Friday, 15 February 2013

Bukan sekadar azam. Jika ini takdir-Nya...




Assalammualaikum w.b.t


Awal tahun yang lalu, saya telah menyenaraikan 6 azam tahun baru saya. Tidak seperti tahun-tahun lalu, azam saya kali ini cukup bedanya. Saya seperti 'digerakkan' untuk mencapai azam saya itu. Barangkali kerana sahabat-sahabat blogger yang sudi membaca entry saya dan menjadi satu doa, Allah memberikan saya beberapa pilihan sekaligus hingga saya jadi buntu mahu lakukan yang mana. Akhirnya, setelah istikharah, saya yakin, inilah takdir-Nya. Takdir yang terbaik untuk saya walaupun sejujurnya saya belum bersedia. Berikut adalah kronologi sebahagian azam saya yang tercapai dalam masa sebulan. Sebelum itu, saya ingin ingatkan diri saya agar sentiasa merasa cukup dengan apa yang saya ada, dan bersyukur dengan nikmat rezeki yang diberikan. Alhamdulillah!


Pengurusan masa

Sesuatu yang agak mustahil bagi saya. Bukan saya sahaja, malah keluarga mahu pun rakan-rakan tahu saya sangat culas dari segi pengurusan masa. Selalunya begini, setiap hari saya akan bangun (dengan lemah-longlainya) pada pukul 6 pagi. Adakalanya saya sengaja biarkan jam handphone snooze untuk beberapa minit lagi. Setiap hari begitu, penuh tidak bersemangat. Waktu selepas bangun itu juga, saya akan gunakan untuk menggosok baju, mandi, kejutkan Edy dan solat subuh bersama. Selalunya saya siap mandi lebih kurang pukul 6.35 - 6.40 pagi. Dalam waktu itu juga saya perlu bersiap dan solat subuh. Selalunya paling awal saya akan keluar rumah (dalam keadaan tergesa-gesa dan penuh tekanan) lebih kurang 6.55 pagi atau pun pukul 7 pagi. Paling parah bila tudung yang saya pakai ada yang tidak kena dan masa itu akan teranjak lebih lewat. Saya perlu tiba di sekolah pada pukul 7.10 pagi, dan selalunya saya akan melewati pintu pagar utama pada pukul 7.13 pagi di mana pengetua saya akan menunggu di pagar sambil memandang wajah saya yang acapkali sampai pada waktu 'border-line'. Saya terima pandangan sinis itu setiap hari dengan azam mahu berubah tapi seringkali saya gagal. Untuk pengetahuan kalian, tabiat buruk saya ini saya sedar bermula sejak saya tingkatan 3 dimana saya bersekolah sesi pagi dan perlu menguruskan diri secara sendiri. Bayangkan selama 11 tahun saya dengan sikap buruk ini setiap hari. Saya tak nafikan saya dapat jadi pelajar atau guru yang tidak punya masalah lain dan insya-Allah success dalam core bidang saya, tapi sejujurnya apa yang berlaku setiap pagi itu memberi impak besar dalam kerja saya sepanjang hari. Saya tak pasti mengapa, tapi kerana sikap kelam-kabut saya di pagi hari menyebabkan saya jadi culas dengan susunan kerja yang perlu disudahkan. Akhirnya, kerja saya akan jadi berlambak. Dan kesan daripada itu, saya acapkali pulang lewat kerana menyudahkan kerja-kerja sebelumnya yang tertangguh.


Hinggalah pada tahun ini, saya masih lagi menggalas tugas sebagai penyelaras perhimpunan (sama seperti tahun sebelum). Tahun lalu, ketua penyelaras saya banyak mengendalikan seorang diri perhimpunan setiap pagi (PA system dan persediaan dewan) sebelum diambil alih guru bertugas kerana saya selalu datang lewat. Cikgu Wong, seorang guru Pendidikan Khas yang penuh berdedikasi dan sabar langsung tidak pernah marah akan saya mahu pun ingin menyindir. Saya seperti biasa akan tergesa-gesa naik ke atas pentas membantu apa yang boleh. Hinggalah Cikgu Wong mendapat tawaran cuti belajar untuk menyambung sarjana di UKM lewat tahun lalu, saya menggalas seorang diri. Sejujurnya tiada apa yang berubah.


