Tuesday, 29 September 2015

Jurnal Penyusuan Nur Khadijah (Bahagian 1)


Assalammualaikum w.b.t


Nur Khadijah, itulah nama anak kedua saya. Macam tak ada cerita apa-apa secara detail kan tentang Nur Khadijah dalam blog ni. Nantilah... Saya agak paranoid untuk share gambar dan perkembangannya. Mungkin nanti bila saya dah ready, saya akan berkongsi juga. Apa yang saya boleh kongsikan setakat ini, alhamdulillah Nur Khadijah terus sihat membesar dan usianya kini hampir masuk 5 bulan. Semoga Allah terus izinkan kami memikul amanah ini dan mengizinkan Nur Khadijah menjadi pencen kubur untuk kami nanti. Amin...


Saya titipkan entry ini untuk saya renung kembali pada masa-masa akan datang saat-saat saya masih cekal untuk terus menyusukan Khadijah, saat-saat saya masih mampu untuk menjaga jadual mengepam saya di sekolah, saat-saat saya masih sabar mengendalikan EBM Khadijah untuk bekalan pengasuh. Saya harap entry ini dapat menjadi pencetus kepada diri saya sendiri sekiranya saya ditakdirkan menghadapi jatuh bangun dalam dunia penyusuan. Paling membimbangkan adalah apabila penyakit MALAS itu muncul dalam diri. Semoga saya terus cekal dan tabah meneruskan penyusuan susu ibu untuk Nur Khadijah sehingga tempoh terbaik yang Allah izinkan untuknya. In shaa Allah.


Saya nekad untuk menyusukan anak saya secara ekslusif selepas saya kehilangan Najla tercinta. Sungguh saya amat jahil dalam penyusuan susu ibu (PSI) sewaktu saya melahirkan Najla. Apatah lagi Najla tidak boleh direct feeding (DF) dan menambah tekanan saya saat itu terutama apabila saya mengalami bengkak susu. Paling menyedihkan ialah apabila saya sebenarnya telah merosakkan semua EBM saya tanpa sedar kerana tiada ilmu langsung tentang pengendalian EBM saat itu. Dan kerana itu, barulah saya tersedar kini, kenapa berat Najla sukar untuk naik walaupun Najla minum EBM saya melalui tiub dan syringe. Dan saya selalu berpendapat ketika itu, susu ibu lambat untuk menaikkan berat badan dan saya selalu meminta nurse susu formula untuk bayi pramatang agar Najla lekas naik berat dan kami dapat keluar cepat...


***Penulisan entry terhenti seketika sebab saya menangis mengenangkan saat-saat itu. Andai Najla bisa mendengar, ingin sekali saya beritahunya, "Ibu minta maaf sayang! Ibu jahil! Ibu tak ada ilmu saat itu. Berkali-kali ibu menyalahkan diri ibu. Kenapa ibu tidak belajar tentang penyusuan susu ibu. Sehinggalah Najla mengalami komplikasi kerana usus Najla belum matang dan tidak sesuai dengan susu formula tersebut! Ibu selalu menyalahkan diri ibu walaupun ibu sedar semua itu telah berada dalam perancangan-Nya.... Maafkan ibu Najla! Maafkan ibu.....!


***
***
***
***
***
***
***
***
***
***


Berat untuk saya mengenang kembali peristiwa tersebut. Segala memori berputar laju dalam minda saya. Dan saya tidak pernah menceritakan kejahilan saya itu dalam mana-mana entry berkaitan Najla sebelum ini. Kerana saya cuba menyembunyikan 'kesalahan' saya ketika itu dan cuba melupakannya. Hakikatnya saya terus digamit rasa bersalah sehingga kini. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya. Tiada guna air mata penyesalan ini tumpah sekiranya saya tidak menebus kesilapan dahulu. Kerana itu saya nekad, hingga ke akhir nyawa saya sekalipun, sekiranya saya masih mampu untuk menyusukan Khadijah, saya akan lakukan. Hingga tiada apa yang mampu menghalang niat saya ini kecuali takdir-Nya.


Berikut adalah kisah perjalanan penyusuan susu ibu untuk anakanda tercinta, Nur Khadijah. Semoga jurnal ini menjadi kenangan bermanfaat untuk diri saya dan Nur Khadijah bila dia sudah besar nanti.

*
*
*

Bismillahirrahmannirahim...


Sebelum saya diizinkan Allah untuk hamil, saya selalu merajinkan diri membaca tentang Penyusuan Susu Ibu (PSI) di internet. Entah kenapa, saya asyik membaca walaupun sebenarnya saya tidaklah begitu faham kerana belum melaluinya secara realiti. Tapi ada beberapa perkara yang melekat dalam memori saya melalui pembacaan rambang saya itu seperti deep freezer, bottle warmer, milk storage bag plastic, beg mengepam, dan istilah seperti EBM, froze and defrost. Walaupun saya tidak begitu mendalami tentang PSI selama 3 tahun penantian pengganti Najla, saya rajin membaca dan sentiasa berimpian untuk melakukan perkara yang sama seperti ibu-ibu yang menjalani PSI secara ekslusif itu.


