Tuesday, 30 April 2013

TTC? Berdosakah saya?

Sebelum saya teruskan entry ini, saya ingin memohon maaf jika setiap kata dan ayat dalam entry ini bakal menyentuh sensitiviti kalian. Saya pohon seribu kemaafan kerana rasanya inilah kali pertama saya menaip entry seserius ini tentang perjalanan TTC saya.

 
Assalammualaikum w.b.t


Sejak saya bersalinkan Najla hampir 2 tahun lepas, saya masih lagi berTTC sehingga kini. Tiada rasa bosan, putus asa dan jemu dalam menanti kelahiran seorang zuriat apatah lagi Najla kini sudah tiada. Saya tidak merancang dan tidak pernah berhenti berdoa. Saya yakin Allah SWT sudah aturkan yang terbaik untuk kami. Dari sebulan, ke setahun, dan kini sudah hampir dua tahun, saya masih terus berusaha dan menanti. Entah bila, saya tidak pasti. Sama seperti manusia yang menanti mati, tidak tahu bila penghujungnya. Dalam pada itu, persediaan menghadapi mati itu yang saya perlu fikirkan dan utamakan. Hidup ini amat singkat. Saya tidak boleh persiakan persinggahan di dunia yang sementara. Semua yang saya ada di dunia ini hanya pinjaman dari-Nya. Seperti mana Allah pinjamkan kepada saya kedua ibu bapa yang saya cintai dan Najla yang dirindui. Apa saya bisa menghalang setiap barang yang dipinjamkan kepada saya kembali kepada tuannya? Tentu tidak bukan. Suka atau tidak, saya perlu pulangkan jua sesuatu yang bukan milik saya.

 
Sama juga dalam berTTC. Satu perkara yang paling saya syukuri ialah kesihatan yang Allah masih pinjamkan kepada saya. Perjalanan saya menempuh hidup sebagai seorang manusia tidaklah semudah yang disangka. Apatah lagi perjalanan untuk menjadi seorang ibu. Hanya mereka yang benar-benar akrab dengan saya sahaja yang tahu betapa saya telah melalui ranjau yang penuh liku selama ini. Dan hakikatnya, tidak semua orang tahu tentang saya waima pernah sebantal dan sekatil dengan saya. Hanya suami, keluarga dan sahabat tertentu yang membesar bersama sahaja tahu siapa saya. Kerana itu, kelompok orang yang menyayangi saya ini jarang sekali atau hampir tidak pernah bertanya bilakah saya akan mempunyai waima seorang zuriat. Kerana melihat saya masih mampu berdiri dan tersenyum sudah cukup membahagiakan mereka.

 
Mengapa saya menulis entry ini? Kerana acapkali saya menerima comment dan email yang mendorong dan memotivasikan saya berbanding soalan "Dah mengandung?", "Dah ada dah?", "Bila lagi?". Saya bersyukur, kerana dunia tanpa sempadan ini telah menemukan saya dengan insan-insan yang begitu telus yang sudi mendoakan saya dan melihat perjalanan hidup saya tanpa jemu walau saya dan mereka tidak pernah kenal sama sekali apatah lagi bersua muka. Kadangkala saya berasa dunia ini begitu aneh. Adakalanya manusia yang kita rasakan akrab hanya mampu berada di sisi dalam dua kemungkinan: 1. Mampu sedih bersama tetapi tidak mampu rasa bahagia ketika kita bahagia. 2. Mampu ketawa bersama tetapi tidak mampu berada di sisi ketika kita amat memerlukannya. Kesedihan yang saya lalui sebelum ini telah menemukan saya dengan puluhan ibu-ibu prihatin di luar sana. Tidak kiralah jika kalian seorang TTCian malah seorang ibu, kalian tetap ibu pilihan Allah yang teristimewa. Mengapa saya bilang sedemikian? Kerana rata-rata pembaca blog ini pernah melalui pengalaman seserupa saya (sebagai seorang TTCian, seorang ibu, bakal ibu, seorang ibu bayi pramatang dan ibu bidadari syurga) dan pastilah kalian mencari sesuatu. Saya yakin dan percaya, setiap kali butang SEARCH pada Google ditekan, pasti bertujuan untuk menambah ilmu dan menghurai persoalan di minda. Ilmu itu satu hidayah. Dan hanya hamba Allah yang terpilih dibukakan hatinya untuk mencari hidayah itu.

Saya selalunya cuba berkongsi pengalaman serba sedikit mengandungkan Najla di blog ini. Sebagai kenangan dan hadiah buatnya juga. Untuk mendapat Najla pun saya tunggu hampir setahun, dan kini saya masih lagi menanti. Kadang-kadang, saya rasa tidak layak berkongsi ilmu yang sedikit cuma kerana saya juga masih berTTC. Tapi, saya yakin dan percaya, ilmu Allah ini perlu disebarkan. Walaupun sedikit, mungkin sangat bermakna buat mereka di luar sana. Paling penting, saya suka memotivasikan diri saya sendiri agar tidak terlalu tertekan dengan pandangan masyarakat luar.

Apakah saya tidak tertekan dengan soalan-soalan tentang bilakah saya akan mendapat anak?

Selalunya begini, saya akan melihat siapa yang bertanya. Jika orang yang bertanya itu belum berkahwin, saya akan menganggap dia belum mengerti makna perkahwinan. Dan selalunya, saya akan memberi jawapan yang menyenangkannya. Apa sahaja yang boleh menjawab pertanyaannya itu.

Jika orang itu telah berkahwin, saya akan melihat sama ada dia mudah atau tidak untuk hamil. Jika dia mudah hamil, saya akan melihat pada pasangannya. Apakah pasangannya seorang yang sangat memahaminya? Memahami pengorbanan dalam berumahtangga? Jika suaminya kurang memahaminya, saya rasa kerana itu mereka lebih sibukkan hal orang lain berbanding membahagiakan diri sendiri. Mungkin melihat orang lain belum ada anak sudah 'melegakan' bila terasa ada kurang dalam resam hidup suami isteri. Dan saya akan memberi jawapan natural yang menyenangkannya kerana saya tahu saya perlu bersyukur mempunyai seorang suami yang sangat memahami saya. Kebahagiaan saya biarlah saya seorang yang tahu akan ertinya.  

