Wednesday, 22 July 2015

Selepas 3 tahun (Diari September/Oktober 2014)

[Repost : Maaf saya revert to draft sebelum ini. saya repost untuk rujukan rakan-rakan ttcian yang bertanya. Semoga perkongsian ini bermakna untuk kalian]



Assalammualaikum w.b.t


Dalam entry "Being childless at 28th", saya telah membuat suatu keputusan tentang usaha dan penantian saya dalam menunggu kehadiran pengganti Najla;  terus berusaha, berikhtiar dan sentiasa menantikan saat itu tiba, walaupun saya tidak pasti bila. Apa yang penting, saya yakin Allah SWT tetap akan kurniakan 'rezeki' itu jua dalam waktu yang terbaik buat saya dan Edy.

2014 merupakan tahun yang agak mencabar buat saya dari aspek pekerjaan. Tidak sukar tapi menuntun begitu banyak pengorbanan kudrat dan masa. Saya perlu 'all out' untuk pastikan setiap tugasan yang saya galas berjaya dengan izin-Nya.

Kemuncak kesibukan saya adalah pada bulan Ogos 2014. Naik cuti raya, saya terus mendapat tugasan untuk membawa murid ke pertandingan inovasi peringkat daerah. Kemudian, membimbing dan mengiringi pelajar sketsa ke peringkat negeri, dan seterusnya melatih dan membawa pasukan koir ke pertandingan koir peringkat negeri. Tidak cukup dengan itu, saya telah di'detail'kan oleh pihak PPD untuk melatih pasukan koir dan membuat persembahan sempena sambutan kemerdekaan peringkat negeri Johor yang bertuan rumah di tempat saya. Dan akhir sekali, saya menjadi guru pengiring untuk projek tingkatan 6 di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang. 

Senang kata, selama sebulan Ogos itu saya membawa murid/pelajar keluar untuk pertandingan, persembahan dan projek. Hampir setiap minggu saya tiada di sekolah. Tapi saya tak ada rasa terpaksa pun. Semangat patriotik saya sangat tinggi pada waktu itu, dan saya gembira dapat melibatkan diri dalam pertandingan dan sambutan patriotisme seperti ini. Pengalaman ke Taman Negara Kuala Tahan juga saya takkan lupakan. Berjumpa orang asli nomad, daki bukit, canopy walk away, rapid shooting, menyumpit; semua ini sangat saya rindui untuk lakukannya sekali lagi. Senang kata, walaupun bulan 8 ini saya sangat sibuk, tapi saya mendapat kepuasan dan saya sangat gembira.

TTC?

Seingat saya, saya ada 'berusaha' sekali. Nak mention BD malu pulak :P. Rasanya memang pada hari itu saya ovulate sebab ada egg white. Hari ke-9 rasanya. Lepas tu saya terus ralit dengan kesibukan duniawi yang menuntut saya untuk melaksanakannya. 

Siang sibuk dengan persiapan pertandingan, malam pula bersengkang mata membuat persiapan untuk pengajaran kimia tingkatan 6. Setiap hari tidur saya tidak pernah cukup. Lena apatah lagi. Saya boleh kira berapa kali saya tidur di bilik berbanding tertidur di meja study atau di ruang tamu. Ubat penahan ngantuk; kopi made in Baling, Kedah. Setiap hari, segelas cawan besar. Kadang 2-3 gelas juga sehari. 

