Monday, 26 October 2015

Jurnal Penyusuan Nur Khadijah (Bahagian 2) : The best teacher in your life is your last mistake!


Sambungan dari Bahagian 1

Assalammualaikum w.b.t


Perjalanan penyusuan saya tidaklah esklusif 100%. Gara-gara ada sedikit ilmu yang saya tidak study betul-betul, maka Khadijah 3 kali telah diberi formula milk (fm). Semuanya telah ditakdirkan dan di luar kawalan saya kerana saya langsung tidak tahu baby akan diwarded selepas dilahirkan kerana saya positif GBS melalui result HVS. Dan saya tahu tentang result high vaginal swab (HVS) ini pun pada malam 10 Mei 2015 (usia kandungan 38 minggu), iaitu pada hari saya ditahan kerana sudah dilate 3cm. HVS tu dilakukan sewaktu saya bleeding pada 29 minggu. Alhamdulillah saya ditakdirkan bersalin di HSAJB (tempat yang sama Najla dilahirkan), kerana rupanya Allah ingin menyelamatkan anak saya dengan result HVS itu (saya akan cerita bila saya sudah bersedia).


Pada 12 Mei 2015, sewaktu saya ditolak ke labour room, setiap kali nurse, HO, MO, dan doktor pakar datang memeriksa saya, perkara yang sama akan saya tanya, "kalau anak saya boleh bernafas dengan baik, boleh tak saya nak menyusukan anak saya?" Dan alhamdulillah, jawapan yang sudah dijangka daripada staf-staf sebuah hospital kerajaan yang juga hospital rakan bayi itu sememangnya  adalah "SANGAT BOLEH".


Maka, selepas selamat melahirkan pada 4.15 petang, saya terus minta agar bayi saya diserahkan kepada saya sebelum dihantar ke wad A2 (wad paedatrik). Alhamdulillah, saya dapat tunaikan impian saya untuk penyusuan awal selepas kelahiran. Nurse beri saya peluang selama setengah jam untuk belajar direct feeding (df) bersama Khadijah. Lebih kurang pukul 5 petang, saya ditolak balik ke wad dengan wheel chair dan Khadijah terus ke wad A2 bersama Edy.


Selepas mandi wiladah, lebih kurang pukul 7.30 malam, saya ke wad A2 menaiki wheel chair utk df Khadijah. Edy sudah pesan pada nurse di sana, Khadijah mahu diberi full df. Dan saya stay di wad A2 bersama Edy dan Khadijah sehinggalah pukul 12 malam. Bila saya pulang ke wad first class, nurse di sana rupanya mencari saya. Dan saya tidak dibenarkan ke wad A2 lagi kerana nurse bimbang keadaan saya yang baru sahaja bersalin. Saya memang bercadang nak ke wad A2 pukul 3 pagi nanti tapi dihalang nurse kerana bimbang terjadi apa-apa kepada saya dalam perjalanan ke wad A2. Mereka hanya benarkan saya bekalkan EBM untuk Khadijah. Di sinilah saya telah melakukan kesilapan kerana ilmu PSI yang tidak dipelajari dengan bersungguh-sungguh. 


Saya putus asa ketika cuba mengeluarkan kolostrum melalui kaedah marmet dan menggunakan pam manual Avent. Saya kurang ilmu di sini dan saya jadi canggung, hilang idea, dan bingung. Maka saya mengalah begitu cepat dan akur untuk Khadijah diberikan fm ketika di wad A2. Dua kali Khadijah diberi fm di wad, iaitu pada pukul 3 pagi dan 6 pagi. Keesokan harinya bila saya dibenarkan untuk keluar wad, saya terus mendapatkan Khadijah untuk df bersamanya. Hinggalah kami dibenarkan pulang pada pukul 3 petang.
 


Saya bawa Mom's Precious Bottle 2 oz dan feeding bottle sekali sebagai persediaan
beserta pam manual Avent
 
Sekali lagi kesilapan saya berlaku bila pulang sahaja ke rumah. 8 jam Khadijah df bersama saya dari pukul 4 petang hingga 12 malam tanpa henti. Anehnya Khadijah asyik menangis bila saya lepaskannya. Saya tak tahu Khadijah nak apa. Saya bimbang Khadijah masih lapar susu. Dengan air mata mengalir, saya minta Edy belikan juga fm pada pukul 12 malam. Saya berikan Khadijah fm malam itu dan Khadijah terus tidur hingga ke pagi.


Esoknya saya cuba berikan Khadijah fm sekali lagi tapi Khadijah muntahkan semua yang diminum dan menolak untuk minum fm lagi. Selepas sesi mengurut, saya nekad tidak mahu berikan Khadijah fm dan terus df dengannya mengikut permintaan Khadijah. Saya berdoa agar Khadijah tidak terus meragam seperti semalam. Alhamdulillah, Khadijah ok dan tidur nyenyak setiap kali selepas df.


