Tuesday, 30 April 2013

TTC? Berdosakah saya?

Sebelum saya teruskan entry ini, saya ingin memohon maaf jika setiap kata dan ayat dalam entry ini bakal menyentuh sensitiviti kalian. Saya pohon seribu kemaafan kerana rasanya inilah kali pertama saya menaip entry seserius ini tentang perjalanan TTC saya.

 
Assalammualaikum w.b.t


Sejak saya bersalinkan Najla hampir 2 tahun lepas, saya masih lagi berTTC sehingga kini. Tiada rasa bosan, putus asa dan jemu dalam menanti kelahiran seorang zuriat apatah lagi Najla kini sudah tiada. Saya tidak merancang dan tidak pernah berhenti berdoa. Saya yakin Allah SWT sudah aturkan yang terbaik untuk kami. Dari sebulan, ke setahun, dan kini sudah hampir dua tahun, saya masih terus berusaha dan menanti. Entah bila, saya tidak pasti. Sama seperti manusia yang menanti mati, tidak tahu bila penghujungnya. Dalam pada itu, persediaan menghadapi mati itu yang saya perlu fikirkan dan utamakan. Hidup ini amat singkat. Saya tidak boleh persiakan persinggahan di dunia yang sementara. Semua yang saya ada di dunia ini hanya pinjaman dari-Nya. Seperti mana Allah pinjamkan kepada saya kedua ibu bapa yang saya cintai dan Najla yang dirindui. Apa saya bisa menghalang setiap barang yang dipinjamkan kepada saya kembali kepada tuannya? Tentu tidak bukan. Suka atau tidak, saya perlu pulangkan jua sesuatu yang bukan milik saya.

 
Sama juga dalam berTTC. Satu perkara yang paling saya syukuri ialah kesihatan yang Allah masih pinjamkan kepada saya. Perjalanan saya menempuh hidup sebagai seorang manusia tidaklah semudah yang disangka. Apatah lagi perjalanan untuk menjadi seorang ibu. Hanya mereka yang benar-benar akrab dengan saya sahaja yang tahu betapa saya telah melalui ranjau yang penuh liku selama ini. Dan hakikatnya, tidak semua orang tahu tentang saya waima pernah sebantal dan sekatil dengan saya. Hanya suami, keluarga dan sahabat tertentu yang membesar bersama sahaja tahu siapa saya. Kerana itu, kelompok orang yang menyayangi saya ini jarang sekali atau hampir tidak pernah bertanya bilakah saya akan mempunyai waima seorang zuriat. Kerana melihat saya masih mampu berdiri dan tersenyum sudah cukup membahagiakan mereka.

 
Mengapa saya menulis entry ini? Kerana acapkali saya menerima comment dan email yang mendorong dan memotivasikan saya berbanding soalan "Dah mengandung?", "Dah ada dah?", "Bila lagi?". Saya bersyukur, kerana dunia tanpa sempadan ini telah menemukan saya dengan insan-insan yang begitu telus yang sudi mendoakan saya dan melihat perjalanan hidup saya tanpa jemu walau saya dan mereka tidak pernah kenal sama sekali apatah lagi bersua muka. Kadangkala saya berasa dunia ini begitu aneh. Adakalanya manusia yang kita rasakan akrab hanya mampu berada di sisi dalam dua kemungkinan: 1. Mampu sedih bersama tetapi tidak mampu rasa bahagia ketika kita bahagia. 2. Mampu ketawa bersama tetapi tidak mampu berada di sisi ketika kita amat memerlukannya. Kesedihan yang saya lalui sebelum ini telah menemukan saya dengan puluhan ibu-ibu prihatin di luar sana. Tidak kiralah jika kalian seorang TTCian malah seorang ibu, kalian tetap ibu pilihan Allah yang teristimewa. Mengapa saya bilang sedemikian? Kerana rata-rata pembaca blog ini pernah melalui pengalaman seserupa saya (sebagai seorang TTCian, seorang ibu, bakal ibu, seorang ibu bayi pramatang dan ibu bidadari syurga) dan pastilah kalian mencari sesuatu. Saya yakin dan percaya, setiap kali butang SEARCH pada Google ditekan, pasti bertujuan untuk menambah ilmu dan menghurai persoalan di minda. Ilmu itu satu hidayah. Dan hanya hamba Allah yang terpilih dibukakan hatinya untuk mencari hidayah itu.