Sehinggalah saya disahkan hamil, saya beranggapan yang saya telah mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang PSI seperti fikiran yang positif dan segala persiapan yang perlu ada untuk menjalani hidup sebagai seorang ibu yang menyusukan anak secara ekslusif. Seingat saya, ketika saya hamil 4 bulan, saya telah membeli Avent Manual Breast Pump dari Nurizshar dengan harga RM160. Masa tu saya tak beritahu Edy pun saya beli manual pump tersebut. Sebab Edy begitu trauma dengan persiapan awal seperti yang saya pernah lakukan sewaktu mengandungkan Najla dahulu. Jadi, saya telah menggunakan alamat kawan saya, Azira untuk urusan pos. Bila kurier telah diterima, saya meminta Azira untuk terus menyimpannya. 


Sehinggalah saya bertemu kakak Azira yang menyusukan anak ketiganya secara ekslusif. Kebetulan saya di rumah Azira ketika itu dan kakak Azira terlihat kurier pam tersebut. "Pam manual? Penatlah nak mengepam nanti.. Kenapa tak beli pam elektrik je? Akak dulu pun puas survey. Last-last akak beli pam Autumnz. Pam paling baik sebenarnya jenama Medela tapi harga mahal sangat. Pam Autumnz tu pun ok. Harga pun tak mahal sangat..." Itulah lebih kurang perbualan kakak Azira dengan saya. Sungguh saya langsung tak tahu tentang kewujudan pelbagai jenama pam pada masa kini. Saya ingat Avent Manual Breast Pump tu pun dah cukup terbaik. Masa zaman Najla dulu, saya cuma guna pam manual jenama Pureen dengan harga RM39.90 je dan saya rasa dan cukup oklah bila dapat beli pam dengan harga RM160 (cukup mahal dah pada saya). Rupanya ada pendapat lain yang saya perlu pertimbangkan.


Saya asyik terfikir kata-kata kakak Azira berhari-hari lamanya. Saya tak nak PSI yang saya impikan gagal kerana saya penat mengepam nanti. Jadi saya minta Azira tanyakan kakaknya fb page pam tersebut. Selepas melihat pakej yang ditawarkan, maka termenung panjanglah saya melihat harganya yang agak mahal walaupun dijanjikan dengan tips susu ibu meriah (tapi tips tersebut tak dikongsikan dalam fb page tersebut). Sesiapa yang berminat untuk tahu tentang susu meriah tu kenalah dapatkan buku yang ditulis admin tersebut (termasuk dalam pakej pam) atau hadiri seminar yang beliau adakan. Hm...


Saya mengadu pada Azira, ingin sangat saya membelinya tapi harganya agak mahal. Dalam RM450++. Pada saya agak mahal ketika itu sebab saya belum survey jenis-jenis pam yang lain. Azira nak tolong belikan dulu kemudian saya bayar ansuran dengannya. Saya hampir setuju sehinggalah saya terjumpa satu blog yang menjual pam dengan harga terendah dari pasaran. Dengan syarat, kenalah COD. Pam yang dijual agak limited. Siapa cepat dia dapat. Dan Edy sudi membelanja saya :). Maka saya pun secara rasmi membeli Autumnz Double Electric Breast Pump dengan harga RM350 dari Puan Amna. Dapatlah free gift storage bag, cooler bag, dan manual pump serta USB adapter yang memang ada sekali dalam kotak tu. Tak silap saya, saya beli breast pump ni masa kandungan saya dalam 6-7 bulan. 


Bila dah ada manual and electric breast pump ni, saya rasa persiapan saya dah mencukupi. Dah oklah tu. Saya dan bersedia nak buat stok susu bila dah melahirkan nanti. Saya memang rasa sangat tak sabar menantikan saat itu.


Sehinggalah saya mengalami bleeding ketika kandungan saya 29 minggu. Allahuakbar. Saya begitu trauma saat itu. Adakah peristiwa 30 minggu itu akan kembali? (saya akan ceritakan kemudian tentang peristiwa 29 minggu ini).


Dan saya telah bercuti panjang. Kerana saya ada rekod kes sebelum ini, saya mendapat MC sebulan dari pakar dan saya menyambung cuti separuh gaji sehinggalah kandungan saya 37 minggu.


Dalam saya bercuti panjang itu, saya telah dikunjungi rakan sekolah saya. Bersungguh-sungguh dia mahu menemui saya walaupun saya sebenarnya rasa tidak mahu berjumpa sesiapa pun ketika itu. Dan akhirnya Allah izinkan juga untuk rakan saya itu menjeguk saya di rumah. Dari bertanya khabar, perbualan menjadi 2 jam lebih lamanya. Topik perbualan adalah tentang Penyusuan Susu Ibu. 