Dan jika yang bertanya itu masih belum hamil, saya akan minta dia lihat apa yang dia masih ada? Selalunya golongan TTCian dikurniakan seorang suami yang sangat penyayang, sanggup berkorban apa sahaja dan susah payah hidup bersama. Saya akan minta mereka bersyukur dahulu dengan jodoh pilihan mereka yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kemudian, barulah saya akan memberi jawapan tentang perjalanan TTC saya supaya dapat menenangkannya dan menjadikannnya seorang yang positif dalam mencari makna dan redha rumah tangga.

Jadi, tertekankah saya? Sebenarnya, saya sudah jarang mendapat soalan sebegini. Saya lebih banyak menerima kata-kata dan doa yang sangat positif. Saya boleh kira dengan jari, berapa orang sahaja yang bertanya soalan itu sejak Najla meninggal dunia. Jadi, saya tidak mahu ambil endah tentang persoalan yang saya anggap remeh. Saya cuma fikir positif, mereka bertanya kerana mahu ambil berat dan cuba tahu perkembangan hidup saya. Mungkin kerana, saya begitu 'sepi' sejak tidak punya akaun facebook. Sejak saya deactivate facebook, saya telah jumpa kawan yang sebenar. Kawan-kawan yang masih tetap mencari saya dengan apa cara sekalipun, dan setia bertanya khabar sehingga ke hari ini. Itu sudah cukup melegakan.

Ibu mertua saya selalu berpesan, ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Salah satunya, masa lapang sebelum sempit. Saya pernah juga bertanya soalan sebegini pada kedua ibu bapa mertua saya, "Mak, ayah, nadia boleh mengandung lagi tak?" Dan reaksi mereka sebenarnya cukup tidak menyenangkan dengan soalan saya itu. "Insya-Allah, nadia boleh mengandung lagi, anak-anak nadia lepas ni sihat-sihat. Tapi Allah belum nak bagi sekarang. Sebab Dia nak bagi nadia rehat dulu, sambung belajar. Allah tengah bagi masa lapang, bersyukurlah. Anak-anak nadia nanti memang nak disayangi sangat-sangat. Jadi, Allah belum nak beri dulu supaya nadia capai cita-cita dulu." Masa ibu bapa mertua saya bilang sedemikian, saya belum lagi nak sambung belajar, cuma dah ada impian. Dan saya tak pernah beritahu mereka tentang impian yang saya rasa belum pasti lagi. Rupanya, Allah dah atur jalan yang terbaik untuk saya kan? Takdir untuk saya sambung belajar telah tiba. Jadi, mengapa saya perlu persiakannya?

Jadi, berdosakah saya kerana belum ada anak? Saya yakin dan percaya, Allah telah kira segala penat lelah dan usaha saya selama ini. Mungkin saya tidak mendapatnya di dunia, tapi Allah tangguhkan dan berikannya kepada saya di akhirat. Siapa tahu, bukan?

Untuk para pembaca sekalian, hentikanlah bertanya soalan-soalan yang bakal menyentuh sensitiviti orang lain. Jadilah orang yang bahagia kerana hanya orang yang bahagia mampu melihat orang lain bahagia. Kebahagiaan itu subjektif, tidak dapat dibandingkan dengan nilai materialistik atau bilangan anak. Malah, mereka yang tidak dikurniakan anak ini, sudah dijanjikan Allah, bahawa Rasulullah SAW akan menanti mereka di syurga. 

Untuk kalian yang masih berTTC, pasti telah banyak usaha dan ikhtiar yang tidak pernah putus.  
Selain berdoa, tanya kembali diri, mahukan zuriat untuk apa? Adakah kerana pandangan dunia luar kepada kita atau kerana kita mahu menggalas amanah Allah SWT? Manusia mudah tertekan jika terlalu memikirkan dunia luar berbanding dunia dalaman. Kita tidak mahu melahirkan anak semata-mata melihat orang lain mempunyai anak tetapi kita melahirkan anak bertujuan untuk mendapat pencen kubur kita dan menyebarkan agama Allah SWT (Prof Dr Muhaya, Celik Mata Reset Minda).

Lihat kembali diri, apakah kita mahukan anak yang bakal menjadi pahala jariah atau dosa jariah setelah kita mati nanti. Pasangkan niat untuk jadi ibu solehah dan mendapat anak yang soleh dan solehah mulai hari ini.

Wallahua'lam.

Saturday, 27 April 2013

Maafkan kesalahan insan, carilah keampunan Tuhan!



Tahun ni tahun yang sangat hectic. Kadang-kadang saya terfikir juga, saya tamak sangat ke? (tamak ilmu dan kerja). Masa berkualiti saya dan keluarga terabai ke?

Tahun ni macam-macam tugas besar yang saya galas (tanpa saya sedar besar rupanya tanggungjawab saya itu). Kadang-kadang, terlintas juga dalam fikiran, workaholic kah saya?

Bila saya cermin diri saya, adakalanya saya terasa sedih juga. Tahlah ye. Macam manalah saya nak describe perasaan saya ini. Perasaan yang 'unknown'. Paling saya fikir, ialah perasaan Edy. Saya sangat bersyukur dikurniakan seorang suami seperti Edy. Sebelum saya sambung belajar lagi, saya sudah berkali-kali ajukan tentang hal ini. Saya sedar, apabila saya mendapat peluang untuk sambung master, masa dan aktiviti harian saya sudah tidak seperti dahulu. Saya perlu guna masa sebaiknya. Pagi hingga ke petang saya perlu mengajar, balik sekolah terus ke kuliah, malam pula saya perlu siapkan assignment atau keperluan sekolah yang perlu disudahkan. Setiap pagi saya akan bangun seawal 5 pagi dan tidur pada pukul 10 malam (paling awal). Kelebihan saya dalam waktu ini ialah saya belum ada tanggungjawab untuk menjaga anak. House chores? Edy galas sepenuhnya dan itulah perkara terbesar yang melukakan hati saya. Saya sedih melihat Edy perlu buat semua itu walaupun berkali-kali Edy bilang dia tidak pernah berkira tentang semua itu termasuklah memasak. Kerana itu, saya perlu berjanji pada diri saya, untuk tidak mengecewakan Edy dalam pengajian saya ini. Belajar sambil bekerja bukanlah suatu perkara yang mudah. Tapi, saya perlu sentiasa berkata mudah untuk tidak menekan diri saya. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, saya masih berkeadaan baik lagi. Anugerah yang tidak terhingga yang masih saya syukuri ialah kesihatan yang baik yang Allah masih pinjamkan kepada saya.