Dan selepas kekhilafan itu, barulah saya terhegeh-hegeh mencari di mana kesilapan saya. Barulah saya nak menjenguk semula fb page Kak Fazi. Barulah saya tahu kenapa saya hampir gagal pada awalnya. Mujur, saya tidak gagal terus untuk menyusukan Khadijah. Syukur Allah masih memberi peluang kepada saya.


Saya ingin berkongsi kekhilafan saya ini agar rakan-rakan yang berusaha untuk menyusukan anak kalian secara esklusif, tidak melakukan kesilapan yang sama seperti yang telah saya lakukan.


1. Saya tidak dapat mengeluarkan susu melalui kaedah marmet.


Sebenarnya, saya tiada ilmu tentang cara untuk mengeluarkan susu secara marmet sejurus selepas melahirkan. Saya rasa kaedah marmet sangat menyusahkan dan sedikit menyakitkan. Saya cuba pula dengan pam manual Avent, hasilnya tetap sama; tiada setitik kolostrum pun yang keluar. Saya tak tahulah sewaku saya df Khadijah, dia dapat atau tidak kolostrum tu. Tapi setiap kali lepas df, Khadijah terus tidur lena. Jadi, saya beranggapan Khadijah mungkin dapat juga barangkali setitik dua, cukup untuk saiz perutnya yang masih kecil itu.


Apa yang sepatutnya saya lakukan?


Melalui pembacaan dari fb page Kak Fazi dan pengalaman blogger yang lain, kolostrum hanya dapat dikeluarkan apabila menerima rangsangan sekurang-kurangnya 15 minit. Kak fazi dapat keluarkan kolostrum melalui kaedah marmet, dan ada blogger seperti saya (tidak pandai dengan kaedah marmet ini) telah menggunakan double electric breast pump and biarkan pump pada fasa stimulate untuk lebih kurang 15-20 minit bagi mengeluarkan kolostrum tersebut. Seriously saya memang tak tahu langsung perlu stimulate selama itu walhal saya ada je electric breast pump di rumah, cuma tak dibawa kerana beranggapan ia tak diperlukan. Selepas 2-3 kali cuba marmet and pam secara manual tak sampai beberapa minit itu, saya terus give up. Dan selepas tahu di mana kekhilafan saya, barulah saya realize kenapa saya tak dapat menuai 'hasil' di hospital ketika itu :"(


2. Anak saya menangis setiap kali saya lepaskan df dengannya.


Sesampai sahaja di rumah, kakak saya sudah menunggu. Saya sempat makan lauk ikan bakar, tempe, dan sayur lobak putih. Kemudian saya terus menyusukan Khadijah dari pukul 4 petang hinggalah 12 malam. 8 jam Khadijah df. Saya memang langsung tak boleh bergerak pergi ke tempat lain. Saya hanya duduk di katil memangku Khadijah hingga beberapa kali saya tertidur. Anehnya, bila saya cuba letakkan Khadijah, Khadijah terus menangis. Dia hanya akan senyap bila saya menyusukannya. Sejujurnya saat itu, saya mula bimbang, bimbang Khadijah dehydrated kerana tidak dapat susu. Mungkin position latching yang salah saya fikir (kerana cik P melecet), jadi saya mengalah dengan air mata mengalir. Tekanan kerana tidak mahu sesuatu terjadi pada Khadijah mula dirasai. Di rumah, hanya saya dan Edy sahaja menjaga Khadijah. Kakak saya sudah pulang ke rumahnya kerana perlu bekerja keesokan harinya. Saya tidak mahu menyusahkan hati sesiapa pada lewat malam itu. Dengan tidak berfikir panjang, saya terus minta Edy belikan fm di kedai 24 jam berhampiran rumah. Saat itu saya hanya boleh berfikir yang saya tidak boleh pentingkan diri lagi. Selepas Edy membawa pulang satu pack fm kecil (saya tidak ingat jenama yang Edy beli dan saya juga tak ingat dalam beg hadiah yang diberikan hospital juga sebenarnya ada fm yang disertakan sekali), saya terus membaca instruction di belakang dan bersiap sedia untuk membancuh. Sewaktu membancuh, saya berdoa dan berharap itu adalah kali terakhir saya perlu berikan Khadijah fm, dan berdoa dengan sekuat hati agar susu saya dapat keluar selepas saya diurut nanti :""(


Apa yang sepatutnya saya lakukan?