15 September 2014

Saya sebenarnya agak keliru dengan kitar haid saya. Bulan lepas 27 hari. 2 bulan sebelum itu 25 hari. Jadi, pada tarikh 15 September period saya masih belum kunjung tiba. Saya sudah ada tanda-tanda period sejak 3-4 hari lepas. Biasanya kalau saya mula rasa lenguh kaki, sakit pinggang, abdominal cramp, dan mood swing, esoknya saya akan period. Tapi kali ni tidak. Masuk hari ke-29 saya masih lagi rasa symptom PMS tu. Saya berdoa, sekiranya saya tidak hamil, saya minta Allah turunkan darah saya. Dan sekiranya saya hamil, saya mohon Allah selamatkan kandungan saya. Kali ini saya rasa macam tak mungkin saya pregnant kerana saya terlalu sibuk. Jadi saya tak begitu excited untuk cuba UPT tambahan pula symptom PMS tu memang kadang-kadang terlalu ketara. Tapi dek risau kalau ada sebab lain, akhirnya saya minta juga Edy belikan urine pregnancy strip dari 7 eleven berhampiran rumah. Sekembalinya Edy dengan apa yang saya minta untuk beli, tanpa berlengah saya terus ke bilik air dan...


1st UPT test - 15 September 2014, 2.30 petang


Saya rasa macam tak percaya. Dalam kesibukan saya, Allah izinkan saya untuk hamil? Itulah perasaan yang bermain dalam benak fikiran saya. Saya dan Edy terus sujud syukur walaupun terdapat rasa yang tak tahu nak kata saat itu.


Edy beli UPT yang lain. Dari farmasi pula. Sekadar untuk pengesahan kali kedua. Saya cuba lagi test esok paginya. Dan hasilnya...


16 September 2014




2nd UPT test - 16 September 2014, lebih kurang pukul 6 pagi

Apa lagi yang boleh saya katakan selain memanjatkan rasa syukur pada Allah SWT? Tentulah saya rasa sebak namun jauh untuk rasa berbangga dengan keizinan Allah untuk saya hamil kali kedua ini. Cukuplah pengalaman lalu telah mengajar saya agar berserah pada-Nya dan sentiasa merendah diri dengan kurniaan-Nya ini. Kerana itu hanya ahli keluarga dan beberapa orang sahabat sahaja yang saya maklumkan tentang berita ini. Tiada publish or sebarang pemberitahuan secara umum. 

Tanda-tanda yang saya alami sebelum saya tahu saya hamil:

1. Mudah rasa sejuk, nak berselimut bagai
2. Abdominal cramp 
3. Craving makanan manis
4. Constipation
5. Selalu rasa mengantuk
6. Bloating
7. Pedih ulu hati
8. Kaki rasa lenguh
9. Sakit pinggang
10. Kerap kencing

Saya teringat seorang sahabat blogger saya pernah beritahu saya dalam email kirimannya tahun lalu, saya ringkaskan email kiriman beliau mengikut keadaan saya,

"Adakalanya Allah akan beri sesuatu yang sangat kita dambakan di luar jangkaan kita atau pada waktu kita mungkin tidak menduga atau tidak menyangka. Tapi sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui akan sesuatu yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Apa yang penting, kita perlu terus bersangka baik dan teruskan berdoa tanpa putus asa..."

Apa usaha saya?

Subhanallah, jika dibandingkan usaha TTC saya dengan rakan-rakan saya, memang tidaklah seberapa. Tapi saya ada suatu keyakinan yang sangat kuat akan 'masa depan yang baik' yang Allah tetapkan untuk saya. Jika rujuk entry saya "Being childless at 28th" ini, pasti kalian tahu saya dan Edy sudah sampai pada suatu tahap redha dengan segala ketentuan-Nya. Saya percaya dan yakin Allah SWT telah merancang sesuatu yang terbaik untuk kami. Dan walaupun tidak pasti bila, saya tidak pernah berhenti berdoa dan saya sentiasa merasa yakin bahawa suatu hari nanti Allah SWT akan kurniakan juga kepada kami zuriat yang soleh dan solehah. Saya sentiasa yakin seperti mana Nabi Zakaria a.s yakin Allah akan mengurniakannya jua seorang zuriat walaupun Nabi Zakaria telah merasakan dirinya sudah sangat tua saat itu.