"Sesiapa yang merentasi jalan demi menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan untuknya jalan menuju ke syurga." (Riwayat Muslim)

Hari ini, saya sengaja menghadirkan diri ke bengkel robotik untuk kali yang kedua. Tidak wajib pun untuk saya hadir sebenarnya. Tapi tah kenapa, saya rasa perlu untuk tunaikan tanggungjawab ini atas amanah sekolah kepada saya.  Syukur Edy mahu menemani saya dan anak-anak murid saya ini. Saya selesa membawa Edy bila saya perlu bergerak jauh. Selain dapat luangkan masa bersama, Edy juga dapat membantu saya tanpa ada rasa berkira pun. Paling penting, saya tidak perlu malu :)







Tajuk entry saya ini sebenarnya saya tujukan pada diri saya. Saya mahu memaafkan diri saya sendiri yang acapkali rasa keliru dan bersalah dengan diri sendiri. Saya selalu rasa rendah diri dan tidak sempurna. Sengaja saya tuliskan entry ini di bengkel yang saya hadiri supaya hati saya merasa sedikit lega. Saya marah diri saya sebenarnya kerana saya berasa tidak dapat menggalas tugas isteri dengan baik bila sudah terlalu banyak tugas yang perlu digalas. Semua kerja saya terima. Semua tugas saya mahu laksanakan. Sedangkan saya berhak untuk menolak jika tiada kemampuan, tetapi saya tidak mahu menjadikan alasan saya sambung belajar untuk saya menolak segala kerja. Kerana saya sudah berjanji. Jadi mungkin saya dihimpit rasa bersalah dek janji-janji saya itu.

Bila saya dihimpit rasa bersalah, saya akan mengenang nasihat Prof Dr Muhaya yang lebih kurang begini bunyinya;

"Jika gaji kita RM3000, bekerjalah seperti nilai RM3000 itu. Tiada salahnya untuk kita bekerja seperti bergaji RM5000 kerana ganjaran Allah itu pasti bersamaan nilai kesungguhan kita. Dan jika nilai kita bekerja kurang daripada gaji yang kita perolehi, maka nilai keberkatannya juga akan berkurang."

Kesan gaji yang tidak berkat sebenarnya besar. Paling besar yang dapat dilihat ialah pada nilai kebahagiaan. Bukan mudah untuk mendapat ketenangan dan kebahagiaan jika kita tidak mendapat gaji yang berkat. Kerana rasa ketenangan dan kebahagiaan itu hanya dipegang dan diberi oleh Allah SWT. Oleh itu, ayuh kita audit diri dan tanya diri sendiri, apakah kita sudah bekerja mengikut nilai gaji kita?

Wallahua'lam.

Tuesday, 23 April 2013

Usahlah kau menderhakai gurumu...

Keluar melangkah kelas terakhir, hati saya betul-betul rasa dirobek. Saya terluka dengan sikap seorang murid lelaki cina. Saya sudah tahu lama attitude dia memang tidak bagus sejak dulu, malah dia juga tidak pandai berbanding rakan-rakannya di aliran sains. Tapi, saya tidak suka memarahi. Ye, dulu saya akui saya memang tegas dan garang di sekolah lama. Sebelum episod sedih Najla. Tapi sejak punya anak, saya selalu membayangkan anak-anak inilah (murid-murid) yang akan menjadi generasi dewasa yang akan menentukan corak negara. Mungkin menjadi guru, doktor, malah pemimpin kepada anak-anak saya. Saya perlu membentuk jiwa mereka yang adakalanya memang sukar dilentur.

Namun tadi, saya betul-betul terluka. Tiba-tiba hijab 'bahasa' saya terbuka dan saya memahami bahasanya. Dengan nada yang sederhana, saya ulang balik apa yang diperkatakannya dalam bahasa saya. Dia diam tertunduk. Malah rakan-rakannya yang lain turut membisu, MALU.

Saya bilang, berhati-hatilah. Kerana apabila kamu melukai hati guru kamu, dan terbit rasa tidak redha dalam hatinya, maka tidak berkatlah ilmu yang kamu pelajari walau siapa pun dia (bangsa & agama) kepada kamu. Malah, sebanyak mana pun ilmu yang kamu pelajari atau pun latihan yang kamu ulangi, jika Tuhan tidak mengizinkan, kebarangkalian kamu 'blank' itu adalah sangat tinggi.

Untuk meredakan rasa marah, saya terus duduk kerana waktu itu memang saya sedang menjalankan ujian untuk membantu mereka sebelum menghadapi peperiksaan. Malah untuk duduk pun, saya selalu meminta izin mereka.

Entah mengapa, hati saya tadi betul-betul terluka dan saya tidak dapat memaafkannya (dan dia langsung tidak meminta maaf). Saya sudah dapat meramal masa depan murid itu kerana dosanya yang bukan sahaja kepada saya, malah guru-guru lain juga.

Saya akui, dulu sewaktu di sekolah, saya seorang murid yang sederhana, tidak begitu pandai, susah, selalu tidak hadir kerama menjaga ibu saya yang sakit. Namun, saya tidak pernah menderhakai guru-guru saya. Saya juga pernah didenda berdiri kerana dituduh kawan saya meminjam bukunya selama 3 hari (sewaktu saya cuti menjaga ibu saya) oleh guru saya yang langsung tidak cuba mencari kebenaran. Walaupun saya tidak bersalah, saya terus berdiri tanpa melawan sepatah pun. Dan mungkin kerana sikap menghormati guru itu, saya mendapat berkat ilmu mereka. Walaupun saya hampir sahaja gagal semua kertas ujian kerana ketinggalan pelajaran, namun keajaiban berlaku sewaktu peperiksaan SPM. Saya terdengar dan teringat pengajaran guru di kelas. Kebetulan soalan-soalan itu pernah saya lakukan bersama guru-guru saya. Alhamdulillah, dengan keputusan sederhana itu, saya diterima masuk ke matrikulasi, universiti (mendapat tajaan biasiswa) dan akhirnya, jadilah saya seorang guru. Guru-guru saya juga tidak sangka akhirnya saya bekerjaya kerana mereka tahu kelemahan dan kekurangan saya sewaktu menjadi murid dahulu. Inilah mungkin hasil daripada berkatnya ilmu guru-guru saya.