Tahun ini, saya digandingkan dengan seorang lagi cikgu lelaki, senior melayu, Cikgu A. Minggu awal persekolahan pertama, Cikgu A kelihatan sudah terpacak di pentas dengan dewan sudah dipenuhi pelajar. Kunci PA system pada saya. Selama tiga hari Cikgu A berdiam diri melihat saya selalu terhegeh-hegeh membuka almari PA system. Hinggalah pada hari ketiga, iaitu hari Jumaat, cikgu A menegur saya secara serius tentang kelewatan saya itu. Ya, saya dimarah untuk pertama kalinya. Tah mengapa, saya langsung tidak kecewa malah saya menganggap teguran itu sebagai sesuatu yang membina. Saya berjanji akan tiba awal di sekolah. Sambil membuat gaya 'ampun tuanku' pada cikgu A, saya bilang, "Sorry cikgu, sorry cikgu, saya janji minggu depan saya akan datang awal. Saya akan keluar rumah pukul 6.30!".


Minda segar saya dipaksa untuk menuruti janji saya pada cikgu A. Dan untuk pertama kalinya sejak 12 tahun lalu, saya boleh merancang masa saya dengan baik. Saya bangun seawal 5.30 pagi dalam keadaan rela, dan saya sempat mengemas dapur sebelum mandi, saya siap dengan keadaan tidak tergesa-gesa, dan paling penting, solat subuh berjemaah kami lebih khusyuk. Kalau dulu, saya sempat pesan pada Edy sebelum mula solat, "Jangan baca lama-lama tau." Ya Allah, ampunilah dosa hamba-Mu ini. Tepat pukul 6.30 pagi, kereta saya akan meluncur meninggalkan Edy yang melambai-lambai dari pagar rumah. Sepanjang perjalanan, saya akan menikmati tazkirah pagi di radio IKIM, cuba mengingat sebanyak mungkin input penting, dan tiba di pagar utama sekolah pada pukul 6.35 pagi. Selalu juga saya menjadi orang pertama yang membuka pagar itu. Dan alhamdulillah keadaan ini telah berlanjutan sehingga ke hari ini. Dek kerana saya tidak lagi tergesa-tergesa di pagi hari, saya dapat merancang sepenuhnya masa saya untuk sepanjang hari. Saya dapat menyusun kerja saya dengan lebih baik. Malah, atas nasihat kakak saya, saya telah mewujudkan beberapa fail untuk membahagikan tugasan saya dengan lebih terperinci. Seawal pelaksanaan, saya masih lagi pulang lewat kerana masih beradaptasi. Tapi alhamdulillah, selepas beberapa minggu, saya dapat pulang awal tanpa perlu memikirkan kerja yang belum siap.


Sebenarnya saya pernah melalui zaman terpaksa bangun awal ini sewaktu di universiti. Itu pun kerana saya pernah menyertai PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan). Tapi ia tidak berlanjutan setiap hari. Keadaan itu hanya akan berlaku pada minggu latihan sahaja kerana saya tidak mahu menjalani hukuman. Jadi, saya kira keadaan itu berbeza dengan keadaan saya sekarang. Perbezaannya wujud kerana saya sudah tinggal di rumah sendiri (walaupun sekadar rumah sewa), mempunyai 'housemate' dan 'roomate' sehidup semati, dan perlu menjalani tugas sebagai seorang isteri. Itu juga satu komitmen besar yang memerlukan saya menggalas tanggungjawab ini dengan baik. Jadi, saya perlu bijak membahagikan masa saya. Saya bersyukur kerana azam saya ini sudah tercapai dan saya berharap dan berdoa, azam ini akan terus sebati dengan diri saya. Terima kasih Cikgu A. Allah Maha Mendengar, dan kerana itulah Dia telah menggerakkan hati Cikgu A untuk menegur saya saat itu.


Sambung belajar


16 Januari, lebih kurang pukul 1.30 pagi, hati saya tergerak untuk memandang screen iphone. Saya lihat pada ikon email, ada satu notification. Saya lihat dan baca. Tanpa sebarang perasaan.





Saya macam kurang mengerti. Saya klik pada link yang diberikan.