Mungkin saya boleh berkongsi beberapa perkara yang saya lakukan sepanjang tahun 2014 sehingga alhamdulillah Allah telah mengira usaha saya dan mengizinkan saya untuk hamil semula selepas 3 tahun penantian pengganti Najla. Sejujurnya saya sangat trauma dan mengambil keputusan untuk berdiam diri atas berita ini kerana saya tidak bersedia (dan tidak mampu) untuk menghadapi kehilangan untuk kali kedua. Kerana itu, saya mengambil keputusan untuk tidak berkongsi tentang kehamilan saya secara umum dan bergantung sepenuhnya pengharapan dan doa kepada Allah SWT. Apa yang penting, saya sentiasa ingat pesanan seorang blogger yang lebih kurang begini bunyinya,

"Berusahalah selagi mampu dengan apa cara sekalipun, jangan berhenti berusaha dan berikhtiar kerana mungkin kita telah mencuba 99 cara tetapi Allah akan menunaikannya apabila kita telah mencapai tahap 100 kali ikhtiar. Jadi mengapa perlu mengalah dan berputus asa sekarang? Teruskan berusaha. Sedikit sahaja lagi dan yakinlah Allah akan mengira segala usaha kita itu..."

"Mohonlah petunjuk Allah mengapa kita masih belum hamil. Minta Dia tunjukkan jalan dan hidayah agar kita dipermudahkan untuk menemui jawapannya..."

Kerana itu, pesanan Dr Lim dalam entry saya ini, saya anggap sebagai gerak hati yang Allah izinkan untuk beri petunjuk kepada saya agar saya dapat memuhasabah diri tentang mengapa saya inginkan zuriat. Jawapannya kini telah saya perolehi: Kerana saya ingin mengasihi anak ini, mendidiknya menjadi anak yang soleh/solehah serta berharap agar anak kami ini dapat menjadi pengikat kebahagiaan kami suami isteri, dan menjadi pencen kubur untuk kami nanti.

Ok, berbalik kepada usaha yang saya lakukan sepanjang tahun 2014 ialah seperti berikut:


1. Saya berusaha untuk mengamalkan cara hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan bersukan.

Saya selalu berdoa agar Allah tunjukkan jalan untuk saya hamil semula. Dan suatu hari pada meeting akhir tahun 2013, kawan saya Aziera telah mengajak saya untuk sertai program Jom Kurus 1 Malaysia musim pertama. JK1M adalah program anjuran Kevin Zahri. Masa tu sejujurnya saya rasa macam ya tak ya sahaja. Tapi bila kakak saya berminat untuk turut serta, akhirnya saya akur. Rasa macam mustahil boleh turunkan 6 kg dalam masa 6 minggu kan? Tapi itulah yang berlaku pada saya. Kami telah berjaya menurunkan berat badan dengan sihat selepas 6 minggu sertai program ini. Saya berjaya menurunkan berat badan dari 64kg kepada 58kg dalam masa 6 minggu tersebut. Dan berat badan ini kekal sehingga saya disahkan hamil.

Bertemu dengan founder JK1M, Kevin Zahri sangat mengujakan. Apatah lagi saya berpeluang untuk jalani hidup sihat dengan sentiasa menjaga pemakanan, mengira kalori makanan yang diambil, work out, dan bersukan. Saya juga mula minat hiking setelah berjaya mendapatkan berat badan yang ideal dan sejujurnya saya rasa saya lebih sihat. Terima kasih kepada trainer kami, Najjah. Alhamdulillah, saya tak menyesal langsung perlu melabur RM300 sebagai bayaran yuran bagi program ini. Hasilnya memang sangat berbaloi. Setelah tamat program, saya masih teruskan gaya pemakanan yang sihat dan cara hidup yang lebih berkualiti disamping dua rakan saya yang sentiasa memberi sokongan, iaitu Aziera dan Shama.

