Tuesday, 2 October 2012

Kenapa Mesti Cikgu?

Note: Sila ambil perhatian. Ini hanyalah cerita saya. Saya ulang, cerita SAYA. Tiada kaitan dengan mana-mana pihak since sejak kebelakangan ini sudah banyak isu perguruan di Malaysia yang wujud di laman sesawang.
 
Assalammualaikum w.b.t
 
Apa perasaan korang baca note kat atas tu? Ada rasa suspen? Actually tak ada apa pun dengan entry yang aku nak tulis ni. Saje bikin gempak sikit, Peace No War :)
 
 
Alhamdulillah, lahir dalam keluarga yang diberi jolokan 'Keluarga Cikgu' oleh orang kampung aku buat aku rasa sangat bersyukur kini. Kenapa kini? Sebab dulu aku tak tahu betapa seronoknya dapat menimba pengalaman sebagai seorang guru.
 
Keluarga aku menjadi rujukan utama jika aku ada masalah dengan pengalaman yang baru setahun jagung dalam bidang ini. Kenapa kami mendapat jolokan 'Keluarga Cikgu' ini adalah sebab arwah abah aku dulunya ialah seorang guru besar merangkap guru agama. Kemudian bakat itu diwarisi oleh kami adik beradik; long, angah, abang poji, kak leha, kak anim dan aku. Cuma dua daripada kami 8 beradik iaitu abang aku, Tahrir dan adik aku, Salleh yang tidak memilih bidang ini. Masing-masing telah bekerja di Air Asia dan bengkel motor sejak dulu. Salleh lah adik yang aku selalu maksudkan tinggal bersama aku. Selain itu, 3 ipar aku juga terlibat dalam bidang perguruan ini ditambah dengan anak saudara sulung aku yang baru sahaja posting mengajar MUET dan seorang lagi masih di tahun satu bidang pendidikan TESL di UTM. Kami terdiri daripada pelbagai bidang pendidikan; Teknik & Vokasional, Sains dan Matematik (Fizik, Kimia, Biologi, Add Math), TESL, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Kaunseling.
 
Keseronokan ini akan lebih terasa bila kami adik-beradik berkumpul dan masing-masing akan bercerita tentang pengalaman di tempat kerja. Sudah tentulah latar cerita kami hampir sama kan. Cuma kesian juga pada ipar yang lain especially Edy yang jadi blur bila kami bercerita tentang CRK, kajian tindakan, SKT, BISP dan sebagainya. Lagi satu, kalau kami berkumpul, masya-Allah riuh sungguh jadinya. Al-maklumlah cikgu. Suara kami, kuat-kuat belaka. Haha!
 
 
Pengalaman mengajar di tiga sekolah berbeza sejak hampir 4 tahun lalu telah banyak mematangkan aku. Sekolah pertama adalah di Kuantan, waktu aku menjalani latihan mengajar. Aku rasa, sepanjang 3 tahun mengajar, pengalaman di Kuantan memang tak dapat dilupakan. Aku jadi keliru waktu itu untuk jadi cikgu yang bagaimana. Aku tak pasti macam mana ingin buat murid hormat pada aku. Akibatnya, banyak juga tekanan yang aku hadapi dalam usaha untuk menjadi cikgu yang bagus. Walaupun aku berjaya mendapat A untuk latihan mengajar itu, tapi aku tak meraih kepuasan dalam mengajar. Aku tak cukup mendekati anak-anak murid aku. Target aku waktu itu ialah mereka dengar, beri perhatian, dan buat segala kerja yang diberi. Itu sahaja. Aku tak pernah cuba mendekati hati mereka. Itulah kesilapan yang aku lakukan. Akibatnya, segala bahan P&P yang aku tungkus-lumus buat dalam masa 3 bulan latihan, aku buang ke dalam tong sampah kerana perasaan serba salah tidak dapat menjadi seorang pendidik. Perkataan pendidik dan pengajar adalah dua perkara yang berbeza. Rasanya tak perlulah aku kritikalkan lagi isu ini untuk tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
 
 
Tempat mengajar aku yang kedua ialah di sekolah pertama aku posting, di Johor Bahru. Aku seperti alami kejutan budaya bila mengajar di sebuah sekolah premier di tengah-tengah bandaraya di mana semua muridnya adalah murid lelaki kecuali pelajar-pelajar tingkatan 6, dan amat parah lagi (bagi aku) bila bahasa perantaraan utama mereka di sini adalah Bahasa Inggeris. Memandangkan aku ni bukanlah seorang yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik, menjadi satu cabaran juga buat aku bila mengajar di sini. Syukurlah murid-murid di sini amat memahami dan menghormati ilmu yang ada pada guru mereka dan bukanlah pada kebolehan berbahasa semata-mata.
 
