Friday, 13 November 2015

"Before anything else, preparation is the key to success..." JPNK : Part 3

 
Assalammualaikum w.b.t
 
 
Berkisar tentang Penyusuan Susu Ibu (PSI), saya ingin berkongsi tentang peralatan penyusuan yang saya beli sebelum Khadijah dilahirkan.
 
Terlalu bersemangat untuk menyusukan bayi yang dinanti sekian lama buatkan saya tak sabar untuk beli pam. Bila tanya kawan saya yang menyusukan anaknya secara esklusif dan dicadangkan pula dengan Avent Manual Breast Pump, saya terus beli dari Nurizshar tanpa berfikir panjang. Masa tu saya hamil 4 bulan. Tak ada ilmu sangat masa ni.
 
 
Dah let go pun pada mummy Gombak :)
 
Kemudian, bila dicadangkan pula oleh kakak kawan saya untuk beli electric breast pump, saya beli pula Autumnz Double Electric Breast Pump daripada Puan Amna. Itu pun selepas puas saya survey dan jumpa blog Puan Amna (momsbreastfeeding.blogspot.my).
 
 
Edy tolong COD (tu kaki Edy tau)
 
Kemudian bila kawan sekolah saya datang untuk beri ilmu tentang PSI kepada saya, dan selepas saya go through perkongsian Kak Fazi dalam page beliau, fikiran saya asyik terganggu dengan dua perkara yang mana saya sangat bimbang ia akan menggagalkan PSI saya. Perkara tersebut ialah tentang;

 
1. Bagaimana saya nak jaga jadual mengepam saya sebagai seorang guru yang jadual harian mengajarnya adalah berbeza? Tak mungkin saya boleh konsisten nak mengepam 3x sehari pada waktu yang sama dengan nak terkejar-kejar cari tempat 'persembunyian' untuk mengepam lagi lepas tu nak berkejar ke kelas pula.
 
2. Saya kena guna hands free pumping bra ke setiap kali nak nak buat double pumping di sekolah? Saya kena beli hands free ni banyak-banyak ke?

 
Dua perkara ini sangat-sangat menganggu fikiran saya. Hari-hari saya fikir terutama bagaimana hendak menjaga jadual mengepam pada waktu yang sama itu. Kebanyakan perkongsian pengalaman ibu-ibu yang menyusukan, adalah mereka yang bekerja pada waktu pejabat. Then biasanya ibu-ibu ini mempunyai masa yang agak fixed setiap hari (waktu mengepam pukul 8 pagi - 10 pagi - 1 tengah hari - 5 petang).
 
Saya survey di instagram dan akhirnya terjumpalah dengan aksesori penyusuan yang agak canggih saya kira iaitu Freemie Cup Collection. Saya cuba cari yang paling murah (harga agak berbeza-beza di ig). Saya tidak terus gelojoh membeli sebab yang termurah saya jumpa pun sudah RM299 including postage (masa tu belum GST lagi). Aksesori sahaja tanpa pam ye. Berpinar mata sekejap.
 
Saya buat review dulu. Blogwalking. Dan kebanyakan review yang saya baca sangat memuaskan dan paling penting memudahkan dan boleh mengepam DI MANA SAHAJA tanpa perlukan hands free bra!
 
Dan selepas berbincang dengan Edy, saya terus beli melalui ig Little Servant pada akhir Mac 2015 (tak nak bayar GST punya pasal). Beli sekali habbatussauda (Habasyi Oil) untuk dimakan selepas bersalin sebab saya refuse nak makan segala jamu. Cukuplah habbatussauda dan madu sebagai 'ubat' untuk merawat dalaman saya nanti.Dan Freemie yang dinanti tiba juga akhirnya. Perasaan saya? Tentula sangat-sangat mengujakan!
 
 
Pump with your shirt on!
 
Saya terus pasang segala tiub dengan motor pam Autumnz  mengikut manual yang Freemie bagi. Dan terus cuba tau! So first time saya sambung macam gambar di bawah (ikut manual yang diberi).
 
 
Cara pasang Freemie Cup ikut manual
 (Nampak panjang kan tiub dia sebab tiub Freemie attach dengan tiub Passion)
 
 
Tapi kan, saya dapat rasakan suction Freemie Cup ni tak sekuat kalau saya guna corong Autumnz Passion. Saya dah tekan sampai level 9 pun still rasa tak kuat. Alamak! Macam mana ni????
 
Saya dah mula rasa sedih. Mahal kot and dah keluar duit banyak. Saya buat adjustment dengan potong tiub Freemie (haa.. part ni jangan ikut ye. Sebab memang sangat sengal pergi potong tiub Freemie tu. Dahlah nak cari tiub yang sama payah! Haha! Tolong jangan ikut ok!) Resultnya tetap sama; suction tak kuat. Lepas tu saya pergi pula One Baby World nak cari ganti tiub Freemie yang dah terpotong tu, tak ada jual pula! Then, as a final solution (still try and error), saya beli tiub Autumnz Passion sebagai tambahan dan ganti kepada tiub Freemie tu.
 
 
Tiub Freemie yang dah dipotong dan sukar untuk dicari ganti :"(
 
 
Rasa sedih sangat setiap kali terpandang kotak Freemie tu. Selagi saya tak dapat solution, saya memang tak boleh duduk diam. Otak terus berfikir macam mana nak bagi suction kuat. Dah invest banyak, kena pastikan ada hasil! Kemudian tah macam mana, Allah beri ilham. Selepas a few trials, akhirnya saya dapat solution! Saya tak ikut pun manual yang diberi dan saya guna cara saya sendiri. Alhamdulillah, its work! Dan tips ini saya ada kongsikan juga bersama Kak Fazi dan ibu-ibu yang mempunyai masalah yang sama di page Kak Fazi (dulu Kak Fazi pun tak pakai Freemie sebab masalah yang sama, then sekarang beliau juga gunakan bila ada kursus di luar). Alhamdulillah, selesai satu masalah.
 
 
Atas: Barrier Freemie (anti-back flow)
Bawah: Tiub Autumnz Passion
 
Tiub Passion disambung terus ke Freemie Cup dan barrier
(sambungan tiub menjadi lebih pendek)
 
Taraaa! Ni lah hasilnya. Saya guna powerbank, so senang tak perlu cari power supply.
 

Formulanya mudah, guna konsep Air Pressure: semakin dekat barrier (anti-back flow) tu dengan lubang tiub motor pam, semakin kuat suction Freemie. Macam gambar di atas. Boleh buat perbandingan dengan gambar sebelum tu (yang ikut manual). Barrier ni wajib pakai sebab tanpa barrier, chances untuk susu termasuk ke motor pam adalah sangat tinggi (boleh rosak pam nanti).
 
Saya totally guna Freemie bila dah mula kerja. Di rumah, saya lebih selesa guna corong Passion sahaja.
 
 
Saya suka buat single pumping di rumah.
 

Alhamdulillah, hingga ke hari ini, Freemie sangat berbakti kepada saya. Dengan Freemie, saya dapat mengepam 3x sehari pada waktu yang konsisten tanpa perlu berkejar ke tempat tersembunyi. Jadual mengepam saya di sekolah dengan Freemie adalah seperti berikut:
 

Sesi 1: 6.50 am - mengepam sambil drive ke sekolah
 
Sesi 2: 10 hingga 10.45 am (waktu murid rehat) - mengepam di bilik guru/kelas/makmal/di mana saya berada pada waktu itu @ saya akan buat power pumping pada hari jadual kurang kelas.
 
Sesi 3: 1.30 hingga 2 pm - mengepam di bilik guru/sambil drive balik
 

Alhamdulillah, setakat ni hampir kebanyakan aktiviti saya boleh menggunakan Freemie tanpa batas, tanpa perlu selak baju, tanpa perlu mendedahkan aurat dan paling penting tanpa perlu cari tempat 'persembunyian'. Saya pernah mengepam dengan menggunakan Freemie dalam keadaaan berikut:
 

1. Sewaktu memandu ke sekolah atau balik ke rumah.
 
2. Sewaktu makan (perlu tapau makanan atau bawa bekal dan makan di bilik guru/makmal sambil mengepam) pada sesi ke-2 kebiasaannya.
 
3. Sewaktu menanda/buat kerja/attend students yang tanya soalan di bilik guru.
 
4. Waktu mesyuarat (saya akan pilih tempat di tepi dinding @ belakang sebab senang nak pasang Freemie and transfer susu tanpa menarik perhatian). Saya juga pernah berdiri ketika ditanya pentadbir tentang post moterm SPM dalam keadaan saya sedang menggunakan Freemie. Serius orang tak perasan pun. Tapi ada seorang cikgu senior yang duduk sebelah saya rasa pelik sebab nampak motor pam Autumnz yang macam mesin pam darah tu. Dia ingat saya sakit and terus tanya, "Nadia, you sakit apa?". Bila saya explain, dia macam terkejut and tak percaya saya tengah mengepam. Hihi.
 
5. Waktu perhimpunan. Bila saya lambat, saya tiada pilihan selain menggunakan setiap peluang yang ada termasuk waktu perhimpunan. Setakat ni, dah 2x saya pernah mengepam waktu perhimpunan tanpa disedari. Kalau pun ada kawan yang perasan, itu pun sebab terlihat motor pam Autumnz yang besar tu. Selalunya diorang akan rasa pelik macam mana saya mengepam sebab tak nampak langsung Freemie Cup (sebab diorang selalu bayangkan corong pam biasa tu dengan botol).
 
6. Hari Terbuka. Quit mencabar juga waktu tengah attend parents and waktu mengepam pula tiba. Mujur ada anak-anak murid perempuan yang memahami. Diorang cover saya sekejap sewaktu saya pasang Freemie. Sekejap je. 30 saat pun tak sampai bila nak pasang tu.
 
7. Waktu berjalan. Pernah beberapa kali saya tengah mengepam tiba-tiba dapat call penting. Nak stop pam rasa sayang jadi saya terus sumbat motor pam Autumnz dalam cooler bag dan terus berjalan sambil mengepam. Tapi tak boleh jalan laju sangat. Kena steady je. Bila jumpa orang waktu tengah berjalan tu, saya buat biasa je walaupun rasa risau bagai kalau susu tumpah. And macam biasa, tak ada siapa pun yang perasan. Hehe :)
 
8. Waktu kursus Kimia di Mersing. Agak mencabar juga sebab bilik seminar tiada aircond (ada sebenarnya tapi tak kuat waktu tu and hanya menggunakan kipas) dan saya perlu berulang alik ke bilik guru sekolah tersebut menumpang peti ais sebab ice pack sudah mencair. Cabaran lain waktu itu, saya tersilap pilih tempat duduk. Walaupun dapat duduk di tepi dinding, tapi di belakang saya penuh cikgu-cikgu lelaki. Mujur sudah ada teknik nak pasang Freemie (hingga kawan sebelah pun tak sedar saya sedang mengepam), kalau tak mungkin saya akan dikekang dengan rasa malu juga. Pesanan otai PSI: Nak jayakan PSI, tak boleh nak fikirkan perasaan malu. Keperluan anak lebih utama dalam saat-saat begini. Kena bijak untuk tangani setiap masalah dan kreatif ketika berhadapan dengan setiap keadaan :)
 
 
So menyesal tak saya beli Freemie?

