2012

Kenapa Mesti Cikgu?

Note: Sila ambil perhatian. Ini hanyalah cerita saya. Saya ulang, cerita SAYA. Tiada kaitan dengan mana-mana pihak since sejak kebelakangan ini sudah banyak isu perguruan di Malaysia yang wujud di laman sesawang.
 
Assalammualaikum w.b.t
 
Apa perasaan korang baca note kat atas tu? Ada rasa suspen? Actually tak ada apa pun dengan entry yang aku nak tulis ni. Saje bikin gempak sikit, Peace No War :)
 
 
Alhamdulillah, lahir dalam keluarga yang diberi jolokan 'Keluarga Cikgu' oleh orang kampung aku buat aku rasa sangat bersyukur kini. Kenapa kini? Sebab dulu aku tak tahu betapa seronoknya dapat menimba pengalaman sebagai seorang guru.
 
Keluarga aku menjadi rujukan utama jika aku ada masalah dengan pengalaman yang baru setahun jagung dalam bidang ini. Kenapa kami mendapat jolokan 'Keluarga Cikgu' ini adalah sebab arwah abah aku dulunya ialah seorang guru besar merangkap guru agama. Kemudian bakat itu diwarisi oleh kami adik beradik; long, angah, abang poji, kak leha, kak anim dan aku. Cuma dua daripada kami 8 beradik iaitu abang aku, Tahrir dan adik aku, Salleh yang tidak memilih bidang ini. Masing-masing telah bekerja di Air Asia dan bengkel motor sejak dulu. Salleh lah adik yang aku selalu maksudkan tinggal bersama aku. Selain itu, 3 ipar aku juga terlibat dalam bidang perguruan ini ditambah dengan anak saudara sulung aku yang baru sahaja posting mengajar MUET dan seorang lagi masih di tahun satu bidang pendidikan TESL di UTM. Kami terdiri daripada pelbagai bidang pendidikan; Teknik & Vokasional, Sains dan Matematik (Fizik, Kimia, Biologi, Add Math), TESL, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Kaunseling.
 
Keseronokan ini akan lebih terasa bila kami adik-beradik berkumpul dan masing-masing akan bercerita tentang pengalaman di tempat kerja. Sudah tentulah latar cerita kami hampir sama kan. Cuma kesian juga pada ipar yang lain especially Edy yang jadi blur bila kami bercerita tentang CRK, kajian tindakan, SKT, BISP dan sebagainya. Lagi satu, kalau kami berkumpul, masya-Allah riuh sungguh jadinya. Al-maklumlah cikgu. Suara kami, kuat-kuat belaka. Haha!
 
 
Pengalaman mengajar di tiga sekolah berbeza sejak hampir 4 tahun lalu telah banyak mematangkan aku. Sekolah pertama adalah di Kuantan, waktu aku menjalani latihan mengajar. Aku rasa, sepanjang 3 tahun mengajar, pengalaman di Kuantan memang tak dapat dilupakan. Aku jadi keliru waktu itu untuk jadi cikgu yang bagaimana. Aku tak pasti macam mana ingin buat murid hormat pada aku. Akibatnya, banyak juga tekanan yang aku hadapi dalam usaha untuk menjadi cikgu yang bagus. Walaupun aku berjaya mendapat A untuk latihan mengajar itu, tapi aku tak meraih kepuasan dalam mengajar. Aku tak cukup mendekati anak-anak murid aku. Target aku waktu itu ialah mereka dengar, beri perhatian, dan buat segala kerja yang diberi. Itu sahaja. Aku tak pernah cuba mendekati hati mereka. Itulah kesilapan yang aku lakukan. Akibatnya, segala bahan P&P yang aku tungkus-lumus buat dalam masa 3 bulan latihan, aku buang ke dalam tong sampah kerana perasaan serba salah tidak dapat menjadi seorang pendidik. Perkataan pendidik dan pengajar adalah dua perkara yang berbeza. Rasanya tak perlulah aku kritikalkan lagi isu ini untuk tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
 
 
Tempat mengajar aku yang kedua ialah di sekolah pertama aku posting, di Johor Bahru. Aku seperti alami kejutan budaya bila mengajar di sebuah sekolah premier di tengah-tengah bandaraya di mana semua muridnya adalah murid lelaki kecuali pelajar-pelajar tingkatan 6, dan amat parah lagi (bagi aku) bila bahasa perantaraan utama mereka di sini adalah Bahasa Inggeris. Memandangkan aku ni bukanlah seorang yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik, menjadi satu cabaran juga buat aku bila mengajar di sini. Syukurlah murid-murid di sini amat memahami dan menghormati ilmu yang ada pada guru mereka dan bukanlah pada kebolehan berbahasa semata-mata.
 
