Tuesday, 9 April 2013

Di mana harga diri kita?

Pulang dari sekolah, saya singgah di sebuah mini market untuk membeli beberapa bahan asas. Saya terlihat sabun cecair mandi di rak mini market, terus teringat sabun di rumah sudah habis. Saya lekas mahu mengambil di rak. Dalam waktu itu, seorang pekerja Melayu perempuan sedang duduk betul-betul berhadapan dengan rak sabun itu. Dia mengesot sedikit, langsung tidak mengangkat punggungnya ketika melihat saya menuju ke arahnya. Saya cuba mencapai sabun itu dengan dia betul-betul berada di pelukan saya. Langsung tidak mengendahkan saya yang agak sukar mahu mengambil sabun apatah lagi mahu membantu. Nyaris sahaja paket sabun itu terjatuh bila saya mahu mengelak dari terkena pekerja perempuan itu. Saya yakin pekerja itu dalam lingkungan 18-20 tahun. Entah mengapa, hati saya terguris dan terdetik, "Ya Allah, dia makan gaji buta!" bila melihat pekerja itu terus sahaja duduk sambil bermain facebook. Ingin sahaja saya terus menegur, "Mengapa adik sanggup makan gaji yang tidak berkat? Sampai bila adik nak hidup macam ini?". Tapi nyata saya tidak mampu. Saya cuba redakan kemarahan di hati saya dengan berfikir, "Mungkin ini kafarah untuk aku", "Mungkin aku pernah tidak beri tempat kepada orang lain, jadi Allah membalasnya hari ini...". Saya tidak mahu terus memikirkan tentang pekerja perempuan itu. Mungkin dia lebih baik daripada saya. Saya anggap apa yang terjadi adalah kafarah. Saya cuma berlalu pergi.

Rentetan peristiwa hari ini, saya ingin imbas kembali pengalaman saya bekerja di restoran dan supermarket lebih kurang 8-9 tahun lepas. Pengalaman yang sangat mahal buat saya sebagai seorang manusia.

Pengalaman pertama saya bekerja adalah sewaktu cukti akhir tahun tingkatan 4, di restoran Pizza Hut. Saya berhenti bila persekolahan baru bermula kerana ingin tumpukan kepada SPM dan sambung bekerja semula selepas SPM tamat. Sewaktu bekerja di Pizza Hut, saya berhadapan dengan cabaran terbesar, iaitu kesukaran untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim; BERSOLAT. Ruang kerja saya dikelilingi oleh 95% muslim. Namun, menegecewakan kerana waktu itu, hanya saya dan seorang staf wanita sahaja yang bersolat. Seingat saya, masyarakat waktu itu masih tidak berfikiran terbuka terhadapa agama seperti hari ini. Dakwah tidak mudah disampaikan seperti mana hari ini, dan untuk mengetuk hati-hati mereka bukanlah semudah yang disangka. Saya tak pasti, berapa kali saya 'menghilangkan diri' semata-mata untuk bersolat sewaktu saya bekerja di Pizza Hut. Selalunya, waktu rehat 30 minit-1 jam saya gunakan untuk bersolat zohor dan asar. Bergantung kepada kesibukan hari saya bekerja. Jika tidak sibuk, kami akan berehat lama, jika tidak, mungkin tiada rehat dan saya perlu bekerja 8 jam tanpa henti. Dan paling parah ialah jika saya perlu bekerja shift malam, dan selalunya waktu yang akan dikunjungi oleh ramai pelanggan ialah pada waktu maghrib. Saya cukup benci jika hari itu saya perlu bekerja di kitchen atau pun sebagai cashier kerana dua tugas ini memang menuntut komitmen yang tinggi sepanjang waktu. Saya pernah meminta izin (banyak kali) daripada manager saya yang semuanya Melayu untuk mengambil masa 5-10 minit untuk saya bersolat. Dan selalunya permintaan saya itu dianggap sebagai suatu kesalahan pula. Sama ada mereka mendiamkan diri atau meminta saya untuk menangguhkan dulu. Saya tidak pernah mensia-siakan waktu solat saya. Selalunya, untuk menjimatkan masa, saya hanya membuka pin tudung (tanpa menanggalkan tudung) dan terus berwuduk. Saya berasa cukup kecewa, mengapa 10 minit masih sukar untuk diberi kepada saya. Saya berasa cukup aneh dan sebenarnya sukar untu mengerti waktu itu. Saya masih muda dan terlalu naif. Saya masih jahil dengan pergaulan. Saya belum mengenal hati manusia.

