Sunday, 23 June 2013

Smile? You can feel the difference.


Assalammualaikum w.b.t


Cuba senyum. Just a little bit. Senyum lagi, lagi dan lagi. Senyummmmm :)

Can u feel the difference?

I do.

Saya cuba apply cara ni just untuk motivatekan diri sendiri 2-3 minggu ni. Semuanya bermula dengan final exam. Bukan mudah rupanya hendak mengulangkaji di saat-saat sudah meninggalkan lama 'situasi' study tak ingat dunia semata-mata untuk mendapatkan pointer yang baik. Segalanya serba tak kena hinggakan saya tenggelam dalam ketakutan yang saya sendiri tak faham kenapa. Sambil study, saya akan menyelak juga beberapa buah buku motivasi Dato' Dr Fadzillah Kamsah, Prof Dr Muhaya dan Ustaz Pahrol Juoi untuk 'mendamaikan' jiwa saya yang agak kacau. Dan saya cuba tips mudah dari Prof. Dr Muhaya, SENYUM. Auranya nyata berbeza, tak kira dalam apa jua situasi yang saya hadapi.

Alhamdulillah saya sekarang sedang bercuti semester 3 bulan, namun tugas hakiki sebagai guru tak pernah terlepas. Saya tak pasti di mana silap aturannya, saya gagal menyusun jadual aktiviti selepas cuti sekolah dengan baik. Saya sebenarnya sudah mula rasa tekanan kerja itu walau hampir tidak pernah saya tunjukkan depan kawan-kawan. Emosi saya jadi agak tak stabil. Saya banyak termenung dan berdiam diri. Kadang-kadang saya termenung memandang invois dan nota minta yang beberapa kali tidak 'melepasi' tahap kepuasan pihak yang menguruskan walaupun banyak kali juga saya merujuk dan bertanya tentang bagaimana untuk membuatnya. Dan adakalanya hati saya terluka mengenangkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Saya bukan tidak boleh melawan balik kerana sudah jadi satu budaya saya melihat perbalahan yang dilakukan semata-mata mahu menegakkan pendirian masing-masing, tapi saya juga ada pendirian tersendiri, "Kalau kita melayan orang gila, kita juga layak dipanggil gila. Lebih baik diam walaupun nampak 'lemah' tapi sebenarnya kita 'kuat' ketika melawan marah".

Pernah sekali, satu 'pihak' ketika saya berurusan dengannya mengherdik dan menjerit-jerit depan kepala saya. Tika dan saat itu, saya cuma melembutkan suara dan dalam masa yang sama memikirkan kata-kata hikmah ini, "Bila kita memudahkan urusan seseorang, Allah akan memudahkan urusan kita. Dan orang yang selalu menyukarkan urusan orang lain, pasti disukarkan urusannya oleh Allah..." Sepanjang saya mendengar jerit-pekik itu, satu perkataan pun tidak masuk ke kepala saya kerana tah dari mana, hati saya berulang kali membisikkan kata-kata hikmah itu. Alhamdulillah, saya langsung tidak membalas dengan kekuatan yang Allah berikan dan berlalu keluar dengan herdikan yang masih tidak berhenti. Kesalahan saya ketika itu ialah saya mengaku saya tidak tahu melakukannya dan bertanya bagaimana. Saya kemudian terus ke ruang solat. Di situlah saya mengadu pada-Nya dengan deraian air mata. 

Saya tidak membesarkan keadaan dan menyelesaikan apa yang patut. Apa yang saya sedar, 2 minggu kemudian, 'pihak' tersebut sangat malu bila bertembung dengan saya apatah lagi saya masih boleh menyapanya dengan hormat. Dan sejak itu, saya nampak dia cuba menyelesaikan setiap urusan saya dengan baik sekali. Semuanya kerana SENYUM. Saya hanya tersenyum ketika dimarah dan cuba tersenyum ketika rasa hendak marah. Mak mertua saya selalu ingatkan saya, "Kemarahan 5 minit boleh memberi kesan untuk 50 tahun akan datang..." Saya pernah buat silap dulu dan saya tidak mahu mengulanginya lagi. Jadi, untuk mengawal rasa marah yang mula menular, saya akan senyum. Walaupun kadang-kadang saya ditegur sebab asyik tersenyum tak tentu hala, tapi saya dapat rasa aura positifnya. Senyum sangat memberi impak yang berbeza bukan sahaja kepada sesiapa yang memandangnya, malah kepada diri sendiri juga.

Dan hari ini, tah berapa ratus kali saya tersenyum. Semuanya kerana sejak 2-3 hari ini saya tidak boleh tidur lena memikirkan ada satu pertandingan besar yang saya perlu sertai minggu hadapan dengan persiapan dan latihan murid yang tidak seberapa. Saya gusar sehingga lihat baju tidak berlipat pun buat saya jadi bingung. Apatah lagi, abang sulung saya yang sebaya mak mertua saya dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru bahana jerebu yang melanda. Sejujurnya, saya rasa agak 'lemas' dan susah nak bernafas. Mungkin bahana jerebu buat fikiran saya jadi kurang waras dan kusut. Jadi, saya cuba selesaikan masalah ini dengan senyum. Bila serabut je saya terus senyum. Nak masuk bilik air pun saya senyum hinggakan sedang menaip ini pun saya masih lagi tersenyum. Saya cuba nak kekalkan momentum SENYUMAN ini sehinggalah sekurang-kurangnya pertandingan itu selesai nanti. Alhamdulillah abang sulung saya sudah discharge siang tadi dan keluar hospital dengan senyuman. 

Jadi, senyumlah. Selain ia satu sunnah, senyuman juga membahagiakan.

Semoga saya masih terus mampu untuk tersenyum.


:)

2 comments:

  1. nak kena praktis selalu senyum supaya kurang stress :-)

    ReplyDelete
  2. Betul.. Practise make perfect, right. Insya-Allah. Awet muda tuuu :)

    ReplyDelete

Click! Click! Click!