 
Cabaran aku di sekolah ini bertambah lagi apabila aku perlu mengajar di luar bidang aku iaitu Matematik tingkatan 1, 2, dan 3. Memanglah mudah tapi aku tak ada idea macam mana untuk memberi tips penyelesaian mudah pada murid. Sudahnya, cara pengajaran aku agak kritikal sikit. Ditambah dengan aku yang sangat tegas dan garang (waktu itu), buat murid-murid aku di sana lagi takut untuk belajar dan membuat salah. Sikap tegas dan garang aku tu muncul bila murid-murid lelaki yang sangat aktif ini agak sukar untuk dikawal apabila seseorang guru itu agak lembut. Aku banyak berubah sikap di sini bila tekanan untuk mengekalkan pencapaian murid 100% perlu dicapai. Walaupun kelas yang aku ajar dapat dikawal baik, tapi aku dapat rasa tekanan dari murid-murid aku. Mereka seolah-olah dipaksa belajar. Sudahlah di rumah dikawal ketat oleh ibu-bapa dan guru tuisyen yang memantau latihan dan perkembangan pelajaran, di sekolah mereka terpaksa bertemu dengan guru seperti aku yang memaksa mereka untuk belajar dan faham. Kadang-kadang, terbit juga rasa kasihan memandangkan hidup mereka di sebuah bandaraya memang penuh dengan persaingan yang sengit. Banyak tekanan ekonomi, perasaan, emosi, kekurangan perhatian dan kasih sayang. Tapi, aku memang tiada daya untuk 'mengawal' semua itu apatah lagi aku juga menghadapi 'tekanan' untuk mengekalkan pencapaian murid di tangga teratas. Sekali lagi, aku tidak dapat merasai nikmat sebagai seorang pendidik. Maafkan cikgu sekalian anak-anak murid yang cikgu rindui. Cikgu tidak dapat menyentuh 'hati-hati' kamu.
 
 
Dan kini aku mengajar di sekolah ketiga di tempat aku membesar, Kulaijaya. Sekolah yang sangat terkenal di Kulai. Banyak kategori terkenalnya. Aku sebut yang baik sahajalah. Sekolah aku sekarang ni antara sekolah yang mendapat keputusan STPM terbaik di daerah Kulai dan antara yang terbaik di negeri Johor juga, Insya-Allah. Dan yang lain? Biarlah warga Kulai sahaja yang mengetahui :)
 
 
Di sini, pengalaman aku sebagai seorang guru cukup berbeza. Rata-rata murid di sini datang dari pelbagai latar dan cerita, buat hati aku kadang-kadang terusik. Tak kira macam mana aku marah mereka sekali pun, aku pasti akan 'mendekati' hati mereka semula. Mungkin juga ingin menebus kesilapan lalu. Aku cuba tidak racist, melayan mereka sama rata. Memberi ilmu dan kasih sayang itu sama timbal baliknya. Yang penting, tegas aku tidak pernah berubah, supaya mereka tidak main-main dan sentiasa serius dalam pelajaran. Aku akan pastikan setiap pengajaran Sains dan Kimia aku diselitkan dengan konsep kasih sayang kepada makhluk lain, kepercayaan agama, dan hukum karma. Bercerita tentang karma, anak-anak murid aku cukup takut dengan segala penipuan yang melibatkan agama. Contohnya, aku boleh tangkap si peniru dalam peperiksaan. Mudah sahaja. Tak kira apa bangsa, aku akan ceritakan tentang pembalasan di dunia dan di akhirat oleh Tuhan. Akhirnya mereka semua akan mengaku dan akur dengan markah kosong sebagai pengajaran. Aku juga dapat menemui si pencuri wang. Konsepnya sama. Kepercayaan kepada Tuhan. Dengan bercerita tentang segala pembalasan, akhirnya mereka terpaksa mengaku. Didikan agama itu memang sangat penting di mana sahaja kita berada. Seorang guru yang bukan guru agama juga wajar menerapkan nila-nilai murni ini kepada murid supaya mereka sentiasa ingat dan tidak lupa bahawa Allah sentiasa melihat walau di mana kita berada.
 