Saya print. Saya print semua attachment yang diberi. Saya baca lagi. Saya kejut Edy, tapi Edy tak berdaya untuk bangun. Dalam keadaan Edy yang masih lena, saya bilang, "Ayah, ibu dapat sambung belajar." Seperti yang saya jangka, tiada jawapan dari Edy. Saya terus tidur, tanpa memikirkan apa-apa.


Esok di sekolah, saya masih pandang surat yang telah saya print itu. Sebenarnya saya isi permohonan selepas tarikh permohonan semester ke-2 2012/2013 ditutup beberapa hari. Jadi saya jangka, permohonan saya akan diterima untuk kemasukan September nanti. Tapi mungkin sistem online itu hanyalah sebuah sistem yang digenerasi oleh komputer, permohonan saya telah diterima untuk kemasukan Februari ini. Saya masih bingung sebab sejujurnya saya belum bersedia. Baru beberapa minggu saya cuba mengadaptasi diri dengan masa dan kerja, tiba-tiba saya perlu membuat satu lagi pilihan. Saya boleh menolak atau menangguhkan tapi saya perlukan second opinion. Ada beberapa rakan di sekolah yang saya tanya, dan kebanyakan jawapan yang saya terima, "Pengetua takkan bagi sambung belajar part time. Kalau nak sambung belajar, kena buat full time. Mohon cuti belajar."


Saya yakin pengetua ada hak untuk tidak membenarkan kami sambung belajar secara separuh masa kerana beban tugas kami di sekolah yang sudah cukup banyak. Saya bertambah buntu. Saya menelefon rakan-rakan dari sekolah dan negeri yang berbeza. Ada yang mencadangkan agar saya sambung secara tanpa kebenaran. Tapi, sejujurnya saya takut. 2 tahun pengajian tanpa pengetahuan orang adalah agak mustahil. Apatah lagi ada beberapa guru di sekolah saya yang juga sedang melanjutkan sarjana di universiti yang sama, lama-kelamaan hal itu pasti terbongkar juga. Dan lebih bimbang tentang bagaimana saya mahu memohon cuti sewaktu mahu menjalani peperiksaan? 2 minggu saya biarkan surat tawaran itu terbungkam. Hinggakan datang lagi satu surat rasmi yang dipos kepada saya pun, saya masih tidak mampu untuk membuat sebarang keputusan. Semuanya kerana satu, bagaimana saya mahu dapatkan kebenaran pengetua? Saya selalu ingat pesan sahabat saya Chak, "Nad, ang mesti cuba. Ang tak cuba, ang tak tau..." Saya sepatutnya memang kena cuba berjumpa pengetua, tapi otak saya dibebani dengan kata-kata dari rakan-rakan saya yang pernah ditolak permohonannya oleh pengetua. Bisakah saya?


Tarikh pendaftaran rasmi adalah pada 3 Februari. Saya duduk melipat kain sambil melihat masa yang berlalu. Saya masih sempat membuat keputusan kerana tarikh dilanjutkan sehingga 22 Februari. Saya telah mengambil surat pelepasan majikan dari JPN kelmarinnya tapi masih tidak diisi. Saya masih buntu.


Saya nekad untuk mulakan langkah pertama dalam keadaan saya yang tidak pasti itu. Saya mulakan dengan pemeriksaan kesihatan. Sejujurnya, semangat saya hampir luntur. Kerana saya tidak suka membuat sesuatu secara tersembunyi. Edy terus menyokong saya. Family saya juga begitu. Saya teruskan istikharah dan berdoa dengan sepenuh hati, andai ini adalah yang terbaik bagi saya, saya pohon Allah permudahkan segala urusan bagi saya. Dan saya meletak suatu penanda aras, jika pengetua meluluskan permohonan saya (walaupun sudah berpuluh-puluh kali saya dengar tentang permohonan guru-guru lain yang tidak diluluskan untuk melanjutkan pelajaran secara separuh masa), itulah petanda sambung belajar ini adalah yang terbaik untuk saya. Dan setelah keadaan itu berlaku nanti, saya tidak akan memandang ke belakang lagi.