Namun lama-kelamaan, saya sudah imun dan kebal dengan suasana kerja saya di Pizza Hut. Paling aneh, bila saya pula yang berasa malu dengan rakan-rakan di situ ketika saya hendak bersolat. Saya selalu menyembunyikan daripada mereka tentang perihal solat saya. Setiap kali mereka sangka saya ke toilet, sebenarnya saya pergi untuk menunaikan solat 5 waktu. Sebenarnya, saya merasa kurang enak bila disindir. Pernah sekali, rakan sekerja saya tahu saya ingin ke surau, dia sempat berpesan, "Nadia, kirim salam aku pada Tuhan". Saya tersenyum dan hanya beristighfar dalam hati. Mungkin kawan saya masih jahil waktu itu namun saya sangat berharap dan berdoa Allah berikannya hidayah suatu hari nanti.

Apa yang pasti, sewaktu saya bekerja di Pizza Hut, saya sukar mendapat kebenaran bersolat dari manager saya yang beragama Islam sendiri. Entah mengapa, solat dipandang remeh. Ironinya, bila tiba bulan puasa, kesemua di antara mereka berpuasa penuh tanpa culas, walaupun kami teruji dengan hidangan makanan yang enak-enak belaka. Hinggalah seorang assistant manager perempuan melayu, yang saya gelar Kak Siti dipostingkan ke situ, keadaan mula berubah. Mengapa? Sebab Kak Siti tidak pernah meninggalkan solat. Dan saya pernah dengar dia menjerit pada semua staf lelaki di kitchen supaya pergi solat jumaat waktu itu juga sedangkan waktu solat jumaatlah, kami dikunjungi oleh ramai pelanggan. Dan apa yang mengkagumkan saya, manager saya itu sendiri yang akan menggantikan staf-staf lelaki di kitchen untuk membuat pizza. Saya tahu, manager saya tidak mahu menanggung dosa staf yang tidak bersolat. Keadaan mula berubah. Ramai staf yang sudah bersolat dengan mudah tanpa kawalan ketat. Tidak lama kemudian, kami mendapat seorang restaurant manager baru, Encik S, yang berlainan bangsa dan agama dari kami. Saya cuak saat itu sebab saya takut peluang saya untuk bersolat akan jadi lebih tipis. Sangkaan saya meleset. Encik S membuat jadual solat untuk kami semua. Setiap pekerja akan diberi masa solat secara bergilir bagi setiap waktu. Sejujurnya, saya berasa cukup mudah dan lega kerana agama saya dihormati. Encik S telah memilih saya untuk menjadi All Star (satu pangkat di bawah manager). Saya sempat mengikuti latihan All Star itu sehinggalah saya mendapat tawaran ke matrikulasi dan berhenti bekerja. Sebelum saya berhenti, saya pernah bertanya Encik S, mengapa memilih saya sedangkan ramai lagi staf di situ yang telah bekerja lama daripada saya. Jawapan Encik S mudah, kerana saya menjaga hubungan saya dengan Tuhan (Solat). Mungkin Encik S tidak mengerti, solat 5 waktu itu bagi seorang muslim adalah kewajipan, dan tidak bermakna seseorang yang bersolat 5 waktu itu telah memelihara agamanya dengan betul apatah lagi menjaga akhlaknya. Namun bagi Encik S, sangat mudah untuk melihat saya dikalangan rakan-rakan saya bila saya menunaikan solat. Saya tidak berasa bangga kerana saya lebih kenal diri saya dan bagaimana hubungan saya dengan Allah waktu itu. Namun saya bersyukur. Sekurang-kurangnya saya dihormati oleh seseorang yang berlainan bangsa dan agama dari saya. Benarlah, bila kita mendapat kasih sayang daripada Allah, kita akan mendapat kasih sayang daripada manusia. Tiada kerugian apabila kita menjaga hubungan dengan Allah tanpa mengendahkan pandangan dan penghargaan daripada orang lain.

