Friday, 24 October 2014

Akhir tahun, keep calm, think positive. In shaa Allah semua yang datang akan baik-baik :)


Assalammualaikum w.b.t


Rasa macam tak percaya last entry saya pada 6 July lepas, dah lebih 3 bulan rupanya saya tidak menulis apa-apa entry. Masa berlalu dengan pantas. Memang adakalanya tak terkejar saya dengan 'masa' yang begitu cepat ini.

Dan selepas subuh pagi tadi, saya tiba-tiba terdetik untuk tulis entry ini. Entry rambang mungkin. Tapi saya akan cuba susun ayat supaya tak menjadi huru hara dan macam tak tahu apa nak cerita.

Kalau kalian ikuti perkembangan hidup saya, mungkin tahu saya sedang struggle dengan sambung belajar saya, adaptasi dengan pengajaran tingkatan 6 dan kerja-kerja lain yang selalu tertangguh (kerana saya suka menangguh, padan muka diri sendiri). Belajar dan kerja sememangnya memerlukan satu pengorbanan yang sangat besar, dari segi masa, holiday, waktu rehat, dan quality time dengan suami. Macam cuti deepavali sekarang (kami cuti seminggu dan kebetulan saya juga sedang cuti pertengahan semester), saya hanya terperuk di rumah menghabiskan masa saya menyiapkan assignment, tesis dan dalam masa yang sama menunaikan tugas wajib saya menanda kertas-kertas peperiksaan akhir tahun murid. Alhamdulillah saya tidak perlu menanda kertas PT3 dan sekadar bersyukur hanya menjadi SUnya sahaja. 

Alhamdulillah, apa yang perlu saya syukuri, suami sangat memahami, keluarga saya dan juga keluarga mertua maklum dengan kesibukan yang saya sendiri pilih dengan izin dan takdir-Nya. Mungkin saya suffer sekarang tapi saya percaya akan hikmah disebalik jalan yang saya pilih ini. Tapi sebenarnya, saya sibuk cuti panjang ini sahaja sebab waktu sekolah, saya jarang fikirkan tentang assignment atau pun tesis. Bagi saya, sekolah is sekolah, belajar is belajar. Saya takkan campur keduanya pada waktu yang sama. Dan jarang-jarang sekali saya akan buat assignment di sekolah melainkan terpaksa (rasanya adalah sekali dua dalam masa dua tahun ini). 

Jika diizinkan Allah, saya akan tamatkan pengajian sarjana saya akhir tahun ini. Lucunya, belum siap tesis, saya sudah membayangkan akan naik ke pentas konvo terima ijazah bulan 5 tahun depan. Saya tak pastilah saya ni memang jenis suka berangan ke sebab dulu pun saya selalu bayangkan hidup saya indah-indah sahaja akan berlaku. Contohnya masa muda-muda remaja dulu sebelum zaman cintan-cintun, saya akan bayangkan macam mana hidup saya dengan unknown husband saya yang penuh kebahagiaan dan kehidupan yang larat dengan suka duka. Dah kahwin, saya akan bayangkan kehidupan saya dengan anak-anak, lepas tu saya jadi nenek and ada ramai cucu. Setiap kali saya beli rumah, saya akan berangan-angan dengan Edy, "Rumah ni untuk anak kita yang sulung, rumah ni pula untuk anak kita yang no. 2, rumah yang kecil ni pula untuk anak kita yang no. 3 (mungkin no.3 tu nanti dia kaya jadi bagi rumah kecil je) dan bla bla bla". Lepas tu bila dah start belajar, saya bayangkan saya akan konvo dengan perut memboyot, lepas tu saya bersalin, ada baby, lepas tu tiba-tiba dapat sambung belajar lagi kat oversea (mungkin Jepun atau UK) then bawa anak saya yang masih kecil (siap bayangkan masa nak naik flight kat KLIA nanti berlaku adegan salam peluk cium family saya dengan family mertua sambil nangis-nangis sebab nak tinggalkan diorang untuk 2-3 tahun), siap berangan nak buat bisnes nasi lemak atau nasi ambang kat oversea lagi kau!

Haha. Itulah imaginasi saya sejak dua tahun lepas kalau korang nak tahu. Saya selalu cerita angan-angan saya ini dengan Edy and dengan seorang lagi kawan saya, Aziera yang turut sama belajar master dengan saya di UTM. And to be honest, setiap kali cerita tentang imaginasi melampau saya ini, saya akan rasa gembira and terus terdorong untuk lebih berjaya :)

Mendapat tawaran untuk mengajar tingkatan 6 juga sebenarnya satu hikmah besar buat saya. Saya tak pernah bayangkan (jauh sekali ada dalam imaginasi saya) untuk mengajar tingkatan 6 sebab saya selalu bayangkan akan mengajar pelajar-pelajar di universiti atau maktab (HAHA! See.... Over tak imaginasi aku?) <---- Tolong abaikan semua perkataan dalam bracket ni if rasa terganggu dengan cerita saya.