Pada hari Khamis, 7 Februari, usai kelas pertama, dalam perjalanan ke bilik guru, tah bagaimana saya tiba-tiba dapat kekuatan untuk berjumpa pengetua. Saya ingat saat itu, saya sedang mendaki tangga. Saya bilang dalam hati, "Aku mesti cuba! Mesti cuba!" Sambil berjalan, saya meyakinkan diri saya dan membayangkan pengetua mengatakan "Ya" pada permohonan saya itu. Mungkin kerana malam sebelumnya saya menonton rancangan kendalian Prof Dr Muhaya di Astro Oasis, jadi saya cuba membayangkan sesuatu yang positif. Saya yakin pada Law of Attraction. Sewaktu menunggu di luar bilik pengetua, mulut saya tidak berhenti-henti berdoa, "Rabbi Yassir Wa La Tuassir Rabbi Tammim Bilkhoir" dan "Ya Latif Ya Latif Ya Latif". Bila saya sudah masuk dan duduk berhadapan, tiada sepatah kata yang keluar. Hati saya terus berzikir "Ya Latif Ya Latif Ya Latif". Saya berdoa semoga Allah lembutkan hati pengetua saya yang berbangsa Cina itu.


Saya: Puan Wong, saya nak buat satu permohonan.
Pengetua: Tentang cuti tanpa gaji tu?
Saya: Bukan. Tentang lain. Walaupun saya dah agak apa jawapan Puan Wong, saya tetap nak mohon.
Pengetua: Kalau tak boleh, tetap tidak boleh.
Saya: Tapi saya tetap nak cuba.
Pengetua: Berkenaan apa?
Saya: Saya nak buat permohonan untuk sambung belajar...


Wajah pengetua agak berubah. Dan saya sememangnya sudah bersedia dengan pelbagai jawapan walaupun saya tidak dihujani dengan soalan. Saya terus menerus meyakinkan pengetua.


Pengetua: Apa tujuan awak nak sambung belajar?
Saya: Kerana saya nak berubah. Saya nak jadi seperti kakak-kakak saya. Saya nak buat satu anjakan. Saya tak nak berada di tempat yang sama. Dan saya yakin saya boleh sebab adik-beradik saya sudah tunjukkan contoh belajar sambil bekerja dan berkeluarga.


Dan tanpa saya duga, pengetua telah meluluskan permohonan saya itu!


Saya hampir tak percaya. Pengetua memberi sebab mengapa dia izinkan dan biarlah sebab itu menjadi simpanan saya kerana buat pertama kali saya rasa begitu terharu. Saya tahu pengetua tidak begitu mengenali saya. Pengetua hanya kenal saya setahun lalu sejak saya berpindah ke sekolah ini. Dan sepanjang waktu itu, saya tidak memberi komitmen baik 100%. Mungkin semua ini kerana pengetua kenal siapa keluarga saya di mana pucuk kami lahir adalah sebagai guru. Pengetua kenal arwah bapa saya, dan adik-beradik saya yang mungkin telah berjasa di sekolah ini dahulu. Dan saya yakin, apa yang pengetua lakukan hari ini bukan kerana saya, tapi kerana jasa yang telah ditaburkan oleh ahli keluarga saya yang telah bersusah payah, jatuh bangun sebagai seorang guru untuk menabur bakti pada murid-murid tercinta. Saya pernah dengar satu pepatah, "Jika kita membuat satu kebaikan, mungkin kita tidak mendapat kebaikan itu semula, tapi anak-anak kita atau ahli keluarga kita yang lain akan menikmatinya." Saya yakin, inilah 'kebaikan' yang saya perolehi atas sumbangan ahli keluarga saya sejak berdekad dahulu. Dan yang paling penting, semua ini berlaku atas kehendak-Nya. Allahlah yang telah menggerakkan hati pengetua untuk meluluskan permohonan saya itu. Saya bersyukur kepada Allah atas rezeki ini. Berkali-kali saya ucapkan terima kasih kepada pengetua atas kepercayaan yang diberi. Saya takkan persiakan kepercayaan itu. Sama juga kepercayaan ahli keluarga saya yang beria-ia mahu saya teruskan dan kepercayaan Edy yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini.