 
Jika ditanya tentang cukupkah gaji seorang guru? Terpulanglah kepada penilaian setiap individu. Aku masih ingat kata-kata seorang guru Geografi sewaktu aku di tingkatan dua 12 tahun yang lalu, "Berkat gaji seorang guru itu adalah berkat kepada ilmu yang diajarnya". Waktu tu aku tak faham. Betul-betul tak faham. Aku memang masih ingat, setiap kali guru Geografi tu ingin duduk sebentar, pasti dia akan meminta izin kami dahulu. Pernah juga salah seorang kawan kami bertanya, perlukah dia meminta izin setiap kali mahu duduk? "Saya takut kalau ditanya nanti di akhirat.." Jawapan yang masih buat kami terutamanya aku tak faham.

Tapi sekarang, aku sudah faham akan semua itu. Setelah kami menerima tawaran sebagai seorang guru, tugas kami bukan sekadar di sekolah, tapi 24 jam setiap hari di mana sahaja kami berada, tugas 'guru' itu ada di mana-mana. Hinggakan aku selalu rasa, jika aku tidak dapat membuat sesuatu yang terbaik di sekolah, apakah aku juga akan gagal di rumah sebagai seorang suri di hati suami dan ratu di hati anak-anak kami? Apakah aku akan menerima pembalasan atas ketidak berkatan gaji yang diterima? Semua ini sudah terjawab dalam beberapa situasi hidup aku. Jika aku amanah, insya-Allah keberkatan itu ada di mana-mana. Jika tidak, Allah pasti sudah menghitungnya.
 
 
Jadi, aku harap, individu yang masih mempersoalkan tentang gaji yang aku terima ini adakah berkadaran dan berkecukupan untuk kami seisi keluarga, jawapannya adalah pada keberkatan gaji itu sendiri. Insya-Allah gaji yang berkat, walaupun sedikit, akan cukuplah ia. Dan jika gaji itu tidak berkat, walaupun banyak, tetap kelihatan tidak pernah cukup jika kita perlu menggadai banyak perkara untuk mendapatkannnya. Bukanlah aku sengaja mahu menolak tawaran beberapa orang rakan yang meminta aku menceburkan diri dalam pelbagai cabang perniagaan yang bisa memberi wang bulanan dari 5 angka hingga ke 6 angka sebulan, tapi kerana aku masih lagi tidak mampu menggalas amanah yang diberi ini dengan baik walaupun aku hanyalah seorang guru. Aku bukanlah mengatakan TIDAK terus, tapi mungkin masanya bukanlah sekarang. Mungkin suatu hari nanti, selepas bersara barangkali.
 
 
Dan tentulah korang faham, kenapa mesti aku menjadi cikgu sekarang. Ada kepuasan yang tersendiri bagi aku. Biarlah penat dengan tugas sampingan yang tak pernah habis. Sudah menjadi asam garam buat guru-guru masa kini. Tapi sesuatu yang tak bernilai, ialah kepuasan untuk mendidik seorang murid / pelajar menjadi insan yang berjaya dan sekali pun tidak membalas sebarang ilmu yang telah diberi dengan wang ringgit, tapi berkadaranlah dengan sekeping doa yang dikirim setiap hari buat guru-guru yang disayangi. Itulah salah satu doa yang selalu Edy kirimkan buat guru-gurunya dahulu bila kami usai berjemaah. Mengenangkan murid seperti Edy yang masih mengingati akan guru-gurunya dalam doa buat aku selalu rasa tersentuh dan berazam untuk melahirkan murid-murid / pelajar-pelajar seperti ini.
 