Sejak saya mengajar tingkatan 6, sekali lagi hidup saya berubah sekelip mata (in other word, bertambah huru-haralah hidup saya). Sebab saya sedang sambung belajar dan untuk guru yang pertama kali mengajar tingkatan 6 seperti saya pasti menuntun masa yang banyak untuk menelaah apa yang perlu diajar. Saya nyaris menolak sebab saya rasa tak mampu nak galas keduanya buat masa sekarang. Plus dengan plan nak ada baby lagi. Waktu tu saya terfikir, bilalah saya boleh tenang untuk conceive semula dengan kesibukan tahap undescribed ini. Saya mula rasa terbeban dan saya memang tak berminat untuk terima tawaran itu. Tapi setelah berbincang dengan seorang guru senior yang juga guru kimia tingkatan 6 (yang sedang mengandung selepas 8 tahun TTC!), akhirnya saya pertimbangkan semula tawaran itu. Apa yang penting, saya terima kerana waktu tu sudah bulan 5 dan saya akan bercuti semester 3 bulan, dan atas nasihat senior saya itu, dia minta agar saya tidak menolak kerana saya akan bercuti panjang dan boleh menggunakan masa itu untuk menelaah dengan sebaiknya.

Sebenarnya, ada sebab kuat yang lain mengapa saya akhirnya terima tawaran itu. Tiba-tiba waktu itu saya terfikir tentang fardu kifayah. Di daerah saya ini, hanya sekolah saya yang menawarkan aliran sains tulen bagi tingkatan 6, dan belum ada lagi guru kimia Islam yang mengajar kimia bagi tingkatan 6 di sini. Fizik dan Biologi sudah ada sekurang-kurangnya seorang guru Islam. Jadi, kerana tidak mahu menanggung dosa satu daerah ini, saya terima tawaran itu. Ya, kerana fardu kifayah itu, saya terima! Hanya itu alasan terbaik untuk saya tidak menolak.

Dan bermulalah hidup saya tidak tidur lena sejak itu. Setiap hari saya akan terbangun seawal pukul 3 pagi untuk menelaah apa yang perlu diajar. Adakalanya saya akan tidur sangat lewat. Buku-buku tebal sewaktu di universiti dulu menjadi peneman hidup saya. Internet pula menjadi sumber rujukan utama. Segala-galanya saya explore. Menjangkaui proses pembelajaran saya sewaktu degree dulu. Semuanya gara-gara ingin mengajar mungkin bakal doktor atau engineer, jadi perlu untuk saya mempersiapakan diri dengan 'senjata' terbaik. Bagi saya, pergi ke kelas tingkatan 6 tanpa persediaan seperti menyediakan diri untuk 'mati dalam peperangan'. Dan alhamdulillah pejam celik pejam celik sudah 5 bulan berlalu dengan setiap hari terjaga seawal pukul 3 pagi dan Allah sangat membantu saya untuk menyampaikan ilmu itu dengan baik. Walaupun tiada seorang melayu pun atau pelajar islam dalam kelas itu, saya tetap buat yang terbaik untuk mengajar mereka dengan sedaya upaya saya sehingga mereka benar-benar faham. Kadang-kadang soalan yang diajukan pelajar memang sangat sukar dan menduga tapi Allah SWT sering membantu saya untuk menyelesaikannya. Dan setiap soalan yang diajukan itu menjadikan saya lebih banyak belajar dan matang dalam pengajaran saya kali ini.

"To our students, whose enthusiasm and curiosity have often inspired us, and whose questions and suggestions have something taught us".

Setiap kali saya rasa 'pening' dengan soalan-soalan pelajar saya yang memerlukan saya balik dan study semula untuk berikan mereka jawapan pada keesokan harinya, saya akan ingat  pada kata-kata yang saya ambil dari buku Chemistry The Central Science tulisan Brown, LeMay dan Bursten itu. Dan pelajar-pelajar ini sangat menghormati saya dan sentiasa membantu saya ketika saya 'blur' bila diaju pertanyaan. Mereka tidak akan cuba untuk menduga saya malah sentiasa berkongsi idea dan pemahaman mereka terhadap sesuatu topik yang dipelajari. Saya sendiri banyak belajar daripada mereka. Bertemu mereka setiap hari dengan waktu mengajar 9 waktu bagi satu kelas tingkatan 6 memang sangat mengujakan (Haha, ayat plastik!).

Dan kerana asyik terjaga seawal pukul 3 atau 4 pagi setiap hari, saya (yang pada mulanya terpaksa) berpeluang untuk bertahajud. Saya juga hamba-Nya yang lemah, memang boleh dikira dengan jari berapa kali saya mampu untuk bangun solat tahajud dalam hidup saya. Sedangkan sewaktu menunaikan umrah dulu pun, saya tak mampu nak bertahajud setiap malam, apatah lagi di Malaysia. Dan gara-gara terlalu sibuk menelaah untuk tingkatan 6, adakalanya (sekarang sudah kerap) saya tertidur awal sebelum solat isyak. Dan kerana tidak solat isyaklah saya akan dapat menunaikannya setelah saya bangun pagi-pagi itu. Seperti apa yang Ustaz Azhar Idrus pernah kata lebih kurang begini bunyinya, 

"apabila kita tertidur dan bangun semula untuk bersolat walaupun solat itu ialah solat wajib (Isyak), ia sudah dikira tahajud..." 