Selepas lulusnya permohonan saya itu, dengan rasminya saya telah mendaftar sebagai siswazah Sarjana Pendidikan Kimia. Saya lega kerana saya tidak perlu melakukannya secara tersembunyi. Alhamdulillah, Allah telah permudahkan segalanya. Dan saya sangat berbesar hati untuk mengucapkan terima kasih kepada suami saya, Edy yang telah banyak membantu saya sepanjang proses pendaftaran. Memang bukan mudah bila mendaftar lewat dan saya perlu bergerak ke pelbagai tempat untuk menyudahkan proses pendaftaran itu.  Edylah yang menemani saya sepanjang 3 hari saya di UTM, mencari blok-blok kuliah, dan turun naik pejabat pascasiswazah dan fakulti. Saya jenis lekas berputus asa dan saya memang sangat perlukan Edy di sisi saya. Tah berapa kali saya bilang tidak mahu teruskan pembelajaran ini bila adakalnya teruji dengan masa dan ketakutan dalam diri. Namun Edy tak pernah putuskan harapan dan cita-cita saya itu. Edy terus-menerus memberi dorongan hinggalah saya sudah mula rasa seronok setelah  menghadiri kuliah pertama. Saya dapat menangkis rasa tidak yakin itu sedikit demi sedikit.



Saya yakin, inilah susunan takdir-Nya yang terbaik untuk saya. Sewaktu saya belum bersedia, Allah datangkan ia pada saya dengan pelbagai ujian. Saya yakin apa yang saya minta dan belum diberikan-Nya juga adalah aturan takdir-Nya. Kerana hanya Dia yang mengetahui sesuatu yang terbaik bagi saya. Kalau dulu setiap kali saya period, saya akan menangis. Tapi sekarang, saya tidak bersedih lagi malah merasa syukur kerana diberikan period pada setiap bulan dan saya tahu itu tandanya saya sihat. Allah mahu saya terus gigih mencari ilmu untuk saya sumbangkan kepada orang lain kelak. Jadi mengapa saya perlu merasa sedih sedangkan apa yang saya minta sebahagiannya sudah Allah tunaikan. Persoalan tentang bila saya akan mengandung bukanlah satu tanda tanya bagi kami lagi. Kerana itu semua sudah tertulis sejak Luh Mahfudz. Semua dalam pengetahuan-Nya, rahsia-Nya. Sama seperti jodoh, ajal maut, dan rezeki. Saya tidak akan pernah berhenti berdoa dan berusaha agar Allah SWT kurniakan di sisi kami zuriat sebagai pencen kubur kami nanti. Mati itu pasti. Jadi, kami perlu berusaha untuk menjadi khalifah-Nya yang sentiasa memakmurkan bumi Allah ini untuk mati dalam khusnul-khatimah. Amin.

Thursday, 14 February 2013

12.02.2013


Assalammualaikum w.b.t

Back dated update (again).

Setiap tahun, tarikh 12 Februari akan jadi satu tarikh yang sangat istimewa buat saya. Sebab setiap kali tarikh itu tiba, suami saya Edy akan bertambah usia.

Tahun lalu, kami sambut ulang tahun Edy di Kulai. Masa tu saya cuma masak sup ayam, nasi impit dan pecel. Kemudian saya buat kejutan untuk Edy dengan menjemput keluarga untuk raikan bersama.

Tahun ni, 12 Februari 2013, kami di Muar. Tidak menyambut apa-apa kerana menghormati permintaan Edy. Sekadar meraikan ibunya yang telah melahirkan Edy 27 tahun yang lalu. Terima kasih mak sebab telah melahirkan seorang suami untuk saya. Tanpa mak, mungkin saya tidak dapat bersuamikan seorang lelaki yang sangat penyayang dan sanggup berkorban segala-galanya untuk saya.

Happy Birthday to my lovely husband. Semoga pertambahan usia ini dalam redha-Nya. Amin.


The chubby of  us :)

Tuesday, 5 February 2013

Kehilangan

Assalammualaikum w.b.t
 
 
Sejak akhir-akhir ini saya selalu terbayang akan sesuatu yang akan hilang. Kehilangan yang saya tak pernah terfikir malah tak terlintas. Namun adakalanya, sewaktu saya ralit sedang membuat kerja, tiba-tiba saya terbayang bagaimana kalau tiada hari esok untuk saya? Jika saya di sekolah, saya terus ke ruang solat, memohon ampun pada Allah. Kalau di rumah, saya cepat-cepat peluk Edy. Saya tak nak minta apa-apa, saya cuma mahu Edy ada di sebelah saya saat itu. Apakah saya punya masa untuk kumpul pahala sebanyakknya? Kadangkala tak dinafikan, saya juga orang yang banyak khilaf dan dosa.
 
