Friday, 20 September 2013

Merakyatkan Perkhidmatan Awam

 
Assalammualaikum w.b.t
 
 
Ini topik Forum Perdana Hal Ehwal Islam semalam. Bagaimana untuk merakyatkan perkhidmatan awam di Malaysia dan rata-rata penonton waktu tu ialah penjawat awam. Saya sangat tertarik dengan ulasan Ustaz Don tentang bagaimana untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dikalangan penjawat awam. Salah satunya adalah meningkatkan kesedaran ketuhanan di pejabat. Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan ialah merehatkan diri dengan solat sama ada wajib atau pun sunat. Dan salah satu solat sunat yang boleh diamalkan ialah solat dhuha.
 
Dua tahun lepas, iaitu pada pengakhiran tahun 2011, saya ada membeli buku tulisan Ustaz Pahrol Juoi yang bertajuk Beduk Diketuk. Tulisan yang penuh sinikal tapi sangat mendalam maksudnya.
 
 
Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan Edy, Palm Villa Golf Resort
24.02.2013
 
Salah satu topik yang diulas bertajuk 'Ingat Mati Tingkatkan Produktiviti'. Cerita yang dikongsikan adalah perdebatan dengan seorang pegawai tinggi sebuah organisasi tentang produktiviti syarikat. Saya ambil beberapa petikan dalam buku tersebut,
 
"Saya risau kalau semua orang ingat mati, produktiviti syarikat akan menurun," kata pegawai tinggi sebuah organisasi.  
 
"Apabila ingat mati, masing-masing fikir diri sendiri sahaja. Mereka akan asyik solat, zikir dan wirid sahaja. Mereka akan tinggalkan kerja. Saya tak setuju langsung tentang ceramah tentang mati ini dibuat dalam organisasi ini. Sorry, saya tak setuju!" katanya berterus terang.
 
"Saya rasa tidak begitu. Apabila semua pekerja ingat mati, makin meningkatlah kualiti dan produktiviti syarikat ini," kata saya.
 
"Maaflah awak masih berfalsafah. Kita mesti realistik. Syarikat ini sedang mengalami masalah. Produktiviti dan kualiti menurun secara drastik."
 
"Mengapa? Apa sebabnya?" tanya saya.
 
"Culas, curi tulang, pembaziran, rasuah..."
 
"Tuan, itu semua sikap orang yang lupakan mati," jolok saya pula.
 
"Saya takut orang yang ingat mati asyik solat sahaja!"
 
"Asyik solat? Apa salahnya dengan solat?"
 
"Kalau asyik solat sahaja mana sempat buat kerja?"
 
".... Solat itu mencegah daripada fahsya' dan mungkar. Termasuklah mungkar dalam pekerjaan seperti culas, membazir, rasuah, curi tulang, dan lain-lain."
 
"Saya pernah jumpa orang yang banyak solat tapi rasuah, curi tulang...:"
 
"Tentu ada salah di mana-mana dengan soaltnya. Kalau solat tak mencegah kemungkaran, solat itu bukan solat. Ini disebut dalam hadis."
 
"Maksud awak?"
 
"Mungkin solat kerana riyak. Mungkin jahil dengan ilmu solat. Atau tidak mujahadah hingga solatnya dikategorikan sebagai solat orang yang lalai. Khusyuk jauh sekali!"
 
"Jalan penyelesaian?"
 
"Perlu diberi ilmu, dididik dan dilatih dengan program solat yang sebenar!"
 
"Kalau begitu kita perlukan program latihan yang menyentuh soal mati ke, solat ke produktiviti? Saya makin keliru sekarang..." kata pegawai tinggi tersebut.
 
"Ketiga-tiganya sekali. Kita perlukan program latihan yang bersepadu. Hingga dengan itu pekerja yang ingat mati akan serius dengan solat dan seterusnya akan meningkatkan produktiviti dan kualiti pekerjaannya!" jawab saya.
 