Percaya atau tidak, sepanjang saya mengajar tingkatan 6 inilah saya lebih banyak peluang untuk bertahajud pada-Nya. Dari rasa terpaksa (kerana belum solat isyak) akhirnya menjadi suatu kebiasaan. Dan terasa ada kekosongan bila tidak dapat menunaikannya. Umpamanya seperti kita yang sudah biasa solat 5 waktu (walupun mungkin solat itu belum cukup sempurna kerana tidak khusyuk dan sebagainya), dan tiba-tiba kita terlepas waktu untuk solat atau tertidur sehingga terlepas waktu solat subuh contohnya, pasti kita akan rasa 'sesuatu' dan menuntut kita untuk qada'kan solat itu semula. Macam itulah yang saya rasa bila sudah biasa bangun untuk tahajud (sejujurnya terjaga kerana belum habis study), dan bila cuti panjang pun saya rasa seperti tidak mahu meninggalkannya. Itulah kuasa Allah SWT dalam menyemai cinta ibadah padaNya. Benarlah suatu pepatah yang seringkali saya jumpa. Lebih kurang begini kata-kata itu yang masih saya ingat,  

"Sekiranya kamu tidak mampu menangis dalam doamu kepadaNya, berpura-puralah menangis sehingga suatu masa nanti kamu akan benar-benar menangis kerana cintamu padaNya..."


Sesungguhnya hati-hati manusia itu dipegang oleh Allah. Walaupun pada dasarnya kita terpaksa atau berpura-pura melakukannya, pasti hati ini akan dilembutkanNya jua tanpa kita sedari. Bukanlah saya bercerita ini untuk menunjukkan ibadah apa yang saya lakukan. Tidak. Tapi saya harap perkongsian saya ini dapat mendidik hati rakan-rakan semua yang mengalami kesukaran seperti saya untuk bangun malam beribadah agar berpeluang mengalaminya walupun mungkin pada dasarnya dahulu saya 'terpaksa' tapi  keikhlasan dan rasa cinta itu akan datang dengan sendirinya. In Shaa Allah. 

Dan kerana tahajud inilah telah banyak mengubah hidup saya kini. Saya rasa kehidupan saya menjadi lebih mudah, saya lebih redha dengan segala ketentuan-Nya dan sentiasa bersangka baik pada apa yang bakal diberikan-Nya kepada saya.

Saya menjadi lebih kuat, berhati-hati dan sentiasa memandang ke hadapan serta yakin dengan ketentuan Allah yang sentiasa terbaik untuk saya. Saya sentiasa melihat masa depan yang cerah menanti saya di hujung sana bersama suami, anak-anak, dan cucu-cucu saya. Apa yang paling penting, biarlah pengakhiran saya nanti menjadi khusnul khatimah. Sudah tentu saya ingin bertemu Najla Batrisya di syurga Allah dan meninggalkan anak-anak yang soleh dan solehah di dunia agar mereka dapat menjadi pencen kubur untuk saya dan Edy nanti. Itulah sangkaan saya selalu kepada takdir Allah. Kerana saya sentiasa berpegang kepada kata-kata ini,

"Cakap yang baik-baik, fikirkan yang baik-baik, in shaa Allah yang datang semua akan baik-baik..."

Alamak, senget pula! Why Eiffel Tower? Kerana ketinggiannya
melambangkan tingginya cita-cita saya dan tingginya harapan
saya pada masa akan datang. 

Saya sentiasa percaya kepada kata-kata itu kerana Allah sentiasa menuruti sangkaan hamba-hambaNya. Kepada kawan-kawan, teruskan bersangka baik padaNya. Sesiapa yang sentiasa mampu dengan kudratmu untuk bertahajud, syukur alhamdulillah kerana kalian memang insan yang terpilih sekian lama untuk beribadah kepadaNya sewaktu orang lain sedang lena diulit mimpi, dan kepada kalian yang mungkin seperti saya, mungkin boleh cuba tips 'menangguhkan solat isyak' dengan niat untuk melaksanakan pada sepertiga malam. In shaa Allah, niat yang baik itu akan dipermudahkan Allah walaupun payah pada mulanya.

Dan akhir kata, sempena akhir tahun bagi kalendar islam 1435H, sama-samalah kita audit diri sebelum buku amalan kita ditutup pada hari ini dan menjadi hambaNya yang baharu pada tahun hijrah 1436 nanti. Dan pada hari ini genaplah usia walimah saya dan Edy untuk tahun yang ke-5 mengikut kalendar Islam. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan kepada kami sepanjang usia perkahwinan kami ini. Semoga cita-cita kami untuk ke jannah Allah dimakbulkan-Nya.

Sekian, saya akhiri dengan doa akhir dan awal tahun hijrah. Semoga perkongsian hari ini menjadi sesuatu yang bermanfaat. Wassalammualaikum w.b.t


Doa akhir tahun dan awal tahun

Click! Click! Click!