Kerana itu, saya masih cuba memperbaiki diri. Saya tidak suka bercakap tidak baik tentang anak-anak murid saya. Kerana, jika saya sudah punya anak nanti, saya juga tidak suka orang lain berkata yang tidak baik pada saya. Saya tidak racist tetapi hakikatnya saya diracistkan anak murid yang tidak mengenang budi. Walaupun anak murid saya itu tidak berani melawan, namun saya tetap sudah terluka.

Saya terus naik ke bilik solat menenangkan diri sambil membaca mesej whatsapp rakan saya. Saya dikhabarkan dengan berita kehamilannya. Alhamdulillah, sejak kembali umrah, hampir setiap minggu saya mendapat mesej yang sama. Rakan blogger, ex-housemate, ex-schoolmate, dan rakan saya. Syukur Allah telah memakbulkan doa kalian. Namun, waktu itu hati saya masih parah dengan kata-kata anak murid saya, dan saya sambut kegembiraan itu dengan air mata. Saya menangis usai solat. Dan nyata, hati saya benar-benar masih terluka. Besarnya dosa murid itu pada saya sebagai seorang guru kepadanya.

Selepas solat, saya keringkan air mata. Seorang murid perempuan cina sudah menunggu saya. Jika saya racist, pasti saya tidak mahu melayan murid itu dengan emosi saya yang tidak menentu. Tapi, saya seorang yang profesional. Gaji guru saya dibayar mengikut hari dan jam. Saya menambah satu jam lagi cuba mengajar murid itu menyelesaikan soalan-soalan kimia. Saya mengajarnya dari hati. Mungkin murid perempuan ini yang bakal menjadi guru kimia kepada anak saya. Siapa tahu, kan?

Apa-apa pun, saya menganggap ini kafarah atas segala khilaf saya.

Air mata ini jarang sekali mengalir untuk perkara sia-sia. Namun saya perlu akui, air mata ini menambah kekuatan dalam diri saya dan memadam api kemarahan.

"Duhai mata yang sedang menangis,
Tangisan bukan keaiban tapi satu keperluan.
Samada kau lelaki atau wanita, kau perlu pada tangisan.
Ia menjernihkan kornea dan menajamkan penglihatan.
Ia meringankan ketegangan jiwa.
Ia mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan."

(Fatimah Syarha; Sebarkan Bahagia)

"Dan mereka menyungkur (sujud) di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." (Al-Isra': 109)


Sent from my iPhone

Monday, 22 April 2013

Saya akan beringat bila melihat gambar ini...



Gambar ini saya jadikan picture profile untuk WeChat. Sebelum ni, gambar lain. Kalau orang yang kenal atau rapat dengan saya, setiap kali WeChat, akan dengarlah suara saya mengilai dan gembira tak tentu hala. Itu pun saya cuma add orang-orang tertentu yang boleh dengar suara special saya itu.

Then, Edy berikan saya gambar ini. Saya terus jadikan picture profile. Setiap kali WeChat, bila saya lupa diri, mulalah saya terkekek-kekek ketawa tak tentu pasal. Tapi, lepas saya terpandang gambar kecil saya itu, saya cuba control diri. Kerana apa? Kerana saya terkenangkan betapa saya rasa kerdil melihat kenangan di tanah suci itu. Di depan Kaabah yang sangat dirindui, saya berasa sangat kehambaan. Saya memelihara segala tatasusila seorang muslimah. Namun, saya hamba-Nya yang alpa. Selalu sahaja terlupa menjaga adab diri sendiri di sini. Kerana itu, saya akan berasa malu. Malu kepada-Nya Yang Maha Melihat.

Jadi, saya kenalah kawal diri seperti mana imej saya cuma menggambarkan. Biarlah sekadar ilusi, saya harap ia akan jadi satu kenyataan juga suatu hari nanti. Dan alangkah indahnya jika saya mati nanti, saya bisa tersenyum seperti itu.

Biarlah orang nak kata saya hipokrit, tapi saya tetap perlu mengawal diri. Mujurlah saya cuma WeChat dengan beberapa kawan karib dan keluarga. Orang lain tak bisa dengar suara saya yang nyaring ini, mahu pengsan dibuatnya nanti!

Ok, itu sahaja.

Assalammualaikum :)

Wednesday, 17 April 2013

Air zamzam rasa payau?

 
Assalammualaikum w.b.t
 
 
Pernah seorang rakan saya bilang tidak suka minum air zamzam kerana rasanya yang agak payau. Saya tidak nafikan kenyataan rakan saya itu kerana acapkali air zamzam yang dibeli di Malaysia memang berasa payau. Tetapi saya suka rasa payau itu. Entah mengapa.
 
Pernah juga saya dengar orang tua-tua kata, rasa air zamzam ini bergantung kepada dosa pahala seseorang. Kalau rasa tak sedap atau payau, maka banyaklah dosa orang itu. Saya tak pasti sejauh mana kebenaran tanggapan itu. Maka, ramailah yang saya lihat akan bilang air zamzam itu sedap walaupun rasanya payau kerana malu di'nilai' tentang dosanya oleh manusia.
 
Namun, sejak saya menunaikan umrah kali pertama dulu, saya pernah cerita tentang keenakan air zamzam sewaktu kali pertama saya minum di Masjid Nabawi, Madinah. Masa tu saya fikir, keenakannya terpelihara kerana air itu masih berada di tanah suci. Tapi, saya mula sedar bila keenakan air zamzam sebenar masih lagi dirasai bila saya membawanya pulang ke Malaysia.
 
Saya mula melakukan pemerhatian dan beberapa cubaan semula. Saya membeli air zamzam di beberapa buah kedai. Malah saya pernah membeli satu botol air zamzam yang mengandungi 10 liter dari rakan saya kerana dibilang air itu memang dibawa terus dari Kota Suci Mekah. Rasa air zamzam ini memang tidak sama dengan air zamzam yang saya bawa pulang dari tanah suci. Malah, saya juga pernah minum air zamzam dari keluarga yang menunaikan haji. Rasanya tetap enak berbanding air zamzam yang saya beli di Malaysia.
 