Tamat matrikulasi, saya bekerja di sebuah supermarket. Saya bekerja di department sabun. Di sini, saya tiada masalah untuk bersolat kerana bilik solat disediakan khas untuk pekerja muslim. Cuma, saya terpaksa berhadapan cabaran lain. Cabaran DIPANDANG RENDAH DAN DIANGGAP BODOH. Saya merahsiakan status saya sebagai pelajar lepasan matrik kerana ingin diambil bekerja. Seingat saya, bila ditanya kelulusan, saya cuma bilang ada SPM. Rata-rata, pelajar lepasan matrik atau pun pelajar U yang sedang bercuti tidak akan diambil bekerja kerana dibimbangi akan bekerja sementara. Jadi, saya perlu rahsiakan hal itu apatah lagi saya memang perlukan duit sebagai langkah persediaan jika saya diterima masuk ke universiti. Pengurus department saya adalah seorang berbangsa Cina, seorang yang panas baran tapi tak pernah dipedulikan oleh saya. Saya cuma tumpukan pada kerja-kerja saya menyusun sabun, mengangkat sabun, dan membunag kotak. Setiap hari saya mengulang kerja yang sama. Kadang-kadang, sabun yang telah disusun oleh saya dipunggah semula oleh pengurus saya atas alasan tidak kemas dan tidak menarik. Saya satu-satunya staf yang berani menentang pengurus saya itu yang digelar oleh rakan-rakan sekerja saya sebagai 'Mighty Boo' (karakter jahat dalam Dragon Ball). Tujuan saya menentang kerana saya rasa masa saya dipersiakan untuk perkara yang tak berguna. Saya tidak takut waktu itu kerana saya tahu Allah Lebih Besar daripada Mr Mighty Boo. Mr Mighty Boo tahu saya tidak pernah culas solat, dan saya sedar kerana itu juga, Mr Mighty Boo kurang membuli saya. Mungkin Allah menggetarkan hati Mr Mighty Boo pada saya. Wallahua'alam.

Apa yang aneh, selain pandangan serong Mr Mighty Boo pada pekerja seperti saya, saya juga selalu di'buli' oleh supervisor Melayu. Mereka selalu suruh saya buat kerja kurang masuk akal 2-3 kali. Dan kadang-kadang mereka curiga dengan saya kalau-kalau saya mencuri barang dari supermarket. Pernah juga saya disindir sewaktu asyik menyusun sabun sedangkan kurang 10 minit lagi supermarket ditutup. Kata-kata yang saya tak boleh lupa, "Ko kerja rajin macam tu, ingat ko boleh naik pangkat ke?". Saya berasa cukup pelik dengan pandangan orang kita sendiri terhadap pekerja seperti saya. Salahkah saya jalankan tanggungjawab saya? Lebih baik bukan daripada saya tidur dan makan gaji buta? Apakah semua kerja yang dijalankan dengan rasa tanggungjawab adalah semata-mata untuk meraih penghargaan manusia? Di mana kita letak penghargaan Allah?

Selalunya, saya tidak endahkan. Tapi sampai ke hari ini, saya tetap tidak boleh lupa pandangan serong mereka pada saya. Hinggalah tiba saya perlu berhenti kerja kerana mendapat tawaran ke universiti, barulah pandangan mereka berubah terhadap saya. Saya ingat lagi kata-kata Mr Mighty Boo, "I tak sangka u budak pandai meh. I ingat u budak bodoh tak tahu kerja". Saya gelak. Begitu rupanya pandangan masyarakat pada pekerja seperti saya. Supervisor melayu yang selalu membuli saya turut berjumpa saya dan berikan hadiah sebagai cenderamata kenangan. Kata-kata mereka yang masih segar dalam ingatan, "Abang tak tahu nadia budak matrik. Terkejut tahu nadia dapat masuk U". Saya macam mahu balas kembali, "Kalau saya tak layak masuk U, patut ke abang layan saya macam tu? Patut ke saya dituduh mencuri? Patut ke manusia dilayan dengan melihat pada kelayakan akademik? Patut ke bang?". Tapi saya hanya mampu senyum dan berlalu pergi.