Alhamdulillah, jawapannya tentulah tidak. Freemie banyak membantu saya menjaga jadual mengepam saya. Cuma sekali sahaja saya tidak dapat gunakan Freemie; waktu saya jadi pengacara. Waktu tu, memang dah tiba waktu mengepam and cik B pun dah rasa engorge. Saya agak terbatas nak mengepam saat itu sebab bila jadi mc ni, banyak keadaan yang tak diduga. Nak contact dengan orang hadiah, orang persembahan, orang media, dan PA system. Jadi kalut juga kot. So saya menahan diri jelah dari mengepam. Habis tugas, saya terus berlari ke tempat yang aman damai untuk mengepam sambil makan. Sebenarnya, boleh je saya nak pasang Freemie siap-siap. Tapi, motor pam Autumnz saya agak besar dan tak boleh attach pada baju or gantung di leher. Kalau saiz dia kecil macam Medela atau jenama pam yang baru-baru tu mungkin ok kot. So boleh terus gantung je kan. (Hmmm.. Macam best and boleh dipertimbangkan untuk dibeli. Hehe.)
 
Kawan-kawan saya pun ramai yang nak beli Freemie Cup bila tengok saya selesa mengepam di mana-mana. Saya pun banyak berkongsi kebaikan Freemie Cup dengan diorang. Perkara baik kan? Kenapa perlu dirahsiakan. Jadi kalau ada ibu-ibu yang rasa kurang selesa nak mengepam guna corong biasa tu, saya suggest gunalah Freemie. Memang perlu melabur lebih. Tapi hasil pelaburan yang kalian akan dapat memang sangat berbaloi. Paling penting jaga minum, makan, demand dan supply, in shaa Allah hasilnya sangat muai :)
 
Saya berkongsi di sini bukan untuk ibu-ibu jadikannya sebagai panduan utama. Jangan ikut cara saya ini sekiranya di luar budget. Tidak semestinya memerlukan kesemua aksesori ini untuk memastikan PSI berjaya. Kalau mahir guna kaedah marmet atau guna pam manual pun masih boleh kumpul stok juga. Saya memang mengumpul duit sekian lama. Jadi saya gunakan simpanan saya itu untuk membeli pam-pam ini. Saya anggap rezeki lebih ini adalah untuk Nur Khadijah. Jadi terpulang kepada keperluan dan budget masing-masing ya. Berdoa pada Allah semoga rezeki susu buat anak-anak kita sentiasa ada dan mencukupi untuk tumbesaran mereka.



Alatan mengepam saya:
1. Avent Manual Breast Pump (RM160) - dah let go dengan harga RM100 je
2. Freemie Cup Collection (RM299)
3. Autumnz Passion Double Electric Breastpump (RM359 + free gift)
4. Autumnz Manual Converter Pump (Free) - dah bagi pada kawan
 
Rakan-rakan ttcian juga  boleh mula belajar tentang PSI ni. Sebab dulu selama 3 tahun penantian, saya banyak juga membaca tentang PSI walaupun masa tu tak faham sangat. At least boleh boost positive affirmation kan :)
 
Salam PSI. Berjumpa di lain entry.

Tuesday, 10 November 2015

Sebagai seorang TTCian... Tips 2: Awasi Keputihan!


Assalammualaikum w.b.t

Minggu lepas, saya terima mesej dari seorang reader. Saya sebut namanya sebagai A sahaja di sini. Saya dan A mula berkenalan sejak bulan 3 tahun ini. Waktu tu saya sedang hamil 7 bulan dan sedang dalam mc sebulan. Diringkaskan cerita, A sudah 8 tahun berttc dan masalah utama A adalah keputihan yang sangat teruk dan tidak dirawat. Mungkin A terjumpa blog saya melalui entry berkaitan masalah keputihan. Dari berbalas comment/email, saya kemudian berikan A nombor telefon saya untuk memudahkan saya menjawab segala soalan A dengan cepat.

Nasihat saya mudah sahaja;
1. Rawat keputihan dahulu. 
2. Jaga kebersihan miss V. 
3. Dapatkan nasihat pakar puan.
4. Lakukan HVS (high vaginal swab) untuk kenal pasti jenis keputihan melalui ujian kultur.
5. Jaga pemakanan (diet seimbang).
6. Kurangkan makanan manis.
7. Banyakkan minum air zamzam.

Setiap kali saya ditanya tentang masalah berkaitan keputihan oleh readers, perkara yang saya senaraikan di atas biasanya yang akan saya nasihatkan terlebih dahulu sebelum mereka proceed dengan sebarang kaedah alternatif. Saya tak akan berikan nasihat yang akan membawa mereka kepada sebarang risiko. Dan sama jugalah dengan A, tetap saya nasihatkan hal yang sama.

Kemudian perbualan kami berlanjutan kepada hal yang lebih peribadi. Dan saya yakin A adalah seorang yang sangat tabah untuk mengharungi setiap ujian itu (biarlah menjadi rahsia saya dan A sahaja).

Dan saya tak ingat sejak bila, perbualan kami terhenti seketika. Saya tidak dapat hubungi A kerana masalah handphone, dan A terus mendiamkan diri. Sehingga saya terlupa tentang A selepas melahirkan Nur Khadijah.

Hampir 7 bulan berlalu. Tiba-tiba saya dapat whatsapp dari A.




Ya Allah! Tentulah saya gembira. Saya yang menanti Khadijah 3 tahun pun sudah terlalu gembira, apatah lagi A yang menanti kehadiran anak pertama selama 8 tahun. Syukur A masih lagi mahu mengkhabarkan berita gembira itu pada saya.

Tentang masalah keputihan A, kami tidak berbual begitu lanjut (apa yang dia lakukan dan sebagainya). Cuma tak salah ingatan saya, A macam ada buat pemeriksaan dengan pakar puan. Tapi saya betul-betul tak ingat apa keputusannya dan apa yang A lakukan selepas itu. Mungkin saya keliru dengan perbualan saya bersama readers lain. Maafkan saya jika point saya tersilap di sini.

Saya cuma boleh berkongsi dengan rakan-rakan ttcian apa yang gynae saya pernah beritahu saya,; "selagi keputihan you ada, you susah untuk hamil.."

Sejujurnya, saat saya hamil, masalah keputihan saya masih ada. Mungkin sedikit berkurang daripada biasa kerana saya menjaga pemakanan saya gara-gara join Jom Kurus (boleh rujuk entries saya sebelum ini).

Pada pendapat saya, pemakanan adalah faktor utama penyumbang kepada masalah keputihan dan ketidak seimbangan hormon dalam badan. Memang saya sangat jaga pemakanan saya tahun lalu gara-gara terlalu bersemangat mahu jaga kalori dan ingin kurus semula (masa tu niat mahu sihat kerana ttc sudah jatuh nombor 2). Rasa sangat teruja bila dapat sarung semula baju-baju yang sudah tidak muat dipakai sebelum itu.

Alhamdulillah, walaupun keputihan masih ada, tapi kesannya agak ketara kerana jelas berkurang jika dibandingkan sebelum saya menjaga pemakanan saya. Dan sejujurnya, selepas saya telah berusaha menjaga pemakanan, barulah saya teruskan dengan kaedah alternatif untuk merawat keputihan.

Jadi untuk rakan-rakan ttcian yang saya sayangi, sekiranya kalian juga mempunyai masalah keputihan seperti saya dan A, mungkin perlu dirawat dahulu. Saya pasti kalian lebih arif daripada saya dalam dunia ttc ini. Dan saya sekadar ingin berkongsi sedikit yang saya tahu tentang keputihan dalam berttc.

Dan buat mereka yang telah berjaya hamil, keputihan sewaktu hamil juga perlu sentiasa diawasi. Ia bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan. Cukuplah saya pernah mengalami PPROM kerana keputihan teruk yang saya alami sewaktu mengandungan Najla dan disahkan pula GBS positif sewaktu mengandungkan Khadijah (yang sekiranya tidak dikesan awal boleh mengakibatkan risiko jangkitan kuman kepada bayi yang dilahirkan). Biarlah orang lain nak berkata, "anak aku lahir ok je walaupun aku ada GBS..", "Ala..keputihan waktu mengandung memang normal..". Biarkan mereka! Sebab mereka tak lalui apa yang saya lalui dan apa yang kawan-kawan saya lalui. Jadi saya memang akan memberikan nasihat yang serius kepada rakan-rakan atau readers yang bertanya.

Terima kasih kepada readers yang mendengar nasihat saya untuk terus ke hospital mendapatkan pemeriksaan pakar O&G. Alhamdulillah, walaupun ada di antara mereka terpaksa mengharungi pemeriksaan sehingga 8 jam lamanya, bayi yang mereka kandung selamat hingga dilahirkan.

Saya tidak akan pernah letih untuk membalas pertanyaan mereka yang memerlukan. Saya sedar saya bukanlah seorang doktor. Apatah lagi pakar tentang masalah keputihan. Saya hanya berkongsi apa yang saya pernah lalui. Saya ada tinggalkan nombor telefon saya dalam salah satu entry di blog ini. Hanya mereka yang menemukan entry itu akan menghubungi saya. Dan saya tidak akan mengabaikan soalan mereka dan akan menjawab dengan sesegera mungkin. Saya sudah mendapat keizinan daripada Edy. Biasanya kalau saya tengah khusyuk menaip mesej dengan muka serius dan cemas, maka Edy akan tahu saya sedang berbalas mesej dengan readers. Bosan? Memang tidak. Cukuplah saya dan Edy pernah lalui kehilangan Najla dan saya tidak mahu mereka yang lain laluinya juga. Jadi kerana itu, saya akan cuba memberi nasihat sebaik mungkin.

Harapan dan doa saya, semoga Allah melindungi kandungan ibu-ibu ini dan memberikan rezeki anak kepada rakan-rakan ttc yang amat saya sayangi. Saya ingin kalian yang berttc beroleh kebahagiaan yang kalian inginkan ini. Bahagia itu subjektif. Percayalah kepada kebahagiaan yang kalian sedang miliki. Itu pasti lebih hakiki.

"Ya Allah, janganlah Kau persiakan doa mereka yang sentiasa mendambakan pemberian amanah dari-Mu iaitu umat Nabi Muhammad SAW dalam rahim mereka. Dengarlah rintihan dan rayuan mereka. Kurniakanlah penantian mereka dengan zuriat yang soleh dan solehah. Berikanlah kegembiraan yang sama kepada mereka seperti mana telah Kau berikan kepada kami yang lain...

Amin, amin ya rabbal a'lamin..."

Monday, 26 October 2015

Jurnal Penyusuan Nur Khadijah (Bahagian 2) : The best teacher in your life is your last mistake!