 
Molekul air zamzam
Source : http://backyardsoul.blogspot.com/2012/10/emosi-air.html
 
Saya cuba melihat pada bahagian bawah botol air zamzam yang saya beli di sini setelah dibiarkan beberapa lama. Apa yang mengejutkan, air zamzam yang berasa payau ini mempunyai keladak setelah dibiarkan dalam tempoh yang lama. Setahu saya, hanya air biasa (air paip) yang mengandungi keladak. Kita perlu tahu, dalam air paip terdapat banyak campuran (benda asing). Air paip juga mengandungi kandungan klorin untuk membasmi kuman di dalamnya. Air paip, sekalipun dimasak, tetap akan mengandungi campuran (benda asing) itu melainkan ditapis. Air yang ditapis pula, tetap mengandungi bakteria jika tidak dimasak. Jadi, saya mula membuat andaian, air zamzam yang dijual dan berasa payau kemungkinan besar telah dicampur dicampur dengan air biasa. Kerana itu, rasanya sudah tidak enak lagi.
 
Saya minta maaf jika kalian yang membaca adalah penjual air zamzam. Saya cuma agak terkilan, kerana rasanya yang payau itu setelah dicampur dengan air biasa membuatkan orang lain tidak suka minum sedangkan air zamzam merupakan air mustajab yang terbaik di dunia. Air zamzam boleh menjadi penyembuh pelbagai penyakit malah bisa penjadi penghindar sihir hanya menerusi doa yang dipanjatkan peminum. Saya antara orang yang pernah mengalami situasi ini. Saya mengakui keberkesanannya. Saya telah menemui sebuah kedai di Kulai yang telus dalam menjual air zamzam dan keenakan rasanya masih terpelihara. Alhamdulillah, masih lagi ada peniaga yang jujur dan telus dalam menjaga ketulenan air zamzam.
 
 
Kajian perubahan susunan molekul beberapa jenis air terhadap emosi oleh Dr. Masaru Emoto
Source : http://backyardsoul.blogspot.com/2012/10/emosi-air.html
 
Saya tidak mengatakan menambah air biasa itu salah. Namun, sekiranya tujuan menambah itu hanyalah untuk mengaut keuntungan, apakah berkat keuntungan itu yang sama juga seperti menipu pembeli? Biarlah pembeli itu sendiri yang menambah air biasa untuk memperbanyakkan kuantitinya. Jika kita cuba mengaut keuntungan dengan cara yang salah dan tidak diredhai Allah, percayalah kita tidak akan menjadi sekaya mana. Jika benar, kita mendapat keuntungan yang besar dengam menipu pembeli, lihatlah pada keberkatan keuntungan itu nanti. Percayalah, jika sesuatu pendapatan itu diperolehi secara salah, Allah akan menariknya kembali dalam pelbagai bentuk sperti musibah kepada harta, penyakit dan sebagainya. Berniaga dengan niat untuk sedekah, insya-Allah rezeki itu akan bertambah. Itu janji Allah seperti mana firman-Nya dalam surah al-Baqarah;
 
"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya) lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya". ( Al-Baqarah : 261 ).
 
Keberkatan kepada pendapatan yang halal bukanlah hanya dinilai melalui besarnya rumah seseorang atau berapa banyak harta yang dimilikinya. Keberkatan rezeki seseorang itu dapat dilihat melalui anak-anak yang soleh dan solehah, keluarga yang bahagia, rasa tenang dalam diri, ibadah yang khusyuk dan tawaduk dalam setiap perbuatan yang semata-mata mengharap redha Allah. Samalah juga kepada kita yang tidak berniaga tetapi menjawat jawatan profesional hinggalah tukang cuci, jika kita amanah dalam melaksanakan setiap tugas semata-mata mengharap redha Allah dan bukan manusia, insya-Allah kita akan memperolehi keberkatan itu. Jika kita tidak merasa tenang dan selalu tidak gembira dengan setiap tugasan yang diberi, lihatlah kembali, apakah kita sudah amanah atau sibuk menjaga tepi kain orang di tempat kerja? Sama-sama kita muhasabah diri. Kerana pendapatan bulanan itulah yang akan menjadi darah daging ahli keluarga kita nanti yang akan menentukan sama ada ia akan menjadi saham syurga atau neraka.
 
Sekali lagi saya mohon maaf jika entry saya ini penuh khilaf. Yang baik itu datang daripada Allah dan yang buruk hanya bersandarkan kepada kelemahan diri saya.
 
Wassalam~

Sunday, 14 April 2013

Simptom Lanjut Usia?


Assalammualaikum w.b.t

Nak cerita sikit perasaan aku hari ini :)

Sambil mengemas rumah siang tadi, aku pasang dan dengar radio IKIM. Tiba-tiba keluar satu lagu yang aku rasa agak kurang sesuai dengan status radio itu. Bila amati lirik lagu ala-ala rap tu, rupanya lagu mengundi. Tapi tak sama dengan lagu mengundi kat tv tu (yang ada Black dan Tomok nyanyi tu). 




Lagu mengundi yang kat atas tu aku rasa unik juga. Tapi yang aku dengar tadi siang, memang aku tak berkenan sungguh. Aku bukanlah tak pernah dengar channel radio lain. Sesekali dengar juga Hot FM. Tapi bila sampai lagu yang 'menyakitkan telinga', aku terus tukar. Dulu tak suka channel radio Sinar FM, tapi sekarang dah boleh terima juga. Paling selamat bila kat kereta dah ada CD Hafiz Hamidun, aku terus tekan punat 'CD' itu bila tiba-tiba terkejut dengar lagu yang macam-macam. Barulah rasa aman halwa telinga ini.