(Pahrol Mohd Juoi (2011). Beduk Diketuk)
 
Saya cuba ringkaskan tulisan Ustaz Pahrol ini. Tapi kesimpulannya, untuk meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi adalah melalui program latihan kerohanian yang mendalam tentang kesedaran dalam mengingati mati. Betullah, bila kita ingat mati, kita takut untuk melakukan sesuatu yang salah. Undang-undang dunia tak berjaya buat manusia takut untuk melakukan dosa. Hanya hukuman Allah sahaja yang dapat menyedarkan manusia bergelar hamba Allah ini.
 
Teringat saya pada awal tahun ini, saya sebagai Naib Pengerusi kelab guru dan staf telah menerima cadangan beberapa orang guru Islam untuk menjadikan bilik pantry yang berada di sebelah bilik guru di tingkat tiga itu sebagai bilik solat. Mungkin kerana saya AJK tertinggi yang beragama Islam, jadi ramailah guru-guru yang menyuarakan pendapat tersebut dengan harapan adalah tindakan selanjutnya. Mula-mula saya terfikir juga, apalah nanti pendangan pengetua kami yang bukan Islam itu tentang pendapat untuk membina bilik solat yang baru. Dan sewaktu saya berdepan dengannya, salah satu hujah untuk saya menguatkan permintaan itu ialah kerana ingin meningkatkan produktiviti sekolah (guru Islam terutamanya yang menjadi majoriti) dan mengawal emosi guru Islam dengan lebih terurus dengan solat. Bukanlah sekolah kami tiada surau, tapi adalah lebih mudah jika ada bilik solat terhampir dengan bilik guru yang berada di tingkat tiga itu. Mendengar segala hujah saya, alhamdulillah permintaan kami itu ditunaikan. Dan bermulalah operasi untuk menjadikan bilik pantry sebagai ruang solat. Dan bukan sahaja guru-guru Islam yang menggunakannya, malah guru-guru bukan Islam juga berhak untuk keluar masuk menggunakan sinki, berehat, mengepam susu, dan makan di bulan puasa. Saya tak sangka, mereka sangat menghormati kami dan alhamdulillah bilik pantry+bilik solat itu dapat jadi tempat berguna untuk semua orang. Malah, guru-guru bukan Islam juga ada menyumbang peralatan untuk kegunaan bersama di bilik itu. Kesan sejak bilik solat itu diwujudkan sangat ketara. Alhamdulillah.
 
 
Seawal bilik pantry menjadi bilik solat. Sekarang dah lebih cantik sebab ada guru
 yang sedekahkan langsir. Alhamdulillah.
 
Ruang solat yang minima tapi sangat bermakna. Peralatan dan keperluan
solat adalah sumbangan daripada guru-guru.
 
Ruang rehat untuk semua.
 
Semoga menjadi perkongsian berguna.
 
Wallahua'lam.

Sunday, 8 September 2013

3 in 1


Assalammualaikum w.b.t


1. Berakhir dan bermulanya kerjaya seorang guru

Eh eh, bukan kerjaya saya yang dah berakhir. Ni kisah tentang guru-guru praktikal di bawah bimbingan saya. Alhamdulillah, untuk tahun ini, sudah 2 kali saya diberi peluang untuk menjadi guru pembimbing bagi pelajar-pelajar twinning program. Pengalaman yang sangat berharga dan perasaan saya ketika diberi tanggungjawab ini awalnya, saya rasa belum cukup layak sebab saya pun masih baru dalam perkhidmatan. Namun peluang seperti ini tidak boleh dipersiakan. Bekerjasama dengan pensyarah dan guru-guru praktikal ini sangat membantu saya dalam menimba pengalaman berharga. Alhamdulillah. Cukup memberi kesan dalam hati saya bila mendapat guru praktikal kedua kerana cintanya pada agama sangat menyentuh hati saya. Semoga peluang ini sentiasa ada untuk saya pada masa akan datang.