Saya selalunya cuba berkongsi pengalaman serba sedikit mengandungkan Najla di blog ini. Sebagai kenangan dan hadiah buatnya juga. Untuk mendapat Najla pun saya tunggu hampir setahun, dan kini saya masih lagi menanti. Kadang-kadang, saya rasa tidak layak berkongsi ilmu yang sedikit cuma kerana saya juga masih berTTC. Tapi, saya yakin dan percaya, ilmu Allah ini perlu disebarkan. Walaupun sedikit, mungkin sangat bermakna buat mereka di luar sana. Paling penting, saya suka memotivasikan diri saya sendiri agar tidak terlalu tertekan dengan pandangan masyarakat luar.

Apakah saya tidak tertekan dengan soalan-soalan tentang bilakah saya akan mendapat anak?

Selalunya begini, saya akan melihat siapa yang bertanya. Jika orang yang bertanya itu belum berkahwin, saya akan menganggap dia belum mengerti makna perkahwinan. Dan selalunya, saya akan memberi jawapan yang menyenangkannya. Apa sahaja yang boleh menjawab pertanyaannya itu.

Jika orang itu telah berkahwin, saya akan melihat sama ada dia mudah atau tidak untuk hamil. Jika dia mudah hamil, saya akan melihat pada pasangannya. Apakah pasangannya seorang yang sangat memahaminya? Memahami pengorbanan dalam berumahtangga? Jika suaminya kurang memahaminya, saya rasa kerana itu mereka lebih sibukkan hal orang lain berbanding membahagiakan diri sendiri. Mungkin melihat orang lain belum ada anak sudah 'melegakan' bila terasa ada kurang dalam resam hidup suami isteri. Dan saya akan memberi jawapan natural yang menyenangkannya kerana saya tahu saya perlu bersyukur mempunyai seorang suami yang sangat memahami saya. Kebahagiaan saya biarlah saya seorang yang tahu akan ertinya.  

Dan jika yang bertanya itu masih belum hamil, saya akan minta dia lihat apa yang dia masih ada? Selalunya golongan TTCian dikurniakan seorang suami yang sangat penyayang, sanggup berkorban apa sahaja dan susah payah hidup bersama. Saya akan minta mereka bersyukur dahulu dengan jodoh pilihan mereka yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kemudian, barulah saya akan memberi jawapan tentang perjalanan TTC saya supaya dapat menenangkannya dan menjadikannnya seorang yang positif dalam mencari makna dan redha rumah tangga.

Jadi, tertekankah saya? Sebenarnya, saya sudah jarang mendapat soalan sebegini. Saya lebih banyak menerima kata-kata dan doa yang sangat positif. Saya boleh kira dengan jari, berapa orang sahaja yang bertanya soalan itu sejak Najla meninggal dunia. Jadi, saya tidak mahu ambil endah tentang persoalan yang saya anggap remeh. Saya cuma fikir positif, mereka bertanya kerana mahu ambil berat dan cuba tahu perkembangan hidup saya. Mungkin kerana, saya begitu 'sepi' sejak tidak punya akaun facebook. Sejak saya deactivate facebook, saya telah jumpa kawan yang sebenar. Kawan-kawan yang masih tetap mencari saya dengan apa cara sekalipun, dan setia bertanya khabar sehingga ke hari ini. Itu sudah cukup melegakan.