 
Cabaran aku di sekolah ini bertambah lagi apabila aku perlu mengajar di luar bidang aku iaitu Matematik tingkatan 1, 2, dan 3. Memanglah mudah tapi aku tak ada idea macam mana untuk memberi tips penyelesaian mudah pada murid. Sudahnya, cara pengajaran aku agak kritikal sikit. Ditambah dengan aku yang sangat tegas dan garang (waktu itu), buat murid-murid aku di sana lagi takut untuk belajar dan membuat salah. Sikap tegas dan garang aku tu muncul bila murid-murid lelaki yang sangat aktif ini agak sukar untuk dikawal apabila seseorang guru itu agak lembut. Aku banyak berubah sikap di sini bila tekanan untuk mengekalkan pencapaian murid 100% perlu dicapai. Walaupun kelas yang aku ajar dapat dikawal baik, tapi aku dapat rasa tekanan dari murid-murid aku. Mereka seolah-olah dipaksa belajar. Sudahlah di rumah dikawal ketat oleh ibu-bapa dan guru tuisyen yang memantau latihan dan perkembangan pelajaran, di sekolah mereka terpaksa bertemu dengan guru seperti aku yang memaksa mereka untuk belajar dan faham. Kadang-kadang, terbit juga rasa kasihan memandangkan hidup mereka di sebuah bandaraya memang penuh dengan persaingan yang sengit. Banyak tekanan ekonomi, perasaan, emosi, kekurangan perhatian dan kasih sayang. Tapi, aku memang tiada daya untuk 'mengawal' semua itu apatah lagi aku juga menghadapi 'tekanan' untuk mengekalkan pencapaian murid di tangga teratas. Sekali lagi, aku tidak dapat merasai nikmat sebagai seorang pendidik. Maafkan cikgu sekalian anak-anak murid yang cikgu rindui. Cikgu tidak dapat menyentuh 'hati-hati' kamu.
 
 
Dan kini aku mengajar di sekolah ketiga di tempat aku membesar, Kulaijaya. Sekolah yang sangat terkenal di Kulai. Banyak kategori terkenalnya. Aku sebut yang baik sahajalah. Sekolah aku sekarang ni antara sekolah yang mendapat keputusan STPM terbaik di daerah Kulai dan antara yang terbaik di negeri Johor juga, Insya-Allah. Dan yang lain? Biarlah warga Kulai sahaja yang mengetahui :)
 
 
Di sini, pengalaman aku sebagai seorang guru cukup berbeza. Rata-rata murid di sini datang dari pelbagai latar dan cerita, buat hati aku kadang-kadang terusik. Tak kira macam mana aku marah mereka sekali pun, aku pasti akan 'mendekati' hati mereka semula. Mungkin juga ingin menebus kesilapan lalu. Aku cuba tidak racist, melayan mereka sama rata. Memberi ilmu dan kasih sayang itu sama timbal baliknya. Yang penting, tegas aku tidak pernah berubah, supaya mereka tidak main-main dan sentiasa serius dalam pelajaran. Aku akan pastikan setiap pengajaran Sains dan Kimia aku diselitkan dengan konsep kasih sayang kepada makhluk lain, kepercayaan agama, dan hukum karma. Bercerita tentang karma, anak-anak murid aku cukup takut dengan segala penipuan yang melibatkan agama. Contohnya, aku boleh tangkap si peniru dalam peperiksaan. Mudah sahaja. Tak kira apa bangsa, aku akan ceritakan tentang pembalasan di dunia dan di akhirat oleh Tuhan. Akhirnya mereka semua akan mengaku dan akur dengan markah kosong sebagai pengajaran. Aku juga dapat menemui si pencuri wang. Konsepnya sama. Kepercayaan kepada Tuhan. Dengan bercerita tentang segala pembalasan, akhirnya mereka terpaksa mengaku. Didikan agama itu memang sangat penting di mana sahaja kita berada. Seorang guru yang bukan guru agama juga wajar menerapkan nila-nilai murni ini kepada murid supaya mereka sentiasa ingat dan tidak lupa bahawa Allah sentiasa melihat walau di mana kita berada.
 