Bukan mudah untuk meyakinkan orang lain tentang keberkesanan usaha saya ini. Ibu mertua saya terutamanya, sangat risau bila lihat saya susut dengan agak drastik. Mungkin bimbang, melihat saya berdiet tanpa sebab dan mungkin secara tidak sihat. Waktu tu, ingin sekali saya bagi tahu ibu mertua saya, tujuan saya ingin kurus adalah untuk hamil semula. Tapi, saya diamkan dulu dan sabar menantikan 'hasil'nya. Alhamdulillah, bila sudah hamil, perlahan-lahan saya cuba terangkan pada ibu mertua saya iaitu ketika usia kandungan saya menjengah 20 minggu, tentang tujuan saya untuk kurus dulu adalah untuk sihat dan hamil semula. Dengan 'hasil' yang Allah izinkan, iaitu anak yang sedang saya kandung meyakinkan ibu mertua saya tentang apa yang telah saya usahakan itu sebenarnya bukan suatu yang sia-sia.

Boleh rujuk entry ini tentang penyertaan saya dalam program JK1M.

2. Berurut

Ingat lagi tak pada makcik yang saya pernah cerita dalam entry ini; Rawatan Tradisional vs Moden. Kenapa saya tak nampak selama ni?. Jun 2014, sewaktu cuti sekolah pertengahan tahun, saya menghadiri majlis kahwin rakan sekolah di Kelantan. Kemudian esoknya saya, Edy dan dua orang anak saudara yang mengikuti kami terus ke Kedah. Tujuan saya ialah untuk berjumpa dengan makcik itu lagi. Dalam hati saya terdetik, mungkin saya perlu berusaha ke tahap ini tanpa putus asa. Mungkin selepas susah payah ini melalui perjalanan yang panjang, Allah akan izinkan saya untuk hamil semula.

Dua makcik telah saya temui, seorang agak muda sedikit, mengurut peranakan saya. Katanya peranakan saya agak turun. Saya rasa gara-gara work out yang melampau. Sebab masa work out dulu, saya memang lakukan habis-habisan, gaya lelaki, gaya perempuan semua saya buat.

Selepas tu, saya berjumpa makcik yang 'merawat' saya sebelum mengandungkan Najla itu. Makcik itu sudah sangat tua, dan baru kematian suaminya seminggu. Dia sekadar menyentuh abdomen saya dan mengatakan rahim saya ok (mungkin sebab telah diurut tadi). Saya mengadu tentang masalah keputihan yang saya alami. Memang Dr Lim dan Dr Chia pernah beritahu, selagi saya masih lagi mempunyai vagina candidiasis ini, saya memang lambat untuk hamil. Makcik itu juga bersetuju. Petua yang diberikan kepada saya ialah cuci vagina saya dengan menggunakan air rebusan kulit pokok asam (banyak di tepi-tepi jalan di Kedah). Caranya: Kulit pokok asam direbus bersama dengan asam keping, dan pucuk jambu. Kemudian dicuci selalu bahagian sulit itu. Saya tanya kenapa tidak daun sireh? Makcik tu bilang, ikut pengalaman dia, daun sireh boleh hilangkan keinginan untuk bersama suami. Jadi dia memang tidak akan sarankan untuk mencuci bahagian sulit dengan air sireh lagi. Sejauh mana kebenarannya, wallahua'lam.

Raya 2014: Dua hari sebelum raya, saya diserang sakit perut yang teramat selepas sahur (gara-gara tidak boleh kentut). Saya balik ke kampung Edy dan demam pada malamnya. Ayah Edy memang seorang yang berkemahiran untuk mengurut tapi dia tak pernah urut saya kerana saya menantu perempuan. Tapi malam itu, kerana terpaksa, akhirnya ayah mertua urut juga sekitar abdomen dan bahagian peranakan ditemani oleh ibu mertua saya. Seperti yang saya jangka, ayah mertua saya bilang, ovari sebelah kanan saya keras seperti yang pernah saya cerita dalam entry ini. Dan alhamdulillah selepas diurut, demam saya kebah dan saya hanya meneruskan ubat relax usus yang diberikan oleh Dr Elizabeth dari Klinik Bukit Gambir. Sepanjang beraya, saya tidak boleh lasak makan kerana saya hanya boleh kentut sedikit sahaja. Sakitnya memang amat perit apabila kita tidak boleh keluarkan angin dari perut. Jadi, secara automatik, pemakanan saya sewaktu hari raya itu agak terjaga dan terkawal.