Aku juga kurang mahir baca sms budak-budak zaman sekarang. Short form yang selalunya aku susah nak fahami. Kadang-kadang bila baca, macam bunyi A E I O U pulak. Contoh macam kat bawah ni;

 "itew uwg dlm perjalanan" 

 "jgn r cmtu aw" 

 ".bhaha . . . . Eee ta p0st . Apa ar . Lps ni ajar pula bhaha . " 

 "Aty-ii aw . Bhahaha" 

Tah bila, aku teringat pernah terbaca di mana, segala simptom ini sebenarnya adalah tanda penuaan. Tanda kita sudah tidak seera dan sezaman anak-anak remaja itu. Buahaha. Aku cam tak leh terima pulak. Dah semakin tua ke aku? Patutlah setiap kali FIL aku guna kereta kami, mesti lagu yang keluar kat radio tu lagu-lagu klasik which is sangat-sangatlah tak serasi dengan telinga ini. Aku selalu bilang, "Ayah ni, lagu klasiknya..." dan Edy selalu jawab, "biasalah orang tua." 

Sekarang dalam tak sedar, aku dah semirip ayah.  Ok, aku dah semakin tua. Kena terima hakikat ini (_ _")

Lagi 3 tahun, masuk 3 series. Oh, macam tak percaya bakal meninggalkan era 20-an. Betulkah aku semakin tua? Atau bahasa sopannya sudah semakin lanjut usia?

Ok, habis merepek. Sorry, entry kurang bermanfaat.

Wassalam~

Tuesday, 9 April 2013

Di mana harga diri kita?

Pulang dari sekolah, saya singgah di sebuah mini market untuk membeli beberapa bahan asas. Saya terlihat sabun cecair mandi di rak mini market, terus teringat sabun di rumah sudah habis. Saya lekas mahu mengambil di rak. Dalam waktu itu, seorang pekerja Melayu perempuan sedang duduk betul-betul berhadapan dengan rak sabun itu. Dia mengesot sedikit, langsung tidak mengangkat punggungnya ketika melihat saya menuju ke arahnya. Saya cuba mencapai sabun itu dengan dia betul-betul berada di pelukan saya. Langsung tidak mengendahkan saya yang agak sukar mahu mengambil sabun apatah lagi mahu membantu. Nyaris sahaja paket sabun itu terjatuh bila saya mahu mengelak dari terkena pekerja perempuan itu. Saya yakin pekerja itu dalam lingkungan 18-20 tahun. Entah mengapa, hati saya terguris dan terdetik, "Ya Allah, dia makan gaji buta!" bila melihat pekerja itu terus sahaja duduk sambil bermain facebook. Ingin sahaja saya terus menegur, "Mengapa adik sanggup makan gaji yang tidak berkat? Sampai bila adik nak hidup macam ini?". Tapi nyata saya tidak mampu. Saya cuba redakan kemarahan di hati saya dengan berfikir, "Mungkin ini kafarah untuk aku", "Mungkin aku pernah tidak beri tempat kepada orang lain, jadi Allah membalasnya hari ini...". Saya tidak mahu terus memikirkan tentang pekerja perempuan itu. Mungkin dia lebih baik daripada saya. Saya anggap apa yang terjadi adalah kafarah. Saya cuma berlalu pergi.

Rentetan peristiwa hari ini, saya ingin imbas kembali pengalaman saya bekerja di restoran dan supermarket lebih kurang 8-9 tahun lepas. Pengalaman yang sangat mahal buat saya sebagai seorang manusia.

Pengalaman pertama saya bekerja adalah sewaktu cukti akhir tahun tingkatan 4, di restoran Pizza Hut. Saya berhenti bila persekolahan baru bermula kerana ingin tumpukan kepada SPM dan sambung bekerja semula selepas SPM tamat. Sewaktu bekerja di Pizza Hut, saya berhadapan dengan cabaran terbesar, iaitu kesukaran untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim; BERSOLAT. Ruang kerja saya dikelilingi oleh 95% muslim. Namun, menegecewakan kerana waktu itu, hanya saya dan seorang staf wanita sahaja yang bersolat. Seingat saya, masyarakat waktu itu masih tidak berfikiran terbuka terhadapa agama seperti hari ini. Dakwah tidak mudah disampaikan seperti mana hari ini, dan untuk mengetuk hati-hati mereka bukanlah semudah yang disangka. Saya tak pasti, berapa kali saya 'menghilangkan diri' semata-mata untuk bersolat sewaktu saya bekerja di Pizza Hut. Selalunya, waktu rehat 30 minit-1 jam saya gunakan untuk bersolat zohor dan asar. Bergantung kepada kesibukan hari saya bekerja. Jika tidak sibuk, kami akan berehat lama, jika tidak, mungkin tiada rehat dan saya perlu bekerja 8 jam tanpa henti. Dan paling parah ialah jika saya perlu bekerja shift malam, dan selalunya waktu yang akan dikunjungi oleh ramai pelanggan ialah pada waktu maghrib. Saya cukup benci jika hari itu saya perlu bekerja di kitchen atau pun sebagai cashier kerana dua tugas ini memang menuntut komitmen yang tinggi sepanjang waktu. Saya pernah meminta izin (banyak kali) daripada manager saya yang semuanya Melayu untuk mengambil masa 5-10 minit untuk saya bersolat. Dan selalunya permintaan saya itu dianggap sebagai suatu kesalahan pula. Sama ada mereka mendiamkan diri atau meminta saya untuk menangguhkan dulu. Saya tidak pernah mensia-siakan waktu solat saya. Selalunya, untuk menjimatkan masa, saya hanya membuka pin tudung (tanpa menanggalkan tudung) dan terus berwuduk. Saya berasa cukup kecewa, mengapa 10 minit masih sukar untuk diberi kepada saya. Saya berasa cukup aneh dan sebenarnya sukar untu mengerti waktu itu. Saya masih muda dan terlalu naif. Saya masih jahil dengan pergaulan. Saya belum mengenal hati manusia.

Namun lama-kelamaan, saya sudah imun dan kebal dengan suasana kerja saya di Pizza Hut. Paling aneh, bila saya pula yang berasa malu dengan rakan-rakan di situ ketika saya hendak bersolat. Saya selalu menyembunyikan daripada mereka tentang perihal solat saya. Setiap kali mereka sangka saya ke toilet, sebenarnya saya pergi untuk menunaikan solat 5 waktu. Sebenarnya, saya merasa kurang enak bila disindir. Pernah sekali, rakan sekerja saya tahu saya ingin ke surau, dia sempat berpesan, "Nadia, kirim salam aku pada Tuhan". Saya tersenyum dan hanya beristighfar dalam hati. Mungkin kawan saya masih jahil waktu itu namun saya sangat berharap dan berdoa Allah berikannya hidayah suatu hari nanti.