Rakan saya itu tidak dapat menyusukan anaknya selepas beberapa hari melahirkan kerana tewas dengan psikologi diri sendiri, pengaruh ibu bapa, dan suami yang mengalah akibat kasihankan anak dan dirinya saat berpantang. Katanya, punca dia tidak berjaya adalah kerana dia tidak mempunyai ilmu yang mencukupi. Tambahnya lagi, sekadar membeli pam sebelum melahirkan tidak menjamin PSI yang berjaya selagi ilmu tidak cukup di dada. Saya dengar dengan teliti walaupun saya rasa saya sudah mempunyai ilmu yang mencukupi berdasarkan kekhilafan pengalaman saya sebelum ini. Kononnya, saya boleh melakukannya tanpa perlu mendengar atau mempelajari lagi ilmu tentang PSI seperti pada hari rakan saya hadir untuk 'mentazkirahkan' saya tanpa rela :P.


Perbincangan menjadi agak serius apabila kawan saya yang biasanya hati kering itu tiba-tiba menangis. Saya agak terkejut saat itu, begitu seriuskah masalahnya sehingga dia menangis? 


Punca masalahnya tidak lain hanyalah kerana dia kalah dengan psikologi diri sendiri dan tekanan dari ibunya yang memaksa untuk dia mencampur susu kerana anaknya meragam seperti tidak kenyang, puting melecet dan kuantiti susu yang diperah sekadar 2oz sewaktu awal-awal kelahiran.


Dan selepas kawan saya merasakan dirinya telah gagal, dia (seperti saya dahulu) cuba mencari segala sumber rujukan di internet supaya dia tidak akan gagal lagi untuk menyusukan ianaknya pada masa akan datang. Dan akhirnya dia memberikan saya link fb page salah seorang kaunselor laktasi, Noorfazila Abdul Rahman. Saya mulanya acuh tak acuh sahaja mahu membaca fb page tersebut. Sehinggalah Allah bukakan hati saya untuk menelusuri perkongsian Kak Fazi (nama beliau yang selalu dipanggil oleh followers) dalam fb page tersebut. Kak Fazi juga rupanya pernah gagal ketika anaknya yang pertama. Dan banyak ujian yang dihadapi oleh Kak Fazi terutama apabila anak  ketiganya dimasukkan ke ICU beberapa hari selepas dilahirkan. Dan kerana pengalaman yang hampir sama itu, saya terus membaca satu persatu....



Bersambung...

4 comments:

  1. syukur alhamdulillah.. hadiah buat kesabaran puan.. puan, sy juga sedang berusaha.. dan ujian setiap org berbeza.. sy pula diduga dengan mengidap penyakit endometriosis stage 4.. dimana darah haid sy melawan arus ke atas hingga pecah di ovari, darah tu dah spread around pervis sy mengakibatkan sy senggugut teruk, rahim sy juga tidak kuat hingga menghempap usus besar sy mengakibatkan sy sukar membuang.. dan mcm mcm lagi sehingga sy terpaksa dioperate.. sy telah dioperate pd bulan satu 2015.. alhamdulillah rahim sy dapat diselamatkan..sbb banyak kes lain stage 4 dah perlu dibuang rahim.. walau sy tahu ia tiada penawar dan boleh berulang lagi, sy cuba positif dan melawannya.. puas setiap bulan sy merintis hingga sampai satu tahap sy jadi kebal..mcm dah lali..dan akibat penyakit itu, sy sukar hamil dan beberapa aspek lain terutama emosi yg tak stabil dan fizikal seperti kelelahan, cepat letih, dan macam macam lagi kerana ia berkaitan dengan hormon badan yg tak menentu dan imun sistem yg tak kuat.. jadi boleh tak minta bantuan puan, share dengan sy maklumat nenek yang mengurut tu.. kerana sy risau rahim sy terbalik lagi.. sy sekarang dalam usaha utk mengamalkan cara moden, tradisi dan islamik iaitu ruqyah.. thanks puan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalm puan. Allahuranbi. Besar dugaan puan bbnding saya sbnrnya.

      Puan, nenek mngurut di kedah tu dah berhenti mengurut.

      Tapi untuk kes cyst spt endometriosis, saya ada knal seorang makcil di johor yg mngamalkn rukyah utk merawar cyst. 3 org ahli kluarga saya yg ada endometriosis, cyst, hernia telah diizinkan Allah utk smbuh slps merawat dgnnya. Saya berikn puan no tel dia ya. Dia gunakan kacang sayur utk berubat dan ayat rukyah.

      Makcik ubat kacang 0177132239

      Delete
    2. terima kasih puan.. hanya Allah taala sahaja mampu membalas budi baik puan.. kebetulan rumah mentua di Johor, sy akan cuba iktiar kesana.. Alhamdulillah.. kita usaha.. kesembuhan adalah milik Allah.. sy harap sakit sy cepat sembuh dan memudahkan sy menimang cahaya mata.. aminn

      Delete
    3. Sama2 puan. Hanya pertolongan kecil shj. Puan call dulu ya makcik tu. In shaa Allah, dgn izin Allah cyst puan boleh sembuh. Sepupu saya yg knalkn saya dgn makcik tersebut. Sepupu saya ada endometriosis juga dan perlu dibedah. Alhmdulillah dgn izin Allah, slps berikhtiar dgn mkcik tersebut, Allah izinkn cystnya hilang. In shaa Allah puan. Saya doakn kesembuhan utk puan. Amin...

      Delete

Click! Click! Click!