Sambungan dari Bahagian 1

Assalammualaikum w.b.t


Perjalanan penyusuan saya tidaklah esklusif 100%. Gara-gara ada sedikit ilmu yang saya tidak study betul-betul, maka Khadijah 3 kali telah diberi formula milk (fm). Semuanya telah ditakdirkan dan di luar kawalan saya kerana saya langsung tidak tahu baby akan diwarded selepas dilahirkan kerana saya positif GBS melalui result HVS. Dan saya tahu tentang result high vaginal swab (HVS) ini pun pada malam 10 Mei 2015 (usia kandungan 38 minggu), iaitu pada hari saya ditahan kerana sudah dilate 3cm. HVS tu dilakukan sewaktu saya bleeding pada 29 minggu. Alhamdulillah saya ditakdirkan bersalin di HSAJB (tempat yang sama Najla dilahirkan), kerana rupanya Allah ingin menyelamatkan anak saya dengan result HVS itu (saya akan cerita bila saya sudah bersedia).


Pada 12 Mei 2015, sewaktu saya ditolak ke labour room, setiap kali nurse, HO, MO, dan doktor pakar datang memeriksa saya, perkara yang sama akan saya tanya, "kalau anak saya boleh bernafas dengan baik, boleh tak saya nak menyusukan anak saya?" Dan alhamdulillah, jawapan yang sudah dijangka daripada staf-staf sebuah hospital kerajaan yang juga hospital rakan bayi itu sememangnya  adalah "SANGAT BOLEH".


Maka, selepas selamat melahirkan pada 4.15 petang, saya terus minta agar bayi saya diserahkan kepada saya sebelum dihantar ke wad A2 (wad paedatrik). Alhamdulillah, saya dapat tunaikan impian saya untuk penyusuan awal selepas kelahiran. Nurse beri saya peluang selama setengah jam untuk belajar direct feeding (df) bersama Khadijah. Lebih kurang pukul 5 petang, saya ditolak balik ke wad dengan wheel chair dan Khadijah terus ke wad A2 bersama Edy.


Selepas mandi wiladah, lebih kurang pukul 7.30 malam, saya ke wad A2 menaiki wheel chair utk df Khadijah. Edy sudah pesan pada nurse di sana, Khadijah mahu diberi full df. Dan saya stay di wad A2 bersama Edy dan Khadijah sehinggalah pukul 12 malam. Bila saya pulang ke wad first class, nurse di sana rupanya mencari saya. Dan saya tidak dibenarkan ke wad A2 lagi kerana nurse bimbang keadaan saya yang baru sahaja bersalin. Saya memang bercadang nak ke wad A2 pukul 3 pagi nanti tapi dihalang nurse kerana bimbang terjadi apa-apa kepada saya dalam perjalanan ke wad A2. Mereka hanya benarkan saya bekalkan EBM untuk Khadijah. Di sinilah saya telah melakukan kesilapan kerana ilmu PSI yang tidak dipelajari dengan bersungguh-sungguh. 


Saya putus asa ketika cuba mengeluarkan kolostrum melalui kaedah marmet dan menggunakan pam manual Avent. Saya kurang ilmu di sini dan saya jadi canggung, hilang idea, dan bingung. Maka saya mengalah begitu cepat dan akur untuk Khadijah diberikan fm ketika di wad A2. Dua kali Khadijah diberi fm di wad, iaitu pada pukul 3 pagi dan 6 pagi. Keesokan harinya bila saya dibenarkan untuk keluar wad, saya terus mendapatkan Khadijah untuk df bersamanya. Hinggalah kami dibenarkan pulang pada pukul 3 petang.
 


Saya bawa Mom's Precious Bottle 2 oz dan feeding bottle sekali sebagai persediaan
beserta pam manual Avent
 
Sekali lagi kesilapan saya berlaku bila pulang sahaja ke rumah. 8 jam Khadijah df bersama saya dari pukul 4 petang hingga 12 malam tanpa henti. Anehnya Khadijah asyik menangis bila saya lepaskannya. Saya tak tahu Khadijah nak apa. Saya bimbang Khadijah masih lapar susu. Dengan air mata mengalir, saya minta Edy belikan juga fm pada pukul 12 malam. Saya berikan Khadijah fm malam itu dan Khadijah terus tidur hingga ke pagi.


Esoknya saya cuba berikan Khadijah fm sekali lagi tapi Khadijah muntahkan semua yang diminum dan menolak untuk minum fm lagi. Selepas sesi mengurut, saya nekad tidak mahu berikan Khadijah fm dan terus df dengannya mengikut permintaan Khadijah. Saya berdoa agar Khadijah tidak terus meragam seperti semalam. Alhamdulillah, Khadijah ok dan tidur nyenyak setiap kali selepas df.


Dan selepas kekhilafan itu, barulah saya terhegeh-hegeh mencari di mana kesilapan saya. Barulah saya nak menjenguk semula fb page Kak Fazi. Barulah saya tahu kenapa saya hampir gagal pada awalnya. Mujur, saya tidak gagal terus untuk menyusukan Khadijah. Syukur Allah masih memberi peluang kepada saya.


Saya ingin berkongsi kekhilafan saya ini agar rakan-rakan yang berusaha untuk menyusukan anak kalian secara esklusif, tidak melakukan kesilapan yang sama seperti yang telah saya lakukan.


1. Saya tidak dapat mengeluarkan susu melalui kaedah marmet.


Sebenarnya, saya tiada ilmu tentang cara untuk mengeluarkan susu secara marmet sejurus selepas melahirkan. Saya rasa kaedah marmet sangat menyusahkan dan sedikit menyakitkan. Saya cuba pula dengan pam manual Avent, hasilnya tetap sama; tiada setitik kolostrum pun yang keluar. Saya tak tahulah sewaku saya df Khadijah, dia dapat atau tidak kolostrum tu. Tapi setiap kali lepas df, Khadijah terus tidur lena. Jadi, saya beranggapan Khadijah mungkin dapat juga barangkali setitik dua, cukup untuk saiz perutnya yang masih kecil itu.


Apa yang sepatutnya saya lakukan?


Melalui pembacaan dari fb page Kak Fazi dan pengalaman blogger yang lain, kolostrum hanya dapat dikeluarkan apabila menerima rangsangan sekurang-kurangnya 15 minit. Kak fazi dapat keluarkan kolostrum melalui kaedah marmet, dan ada blogger seperti saya (tidak pandai dengan kaedah marmet ini) telah menggunakan double electric breast pump and biarkan pump pada fasa stimulate untuk lebih kurang 15-20 minit bagi mengeluarkan kolostrum tersebut. Seriously saya memang tak tahu langsung perlu stimulate selama itu walhal saya ada je electric breast pump di rumah, cuma tak dibawa kerana beranggapan ia tak diperlukan. Selepas 2-3 kali cuba marmet and pam secara manual tak sampai beberapa minit itu, saya terus give up. Dan selepas tahu di mana kekhilafan saya, barulah saya realize kenapa saya tak dapat menuai 'hasil' di hospital ketika itu :"(


2. Anak saya menangis setiap kali saya lepaskan df dengannya.


Sesampai sahaja di rumah, kakak saya sudah menunggu. Saya sempat makan lauk ikan bakar, tempe, dan sayur lobak putih. Kemudian saya terus menyusukan Khadijah dari pukul 4 petang hinggalah 12 malam. 8 jam Khadijah df. Saya memang langsung tak boleh bergerak pergi ke tempat lain. Saya hanya duduk di katil memangku Khadijah hingga beberapa kali saya tertidur. Anehnya, bila saya cuba letakkan Khadijah, Khadijah terus menangis. Dia hanya akan senyap bila saya menyusukannya. Sejujurnya saat itu, saya mula bimbang, bimbang Khadijah dehydrated kerana tidak dapat susu. Mungkin position latching yang salah saya fikir (kerana cik P melecet), jadi saya mengalah dengan air mata mengalir. Tekanan kerana tidak mahu sesuatu terjadi pada Khadijah mula dirasai. Di rumah, hanya saya dan Edy sahaja menjaga Khadijah. Kakak saya sudah pulang ke rumahnya kerana perlu bekerja keesokan harinya. Saya tidak mahu menyusahkan hati sesiapa pada lewat malam itu. Dengan tidak berfikir panjang, saya terus minta Edy belikan fm di kedai 24 jam berhampiran rumah. Saat itu saya hanya boleh berfikir yang saya tidak boleh pentingkan diri lagi. Selepas Edy membawa pulang satu pack fm kecil (saya tidak ingat jenama yang Edy beli dan saya juga tak ingat dalam beg hadiah yang diberikan hospital juga sebenarnya ada fm yang disertakan sekali), saya terus membaca instruction di belakang dan bersiap sedia untuk membancuh. Sewaktu membancuh, saya berdoa dan berharap itu adalah kali terakhir saya perlu berikan Khadijah fm, dan berdoa dengan sekuat hati agar susu saya dapat keluar selepas saya diurut nanti :""(


Apa yang sepatutnya saya lakukan?


Melalui pembacaan saya, seorang bayi yang baru lahir hanya berasa selamat apabila berada disamping ibunya. Kehangatan yang dirasai saat dibedung, dipeluk, dan disusui dapat memberi rasa selamat dan keselesaan pada bayi itu. Khadijah menangis di rumah mungkin bukanlah kerana lapar susu, sebab selama 8 jam itu, Khadijah senyap sahaja bila saya menyusukannya. Adalah normal bayi mahu 'melekat' dengan ibunya yang sudah bersama dengannya selama 9 bulan dalam kandungan. Selepas susu saya diizinkan Allah untuk keluar, setiap kali Khadijah mahu menyusu, Khadijah memang akan menyusu dalam tempoh yang lama (30-45 minit) sebelum dia tertidur pada awal-awal kelahirannya. Keadaan ini sebenarnya hanyalah untuk membuatkan bayi berasa selesa dan selamat berada disamping ibunya ketika cuba menyesuaikan diri dengan dunia luar yang begitu luas berbanding dunia rahim yang hangat dan sempit. Dan kerana itu, adalah sangat baik sebenarnya untuk bedungkan bayi yang baru lahir agar dia tidak merasa 'gayat' dan  sentiasa berasa 'selamat' :)



***


Inilah kisah perjalanan awal penyusuan saya bersama Nur Khadijah. Seperti yang pernah dibilang oleh kawan saya, untuk menjayakan PSI sememangnya amat memerlukan ilmu yang mencukupi. Kerana beberapa perkara kecil yang saya abaikan, PSI saya bersama Nur Khadijah tidaklah begitu esklusif. Dan sebagai seorang ibu baru, saya menghormati apa sahaja pilihan ibu lain di luar sana. Saya tidak akan mempersoalkan tentang pemilihan penyusuan yang dipilih oleh ibu-ibu lain. Setakat ini, sekiranya saya di public dan kebetulan jika saya bersama ibu lain yang menyusukan anak menggunakan fm, saya tidak akan pernah mempersoalkan kerana saya tahu setiap ibu telah melakukan yang terbaik dan tentu mahukan yang terbaik buat anak mereka. Dan selalunya, ibu-ibu lain itu yang menegur saya dan bertanya, "anak breastfeed je ya?" Saya kebiasaan hanya mengangguk dan tersenyum sahaja tanpa bertanya semula. Saya pernah merasakan kepanikan ketika awal kelahiran dan sekiranya ibu-ibu yang sudah berhabis usaha itu perlu juga memberikan anak mereka fm, itu juga sudah menunjukkan ihsan yang mereka lakukan sekiranya mereka tidak mampu untuk meneruskan PSI.