Apa yang pasti, sewaktu saya bekerja di Pizza Hut, saya sukar mendapat kebenaran bersolat dari manager saya yang beragama Islam sendiri. Entah mengapa, solat dipandang remeh. Ironinya, bila tiba bulan puasa, kesemua di antara mereka berpuasa penuh tanpa culas, walaupun kami teruji dengan hidangan makanan yang enak-enak belaka. Hinggalah seorang assistant manager perempuan melayu, yang saya gelar Kak Siti dipostingkan ke situ, keadaan mula berubah. Mengapa? Sebab Kak Siti tidak pernah meninggalkan solat. Dan saya pernah dengar dia menjerit pada semua staf lelaki di kitchen supaya pergi solat jumaat waktu itu juga sedangkan waktu solat jumaatlah, kami dikunjungi oleh ramai pelanggan. Dan apa yang mengkagumkan saya, manager saya itu sendiri yang akan menggantikan staf-staf lelaki di kitchen untuk membuat pizza. Saya tahu, manager saya tidak mahu menanggung dosa staf yang tidak bersolat. Keadaan mula berubah. Ramai staf yang sudah bersolat dengan mudah tanpa kawalan ketat. Tidak lama kemudian, kami mendapat seorang restaurant manager baru, Encik S, yang berlainan bangsa dan agama dari kami. Saya cuak saat itu sebab saya takut peluang saya untuk bersolat akan jadi lebih tipis. Sangkaan saya meleset. Encik S membuat jadual solat untuk kami semua. Setiap pekerja akan diberi masa solat secara bergilir bagi setiap waktu. Sejujurnya, saya berasa cukup mudah dan lega kerana agama saya dihormati. Encik S telah memilih saya untuk menjadi All Star (satu pangkat di bawah manager). Saya sempat mengikuti latihan All Star itu sehinggalah saya mendapat tawaran ke matrikulasi dan berhenti bekerja. Sebelum saya berhenti, saya pernah bertanya Encik S, mengapa memilih saya sedangkan ramai lagi staf di situ yang telah bekerja lama daripada saya. Jawapan Encik S mudah, kerana saya menjaga hubungan saya dengan Tuhan (Solat). Mungkin Encik S tidak mengerti, solat 5 waktu itu bagi seorang muslim adalah kewajipan, dan tidak bermakna seseorang yang bersolat 5 waktu itu telah memelihara agamanya dengan betul apatah lagi menjaga akhlaknya. Namun bagi Encik S, sangat mudah untuk melihat saya dikalangan rakan-rakan saya bila saya menunaikan solat. Saya tidak berasa bangga kerana saya lebih kenal diri saya dan bagaimana hubungan saya dengan Allah waktu itu. Namun saya bersyukur. Sekurang-kurangnya saya dihormati oleh seseorang yang berlainan bangsa dan agama dari saya. Benarlah, bila kita mendapat kasih sayang daripada Allah, kita akan mendapat kasih sayang daripada manusia. Tiada kerugian apabila kita menjaga hubungan dengan Allah tanpa mengendahkan pandangan dan penghargaan daripada orang lain.

Tamat matrikulasi, saya bekerja di sebuah supermarket. Saya bekerja di department sabun. Di sini, saya tiada masalah untuk bersolat kerana bilik solat disediakan khas untuk pekerja muslim. Cuma, saya terpaksa berhadapan cabaran lain. Cabaran DIPANDANG RENDAH DAN DIANGGAP BODOH. Saya merahsiakan status saya sebagai pelajar lepasan matrik kerana ingin diambil bekerja. Seingat saya, bila ditanya kelulusan, saya cuma bilang ada SPM. Rata-rata, pelajar lepasan matrik atau pun pelajar U yang sedang bercuti tidak akan diambil bekerja kerana dibimbangi akan bekerja sementara. Jadi, saya perlu rahsiakan hal itu apatah lagi saya memang perlukan duit sebagai langkah persediaan jika saya diterima masuk ke universiti. Pengurus department saya adalah seorang berbangsa Cina, seorang yang panas baran tapi tak pernah dipedulikan oleh saya. Saya cuma tumpukan pada kerja-kerja saya menyusun sabun, mengangkat sabun, dan membunag kotak. Setiap hari saya mengulang kerja yang sama. Kadang-kadang, sabun yang telah disusun oleh saya dipunggah semula oleh pengurus saya atas alasan tidak kemas dan tidak menarik. Saya satu-satunya staf yang berani menentang pengurus saya itu yang digelar oleh rakan-rakan sekerja saya sebagai 'Mighty Boo' (karakter jahat dalam Dragon Ball). Tujuan saya menentang kerana saya rasa masa saya dipersiakan untuk perkara yang tak berguna. Saya tidak takut waktu itu kerana saya tahu Allah Lebih Besar daripada Mr Mighty Boo. Mr Mighty Boo tahu saya tidak pernah culas solat, dan saya sedar kerana itu juga, Mr Mighty Boo kurang membuli saya. Mungkin Allah menggetarkan hati Mr Mighty Boo pada saya. Wallahua'alam.

Apa yang aneh, selain pandangan serong Mr Mighty Boo pada pekerja seperti saya, saya juga selalu di'buli' oleh supervisor Melayu. Mereka selalu suruh saya buat kerja kurang masuk akal 2-3 kali. Dan kadang-kadang mereka curiga dengan saya kalau-kalau saya mencuri barang dari supermarket. Pernah juga saya disindir sewaktu asyik menyusun sabun sedangkan kurang 10 minit lagi supermarket ditutup. Kata-kata yang saya tak boleh lupa, "Ko kerja rajin macam tu, ingat ko boleh naik pangkat ke?". Saya berasa cukup pelik dengan pandangan orang kita sendiri terhadap pekerja seperti saya. Salahkah saya jalankan tanggungjawab saya? Lebih baik bukan daripada saya tidur dan makan gaji buta? Apakah semua kerja yang dijalankan dengan rasa tanggungjawab adalah semata-mata untuk meraih penghargaan manusia? Di mana kita letak penghargaan Allah?