 
Jika ditanya tentang cukupkah gaji seorang guru? Terpulanglah kepada penilaian setiap individu. Aku masih ingat kata-kata seorang guru Geografi sewaktu aku di tingkatan dua 12 tahun yang lalu, "Berkat gaji seorang guru itu adalah berkat kepada ilmu yang diajarnya". Waktu tu aku tak faham. Betul-betul tak faham. Aku memang masih ingat, setiap kali guru Geografi tu ingin duduk sebentar, pasti dia akan meminta izin kami dahulu. Pernah juga salah seorang kawan kami bertanya, perlukah dia meminta izin setiap kali mahu duduk? "Saya takut kalau ditanya nanti di akhirat.." Jawapan yang masih buat kami terutamanya aku tak faham.

Tapi sekarang, aku sudah faham akan semua itu. Setelah kami menerima tawaran sebagai seorang guru, tugas kami bukan sekadar di sekolah, tapi 24 jam setiap hari di mana sahaja kami berada, tugas 'guru' itu ada di mana-mana. Hinggakan aku selalu rasa, jika aku tidak dapat membuat sesuatu yang terbaik di sekolah, apakah aku juga akan gagal di rumah sebagai seorang suri di hati suami dan ratu di hati anak-anak kami? Apakah aku akan menerima pembalasan atas ketidak berkatan gaji yang diterima? Semua ini sudah terjawab dalam beberapa situasi hidup aku. Jika aku amanah, insya-Allah keberkatan itu ada di mana-mana. Jika tidak, Allah pasti sudah menghitungnya.
 
 
Jadi, aku harap, individu yang masih mempersoalkan tentang gaji yang aku terima ini adakah berkadaran dan berkecukupan untuk kami seisi keluarga, jawapannya adalah pada keberkatan gaji itu sendiri. Insya-Allah gaji yang berkat, walaupun sedikit, akan cukuplah ia. Dan jika gaji itu tidak berkat, walaupun banyak, tetap kelihatan tidak pernah cukup jika kita perlu menggadai banyak perkara untuk mendapatkannnya. Bukanlah aku sengaja mahu menolak tawaran beberapa orang rakan yang meminta aku menceburkan diri dalam pelbagai cabang perniagaan yang bisa memberi wang bulanan dari 5 angka hingga ke 6 angka sebulan, tapi kerana aku masih lagi tidak mampu menggalas amanah yang diberi ini dengan baik walaupun aku hanyalah seorang guru. Aku bukanlah mengatakan TIDAK terus, tapi mungkin masanya bukanlah sekarang. Mungkin suatu hari nanti, selepas bersara barangkali.
 
 
Dan tentulah korang faham, kenapa mesti aku menjadi cikgu sekarang. Ada kepuasan yang tersendiri bagi aku. Biarlah penat dengan tugas sampingan yang tak pernah habis. Sudah menjadi asam garam buat guru-guru masa kini. Tapi sesuatu yang tak bernilai, ialah kepuasan untuk mendidik seorang murid / pelajar menjadi insan yang berjaya dan sekali pun tidak membalas sebarang ilmu yang telah diberi dengan wang ringgit, tapi berkadaranlah dengan sekeping doa yang dikirim setiap hari buat guru-guru yang disayangi. Itulah salah satu doa yang selalu Edy kirimkan buat guru-gurunya dahulu bila kami usai berjemaah. Mengenangkan murid seperti Edy yang masih mengingati akan guru-gurunya dalam doa buat aku selalu rasa tersentuh dan berazam untuk melahirkan murid-murid / pelajar-pelajar seperti ini.
 