Homati pendapat orang lain itu adalah yang paling utama. Rezeki yang Allah beri juga adalah berbeza. Bersyukurlah selagi rezeki susu masih ada buat anak. Usah dibandingkan kuantiti yang diperolehi.Berpadalah dengan rezeki yang mencukupi dan yang patut disyukuri.


Salam Penyusuan Susu Ibu. Semoga berjumpa di lain kali.


Wassalammualaikum w.b.t

Thursday, 15 October 2015

Aku Bukan Halimatus Sa'adiah

Salam Ma'al Hijrah.


Sekadar ingin berkongsi tentang salah sebuah drama yang disajikan di TV3 semalam, bersempena Ma'al Hijrah bertajuk 'Aku Bukan Halimatus Sa'adiah'.

Sinopsis: Berkisar tentang Halimah yang dilakonkan oleh Eija sebagai ibu susuan kepada anak asuhannya, Rayyan iaitu anak kepada seorang wanita muda yang bekerjaya, Maria. Maria enggan menyusukan anak lelakinya Rayyan dan sanggup mengambil ubat untuk memberhentikan susu. Hinggalah ayah dan suami Maria berpakat untuk mengupah Halimah sebagai pembantu rumah merangkap ibu susuan Rayyan tanpa diketahui Maria. Apabila Maria mengetahui akan hal itu, Maria telah menghalau keluar Halimah dan anak perempuannya. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Halimah yang baru kematian suami dan bayinya kini hilang punca pekerjaan dan merasa rindu akan anak susuannya, Rayyan. Sehinggalah musibah menimpa Maria, akhirnya Maria sedar akan kekhilafannya kerana tidak menunaikan hak Rayyan untuk disusukan dengan susu ibu.

Tersentuh hati saya menonton cerita ini, cerita tentang perjuangan seorang ibu susuan dan kisah tentang penyusuan susu ibu. Digarap berdasarkan kisah ibu susuan kepada junjungan besar Rasulullah SAW, Halimatus Sa'adiah.

Rupanya bukan mudah seorang ibu membenarkan anaknya berkongsi susu dengan orang lain. Seperti Maria dalam cerita tersebut yang tidak boleh menerima kenyataan apabila mengetahui anaknya disusukan oleh pembantu rumahnya, Halimah.

Penyusuan susu ibu (PSI) akhir-akhir ini dilihat seperti suatu konflik. Bermula dengan kisah seorang blogger yang menganggap perbuatan ibu-ibu yang berkongsi kisah tentang PSI secara terbuka sebagai perbuatan lucah dan tidak bermoral. Kemudian timbul pula perdebatan hangat di laman sosial apabila seorang ustazah yang mungkin telah khilaf dalam mengulas isu DNA susu lembu dan kemudian dihentam hebat oleh golongan ibu-ibu yang tidak berpuas hati akan hal itu.

Kerana semua isu ini, sejujurnya saya berasa bimbang untuk menulis jurnal penyusuan Nur Khadijah seperti dalam entry yang lepas kerana saya sedar, masih ada segelintir golongan yang belum begitu terbuka dengan PSI dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Dan saya nekad, saya hanya akan berkongsi perjalanan penyusuan saya dengan rakan-rakan saya sekiranya ada yang bertanya, dan selebihnya biarlah saya kongsikan dalam blog ini, berkongsi dengan mereka yang tidak mengenali saya.

Isu tentang PSI ini pernah terjadi kepada diri saya sendiri. Pernah saya ditegur oleh seorang rakan saya ketika menyusukan Khadijah di khalayak. Kata rakan saya itu, dia malu untuk menyusukan anaknya seperti yang saya lakukan. Dia hanya akan menyusukan anaknya di rumah dan bila di luar, dia akan menyusukan anaknya menggunakan botol susu.

Sewaktu ditegur, saya hanya mendiamkan diri, tidak membantah, tiada kecil hati, dan tidak berasa malu. Saya kira saat itu saya perlu menghormati pandangannya. Mungkin benar, PSI di khalayak dikatakan sebagai perbuatan yang menjengkelkan bagi sesetengah pihak. Tapi bukan suatu masalah bagi saya kerana setiap kali menyusukan Khadijah, saya sentiasa mendapat restu suami, memakai baju yang mempunyai akses penyusuan dan yang paling penting menutup aurat. Masa kali pertama saya menyusukan Khadijah di khalayak, saya banyak bergantung kepada nursing cover. Hinggalah saya telah mahir untuk menyusukan Khadijah, barulah saya tidak perlu bergantung kepada nursing cover lagi dan menggunakan tudung saya sahaja untuk meng'cover' proses penyusuan itu.

Saya akui, masih ada mata-mata yang memandang sinis perbuatan saya menyusukan Khadijah di khalayak itu. Paling aneh, yang memandang saya berkali-kali itu adalah kaum wanita yang juga seorang ibu. Untuk mengatasi rasa tidak senang ini, sekiranya perlu, saya akan menyusukan Khadijah di bilik penyusuan (jika ada). Tapi dalam kebanyakan waktu, saya akan menyusukan Khadijah bila mana Khadijah perlu tanpa mempedulikan pandangan manusia itu. Kerana seperti yang pernah saya janjikan sebelum ini, demi menebus kesilapan yang lalu, saya nekad ingin menyusukan Khadijah dan menunaikan haknya di mana pun jua dan pada bila-bila masa. Biarlah seribu aral melintang patah, saya tidak mahu mengalah.

Selain isu menyusukan Khadijah di khalayak, saya juga pernah dilanda isu lain. Isu berkaitan 'Ibu Susuan'. Gara-gara mengalami 'over supply' selepas habis pantang, saya bingung bila freezer mula penuh dengan stock EBM. Dan untuk mengatasi masalah itu awalnya, saya pernah menawarkan diri untuk menjadi ibu susuan kepada anak seorang hamba Allah ini. Dan tanpa diduga, ibu tersebut terus menolak permintaan saya dengan alasan bahawa perbuatan memberikan anaknya untuk disusukan saya adalah perbuatan menggelikan. Paling mengguris hati apabila dia mengatakan dia lebih sanggup memberi anaknya direct susu dengan lembu dari disusukan saya. Sungguh saya rasa tersentap dan berasa malu saat itu.

Sejak hari itu, saya tidak berani lagi menawarkan diri untuk menjadi ibu susuan kepada anak sesiapa pun melainkan anak saudara dan anak sahabat saya yang meminta dengan saya sendiri. Dan Edy juga minta saya lebih berhati-hati untuk berkongsi atau bercerita tentang PSI dengan orang lain kerana bukan semua orang bisa menerimanya, kerana mungkin mereka lebih tahu mana yang baik untuk anak mereka sendiri. Pernah sekali saya menziarahi anak seorang hamba Allah yang baru lahir, saya lihat sendiri bagaimana ibu tersebut salah dalam mengendalikan EBMnya. Tapi tah kenapa, saat itu mulut saya terkunci, takut untuk berkata apa-apa. Saya hanya membisukan diri dan hanya akan memberi pendapat sekiranya ditanya sahaja. Saya tahu perbuatan saya itu salah, tapi saya tidak mahu terguris lagi dan mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Saya akui saya bukanlah seorang pejuang PSI sejati. Cukuplah sekadar saya mempertahankan hak menyusukan Nur Khadijah dan menjadi pejuang PSI buat anak yang dicintai.

Jurnal Penyusuan Nur Khadijah akan terus saya karang buat tatapan anakanda dan diri saya sendiri sekiranya ada hari-hari yang saya perlu kembalikan memori terhadap apa yang telah saya usahakan untuk menyusukan Nur Khadijah dengan izin Allah SWT. Pernah saya mengalami kemeruduman bila Allah menarik sedikit nikmat sihat dan saya diuji dengan batuk yang teruk sewaktu musim jerebu. Jika selalunya saya membawa pulang 3 botol (3 x 5oz) sehari, sewaktu saya tidak sihat, saya hanya mampu membawa pulang 2 botol (2 x 4oz) untuk 3 kali sesi perahan dan paling dahsyat saya pernah membawa pulang hanya 1 botol (3oz) sahaja. Namun saya masih bersyukur, masih ada lagi nikmat rezeki susu buat Nur Khadijah walaupun sedikit. Syukur saat saya mengalami kemeruduman teruk itu, stock frozen EBM sejak bulan 7 masih belum digunakan (saya simpan dalam deep freezer). Kerana bekalan stock EBM itulah saya terus kembali bersemangat dan saya tahu usaha perlu diteruskan tanpa putus asa seperti mana yang saya pernah lakukan sewaktu cuti bersalin. Maka, saya berikhtiar untuk melakukan power pumping, menjaga kesihatan, dan paling penting pemakanan dan minuman saya. Alhamdulillah, berkat usaha power pumping setiap hari, stock fresh EBM kembali ada dan kesihatan saya semakin pulih.

Saya akur sekiranya tidak semua orang dapat menerima penulisan saya tentang PSI ini. Dan seperti yang saya katakan, Jurnal Penyusuan Nur Khadijah akan diteruskan juga untuk diri saya sendiri dan rakan-rakan yang memerlukan. Selain usaha saya berTTC sebelum ini, inilah satu usaha lain yang sentiasa membara dalam jiwa seorang ex-TTCian untuk melakukan yang terbaik buat anak yang dinanti-nantikan sekian lama. Tidak perlu mengeluh, hanya kenang segala yang telah kita lalui selama ini. Pasti ada ganjaran dari-Nya nanti.

Berjumpa di entry lain. In shaa Allah.


Wassalammualaikum w.b.t

Tuesday, 29 September 2015

Jurnal Penyusuan Nur Khadijah (Bahagian 1)


Assalammualaikum w.b.t


Nur Khadijah, itulah nama anak kedua saya. Macam tak ada cerita apa-apa secara detail kan tentang Nur Khadijah dalam blog ni. Nantilah... Saya agak paranoid untuk share gambar dan perkembangannya. Mungkin nanti bila saya dah ready, saya akan berkongsi juga. Apa yang saya boleh kongsikan setakat ini, alhamdulillah Nur Khadijah terus sihat membesar dan usianya kini hampir masuk 5 bulan. Semoga Allah terus izinkan kami memikul amanah ini dan mengizinkan Nur Khadijah menjadi pencen kubur untuk kami nanti. Amin...


