Wednesday, 27 November 2013

"Tambahkan imanku, ilmuku dan ibadatku"


Assalammualaikum w.b.t


Setelah menyepi sekian lama, saya gagahkan diri juga untuk menaip entry ringkas petang ni.

Saya menyepi kerana sedang bersabar dengan ujian Allah. Banyak yang telah berlaku dalam hidup saya dalam sebulan dua ini. Semuanya berlaku sangat pantas. Syukur alhamdulillah, masih ada jalan pulang untuk hamba-Nya yang hina dina seperti saya. Alhamdulillah Allah masih sayangkan saya dan titipkan hidayah di saat-saat genting saya perlu menghadapinya. Syukur alhamdulillah ada suami, dan rakan-rakan yang banyak memuhasabahkan diri saya sewaktu saya sangat ketandusan iman, ilmu dan amal. Allahuakbar!

Tajuk entry ini adalah inspirasi dari sahabat saya, Shuhadak atau saya gelarnya Chak.

Chak minta saya tambahkan ayat ini dalam doa seharian saya. Itu pun kerana saya ingin tahu apakah resepi kejayaannya dalam tempoh perkhidmatan yang masih muda dalam bidang pendidikan, telah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang dan dipilih pula untuk memberi kursus kepada pengetua-pengetua dan guru-guru kanan di daerahnya mengajar. Jawapannya mudah;

"Niatkan semua perbuatan kita kerana Allah. Renew niat kita setiap kali kita ingat. Dan selalulah berdoa agar Allah tambahkan iman, ilmu dan ibadat. Jangan tinggal solat dhuha. Rezeki akan datang tanpa disangka-sangka dan diduga..."

Sejujurnya, saya telah pun mengamalkan doa ini sejak diberitahu Chak. Saya sangat ketandusan ilmu dan sejak sambung belajar ini, saya terasa sangat dahagakan ilmu. Saya sanggup dimarah pensyarah jika buat kesalahan, saya sanggup mengulang kajian yang ditolak mentah-mentah, saya sanggup melakukan research finding sehingga rasa nak muntah.. Semuanya kerana saya ingin menjadi guru yang akan mengajar dengan betul tanpa ada miskonsepsi. Semester ini, saya agak 'ditekan' dengan model pengajaran yang sebenar yang sejujurnya selama saya menjadi guru, saya tidak sedar akannya. Namun alhamdulillah, Allah bukakan jalan dan sentiasa memberi peluang saya memperbaiki kelemahan saya dengan menghadirkan insan-insan yang tidak lokek ilmu dan sentiasa mahu beri peluang kepada saya untuk belajar.

Percaya atau tidak, saya pernah menangis keluar dari bilik kuliah dan merasakan saya tidak layak menjadi seorang guru! Terus rasa mahu berhenti belajar dan duduk di rumah. Itu kejadian awal semester ini. Alhamdulillah sekarang, saya hampir berjaya mengatasinya. Dengan bimbingan pensyarah yang saya anggap ditaktor awalnya, tapi sebenarnya inginkan saya menjadi guru yang berkualiti. Saya berjaya mengharungi 'perasaan putus asa' itu walaupun belum tiba peperiksaan akhir. Terima kasih Doktor Y! Doktor Y telah banyak mencungkil kelemahan saya selama ini dan sejak saya sedar, saya berjaya mengikut apa yang dikehendaki. Itu pun masih terdapat salap silap yang masih boleh diperbaiki. Saya bersyukur Allah berikan jalan ini. Jalan yang memberi peluang kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Selepas mengamalkan doa ini, saya diberi peluang (awalnya saya anggap keterpaksaan) untuk mengajar kesemua kelas Kimia tingkatan 5 tahun depan dan satu kelas tingkatan 4. Sewaktu menerima berita itu, saya cuba mengelak kerana saya rasa, masih banyak kaedah pengajaran yang belum saya kuasai. Tapi saya yakin, selagi peluang ini tidak datang, saya tidak akan pernah mencuba. Saya yang minta Allah tambahkan ilmu, mengapa perlu saya menolak peluang ini? Tiada pengalaman pertama, tiadalah istilah 'guru berpengalaman'.

Terima kasih juga kepada pihak sekolah saya, yang banyak memberi peluang kepada saya untuk belajar. Paling penting, memberi kepercayaan kepada saya, seorang guru baru untuk mencuba beberapa perkara. Alhamdulillah, sudah dua tahun saya diberi peluang untuk menyertai pertandingan kajian tindakan, dibantu pula pihak sekolah dengan bantuan kewangan untuk saya hasilkan inovasi kepada kajian saya dan kini saya cuba meneruskan inovasi yang dihasilkan untuk projek sarjana saya. Aturan Allah itu indah. Semua peluang ini datang tanpa saya minta. Awalnya dulu, saya rasa terpaksa. Bila sudah buat, saya mula suka. Dan jalan untuk mencari ilmu Allah itu saya rasakan semakin terbentang luas. Terasa betapa kerdilnya saya selama ini dan mengapalah saya selalu menjadi manusia yang tidak bersyukur?! Semoga Allah mengampuni dosa saya.

Tulisan ini adalah kenangan untuk saya baca pada masa akan datang. Saya ingin lihat kembali jika saya perlu melalui saat kejatuhan. Saya perlu sedar, Allah telah banyak memberikan rezeki yang tidak disangka-sangka. Mengapa saya selalu tidak bersyukur dengan apa yang ada? Semoga saya sentiasa dapat memuhasabah diri sendiri.

Wallahua'lam.

1 comment:

  1. Alhamdulilah setiap yg blaku ada hikmahnya.
    .

    ReplyDelete

Click! Click! Click!