Pengalaman saya ini mengajar saya untuk menghargai manusia lain. Saya pernah berada di tempat mereka. Malah saya juga pernah menjadi cleaner di pasaraya dan airport. Sejujurnya, saya hanya menerima layanan baik sebanyak 5% sahaja sewaktu saya menjadi cleaner. Apakah hina seorang tukang cuci di mata manusia? Sedangkan sewaktu saya menjadi cleaner, saya sudah pun menjadi guru, namun saya menemani ibu mertua saya mengendalikan syarikat pembersihannya. Ibu mertua saya yang berpangkat bos itu pun turut mencuci, mengapa saya tidak boleh? Sebelum mereka tahu siapa saya, saya pernah dibaling sampah dan disuruh kutip sampah yang berada di depan mereka. Edy juga turut membersih waktu itu. Sejujurnya saya berasa cukup marah bila mereka memekik-mekik dan menjerit pada saya dan Edy. Tetapi saya sentiasa ingat dan berpegang pada pesanan ibu mertua saya, "Biarlah diorang nak buat apa atau kata apa. Yang penting, kita tahu kita siapa..." Hakikatnya, bila mengetahui siapa kami, barulah pandangan mereka berubah. Saya nampak mata-mata yang selalu lihat kekejian pada kami, tidak mampu untuk memandang lagi kerana rasa malu. Aneh bukan? Sepatutnya saya yang rasa malu untuk buat kerja ini sedangkan saya sudah pun menjadi guru, tapi kenapa mereka tiada rasa malu mengeji orang lain?

Saya hanya ingin berkongsi kata-kata hikmah ini;


"Apabila kita merasa marah atau tersinggung dengan manusia, tanya diri kita, adakah ianya kerana Allah atau keegoan kita."

"Mulakan menilai diri kita dan lihat apakah setiap hari kita hanya memakai topeng untuk mendapat penghargaan manusia. Redha Allah tujuan kita dan hanya cinta Allah yang kita cari, tentu hidup akan tenang dan bahagia. Insya-Allah"

"Latih diri kita agar jangan suka dipuji dan takut dikeji"

(Prof Dr Muhaya, Refleksi Diri)


Kebahagiaan dalam diri kita, jadi buatlah keputusan untuk bahagia. Sekiranya kita bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti, pastikan orang bawahan kita tiada keterbatasan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang yang beragama. Rendahkan hati dan diri kerana orang yang merasa rendah diri akan dipandang tinggi oleh Allah. Usahlah kita memandang hina pada orang lain. Barangkali orang itu lebih tinggi martabatnya berbanding diri kita sendiri. Maafkan saya atas segala kekhilafan dalam penulisan ini. Yang baik datang daripada Allah, dan yang buruk datang daripada diri saya sendiri.

Waallahua'alam.

5 comments:

  1. Betul tu... Redha Allah yang harus di cari dan bukannya redha manusia... Thanks for sharing :)

    ReplyDelete
  2. Tersentuh dgn coretan kak nadia ni. Sy lepasan spm dn minta kerja dkt pizza hut mingu depan interview. sy tak tahu dkt sana sy boleh solat ke tak mcm cerita kak nadia tu. Thanks for sharing :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. In shaa Allah dik. Yg penting kemahuan..Laksanakan yg wajib walau dlm keadaan apa sekali pun.. Selamat bkerja :)

      Delete
  3. Terma kasih ats perkongsian.. rasa lebih bermotivasi :)

    ReplyDelete

Click! Click! Click!