Guru-guru pembimbing dan guru-guru praktikal


2. Demam dan Habbatussauda

Ramadhan yang lalu, saya pernah demam selama 5 hari. Paling mengujikan bukan kerana panas badan, tapi kerana sakit kepala yang masya-Allah susah nak describe. Kepala masa tu hanya boleh baring. Nak bangun sekejap pun tak larat sebab sakit yang teramat. Selepas episod demam saya itu, ramai murid dan ada juga staf di sekolah saya yang dilanda demam berhari-hari lamanya seperti saya. Akhirnya selepas cuti Syawal, mereka yang demam ini disuspect denggi dan ramailah 'ahli keluarga' dari sekolah saya yang ditahan wad setiap kali demam. Kejadian ini dikatakan berlaku kerana terdapat pembiakan nyamuk di kediaman terhampir dengan sekolah kami. Wallahu'alam.

Dan saya ada juga ke hospital menzirah seorang staf yang juga suspect denggi. Dan entah kenapa, semalam saya berasa tidak sedap badan. Terus petang rasa sakit kepala yang teramat. Saya terus teringat habbatussauda, penawar kepada segala penyakit kecuali mati. Dulu masa saya demam 5 hari itu, saya lupa untuk makan habatussauda. Kali ini, saya tidak mahu berlarutan lagi demam. Terus telan 2 biji siang dan malam sebelum tidur. Alhamdulillah pagi ni, saya dah tak sakit kepala lagi. Panas belum kebah sepenuhnya. Sakit belakang masih terasa kesan jatuh ahad lepas. Tapi saya kena bertahan kerana saya sudah tidak boleh berehat begitu lama. Semakin hujung tahun tiba, tugas di sekolah akan semakin menimbun. Saya tidak boleh menyusahkan orang lain. Rakan saya bilang, saya terlalu penat bekerja sehingga demam. Entahlah. Saya tak pasti atau pun mungkin saya menafikan yang saya penat sedangkan memang betul badan saya sudah betul-betul letih.


3. Semester baru

Esok, kuliah baru di semester baru akan bermula. Macam tak percaya sudah masuk ke semester 2! Tiada apa yang mampu saya katakan selain hanya mampu berdoa semoga Allah SWT kuatkan saya, tubuh badan saya, mental serta emosi agar saya mampu menghadapi dunia sebagai guru dan pelajar dengan baik. Saya akan lebih sibuk memandangkan pada waktu pagi perlu mengajar dan petang ke kelas. Saya sudah berada di jalan ini dan saya tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Ada hikmah di sebalik semua takdir Allah ini. Semoga Allah SWT menemukan saya dengan rakan-rakan kuliah yang baik hatinya dan sanggup membantu serta pensyarah yang bertimbang rasa. Dan peringatan juga kepada diri saya agar sentiasa bertimbang rasa dan melayan baik kerenah anak-anak murid di sekolah jika inginkan pengajar yang baik di universiti. Pepatah "What u give, u get back" akan sentiasa saya ingat untuk semua hukum alam ini.

Saranan saya kepada yang ingin sambung belajar; jika sudah sampai masa dan waktunya untuk belajar, jangan dilepaskan peluang itu. Dan sebaik-baiknya jika bisa memohon cuti belajar, pohonlah. Kerana bekerja dan belajar pada waktu yang sama bukan suatu tugas yang mudah. Tapi jika ini takdir-Nya, ambillah peluang disebalik kesusahan ini. Kerana hanya mereka yang optimis dapat melihat peluang disebalik kepayahan. Percayalah, keseronokan akan dapat dirasai apabila melihat hasil akhirnya nanti <-- Motivasi untuk diri sendiri.


Wallahua'lam~

Thursday, 5 September 2013

Imanku selembar benang...


"Bila hati selalu merasa tidak tenang, itu tanda hati masih penuh dengan dosa...."


Tanpa saya sedar, akhirnya tah untuk ke berapa kali, air mata ini menitik jua. Iman saya masih tipis dan makin tipis.