3. Perbaiki ibadah

Dalam entry saya ini, saya ada ceritakan tentang bagaimana saya boleh istiqamah dalam bertahajud. Mungkin ini suatu penambahbaikan dalam ibadah yang saya lakukan selama ini. Mungkin juga Allah telah mendengar rintihan saya ketika itu setiap malam. Dan saya yakin, kerana hikmah besar bertahajudlah, Allah SWT akhirnya memperkenankan doa saya selama ini.

(Boleh rujuk sumber berkaitan tentang sunat melewatkan solat isyak dan waktu-waktu yang disunatkan serta waktu yang akan jatuh hukum berdosa sekiranya sengaja dilewatkan melebihi 1/2 malam. Wallahua'lam)


4. Variasikan sedekah

Dari pelbagai sumber yang saya baca, saya yakin ramai telah tahu bahawa sedekah adalah punca kepada segala rezeki. Cuma, mungkin bentuk sedekah itu boleh dipelbagaikan mengikut kemampuan diri sendiri. Maksud saya ialah, jika kita selalu menderma di masjid, atau menderma kepada orang susah, kita juga boleh menderma kepada makhluk lain seperti haiwan. Berkongsi makanan dengan haiwan, atau memberi tempat perlindungan, itu juga adalah sedekah. Dan saya pernah mendengar satu tazkirah di radio IKIM, usahlah kita mengharap balasan doa dari orang-orang yang kita beri sedekah kita itu kerana sesungguhnya sedekah itu tanda kita ingin mensyukuri rezeki yang Allah beri dan adalah untuk merapatkan diri kita kepada-Nya. Ikhlaskanlah hati ketika bersedekah tak kira masa sama ada waktu kita susah atau senang. Sedekah itu dapat diberikan dalam pelbagai bentuk, bukan semata-mata wang ringgit sahaja. Dan saya juga pernah terbaca, sedekah yang paling besar pahalanya adalah saat kita merasa kedekut untuk memberikannya. In shaa Allah, ada rezeki yang lebih baik pada harta yang disedekahkan itu :)


5. Berdoa untuk orang lain

Bukan muda untuk acapkali mendoakan rakan-rakan lain yang belum dikurniakan zuriat, agar mereka dikurniakan zuriat dan kebahagiaan sedangkan diri sendiri masih menanti rezeki Allah itu. Tapi, yang bukan mudah dan payah itulah mungkin boleh melembutkan hati kita untuk redha dan sentiasa berbahagia dengan rezeki yang Allah kurniakan buat insan-insan di sekeliling kita. Tanpa prasangka, tanpa prejudis, tanpa iri hati. Ah, memang bukan mudah. Tapi, apa yang saya sedar, sesuatu yang baik dan kita paksa untuk lakukannya hari-hari boleh melenturkan hati sekeras batu agar berbahagia dengan kebahagiaan orang lain, menyayangi mereka, dan secara tidak langsung menyemai bahagia untuk diri sendiri apabila hati tiada rasa prejudis dengan rezeki Allah itu. Jadi, mungkin ini satu usaha saya, mendoakan selalu agar rakan-rakan saya yang sedang menanti kehadiran zuriat waima yang pertama, kedua, atau ketiga, diizinkan untuk memperolehinya. Saya pernah terbaca, setiap kali kita mendoakn untuk orang lain, malaikat akan mengaminkan doa itu dan memohon agar Allah memberikan yang sama untuk kita. Subhanallah :"")


Saya rasa itu sahaja perkongsian yang saya boleh berikan buat masa ini. Entry ini ditulis beberapa kali. Ketika saya 4 weeks (iaitu beberapa hari selepas saya tahu saya hamil), kemudian pada 30 Zulhijjah 1435H, iaitu ketika usia kandungan saya sudah 9 minggu 5 hari, dan ketika usia kandungan kandungan saya sudah 20 minggu 1 hari. Coretan entry ini untuk perkongsian bersama dan akan saya kongsikan selepas saya selamat melahirkan anak ini nanti pada tahun hadapan, iaitu pada bulan Mei 2015. In shaa Allah.

p/s: Saya telah selamat melahirkan seorang anak perempuan pada 12 Mei 2015 yang lalu. Alhamdulillah, anak saya kini sudah berusia 2 bulan lebih. Saya mendoakan rakan-rakan TTC yang lain agar beroleh nikmat rezeki yang sama. In shaa Allah, Allah sentiasa mengira segala usaha kita dan pasti akan ada rezeki buat kita semua. Amin ya rabbal a'lamin...