 
Aku juga sentiasa teringat kenangan arwah abah sewaktu akhir hayatnya. Jumlah bekas anak murid abah yang hadir untuk kucup dan melihat jenazah abah tidak terkira. Hinggakan abah terpaksa disolatkan dua kali, sekali di rumah, dan sekali di masjid, atas permintaan ramai. Aku sendiri tak dapat melihat dan menyentuh arwah abah sewaktu dan setelah disolatkan kerana terpaksa berebut dengan orang lain yang tak dikenali. Namun kami bersyukur, jika ilmu yang arwah abah beri dalam bidang agama dahulu memberi kesan sebegitu kepada setiap anak-anak muridnya, kami rela mengalah. Abahlah idola kami dalam menjadi seorang guru yang disayangi. Abah sentiasa menggunakan kata-kata berkias untuk memenangi sikap anak-anak muridnya yang nakal dahulu. Kata abah, kalau murid-murid kita tak nak hantar buku, jangan marah, jangan pukul. Beritahu mereka, "Terima kasih pada yang tak nak hantar buku. Senang hati cikgu tak payah tanda banyak-banyak. Kurang kerja cikgu.." Dulu aku tak percaya. Tapi hakikatnya, aku selalu menggunakan pendekatan yang sama. Sikap manusia ini secara naturalnya tidak suka disindir dan rela dimarah. Bila diperli sebegitu, percayalah, tak sampai beberapa minit, anak-anak murid aku akan hantar buku semua. Siap perli aku balik, "Hah, dah banyak balik kerja cikgu!"
 
 
Apa yang aku tulis di sini pada hari ini, mungkin tidak akan kekal indah selamanya. Setiap hari pun ada turun naiknya. Adakalanya aku menjadi bahan untuk tidak disukai tanpa sebab. Pernah juga aku menangis bila mengenangkan apa dosa dan salah hingga aku yang tidak seberapa ini dicemburui. Kemudian, aku akan berdoa kepada Allah setiap kali aku merasa sebegini. Doa yang selalu aku titipkan ialah;
 
 
"Ya Allah, sesungguhnya Kau Yang Maha Memegang hati-hati mereka. Lembutkanlah hati mereka dan titipkanlah rasa kasihan dari mereka kepada aku. Amin."
 
 
Insya-Allah, aku akan berasa aman selepas itu dan segalanya seakan pulih seperti sedia kala. Aku tidak menyimpan dendam selagi ia tidak menjatuhkan maruah dan agama aku. Pernah sekali, aku dimarah oleh seseorang (yang layak untuk memarahi) atas tuduhan oleh seorang guru lain yang sama bangsa dengannya yang mengatakan aku tidak membuat kerja. Aku rasa sangat kecewa sebab kerja itu sudah disudahkan seminggu lalu. Cuma belum sampai lagi ke tangan orang yang sepatutnya. Jawapan aku mudah, "Walaupun saya bukan kerja lambat, saya tak akan menyusahkan orang lain. Biarlah saya menyusahkan diri sendiri." Dan tidak cukup dengan itu, aku bersua dengan guru tersebut minta dia memberi penjelasan. Akhirnya perkara itu selesai walaupun aku sudah dipersepsi buruk oleh orang lain. Biarlah. Allah Maha Adil. Dia pasti sudah menghitungnya. Bukan semua akan berdiam diri apabila diperbodohkan atau difitnah sebegitu walaupun akhirnya mereka mengaku telah bersalah pada aku. Memang aku boleh tersenyum, tapi selepas dari itu, aku sentiasa berhati-hati dengan golongan seperti ini.
 
 
Terima kasih banyak-banyak kepada rakan-rakan yang sentiasa menyarankan aku untuk melakukan kerja ini kerana Allah. Terima kasih kepada kakak-kakak dan abang-abang yang sentiasa menyokong aku sewaktu aku ingin berpatah balik dahulu. Aku akan cuba dan terus mencuba untuk jadi yang terbaik. Biarlah dihina, dikeji, dicaci, jika inilah takdir yang bisa memberi 'saham' buat aku di sana nanti, aku redha.
 
 
Kenapa mesti cikgu? Jawapannya sudah terpahat di hati :)

4 comments:

  1. Tq min for ur support :)

    ReplyDelete
  2. best2 tahniah

    ReplyDelete
  3. Suka sgt2 entry nie...In Sha Allah byk dah saham guru2 utk bekalan di sana...

    ReplyDelete

Click! Click! Click!