Saya titipkan entry ini untuk saya renung kembali pada masa-masa akan datang saat-saat saya masih cekal untuk terus menyusukan Khadijah, saat-saat saya masih mampu untuk menjaga jadual mengepam saya di sekolah, saat-saat saya masih sabar mengendalikan EBM Khadijah untuk bekalan pengasuh. Saya harap entry ini dapat menjadi pencetus kepada diri saya sendiri sekiranya saya ditakdirkan menghadapi jatuh bangun dalam dunia penyusuan. Paling membimbangkan adalah apabila penyakit MALAS itu muncul dalam diri. Semoga saya terus cekal dan tabah meneruskan penyusuan susu ibu untuk Nur Khadijah sehingga tempoh terbaik yang Allah izinkan untuknya. In shaa Allah.


Saya nekad untuk menyusukan anak saya secara ekslusif selepas saya kehilangan Najla tercinta. Sungguh saya amat jahil dalam penyusuan susu ibu (PSI) sewaktu saya melahirkan Najla. Apatah lagi Najla tidak boleh direct feeding (DF) dan menambah tekanan saya saat itu terutama apabila saya mengalami bengkak susu. Paling menyedihkan ialah apabila saya sebenarnya telah merosakkan semua EBM saya tanpa sedar kerana tiada ilmu langsung tentang pengendalian EBM saat itu. Dan kerana itu, barulah saya tersedar kini, kenapa berat Najla sukar untuk naik walaupun Najla minum EBM saya melalui tiub dan syringe. Dan saya selalu berpendapat ketika itu, susu ibu lambat untuk menaikkan berat badan dan saya selalu meminta nurse susu formula untuk bayi pramatang agar Najla lekas naik berat dan kami dapat keluar cepat...


***Penulisan entry terhenti seketika sebab saya menangis mengenangkan saat-saat itu. Andai Najla bisa mendengar, ingin sekali saya beritahunya, "Ibu minta maaf sayang! Ibu jahil! Ibu tak ada ilmu saat itu. Berkali-kali ibu menyalahkan diri ibu. Kenapa ibu tidak belajar tentang penyusuan susu ibu. Sehinggalah Najla mengalami komplikasi kerana usus Najla belum matang dan tidak sesuai dengan susu formula tersebut! Ibu selalu menyalahkan diri ibu walaupun ibu sedar semua itu telah berada dalam perancangan-Nya.... Maafkan ibu Najla! Maafkan ibu.....!


***
***
***
***
***
***
***
***
***
***


Berat untuk saya mengenang kembali peristiwa tersebut. Segala memori berputar laju dalam minda saya. Dan saya tidak pernah menceritakan kejahilan saya itu dalam mana-mana entry berkaitan Najla sebelum ini. Kerana saya cuba menyembunyikan 'kesalahan' saya ketika itu dan cuba melupakannya. Hakikatnya saya terus digamit rasa bersalah sehingga kini. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya. Tiada guna air mata penyesalan ini tumpah sekiranya saya tidak menebus kesilapan dahulu. Kerana itu saya nekad, hingga ke akhir nyawa saya sekalipun, sekiranya saya masih mampu untuk menyusukan Khadijah, saya akan lakukan. Hingga tiada apa yang mampu menghalang niat saya ini kecuali takdir-Nya.


Berikut adalah kisah perjalanan penyusuan susu ibu untuk anakanda tercinta, Nur Khadijah. Semoga jurnal ini menjadi kenangan bermanfaat untuk diri saya dan Nur Khadijah bila dia sudah besar nanti.

*
*
*

Bismillahirrahmannirahim...


Sebelum saya diizinkan Allah untuk hamil, saya selalu merajinkan diri membaca tentang Penyusuan Susu Ibu (PSI) di internet. Entah kenapa, saya asyik membaca walaupun sebenarnya saya tidaklah begitu faham kerana belum melaluinya secara realiti. Tapi ada beberapa perkara yang melekat dalam memori saya melalui pembacaan rambang saya itu seperti deep freezer, bottle warmer, milk storage bag plastic, beg mengepam, dan istilah seperti EBM, froze and defrost. Walaupun saya tidak begitu mendalami tentang PSI selama 3 tahun penantian pengganti Najla, saya rajin membaca dan sentiasa berimpian untuk melakukan perkara yang sama seperti ibu-ibu yang menjalani PSI secara ekslusif itu.


Sehinggalah saya disahkan hamil, saya beranggapan yang saya telah mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang PSI seperti fikiran yang positif dan segala persiapan yang perlu ada untuk menjalani hidup sebagai seorang ibu yang menyusukan anak secara ekslusif. Seingat saya, ketika saya hamil 4 bulan, saya telah membeli Avent Manual Breast Pump dari Nurizshar dengan harga RM160. Masa tu saya tak beritahu Edy pun saya beli manual pump tersebut. Sebab Edy begitu trauma dengan persiapan awal seperti yang saya pernah lakukan sewaktu mengandungkan Najla dahulu. Jadi, saya telah menggunakan alamat kawan saya, Azira untuk urusan pos. Bila kurier telah diterima, saya meminta Azira untuk terus menyimpannya. 


Sehinggalah saya bertemu kakak Azira yang menyusukan anak ketiganya secara ekslusif. Kebetulan saya di rumah Azira ketika itu dan kakak Azira terlihat kurier pam tersebut. "Pam manual? Penatlah nak mengepam nanti.. Kenapa tak beli pam elektrik je? Akak dulu pun puas survey. Last-last akak beli pam Autumnz. Pam paling baik sebenarnya jenama Medela tapi harga mahal sangat. Pam Autumnz tu pun ok. Harga pun tak mahal sangat..." Itulah lebih kurang perbualan kakak Azira dengan saya. Sungguh saya langsung tak tahu tentang kewujudan pelbagai jenama pam pada masa kini. Saya ingat Avent Manual Breast Pump tu pun dah cukup terbaik. Masa zaman Najla dulu, saya cuma guna pam manual jenama Pureen dengan harga RM39.90 je dan saya rasa dan cukup oklah bila dapat beli pam dengan harga RM160 (cukup mahal dah pada saya). Rupanya ada pendapat lain yang saya perlu pertimbangkan.


Saya asyik terfikir kata-kata kakak Azira berhari-hari lamanya. Saya tak nak PSI yang saya impikan gagal kerana saya penat mengepam nanti. Jadi saya minta Azira tanyakan kakaknya fb page pam tersebut. Selepas melihat pakej yang ditawarkan, maka termenung panjanglah saya melihat harganya yang agak mahal walaupun dijanjikan dengan tips susu ibu meriah (tapi tips tersebut tak dikongsikan dalam fb page tersebut). Sesiapa yang berminat untuk tahu tentang susu meriah tu kenalah dapatkan buku yang ditulis admin tersebut (termasuk dalam pakej pam) atau hadiri seminar yang beliau adakan. Hm...


Saya mengadu pada Azira, ingin sangat saya membelinya tapi harganya agak mahal. Dalam RM450++. Pada saya agak mahal ketika itu sebab saya belum survey jenis-jenis pam yang lain. Azira nak tolong belikan dulu kemudian saya bayar ansuran dengannya. Saya hampir setuju sehinggalah saya terjumpa satu blog yang menjual pam dengan harga terendah dari pasaran. Dengan syarat, kenalah COD. Pam yang dijual agak limited. Siapa cepat dia dapat. Dan Edy sudi membelanja saya :). Maka saya pun secara rasmi membeli Autumnz Double Electric Breast Pump dengan harga RM350 dari Puan Amna. Dapatlah free gift storage bag, cooler bag, dan manual pump serta USB adapter yang memang ada sekali dalam kotak tu. Tak silap saya, saya beli breast pump ni masa kandungan saya dalam 6-7 bulan. 


Bila dah ada manual and electric breast pump ni, saya rasa persiapan saya dah mencukupi. Dah oklah tu. Saya dan bersedia nak buat stok susu bila dah melahirkan nanti. Saya memang rasa sangat tak sabar menantikan saat itu.


Sehinggalah saya mengalami bleeding ketika kandungan saya 29 minggu. Allahuakbar. Saya begitu trauma saat itu. Adakah peristiwa 30 minggu itu akan kembali? (saya akan ceritakan kemudian tentang peristiwa 29 minggu ini).


Dan saya telah bercuti panjang. Kerana saya ada rekod kes sebelum ini, saya mendapat MC sebulan dari pakar dan saya menyambung cuti separuh gaji sehinggalah kandungan saya 37 minggu.


Dalam saya bercuti panjang itu, saya telah dikunjungi rakan sekolah saya. Bersungguh-sungguh dia mahu menemui saya walaupun saya sebenarnya rasa tidak mahu berjumpa sesiapa pun ketika itu. Dan akhirnya Allah izinkan juga untuk rakan saya itu menjeguk saya di rumah. Dari bertanya khabar, perbualan menjadi 2 jam lebih lamanya. Topik perbualan adalah tentang Penyusuan Susu Ibu. 


Rakan saya itu tidak dapat menyusukan anaknya selepas beberapa hari melahirkan kerana tewas dengan psikologi diri sendiri, pengaruh ibu bapa, dan suami yang mengalah akibat kasihankan anak dan dirinya saat berpantang. Katanya, punca dia tidak berjaya adalah kerana dia tidak mempunyai ilmu yang mencukupi. Tambahnya lagi, sekadar membeli pam sebelum melahirkan tidak menjamin PSI yang berjaya selagi ilmu tidak cukup di dada. Saya dengar dengan teliti walaupun saya rasa saya sudah mempunyai ilmu yang mencukupi berdasarkan kekhilafan pengalaman saya sebelum ini. Kononnya, saya boleh melakukannya tanpa perlu mendengar atau mempelajari lagi ilmu tentang PSI seperti pada hari rakan saya hadir untuk 'mentazkirahkan' saya tanpa rela :P.


Perbincangan menjadi agak serius apabila kawan saya yang biasanya hati kering itu tiba-tiba menangis. Saya agak terkejut saat itu, begitu seriuskah masalahnya sehingga dia menangis? 


Punca masalahnya tidak lain hanyalah kerana dia kalah dengan psikologi diri sendiri dan tekanan dari ibunya yang memaksa untuk dia mencampur susu kerana anaknya meragam seperti tidak kenyang, puting melecet dan kuantiti susu yang diperah sekadar 2oz sewaktu awal-awal kelahiran.


Dan selepas kawan saya merasakan dirinya telah gagal, dia (seperti saya dahulu) cuba mencari segala sumber rujukan di internet supaya dia tidak akan gagal lagi untuk menyusukan ianaknya pada masa akan datang. Dan akhirnya dia memberikan saya link fb page salah seorang kaunselor laktasi, Noorfazila Abdul Rahman. Saya mulanya acuh tak acuh sahaja mahu membaca fb page tersebut. Sehinggalah Allah bukakan hati saya untuk menelusuri perkongsian Kak Fazi (nama beliau yang selalu dipanggil oleh followers) dalam fb page tersebut. Kak Fazi juga rupanya pernah gagal ketika anaknya yang pertama. Dan banyak ujian yang dihadapi oleh Kak Fazi terutama apabila anak  ketiganya dimasukkan ke ICU beberapa hari selepas dilahirkan. Dan kerana pengalaman yang hampir sama itu, saya terus membaca satu persatu....