Wasssalammualaikum w.b.t

10 comments:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete
  2. Ya Allah! Rasa nk terduduk baca entri Ummi Najla hari ini. Syukur Ya Allah! Saya teringin nak pinjam semangat Ummi Najla....

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  3. In shaa Allah dear, awak pun akan rasai nikmat rezeki yg sama ini. don't give up sebab saya tahu awak ada semangat yang kuat tu. teruskan segala usaha. Allah sedang mengira segala usaha kita itu. Saya yakin rezeki awak ada sbb saya tahu awak boleh jafi ibu yg baik sbb awak sayang sgt anak saudara awak yg baru lahir tu. Saya sentiasa ada mnyokong kawan2 ttc yg lain.

    ReplyDelete
  4. Allahamdulilah..tahniah nadia..akhirnya Tuhan dengar doa smua rakan2 nadia termasuk saya yang selalu doakan agar nadia dikurniakan zuriat..saya tumpang gembira..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi khairawati, lama tak dengar khabar berita..terima kasih byk2 kerana mendoakn saya.. Saya sedar, ini semua Allah izinkan terjadi kerana doa dari rakan-rakan termasuklah doa khairawati sendiri :")

      Terima kasih sekali lagi... :""")

      Delete
  5. Ya Allah....gembiranye dengar berita gembar kuasa dua ni....syukur pd Allah...sepanjang membaca entry ni sy tak putus2 tersenyum. Congrats my dear

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum ummi najla..
    .Allhamdulillah...segala puji bagi Allah..tahniah ummi..macam2 yg sya rasa masa baca entri awak ni...sbenarnya gerak hati sya dah agak yg mesti ummi ada good news ni masa baca entri terakhir ummi sbelum ni...entahlah..tpi gerak hti sya kuat mengatakan yg ummi dah berjaya pregnant balik..rupa2nya ..kebahgiaan yg ummi dpt lbh dri tu...Alhamdulillah ummi..moga mnjadi zuriat yg soleh atau solehah ..saya ni gembira sgt2 bila dpt tau kwan2 yg senasib dgn sya dah diberi rezeki zuriat..moga Allah jugak mengabulkan doa sya spertimna doa ummi..Allahhuakbar....berbagai rasa sepanjang dugaan menanti ni...moga kami yg msh menunggu ni di beri kekuatan dan kesabaran..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam mama munif, Ya Allah, lama sungguh tak dengar khabar mama.Tak sangka mama masih sudi baca entries saya. Mungkin sebab kita punyai pengalaman yg sama buat mama munif dapat instinct yg kuat tentang saya. In shaa Allah mama, tentang bila tu hanya rahsia Allah, kita hanya berusaha untuk cuba menjaga amanah Allah ini sebaiknya. Saya sejujurnya sekarang menumpukan perhatian pada anak lebih dari yg lain dan cuba buat yg terbaik seperti mana janji saya pada diri saya dahulu. Trauma itu tetap ada dan kerana itu, saya hanya berusaha yg terbaik dalam menjaga, mendidik, dan membesarkannya. Senang kata, perkataan 'usaha' itu tidak berhenti selepas saya diizinkan hamil, tp berusaha menjaga kandungan, berusaha menyusukan, berusaha menjaganya.. Allahurabbi, moga Allah terus berikan semangat dan kekuatan kepada kita semua terutama kepada mam munif. In shaa Allah, akan hadir pengganti buat mama nanti. Amin...

      Delete

Click! Click! Click!