Ibu mertua saya selalu berpesan, ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Salah satunya, masa lapang sebelum sempit. Saya pernah juga bertanya soalan sebegini pada kedua ibu bapa mertua saya, "Mak, ayah, nadia boleh mengandung lagi tak?" Dan reaksi mereka sebenarnya cukup tidak menyenangkan dengan soalan saya itu. "Insya-Allah, nadia boleh mengandung lagi, anak-anak nadia lepas ni sihat-sihat. Tapi Allah belum nak bagi sekarang. Sebab Dia nak bagi nadia rehat dulu, sambung belajar. Allah tengah bagi masa lapang, bersyukurlah. Anak-anak nadia nanti memang nak disayangi sangat-sangat. Jadi, Allah belum nak beri dulu supaya nadia capai cita-cita dulu." Masa ibu bapa mertua saya bilang sedemikian, saya belum lagi nak sambung belajar, cuma dah ada impian. Dan saya tak pernah beritahu mereka tentang impian yang saya rasa belum pasti lagi. Rupanya, Allah dah atur jalan yang terbaik untuk saya kan? Takdir untuk saya sambung belajar telah tiba. Jadi, mengapa saya perlu persiakannya?

Jadi, berdosakah saya kerana belum ada anak? Saya yakin dan percaya, Allah telah kira segala penat lelah dan usaha saya selama ini. Mungkin saya tidak mendapatnya di dunia, tapi Allah tangguhkan dan berikannya kepada saya di akhirat. Siapa tahu, bukan?

Untuk para pembaca sekalian, hentikanlah bertanya soalan-soalan yang bakal menyentuh sensitiviti orang lain. Jadilah orang yang bahagia kerana hanya orang yang bahagia mampu melihat orang lain bahagia. Kebahagiaan itu subjektif, tidak dapat dibandingkan dengan nilai materialistik atau bilangan anak. Malah, mereka yang tidak dikurniakan anak ini, sudah dijanjikan Allah, bahawa Rasulullah SAW akan menanti mereka di syurga. 

Untuk kalian yang masih berTTC, pasti telah banyak usaha dan ikhtiar yang tidak pernah putus.  
Selain berdoa, tanya kembali diri, mahukan zuriat untuk apa? Adakah kerana pandangan dunia luar kepada kita atau kerana kita mahu menggalas amanah Allah SWT? Manusia mudah tertekan jika terlalu memikirkan dunia luar berbanding dunia dalaman. Kita tidak mahu melahirkan anak semata-mata melihat orang lain mempunyai anak tetapi kita melahirkan anak bertujuan untuk mendapat pencen kubur kita dan menyebarkan agama Allah SWT (Prof Dr Muhaya, Celik Mata Reset Minda).

Lihat kembali diri, apakah kita mahukan anak yang bakal menjadi pahala jariah atau dosa jariah setelah kita mati nanti. Pasangkan niat untuk jadi ibu solehah dan mendapat anak yang soleh dan solehah mulai hari ini.

Wallahua'lam.

24 comments:

  1. Allahuakhbar... sebak sangat baca entry ni ummiNajla.... lisa juga dalam situasi awk... cuma bezanya, Allah masih belum kurniakan kan lisa nikmat untuk mengandung dan melahirkan... memang betul dugaan / ujian setiap manusia itu berbeza-beza... Allah telah tetapkan mengikut kemampuan kita... bersyukurlah kerana kita adalah salah seorang dari mereka yang diuji dengan sukar mendapatkan zuriat... ujian itu telah membuatkan kita 'berfikir' - celik hati dan lebih bersyukur dengan apa yang kita miliki...

    memang betul... cuba kita muhasabah diri dan tanya kembali pada hati kita... apakah niat sebenar kita untuk mendapatkan zuriat...? lisa setuju dengan kata-kata Prof Muhaya...