Bersambung...

Friday, 4 September 2015

Sebagai seorang TTCian... Tips 1: Kalau kawan baik pun tak pandai jaga hati kita, tinggalkan mereka secara baik :)


Assalammualaikum w.b.t


Rasanya sekarang ni saya nak merajinkan diri buat entry tentang bagaimana saya hadapi hidup sebagai seorang TTCian dan apa yang saya lakukan supaya saya terus menjadi seorang TTCian yang cekal.


Sementara baby masih tidur, saya nak share tips pertama ni dulu. Sebelum tu, rujuk screenshot di bawah ini :D




Soalan yang agak menarik dan telus dari seorang ttcian lelaki (berdasarkan nama beliau). Saya hanya menjawab email itu secara ringkas kerana saya berasa janggal untuk berkongsi begitu banyak perkara dengan beliau yang saya kira seorang lelaki di email (maaflah kalau saya tersalah mengenal jantina :P). Lebih manis kalau saya menjawab secara umum. Itu pun, jika dia (beliau yang saya maksudkan di email) membaca entry saya ini. Hehe.


Sebenarnya, banyak perkara yang saya lakukan untuk elakkan rasa stress memikirkan tentang soal anak sebelum saya conceive last year. Tipulah kalau saya tak pernah stress. Sedih, kecil hati, memencil diri, rendah diri, dan bermacam perasaan lagi semua ada. Siapa yang baca entri-entri saya sebelum ini tahulah tentang perasaan saya yang bermacam rasa itu walaupun saya cuba berkias-kias tidak mahu begitu menampakkan semua perasaan tersebut dalam blog ini. Hakikatnya memang ada. Saya bukanlah begitu kuat. Perkara pertama yang saya lakukan adalah menjauhkan diri dari segala 'sesuatu' yang melemahkan semangat saya. Antaranya ialah deactivate facebook (sejak 2011).


Saya sangat salute pada ttcian yang boleh terus positive dan bertahan dengan dunia muka buku. Hakikatnya, saya langsung tidak boleh positif dengan dunia facebook pada tahun-tahun awal kehilangan Najla. Saya jadi semakin lemah. Maka, saya mengambil keputusan untuk 'berpisah' terus dengan facebook.


Bukan mudah rupanya untuk berpisah dengan facebook bila facebook sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup saya sejak 2009. Segalanya nak diupdate di situ. Nampak tikus pun update dekat facebook. Bangun tidur, sanggup menghadap laptop (masa tu belum zaman update melalui smartphone sangat) tengok berapa banyak notification, nak tengok apa perkembangan kawan-kawan dekat facebook, nak tengok berapa banyak 'like' dekat status atau gambar yang di upload, atau merisik gosip dari status yang bermacam-macam melalui kawan-kawan atau mutual friend yang macam dikenali. Memang bad habit diri saya dahulu dan Edy juga bilang saya sangat obses pada facebook. Hinggalah Allah memberi 'teguran' ke atas kehilangan Najla tercinta pada Ogos 2011.


Saya sedar saat itu, bukan semua perkara patut dikongsikan di facebook. Adakalanya perkara gembira yang kita kongsikan bisa membuat hati insan lain terluka. Setahun penantian Najla tidak begitu mengajar saya untuk menghargai perasaan insan lain yang juga turut menanti kehadiran seorang zuriat atau masih menanti tibanya hari bahagia dengan jodoh yang masih menjadi rahsia Allah. Saya begitu naif. Hinggalah akhirnya hati saya bagai disiat-siat setiap kali menghadap facebook melihat timeline photo atau status kawan-kawan terutama kawan baik sendiri tentang perkembangan kehamilan atau anak-anak mereka selepas saya baru sahaja kehilangan Najla. Waktu itu baru saya sedar tentang kekhilafan saya sebelum ini dan benar-benar rasa tertekan dan tak sanggup lagi menghadapi semua itu. Jadi, kerana tidak mahu terus lemah, saya terus deactivate facebook.


Mulanya memang payah. Payah yang teramat. Hati meronta-ronta mahu ada facebook kembali. Tapi alhamdulillah, selepas 4 tahun, saya sudah lali dan saya akui lebih selesa dengan tiadanya facebook. Memang ramai dalam kalangan kawan-kawan yang tercari-cari dan tertanya-tanya perkembangan hidup saya. Ada yang baik hati terus sudi menghubungi saya, ada yang terjumpa saya melalui gambar yang diupload oleh kawan-kawan saya yang rupanya diorang punya ex-coursemate @ ex-roomate @ ex-schoolmate dan bermacam-macam ex lagilah. Dan ada yang secara tak sengaja terjumpa blog saya ini. (Terima kasih pada kawan-kawan yang masih sudi mengambil tahu tentang perkembangan hidup saya sehingga kini).


Saya tak kata langkah saya deactivate facebook ini suatu langkah yang bijak. Biarlah saya memencilkan diri dalam dunia saya sendiri kerana di situ saya telah bangkit membina kekuatan dan tidak terus-terusan hanyut dalam dunia sedih saya lagi. Jadi, terpulang pada diri masing-masing. Ini adalah salah satu cara saya untuk atasi stress saya memikirkan tentang soal anak ketika itu.


Sebenarnya banyak lagi yang saya lakukan. Tapi Deactivate Facebook antara langkah yang banyak memberi kesan yang baik pada diri saya. Saya belajar untuk tidak terlalu berkongsi tentang sesuatu yang menggembirakan, menyedihkan, menggusarkan, dan sebagainya. Jika perlu, saya hanya mesej ahli keluarga atau sahabat saya sahaja untuk berkongsi rasa.


Untuk pengetahuan kalian, saya ada facebook lain (sejak 2013) yang saya gunakan hanya ketika saya belajar kerana mudah untuk menghubungi pensyarah atau rakan-rakan lain dan juga instagram yang saya guna untuk window shopping dan twitter untuk saya survey laluan traffic lebuh raya plus pada musim perayaan. Tapi tiada apa pun pada ketiga-tiga akaun ini. Dan friends list saya kebanyakannya saya tak kenal pun. Dan facebook baru itu saya gunakan sekarang untuk mencari ilmu-ilmu berkaitan keibubapaan dan ilmu penyusuan susu ibu. Rasa sangat best rupanya bila berada dalam kalangan 'kawan-kawan' yang tak kenal kita langsung. Tiada prejudis dan sekadar berkongsi ilmu dari sesiapa pun yang ingin berkongsi. Seperti blog ini yang saya bina dulu untuk mengisi masa lapang, rata-rata yang membaca bukanlah mengenali diri saya, malah nama saya yang sebenar pun hanya sebahagian yang tahu. Dan sejujurnya, saya selesa dengan semua ini :)


Saya tidak membenci kawan-kawan saya di facebook. Saya tahu, mereka tiada niat pun untuk melukakan hati saya. Dan segalanya mungkin berlaku tanpa mereka sedari pun. Waima kawan baik, kalau perlu saya tinggalkan mereka di alam maya agar saya tidak menjadi lebih lemah, saya akan lakukan. Bukan sahaja facebook, malah mana-mana group whatsapp atau seangkatan dengannya kalau di dalam itu ada perkongsian yang mungkin boleh buat saya memencilkan diri, saya akan left. Tak kiralah group tersebut kawan baik sekatil sebantal saya. Tapi alhamdulillah hingga ke hari ini, mereka menghormati keputusan saya dan memahami keadaan saya ketika itu. Syukur, kawan-kawan baik saya ini masih mahu menghubungi saya lagi bertanya khabar berita. Terkejutlah mereka bila tahu tiba-tiba saya sudah melahirkan anak tanpa ada ribut khabar berita tentang bila saya  telah mengandung.


So, rasanya cukuplah tips pertama ini dulu. Nanti akan ada susulan entry tentang tips-tips lain yang mungkin sebahagiannya agak 'gila' bila kedengaran tentang apa yang saya telah lakukan :)


Kalau ada ttcian atau ex-ttcian yang sudi berkongsi tentang 'apa yang anda lakukan untuk atasi stress memikirkan soal anak', sudi-sudikanlah untuk menulis di ruang komen entry ini. Ilmu yang dikongsi itu mungkin boleh membantu dan menggembirakan ttcian lain yang sememangnya sentiasa tabah dan sentiasa mencari langkah terbaik untuk membina kekuatan dalam diri. In shaa Allah, rezeki zuriat itu tetap akan hadir buat kita semua. Amin.


Wassalammualaikum w.b.t

Monday, 3 August 2015

Warkah buat Najla...

Assalammualaikum Najla.

Ibu tahu Najla tidak bisa membaca.

Ibu tahu Najla sudah berbahagia di 'sana'.

Dan warkah ini ibu tulis sempena ulang tahun kelahiranmu sayang. 

Dalam tidak sedar, sudah 4 tahun Najla meninggalkan ibu.

Ibu sedar ibu dalam kerinduan.

Kadang terbit rasa kesal, kerana ibu seolah-olah gagal menjagamu sayang.

Kesal yang tiada penyudah.

Air mata puas bertakung dan tumpah.

Hati ibu rasa sempit dan sesak.

Rindu ibu tiada penyudah...


Najla Batrisya...

Nama yang begitu indah. Semalaman sahaja ibu memilih nama itu. 

Berdasarkan maknanya yang tersirat, ibu amat berharap Najla akan sihat membesar membentuk akhlak seindah nama yang diberi. Menemani ibu sehingga ibu mati.

Dan hati ibu direnggut saat Allah mengambilmu sayang. Ibu tak keruan bila melihatmu tiada di sisi ibu lagi. Ibu tak kenal apa itu sabar dan redha. Ibu menatap gambarmu berkali-kali. Hingga ibu lali dengan mata yang bengkak setiap hari.

Ibu kesal kerana dulu, ibu jahil tentang persediaan sebagai seorang ibu.

Ibu sedih kerana dulu, ibu jahil tentang penyusuan susu ibu.

Ibu terkilan kerana akhirnya ibu merasakan ibu gagal menjadi seorang ibu.

Mujur, ayah setia di sisi. Mengingatkan ibu tentang tulisan takdir. 'Kalau' itu tidak mengubah takdir, dan hanyalah perkataan yang dibisikkan syaitan.

Ibu cuba meniti hari. Hari-hari tanpamu di sisi. Hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun... Tah bila, ibu mula faham erti redha. Redha yang mengajar ibu tentang sabar. Sabar yang membawa ibu pada tawakal.

Saat ibu redha, ibu berjanji pada diri ibu sendiri. Andai ibu diberi pengganti, ibu akan menebus diri.