 
Aku juga sentiasa teringat kenangan arwah abah sewaktu akhir hayatnya. Jumlah bekas anak murid abah yang hadir untuk kucup dan melihat jenazah abah tidak terkira. Hinggakan abah terpaksa disolatkan dua kali, sekali di rumah, dan sekali di masjid, atas permintaan ramai. Aku sendiri tak dapat melihat dan menyentuh arwah abah sewaktu dan setelah disolatkan kerana terpaksa berebut dengan orang lain yang tak dikenali. Namun kami bersyukur, jika ilmu yang arwah abah beri dalam bidang agama dahulu memberi kesan sebegitu kepada setiap anak-anak muridnya, kami rela mengalah. Abahlah idola kami dalam menjadi seorang guru yang disayangi. Abah sentiasa menggunakan kata-kata berkias untuk memenangi sikap anak-anak muridnya yang nakal dahulu. Kata abah, kalau murid-murid kita tak nak hantar buku, jangan marah, jangan pukul. Beritahu mereka, "Terima kasih pada yang tak nak hantar buku. Senang hati cikgu tak payah tanda banyak-banyak. Kurang kerja cikgu.." Dulu aku tak percaya. Tapi hakikatnya, aku selalu menggunakan pendekatan yang sama. Sikap manusia ini secara naturalnya tidak suka disindir dan rela dimarah. Bila diperli sebegitu, percayalah, tak sampai beberapa minit, anak-anak murid aku akan hantar buku semua. Siap perli aku balik, "Hah, dah banyak balik kerja cikgu!"
 
 
Apa yang aku tulis di sini pada hari ini, mungkin tidak akan kekal indah selamanya. Setiap hari pun ada turun naiknya. Adakalanya aku menjadi bahan untuk tidak disukai tanpa sebab. Pernah juga aku menangis bila mengenangkan apa dosa dan salah hingga aku yang tidak seberapa ini dicemburui. Kemudian, aku akan berdoa kepada Allah setiap kali aku merasa sebegini. Doa yang selalu aku titipkan ialah;
 
 
"Ya Allah, sesungguhnya Kau Yang Maha Memegang hati-hati mereka. Lembutkanlah hati mereka dan titipkanlah rasa kasihan dari mereka kepada aku. Amin."
 
 
Insya-Allah, aku akan berasa aman selepas itu dan segalanya seakan pulih seperti sedia kala. Aku tidak menyimpan dendam selagi ia tidak menjatuhkan maruah dan agama aku. Pernah sekali, aku dimarah oleh seseorang (yang layak untuk memarahi) atas tuduhan oleh seorang guru lain yang sama bangsa dengannya yang mengatakan aku tidak membuat kerja. Aku rasa sangat kecewa sebab kerja itu sudah disudahkan seminggu lalu. Cuma belum sampai lagi ke tangan orang yang sepatutnya. Jawapan aku mudah, "Walaupun saya bukan kerja lambat, saya tak akan menyusahkan orang lain. Biarlah saya menyusahkan diri sendiri." Dan tidak cukup dengan itu, aku bersua dengan guru tersebut minta dia memberi penjelasan. Akhirnya perkara itu selesai walaupun aku sudah dipersepsi buruk oleh orang lain. Biarlah. Allah Maha Adil. Dia pasti sudah menghitungnya. Bukan semua akan berdiam diri apabila diperbodohkan atau difitnah sebegitu walaupun akhirnya mereka mengaku telah bersalah pada aku. Memang aku boleh tersenyum, tapi selepas dari itu, aku sentiasa berhati-hati dengan golongan seperti ini.
 
 
Terima kasih banyak-banyak kepada rakan-rakan yang sentiasa menyarankan aku untuk melakukan kerja ini kerana Allah. Terima kasih kepada kakak-kakak dan abang-abang yang sentiasa menyokong aku sewaktu aku ingin berpatah balik dahulu. Aku akan cuba dan terus mencuba untuk jadi yang terbaik. Biarlah dihina, dikeji, dicaci, jika inilah takdir yang bisa memberi 'saham' buat aku di sana nanti, aku redha.
 
 
Kenapa mesti cikgu? Jawapannya sudah terpahat di hati :)

Click! Click! Click!