    Lisa percaya pada suatu saat yang tepat, Allah akan memberikan kita apa yang kita impikan... Allah tu Maha Adil..DIA tahu apa yang terbaik untuk kita... InshaAllah...mudah mudahan...Aamiin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, Lisa berjya terapkan pemikiran yang positif dalam situasi sekarang. Insya-Allah Lisa, bila kita yakin dan percaya pada qada' dan qadar Allah Taala, kita akan fokus pada matlamat kita, untuk dapatkan anak sebagai pencen kubur. Dan sepanjang tempoh penantian itu, hidayah Allah tak berhenti kunjung tiba untuk menjadikan diri kita lebih baik, agar kita dapat menyemai benih yang baik. Hasilnya; anak-anak yang soleh dan solehah. Kesabaran itu bertambah nikmat bila kita bersyukur. Tq so much lisa srbab sudi berkongsi rasa dan pendapat :)

      Delete
  2. Min sangat bersetuju dengan ayat mertua Nadia..Rezeki ni sebahagian daripada Qadak dan Qadar, tapi ramai manusia lupa dengan ketentuan Qadak dan Qadar..Hanya tahu menyebut di mulut, tapi ramai yang 'lupa' mengamalkan dalam kehidupan...

    Teruskan berTTC...Sebagai hamba kita tak tahu 'usaha yang mana' yang Allah akan makbulkan harapan kita utk mengandung...Pengalaman sendiri, Allah bagi saat yang tidak disangka2, tapi itulah Dia yang Maha Mengetahui waktu bilakah yang terbaik buat hambaNya...Wallahualam..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tula, gembira sangat tengok rezeki min sekarang. Nak sangat tahu cerita tentang rezeki anak kedua min ni. Doakan kami min. InsyaAllah, kami akan terus berTTC tanpa jemu. Insya-Allah...

      Delete
    2. InsyaAllah, ada masa, ada idea nak menulis min akan kongsikan...Bkn pe, min ni lemah sket bab2 nak nyusun ayat nih..hehe...

      Delete
    3. Tq so much min. Cepat tau update. Nadia nak sangat tahu. Kongsi juga tau segala tips like usaha, doa, dan sebagainya :)

      I'm very happy for both of u :))

      Delete
  3. sedapnye baca entry nih.bleh tak ma lily nak copy paste kat blog ma lily.buat ingatan diri sendiri bile lupe dan lalai.boleg ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh sangat ma lily. Dialu-alukan :).
      Ingatan buat diri saya sebenarnya entry ni :).

      Delete
  4. Sangat setuju dengan tulisan ummi najla. Banyak hikmah sebenarnya bila diuji Allah. Cuma terpulang pada manusia bagaimana nak menerima dan mencari hikmah tersebut.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye betul tu. Paling penting, kita melihat semua ni dengan cara hikmah, bukan melihat musibah semata-mata. Banyak hikmahnya yang sekiranya kita tahu, kita akan bersyukur dengan apa yang kita ada :)

      Delete
  5. Walaupun Kak Yana bukan lagi dalam proses ttc tapi Kak Yana faham apa yang nad rasa sekarang.Memang....setiap pertanyaan dari orang2 yang kurang memahami isi hati kita umpama sembilu rasanya.Kak Yana dulu pernah hampir putus asa selepas beberapa bulan melahirkan Siti Hawa namun masih belum ada penggantinya.

    Yang penting kita kena selalu positif.Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita.Mungkin benar kata mil Nad, Allah mahu berikan Nad peluang utk menghabiskan pelajaran dulu.Mana tahu kan, Allah beri rezeki double or tripple nanti .Kak Yana selalu support Nad.Jangan putus usaha dan doa okey (^_^).

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq so much kak yana. Nad akan ingat segala nasihat, dorongan dan doa dari kak yana yang tak pernah2 putus. Betul kata kak yana, fikir positif selalu kerana Allah lebih tahu sesuatu yang terbaik :). Tq so much kak yana. Hugs;)

      Delete
  6. Salam Nad...
    sebak bc entry ni sbb lya sndri pnh dlm situasi yg sm n hampir juga putus asa... :(
    Yupp...selalu yakin Allah telah aturkn yg tbaik utk kita.Mne taw pasni Nad pgnt n lahirkn ramai adik utk Najla..Aamiin... ;)
    fikir positif selalu keh & xmao sedey2... muah3...dr aufaa hannah... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq so much lya.. (liya?). Nad harap nad terus kuat dan mampu berfikiran positif. InsyaAllah, positif positif positif :)

      Delete
  7. Memang sedih bila org xmengerti keadaan kita. Sebgai yg telah berumah tangga kita memang impikan zuriat sendiri.