Ibu cuba bangkit. Bangkit dalam keperitan. Bangkit dalam segala kepayahan.

Ibu berjanji untuk mengatasi segala ujian yang diberi dan menyerah diri. Menyerah diri pada yang Esa. Hingga akhirnya, ibu akan dapat menebus diri. Menebus kembali apa yang dahulu tidak mampu ibu beri. Hingga akhirnya ibu menerima pengganti.

Najla Batrisya,
Ketahuilah. Walaupun ibu dan ayah sudah punya pengganti, ibu tidak pernah lupa diri. Ibu sudah berjanji. Untuk terus memberi. Memberi yang terbaik untuk adikmu ini. Sebagai tanda kasih juga pada Najla yang dirindui. Hingga nyawa ibu sendiri sanggup menjadi galang ganti.


Selamat ulang tahun yang ke-4 sayang.

Syurga tempat kita nanti.

Ibu sayang Najla dan adik-adik, dunia akhirat.


Salam kasih,
Dari ibumu.

Saturday, 25 July 2015

Revert to draft


Assalammualaikum w.b.t


Atas permintaan suami, entry "Selepas 3 Tahun" saya revert to draft. Suami tidak mahu saya melukakan hati sesiapa. Maaf sejuta kali maaf sekiranya entry tersebut buat sesiapa jua yang membaca merasa sedih hati atau kecil diri. Percayalah, tiada sebesar zarah pun saya ingin sesiapa merasa sedemikian. Kerana itu, entry itu memang dibekukan sekian lama dalam draft iaitu selama 11 bulan dan saya sejujurnya tidak senang berkongsi entry itu walaupun sudah minta izin Edy sebelum ini. Saya mohon maaf yang teramat-amat. Saya khilaf. 

Wednesday, 22 July 2015

Selepas 3 tahun (Diari September/Oktober 2014)

[Repost : Maaf saya revert to draft sebelum ini. saya repost untuk rujukan rakan-rakan ttcian yang bertanya. Semoga perkongsian ini bermakna untuk kalian]



Assalammualaikum w.b.t


Dalam entry "Being childless at 28th", saya telah membuat suatu keputusan tentang usaha dan penantian saya dalam menunggu kehadiran pengganti Najla;  terus berusaha, berikhtiar dan sentiasa menantikan saat itu tiba, walaupun saya tidak pasti bila. Apa yang penting, saya yakin Allah SWT tetap akan kurniakan 'rezeki' itu jua dalam waktu yang terbaik buat saya dan Edy.

2014 merupakan tahun yang agak mencabar buat saya dari aspek pekerjaan. Tidak sukar tapi menuntun begitu banyak pengorbanan kudrat dan masa. Saya perlu 'all out' untuk pastikan setiap tugasan yang saya galas berjaya dengan izin-Nya.

Kemuncak kesibukan saya adalah pada bulan Ogos 2014. Naik cuti raya, saya terus mendapat tugasan untuk membawa murid ke pertandingan inovasi peringkat daerah. Kemudian, membimbing dan mengiringi pelajar sketsa ke peringkat negeri, dan seterusnya melatih dan membawa pasukan koir ke pertandingan koir peringkat negeri. Tidak cukup dengan itu, saya telah di'detail'kan oleh pihak PPD untuk melatih pasukan koir dan membuat persembahan sempena sambutan kemerdekaan peringkat negeri Johor yang bertuan rumah di tempat saya. Dan akhir sekali, saya menjadi guru pengiring untuk projek tingkatan 6 di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang. 

Senang kata, selama sebulan Ogos itu saya membawa murid/pelajar keluar untuk pertandingan, persembahan dan projek. Hampir setiap minggu saya tiada di sekolah. Tapi saya tak ada rasa terpaksa pun. Semangat patriotik saya sangat tinggi pada waktu itu, dan saya gembira dapat melibatkan diri dalam pertandingan dan sambutan patriotisme seperti ini. Pengalaman ke Taman Negara Kuala Tahan juga saya takkan lupakan. Berjumpa orang asli nomad, daki bukit, canopy walk away, rapid shooting, menyumpit; semua ini sangat saya rindui untuk lakukannya sekali lagi. Senang kata, walaupun bulan 8 ini saya sangat sibuk, tapi saya mendapat kepuasan dan saya sangat gembira.

TTC?

Seingat saya, saya ada 'berusaha' sekali. Nak mention BD malu pulak :P. Rasanya memang pada hari itu saya ovulate sebab ada egg white. Hari ke-9 rasanya. Lepas tu saya terus ralit dengan kesibukan duniawi yang menuntut saya untuk melaksanakannya. 

Siang sibuk dengan persiapan pertandingan, malam pula bersengkang mata membuat persiapan untuk pengajaran kimia tingkatan 6. Setiap hari tidur saya tidak pernah cukup. Lena apatah lagi. Saya boleh kira berapa kali saya tidur di bilik berbanding tertidur di meja study atau di ruang tamu. Ubat penahan ngantuk; kopi made in Baling, Kedah. Setiap hari, segelas cawan besar. Kadang 2-3 gelas juga sehari. 

15 September 2014

Saya sebenarnya agak keliru dengan kitar haid saya. Bulan lepas 27 hari. 2 bulan sebelum itu 25 hari. Jadi, pada tarikh 15 September period saya masih belum kunjung tiba. Saya sudah ada tanda-tanda period sejak 3-4 hari lepas. Biasanya kalau saya mula rasa lenguh kaki, sakit pinggang, abdominal cramp, dan mood swing, esoknya saya akan period. Tapi kali ni tidak. Masuk hari ke-29 saya masih lagi rasa symptom PMS tu. Saya berdoa, sekiranya saya tidak hamil, saya minta Allah turunkan darah saya. Dan sekiranya saya hamil, saya mohon Allah selamatkan kandungan saya. Kali ini saya rasa macam tak mungkin saya pregnant kerana saya terlalu sibuk. Jadi saya tak begitu excited untuk cuba UPT tambahan pula symptom PMS tu memang kadang-kadang terlalu ketara. Tapi dek risau kalau ada sebab lain, akhirnya saya minta juga Edy belikan urine pregnancy strip dari 7 eleven berhampiran rumah. Sekembalinya Edy dengan apa yang saya minta untuk beli, tanpa berlengah saya terus ke bilik air dan...


1st UPT test - 15 September 2014, 2.30 petang


Saya rasa macam tak percaya. Dalam kesibukan saya, Allah izinkan saya untuk hamil? Itulah perasaan yang bermain dalam benak fikiran saya. Saya dan Edy terus sujud syukur walaupun terdapat rasa yang tak tahu nak kata saat itu.


Edy beli UPT yang lain. Dari farmasi pula. Sekadar untuk pengesahan kali kedua. Saya cuba lagi test esok paginya. Dan hasilnya...


16 September 2014




2nd UPT test - 16 September 2014, lebih kurang pukul 6 pagi

Apa lagi yang boleh saya katakan selain memanjatkan rasa syukur pada Allah SWT? Tentulah saya rasa sebak namun jauh untuk rasa berbangga dengan keizinan Allah untuk saya hamil kali kedua ini. Cukuplah pengalaman lalu telah mengajar saya agar berserah pada-Nya dan sentiasa merendah diri dengan kurniaan-Nya ini. Kerana itu hanya ahli keluarga dan beberapa orang sahabat sahaja yang saya maklumkan tentang berita ini. Tiada publish or sebarang pemberitahuan secara umum. 

Tanda-tanda yang saya alami sebelum saya tahu saya hamil:

1. Mudah rasa sejuk, nak berselimut bagai
2. Abdominal cramp 
3. Craving makanan manis
4. Constipation
5. Selalu rasa mengantuk
6. Bloating
7. Pedih ulu hati
8. Kaki rasa lenguh
9. Sakit pinggang
10. Kerap kencing

Saya teringat seorang sahabat blogger saya pernah beritahu saya dalam email kirimannya tahun lalu, saya ringkaskan email kiriman beliau mengikut keadaan saya,

"Adakalanya Allah akan beri sesuatu yang sangat kita dambakan di luar jangkaan kita atau pada waktu kita mungkin tidak menduga atau tidak menyangka. Tapi sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui akan sesuatu yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Apa yang penting, kita perlu terus bersangka baik dan teruskan berdoa tanpa putus asa..."

Apa usaha saya?

Subhanallah, jika dibandingkan usaha TTC saya dengan rakan-rakan saya, memang tidaklah seberapa. Tapi saya ada suatu keyakinan yang sangat kuat akan 'masa depan yang baik' yang Allah tetapkan untuk saya. Jika rujuk entry saya "Being childless at 28th" ini, pasti kalian tahu saya dan Edy sudah sampai pada suatu tahap redha dengan segala ketentuan-Nya. Saya percaya dan yakin Allah SWT telah merancang sesuatu yang terbaik untuk kami. Dan walaupun tidak pasti bila, saya tidak pernah berhenti berdoa dan saya sentiasa merasa yakin bahawa suatu hari nanti Allah SWT akan kurniakan juga kepada kami zuriat yang soleh dan solehah. Saya sentiasa yakin seperti mana Nabi Zakaria a.s yakin Allah akan mengurniakannya jua seorang zuriat walaupun Nabi Zakaria telah merasakan dirinya sudah sangat tua saat itu.

Mungkin saya boleh berkongsi beberapa perkara yang saya lakukan sepanjang tahun 2014 sehingga alhamdulillah Allah telah mengira usaha saya dan mengizinkan saya untuk hamil semula selepas 3 tahun penantian pengganti Najla. Sejujurnya saya sangat trauma dan mengambil keputusan untuk berdiam diri atas berita ini kerana saya tidak bersedia (dan tidak mampu) untuk menghadapi kehilangan untuk kali kedua. Kerana itu, saya mengambil keputusan untuk tidak berkongsi tentang kehamilan saya secara umum dan bergantung sepenuhnya pengharapan dan doa kepada Allah SWT. Apa yang penting, saya sentiasa ingat pesanan seorang blogger yang lebih kurang begini bunyinya,

"Berusahalah selagi mampu dengan apa cara sekalipun, jangan berhenti berusaha dan berikhtiar kerana mungkin kita telah mencuba 99 cara tetapi Allah akan menunaikannya apabila kita telah mencapai tahap 100 kali ikhtiar. Jadi mengapa perlu mengalah dan berputus asa sekarang? Teruskan berusaha. Sedikit sahaja lagi dan yakinlah Allah akan mengira segala usaha kita itu..."

"Mohonlah petunjuk Allah mengapa kita masih belum hamil. Minta Dia tunjukkan jalan dan hidayah agar kita dipermudahkan untuk menemui jawapannya..."

Kerana itu, pesanan Dr Lim dalam entry saya ini, saya anggap sebagai gerak hati yang Allah izinkan untuk beri petunjuk kepada saya agar saya dapat memuhasabah diri tentang mengapa saya inginkan zuriat. Jawapannya kini telah saya perolehi: Kerana saya ingin mengasihi anak ini, mendidiknya menjadi anak yang soleh/solehah serta berharap agar anak kami ini dapat menjadi pengikat kebahagiaan kami suami isteri, dan menjadi pencen kubur untuk kami nanti.