Adakalanya saya terasa masa begitu suntuk. Saya cuba gunakan setiap saat yang ada sebaiknya. Alhamdulillah, 1 daripada azam tahun ini sudah tercapai dan saya harap azam itu bukanlah sekadar azam. Dua lagi azam masih dalam percaturan masa untuk saya hadapinya. Saya tak pasti adakah saya masih berkesempatan untuk itu tapi saya tetap akan teruskan liku perjalanan ini. Saya yakin Allah SWT telah aturkan yang terbaik untuk saya. Saya cuma berdoa, sekiranya itu yang terbaik buat saya, Allah permudahkan ia bagi saya dan saya berharap agar saya sentiasa redha dengan ujian yang datang dalam tempoh saya ingin mencapai cita-cita saya ini.
 
Saya cuba menghargai apa yang saya masih ada. Peluang di depan mata akan terus saya kejar. Saya ingin berkhidmat dan beramal. Semoga setiap peluang yang ada itu adalah terbaik untuk saya. Jika tidak, saya redha jika ia bukan untuk saya.
 
Saya yakin dan saya tak perlu takut. Saya boleh hadapi semua ini dengan baik.
 
Insya-Allah. Allah Maha Mendengar. Saya tak sabar untuk berikan hadiah terbaik buat ibu bapa saya di 'sana' juga.
 
p/s: Lewat ini, entry saya selalu ringkas dan pendek sahaja kan. Kerana saya sedang mencuri masa dan saya tak nak persiakan masa yang ada. Doakan saya :)

Sunday, 3 February 2013

"Can u see me?" said X...

Random comment on facebook:
 
A: Eh B, ko sekarang tengah preggy anak no. 2 ke?
B: Eh, sapa cakap? Belum lagilah. Tunggulah anak aku besar dulu...
C: A tu sibuk tanya orang, tah-tah dia potong que dulu...
A: Eh, belum lagilah. On the way ni...
C: Aku menanglah ni.
A: Ko dah preggy lagi ke?
B: Dah berapa bulan? Cepatnya!
 
X: Read the comment on her wallpost and said, "Can u see me? Seorang pun aku belum ada lagi..."
 
Lunch hour
 
D: Baru aku perasan, rupanya geng kita semua dah cukup dualah (sambil merujuk perkataan 'kita' kepada semua termasuklah X).
E: Haahlah, baru aku perasan. Ni tunggu F dengan G pula meletop. Tah gigirl ke boboi ye (sambil gelak-gelak).
F: Hah... Tunggulah nanti. Surpriseeeeee!
G: Nanti bolehlah kita buat gathering bawak anak-anak kita tu semua. Mesti meriah
 
X: Silence. Dalam hati teriak, "Can u see me????!"
 
 
Kisah X ni rekaan aku je. X tu bukan aku atau pun sesiapa tapi X adalah satu realiti. Kadang-kadang kita cuba meraih penghargaan orang lain tapi kita selalu lupa untuk menghargai orang di sekeliling kita. Kadang-kadang dalam tak sedar aku terbuat juga. Contohnya, aku pernah menjawab pertanyaan seorang rakan Chinese tentang macam mana nak buat investment rumah kedua. So, kitorang rancak berbincang sampai aku terlupa ada orang ketiga bersama kami iaitu seorang kawan aku yang masih belum berkahwin. Selepas beberapa minit dengar perbincangan yang lebih berbentuk family tu, kawan aku terus bangun dan blah. Aku terasa sangat bersalah. Itu just satu contoh which kawan aku mungkin tak boleh nak interrupt perbincangan kitorang sebab dia pun masih lagi mencari seorang calon suami, so dia belum bersedia untuk memiliki rumah setakat ini. Dan aku rasa waktu tu, aku dah buat dia rasa sangat-sangat terasing. Aku tak suka keadaan tu dan aku berharap aku akan lebih berhati-hati dengan mereka di sekeliling aku selepas ni.
 
Wallahua'lam.

Click! Click! Click!