    Sy xde la tertekan sgt sbb keje mostly officemate cine so they dont bother to ask tphusband la kawan keje semua melayu kena lg makcik2 hurm siap ckp rajin2 la cium tikar solat huuu tergamak ckp mcm tu..

    Tp syukur sbb husband seorg yg positif. Alhamdulillah berkat doa dan usaha skang kami tgh menunggu kelahiran zuriat pertama hujung bulan ni. inshaa Allah... mohon doakanla semuanya selamat utk kita semua.

    Mungkin jln kita tak selurus org lain yg mudah utk conceive .tp dgn jalan berliku ni semakin dekat kita dgn Allah... inshaa Allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq miss anon. Tahniah ye. Saya doakan baby miss anon (siapa ye nama?), sihat dan menjadi penyejuk mata buat kalian.

      "Mungkin jln kita tak selurus org lain yg mudah utk conceive .tp dgn jalan berliku ni semakin dekat kita dgn Allah"

      Tq untuk kata-kata yang sangat bermakna ini :)

      Delete
  8. Assalamuaikum saudari najla... saya pun sedang berTTC, kadangkala terasa hati juga dengan pertanyaan rakan2 sekerja, tapi saya yakin Allah tahu apa yang terbaik untuk umatNya. Bersama2 lah kita berTTC, endahkan apa yang negative, mereka tidak memahami, hanya Allah,keluarga, suami, org2 yg mengetahui tentang qada' dan qadar je yg betul2 memahami kita..saya doakan semoga saudari dikurniakan zuriat2 yang soleh & solehah.. Amin.. :)

    -Nurhidayah-

    ReplyDelete
    Replies
    1. Teeima kasih hidayah. Sedap nama tu, sama nama dengan kawan baik saya :)

      InsyaAllah hidayah, rezeki untuk kita akan datang jua nanti. Paling penting, kita perlu lebih dekat dengan Allah kan. Itu hikmahNya buat kita :)

      Delete
    2. Betul tu.. mintak maaf ter'typo' , saya nak tulis saudari ummi najla... :) Salam persahabatan 'online'. Hehe.. :)

      Delete
    3. Salam perkenalan online :)

      Delete
  9. Teruskan ttc... Ttc adalah usaha yg murni... Mmg zuriat Allah tentukan tapi Allah suruh kita usaha... Allah tahu yg terbaik utk hambanya...

    ReplyDelete
  10. Salam Ummi, Yani bersyukur ditemukan dengan blog serta entri ummi ini. ikhlas yani cakap, yani meleleh airmata baca entri ini, seperti membaca isi hati yani sendiri yang terbuku selama ini, cuma mungkin yani tak pandai nak mengatur kata macam Ummi tulis. mohon izin ummi untuk share entri ini di FB dan blog peribadi yani, sebagai peringatan pada diri sendiri tatkala hati diusik perasaan kecewa....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh yani. Silakan untuk berkongsi. Tujuan saya menulis Entry ini dengan harapan dapat memberi sedikit barangkali kegembiraan buat rakan-rakan TTCian yg kesedihan. Saya faham perasaan Yani. Bertabahlah dan yakin dengan sepenuh hati, rezeki itu pasti tiba... :)

      Delete
  11. UPT tester murah(rm1.00) dan OPK tester murah(rm1.20/pc), boleh pm atau layari blog saya kit-ujian-kehamilan-murah.blogspot.com/
    (cara penggunaan pun diberi sekali), produk sy ini menguji adakah anda hamil-(upt) dan mengetahui masa subur anda dalam usaha mendapat zuriat(opk) secara amnya,(0148004302)

    ReplyDelete

Click! Click! Click!