Ok, berbalik kepada usaha yang saya lakukan sepanjang tahun 2014 ialah seperti berikut:


1. Saya berusaha untuk mengamalkan cara hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan bersukan.

Saya selalu berdoa agar Allah tunjukkan jalan untuk saya hamil semula. Dan suatu hari pada meeting akhir tahun 2013, kawan saya Aziera telah mengajak saya untuk sertai program Jom Kurus 1 Malaysia musim pertama. JK1M adalah program anjuran Kevin Zahri. Masa tu sejujurnya saya rasa macam ya tak ya sahaja. Tapi bila kakak saya berminat untuk turut serta, akhirnya saya akur. Rasa macam mustahil boleh turunkan 6 kg dalam masa 6 minggu kan? Tapi itulah yang berlaku pada saya. Kami telah berjaya menurunkan berat badan dengan sihat selepas 6 minggu sertai program ini. Saya berjaya menurunkan berat badan dari 64kg kepada 58kg dalam masa 6 minggu tersebut. Dan berat badan ini kekal sehingga saya disahkan hamil.

Bertemu dengan founder JK1M, Kevin Zahri sangat mengujakan. Apatah lagi saya berpeluang untuk jalani hidup sihat dengan sentiasa menjaga pemakanan, mengira kalori makanan yang diambil, work out, dan bersukan. Saya juga mula minat hiking setelah berjaya mendapatkan berat badan yang ideal dan sejujurnya saya rasa saya lebih sihat. Terima kasih kepada trainer kami, Najjah. Alhamdulillah, saya tak menyesal langsung perlu melabur RM300 sebagai bayaran yuran bagi program ini. Hasilnya memang sangat berbaloi. Setelah tamat program, saya masih teruskan gaya pemakanan yang sihat dan cara hidup yang lebih berkualiti disamping dua rakan saya yang sentiasa memberi sokongan, iaitu Aziera dan Shama.

Bukan mudah untuk meyakinkan orang lain tentang keberkesanan usaha saya ini. Ibu mertua saya terutamanya, sangat risau bila lihat saya susut dengan agak drastik. Mungkin bimbang, melihat saya berdiet tanpa sebab dan mungkin secara tidak sihat. Waktu tu, ingin sekali saya bagi tahu ibu mertua saya, tujuan saya ingin kurus adalah untuk hamil semula. Tapi, saya diamkan dulu dan sabar menantikan 'hasil'nya. Alhamdulillah, bila sudah hamil, perlahan-lahan saya cuba terangkan pada ibu mertua saya iaitu ketika usia kandungan saya menjengah 20 minggu, tentang tujuan saya untuk kurus dulu adalah untuk sihat dan hamil semula. Dengan 'hasil' yang Allah izinkan, iaitu anak yang sedang saya kandung meyakinkan ibu mertua saya tentang apa yang telah saya usahakan itu sebenarnya bukan suatu yang sia-sia.

Boleh rujuk entry ini tentang penyertaan saya dalam program JK1M.

2. Berurut

Ingat lagi tak pada makcik yang saya pernah cerita dalam entry ini; Rawatan Tradisional vs Moden. Kenapa saya tak nampak selama ni?. Jun 2014, sewaktu cuti sekolah pertengahan tahun, saya menghadiri majlis kahwin rakan sekolah di Kelantan. Kemudian esoknya saya, Edy dan dua orang anak saudara yang mengikuti kami terus ke Kedah. Tujuan saya ialah untuk berjumpa dengan makcik itu lagi. Dalam hati saya terdetik, mungkin saya perlu berusaha ke tahap ini tanpa putus asa. Mungkin selepas susah payah ini melalui perjalanan yang panjang, Allah akan izinkan saya untuk hamil semula.

Dua makcik telah saya temui, seorang agak muda sedikit, mengurut peranakan saya. Katanya peranakan saya agak turun. Saya rasa gara-gara work out yang melampau. Sebab masa work out dulu, saya memang lakukan habis-habisan, gaya lelaki, gaya perempuan semua saya buat.

Selepas tu, saya berjumpa makcik yang 'merawat' saya sebelum mengandungkan Najla itu. Makcik itu sudah sangat tua, dan baru kematian suaminya seminggu. Dia sekadar menyentuh abdomen saya dan mengatakan rahim saya ok (mungkin sebab telah diurut tadi). Saya mengadu tentang masalah keputihan yang saya alami. Memang Dr Lim dan Dr Chia pernah beritahu, selagi saya masih lagi mempunyai vagina candidiasis ini, saya memang lambat untuk hamil. Makcik itu juga bersetuju. Petua yang diberikan kepada saya ialah cuci vagina saya dengan menggunakan air rebusan kulit pokok asam (banyak di tepi-tepi jalan di Kedah). Caranya: Kulit pokok asam direbus bersama dengan asam keping, dan pucuk jambu. Kemudian dicuci selalu bahagian sulit itu. Saya tanya kenapa tidak daun sireh? Makcik tu bilang, ikut pengalaman dia, daun sireh boleh hilangkan keinginan untuk bersama suami. Jadi dia memang tidak akan sarankan untuk mencuci bahagian sulit dengan air sireh lagi. Sejauh mana kebenarannya, wallahua'lam.

Raya 2014: Dua hari sebelum raya, saya diserang sakit perut yang teramat selepas sahur (gara-gara tidak boleh kentut). Saya balik ke kampung Edy dan demam pada malamnya. Ayah Edy memang seorang yang berkemahiran untuk mengurut tapi dia tak pernah urut saya kerana saya menantu perempuan. Tapi malam itu, kerana terpaksa, akhirnya ayah mertua urut juga sekitar abdomen dan bahagian peranakan ditemani oleh ibu mertua saya. Seperti yang saya jangka, ayah mertua saya bilang, ovari sebelah kanan saya keras seperti yang pernah saya cerita dalam entry ini. Dan alhamdulillah selepas diurut, demam saya kebah dan saya hanya meneruskan ubat relax usus yang diberikan oleh Dr Elizabeth dari Klinik Bukit Gambir. Sepanjang beraya, saya tidak boleh lasak makan kerana saya hanya boleh kentut sedikit sahaja. Sakitnya memang amat perit apabila kita tidak boleh keluarkan angin dari perut. Jadi, secara automatik, pemakanan saya sewaktu hari raya itu agak terjaga dan terkawal.


3. Perbaiki ibadah

Dalam entry saya ini, saya ada ceritakan tentang bagaimana saya boleh istiqamah dalam bertahajud. Mungkin ini suatu penambahbaikan dalam ibadah yang saya lakukan selama ini. Mungkin juga Allah telah mendengar rintihan saya ketika itu setiap malam. Dan saya yakin, kerana hikmah besar bertahajudlah, Allah SWT akhirnya memperkenankan doa saya selama ini.

(Boleh rujuk sumber berkaitan tentang sunat melewatkan solat isyak dan waktu-waktu yang disunatkan serta waktu yang akan jatuh hukum berdosa sekiranya sengaja dilewatkan melebihi 1/2 malam. Wallahua'lam)


4. Variasikan sedekah

Dari pelbagai sumber yang saya baca, saya yakin ramai telah tahu bahawa sedekah adalah punca kepada segala rezeki. Cuma, mungkin bentuk sedekah itu boleh dipelbagaikan mengikut kemampuan diri sendiri. Maksud saya ialah, jika kita selalu menderma di masjid, atau menderma kepada orang susah, kita juga boleh menderma kepada makhluk lain seperti haiwan. Berkongsi makanan dengan haiwan, atau memberi tempat perlindungan, itu juga adalah sedekah. Dan saya pernah mendengar satu tazkirah di radio IKIM, usahlah kita mengharap balasan doa dari orang-orang yang kita beri sedekah kita itu kerana sesungguhnya sedekah itu tanda kita ingin mensyukuri rezeki yang Allah beri dan adalah untuk merapatkan diri kita kepada-Nya. Ikhlaskanlah hati ketika bersedekah tak kira masa sama ada waktu kita susah atau senang. Sedekah itu dapat diberikan dalam pelbagai bentuk, bukan semata-mata wang ringgit sahaja. Dan saya juga pernah terbaca, sedekah yang paling besar pahalanya adalah saat kita merasa kedekut untuk memberikannya. In shaa Allah, ada rezeki yang lebih baik pada harta yang disedekahkan itu :)


5. Berdoa untuk orang lain

Bukan muda untuk acapkali mendoakan rakan-rakan lain yang belum dikurniakan zuriat, agar mereka dikurniakan zuriat dan kebahagiaan sedangkan diri sendiri masih menanti rezeki Allah itu. Tapi, yang bukan mudah dan payah itulah mungkin boleh melembutkan hati kita untuk redha dan sentiasa berbahagia dengan rezeki yang Allah kurniakan buat insan-insan di sekeliling kita. Tanpa prasangka, tanpa prejudis, tanpa iri hati. Ah, memang bukan mudah. Tapi, apa yang saya sedar, sesuatu yang baik dan kita paksa untuk lakukannya hari-hari boleh melenturkan hati sekeras batu agar berbahagia dengan kebahagiaan orang lain, menyayangi mereka, dan secara tidak langsung menyemai bahagia untuk diri sendiri apabila hati tiada rasa prejudis dengan rezeki Allah itu. Jadi, mungkin ini satu usaha saya, mendoakan selalu agar rakan-rakan saya yang sedang menanti kehadiran zuriat waima yang pertama, kedua, atau ketiga, diizinkan untuk memperolehinya. Saya pernah terbaca, setiap kali kita mendoakn untuk orang lain, malaikat akan mengaminkan doa itu dan memohon agar Allah memberikan yang sama untuk kita. Subhanallah :"")


Saya rasa itu sahaja perkongsian yang saya boleh berikan buat masa ini. Entry ini ditulis beberapa kali. Ketika saya 4 weeks (iaitu beberapa hari selepas saya tahu saya hamil), kemudian pada 30 Zulhijjah 1435H, iaitu ketika usia kandungan saya sudah 9 minggu 5 hari, dan ketika usia kandungan kandungan saya sudah 20 minggu 1 hari. Coretan entry ini untuk perkongsian bersama dan akan saya kongsikan selepas saya selamat melahirkan anak ini nanti pada tahun hadapan, iaitu pada bulan Mei 2015. In shaa Allah.

p/s: Saya telah selamat melahirkan seorang anak perempuan pada 12 Mei 2015 yang lalu. Alhamdulillah, anak saya kini sudah berusia 2 bulan lebih. Saya mendoakan rakan-rakan TTC yang lain agar beroleh nikmat rezeki yang sama. In shaa Allah, Allah sentiasa mengira segala usaha kita dan pasti akan ada rezeki buat kita semua. Amin ya rabbal a'lamin...

Wasssalammualaikum w.b.t

Click! Click! Click!