Selalunya, saya tidak endahkan. Tapi sampai ke hari ini, saya tetap tidak boleh lupa pandangan serong mereka pada saya. Hinggalah tiba saya perlu berhenti kerja kerana mendapat tawaran ke universiti, barulah pandangan mereka berubah terhadap saya. Saya ingat lagi kata-kata Mr Mighty Boo, "I tak sangka u budak pandai meh. I ingat u budak bodoh tak tahu kerja". Saya gelak. Begitu rupanya pandangan masyarakat pada pekerja seperti saya. Supervisor melayu yang selalu membuli saya turut berjumpa saya dan berikan hadiah sebagai cenderamata kenangan. Kata-kata mereka yang masih segar dalam ingatan, "Abang tak tahu nadia budak matrik. Terkejut tahu nadia dapat masuk U". Saya macam mahu balas kembali, "Kalau saya tak layak masuk U, patut ke abang layan saya macam tu? Patut ke saya dituduh mencuri? Patut ke manusia dilayan dengan melihat pada kelayakan akademik? Patut ke bang?". Tapi saya hanya mampu senyum dan berlalu pergi.

Pengalaman saya ini mengajar saya untuk menghargai manusia lain. Saya pernah berada di tempat mereka. Malah saya juga pernah menjadi cleaner di pasaraya dan airport. Sejujurnya, saya hanya menerima layanan baik sebanyak 5% sahaja sewaktu saya menjadi cleaner. Apakah hina seorang tukang cuci di mata manusia? Sedangkan sewaktu saya menjadi cleaner, saya sudah pun menjadi guru, namun saya menemani ibu mertua saya mengendalikan syarikat pembersihannya. Ibu mertua saya yang berpangkat bos itu pun turut mencuci, mengapa saya tidak boleh? Sebelum mereka tahu siapa saya, saya pernah dibaling sampah dan disuruh kutip sampah yang berada di depan mereka. Edy juga turut membersih waktu itu. Sejujurnya saya berasa cukup marah bila mereka memekik-mekik dan menjerit pada saya dan Edy. Tetapi saya sentiasa ingat dan berpegang pada pesanan ibu mertua saya, "Biarlah diorang nak buat apa atau kata apa. Yang penting, kita tahu kita siapa..." Hakikatnya, bila mengetahui siapa kami, barulah pandangan mereka berubah. Saya nampak mata-mata yang selalu lihat kekejian pada kami, tidak mampu untuk memandang lagi kerana rasa malu. Aneh bukan? Sepatutnya saya yang rasa malu untuk buat kerja ini sedangkan saya sudah pun menjadi guru, tapi kenapa mereka tiada rasa malu mengeji orang lain?

Saya hanya ingin berkongsi kata-kata hikmah ini;


"Apabila kita merasa marah atau tersinggung dengan manusia, tanya diri kita, adakah ianya kerana Allah atau keegoan kita."

"Mulakan menilai diri kita dan lihat apakah setiap hari kita hanya memakai topeng untuk mendapat penghargaan manusia. Redha Allah tujuan kita dan hanya cinta Allah yang kita cari, tentu hidup akan tenang dan bahagia. Insya-Allah"

"Latih diri kita agar jangan suka dipuji dan takut dikeji"

(Prof Dr Muhaya, Refleksi Diri)


Kebahagiaan dalam diri kita, jadi buatlah keputusan untuk bahagia. Sekiranya kita bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti, pastikan orang bawahan kita tiada keterbatasan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang yang beragama. Rendahkan hati dan diri kerana orang yang merasa rendah diri akan dipandang tinggi oleh Allah. Usahlah kita memandang hina pada orang lain. Barangkali orang itu lebih tinggi martabatnya berbanding diri kita sendiri. Maafkan saya atas segala kekhilafan dalam penulisan ini. Yang baik datang daripada Allah, dan yang buruk datang daripada diri saya sendiri.

Waallahua'alam.

Tuesday, 2 April 2013

Tak ada cara selamat!


Hacked Accounts:

Your account has probably been compromised if:
  • Your password has been changed without your knowledge.
  • Your account is sending spam.
  • There are emails in your "Sent" mail folder that you did not send.
  • Your account is locked. (This will happen if someone tries to log into your account unsuccessfully three times or more. 
Email terakhir aku terima semalam dari seorang kenalan bernama Juria Zainal. Aku mula sedar, akaun email aku sudah di'hacked' bila berpuluh-puluh kali aku cuba reply email Juria Zainal through iphone, tapi Yahoo still minta password dan tak nak access. Pagi semalam, aku hairan bila ada notification email sampai 30. Bila check di sent item, ada email mengarut yang dihantar dari id aku. Aku tak fikir apa pun. Lambatnya aku sedar :"(

Aku terima ujian hari ini sebagai dugaan. Aku sayangkan memori dan kenangan email tu sendiri yang dah 'bersama' aku since 2005. Tulah email 'penyelamat' aku. Kalau dulu, masa buat tesis peringkat sarjana muda, aku akan sent tesis-tesis yang dah hampir siap tu kat email. Isunya sebab masa tu banyak isu laptop kena virus, external hard disk kena curi, hard disk laptop rosak dan macam-macam lagi. Sampaikan sekarang, email aku tu dah simpan macam-macam khazanah yang berharga untuk aku sebagai seorang pelajar, kawan, guru dan manusia. Semuanya dalam email tu! Syukurlah perkara ini tidak berlaku sewaktu aku perlu siapkan tesis sarjana nanti. Pengajaran yang sangat mahal untuk aku hari ini. Nasi sudah jadi bubur. Aku dah cuba hantar report pada Yahoo. Yahoo minta tunggu dalam tempoh 12 jam. Inilah akibat tak pernah log out email. Aku ingat selamat bila tak perlu sign out email sebab aku hanya log in dari laptop dan iphone sahaja. Dan kerana sikap aku yang paranoid, setiap kali log in email, aku selalu abaikan permintaan Yahoo untuk aku lengkapkan nombor telefon. Rupanya, itulah yang boleh tolong aku dalam kes seperti ini.

Iktibar: Musibah itu kifarah. Redha dan bersyukurlah :)

Wassalam~

p/s: Bila manusia celaru, dia tak boleh nak sembunyikan kata-kata dalam hati, kan? Perasan tak saya sudah guna balik perkataan 'aku'? Saya memang tak boleh hipokrit. Finally, saya tetap saya. Aku tetap aku. :)

Click! Click! Click!