Hanya kerana satu hari itu yang telah banyak menjauhkan saya dari rahmat-Nya, saya masih bersyukur Allah masih memberikan kesempatan ini jua untuk saya menyesali setiap dosa yang saya lakukan.

Sememangnya saya sudah kering idea untuk menulis walau sepatah kata dalam blog ini. Nyatalah tinta yang terhasil dalam setiap entry adalah satu kemudahan atau kata lainnya petunjuk dan hidayah yang Allah berikan untuk saya kongsikan. Namun hati yang penuh dosa, bisakah menulis entry yang menyejuk hati? Saya tidak pernah menulis sesuatu entry yang tidak lahir dari hati saya. Tah kenapa, malam ini, terasa penuh syahdu, akhirnya saya kuatkan hati untuk menaip entry ini yang saya sendiri tidak tahu kronologi ceritanya nanti. Dan mungkin, mungkin.... inilah cara saya meluahkan segala kekesalan atas segala dosa yang telah saya lakukan pada-Nya. Hanya DiaYang Maha Mengetahui...

..
....
......

2 minggu ni jiwa saya agak celaru sedikit. Iman agak teruji. Perubahan sikap dan emosi dapat dirasai.. Mungkin masih tersisa kesan chlomid pada hormone dalam badan ini. Saya terpaksa memberhentikan dahulu pengambilan chlomid untuk kebaikan emosi saya yang menjadi sedikit tidak terkawal sebelum ini. Dan saya tahu kesannya akan tetap dirasai walaupun sudah memberhentikan pengambilannya hingga selepas 2-3 cycles nanti.


"Iman itu sama seperti pakaian yang kita pakai setiap hari. Ia mudah lusuh dan perlu dicuci. Jika iman tidak diperbaharui seperti pakaian yang dipakai hari-hari, begitulah iman kita yang terpapar dalam diri...Lusuh dan tidak berseri."


Saya sudah lama meninggalkan buku-buku motivasi/rohani yang acapkali dibeli. Tah bila kali terakhir saya baca pun saya tidak pasti. Mungkin inilah tanda kelusuhan iman dalam diri. Rupanya bukan mudah untuk saya istiqamah dengan hijrah ini. Semoga segala kenangan di Madinah dan Makkah yang adakalanya datang bertalu-talu dalam mimpi menjadi penguat untuk saya istiqamah dan terus berada di jalan-Nya ini. Semoga Allah menjauhkan saya dari segala anasir yang bakal melalaikan diri saya nanti.


"Apabila kita melakukan sesuatu yang kita tidak suka tetapi disukai Allah dan Rasul-Nya, itu adalah jihad. Jihad yang akan membawa kepada istiqamah..."


Anak buah kesayangan saya, si kupu-kupu syurga, Siti Saffiya Azzahra baru sahaja keluar wad siang tadi kerana dehidrasi. Sewaktu di wad, saya ada menjaganya. Tah tiba-tiba Saffiya yang selalunya tidak mahu dengan saya tatap wajah saya begitu lama... Akhirnya, saya gagal mengawal emosi sendiri. Air mata tumpah juga. Saffiya memegang bibir saya sewaktu saya cuba bercakap-cakap dengannya. Mungkin saya paranoid. Saya terlalu sayangkan Saffiya kerana Saffiya sebaya arwah Najla.








 
 
Dan banyak lagi ujian lain yang datang dalam 2 minggu ini. Saya yakin dan percaya itu adalah kafarah atas segala dosa-dosa saya.

Minta maaf atas segala komen dan email yang tidak berbalas. Saya malu dan rasa tidak layak untuk membalas. Maafkan saya. Maafkan saya juga atas entry ini. Saya masih sedang bermuhasabah dan maafkan saya jika saya perlukan ruang masa sendiri. Insya-Allah akan ada entry terbaru, dari hati yang tulus suci. Amin.

Click! Click! Click!