Melalui pembacaan saya, seorang bayi yang baru lahir hanya berasa selamat apabila berada disamping ibunya. Kehangatan yang dirasai saat dibedung, dipeluk, dan disusui dapat memberi rasa selamat dan keselesaan pada bayi itu. Khadijah menangis di rumah mungkin bukanlah kerana lapar susu, sebab selama 8 jam itu, Khadijah senyap sahaja bila saya menyusukannya. Adalah normal bayi mahu 'melekat' dengan ibunya yang sudah bersama dengannya selama 9 bulan dalam kandungan. Selepas susu saya diizinkan Allah untuk keluar, setiap kali Khadijah mahu menyusu, Khadijah memang akan menyusu dalam tempoh yang lama (30-45 minit) sebelum dia tertidur pada awal-awal kelahirannya. Keadaan ini sebenarnya hanyalah untuk membuatkan bayi berasa selesa dan selamat berada disamping ibunya ketika cuba menyesuaikan diri dengan dunia luar yang begitu luas berbanding dunia rahim yang hangat dan sempit. Dan kerana itu, adalah sangat baik sebenarnya untuk bedungkan bayi yang baru lahir agar dia tidak merasa 'gayat' dan  sentiasa berasa 'selamat' :)



***


Inilah kisah perjalanan awal penyusuan saya bersama Nur Khadijah. Seperti yang pernah dibilang oleh kawan saya, untuk menjayakan PSI sememangnya amat memerlukan ilmu yang mencukupi. Kerana beberapa perkara kecil yang saya abaikan, PSI saya bersama Nur Khadijah tidaklah begitu esklusif. Dan sebagai seorang ibu baru, saya menghormati apa sahaja pilihan ibu lain di luar sana. Saya tidak akan mempersoalkan tentang pemilihan penyusuan yang dipilih oleh ibu-ibu lain. Setakat ini, sekiranya saya di public dan kebetulan jika saya bersama ibu lain yang menyusukan anak menggunakan fm, saya tidak akan pernah mempersoalkan kerana saya tahu setiap ibu telah melakukan yang terbaik dan tentu mahukan yang terbaik buat anak mereka. Dan selalunya, ibu-ibu lain itu yang menegur saya dan bertanya, "anak breastfeed je ya?" Saya kebiasaan hanya mengangguk dan tersenyum sahaja tanpa bertanya semula. Saya pernah merasakan kepanikan ketika awal kelahiran dan sekiranya ibu-ibu yang sudah berhabis usaha itu perlu juga memberikan anak mereka fm, itu juga sudah menunjukkan ihsan yang mereka lakukan sekiranya mereka tidak mampu untuk meneruskan PSI.


Homati pendapat orang lain itu adalah yang paling utama. Rezeki yang Allah beri juga adalah berbeza. Bersyukurlah selagi rezeki susu masih ada buat anak. Usah dibandingkan kuantiti yang diperolehi.Berpadalah dengan rezeki yang mencukupi dan yang patut disyukuri.


Salam Penyusuan Susu Ibu. Semoga berjumpa di lain kali.


Wassalammualaikum w.b.t

Thursday, 15 October 2015

Aku Bukan Halimatus Sa'adiah

Salam Ma'al Hijrah.


Sekadar ingin berkongsi tentang salah sebuah drama yang disajikan di TV3 semalam, bersempena Ma'al Hijrah bertajuk 'Aku Bukan Halimatus Sa'adiah'.

Sinopsis: Berkisar tentang Halimah yang dilakonkan oleh Eija sebagai ibu susuan kepada anak asuhannya, Rayyan iaitu anak kepada seorang wanita muda yang bekerjaya, Maria. Maria enggan menyusukan anak lelakinya Rayyan dan sanggup mengambil ubat untuk memberhentikan susu. Hinggalah ayah dan suami Maria berpakat untuk mengupah Halimah sebagai pembantu rumah merangkap ibu susuan Rayyan tanpa diketahui Maria. Apabila Maria mengetahui akan hal itu, Maria telah menghalau keluar Halimah dan anak perempuannya. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Halimah yang baru kematian suami dan bayinya kini hilang punca pekerjaan dan merasa rindu akan anak susuannya, Rayyan. Sehinggalah musibah menimpa Maria, akhirnya Maria sedar akan kekhilafannya kerana tidak menunaikan hak Rayyan untuk disusukan dengan susu ibu.

Tersentuh hati saya menonton cerita ini, cerita tentang perjuangan seorang ibu susuan dan kisah tentang penyusuan susu ibu. Digarap berdasarkan kisah ibu susuan kepada junjungan besar Rasulullah SAW, Halimatus Sa'adiah.

Rupanya bukan mudah seorang ibu membenarkan anaknya berkongsi susu dengan orang lain. Seperti Maria dalam cerita tersebut yang tidak boleh menerima kenyataan apabila mengetahui anaknya disusukan oleh pembantu rumahnya, Halimah.

Penyusuan susu ibu (PSI) akhir-akhir ini dilihat seperti suatu konflik. Bermula dengan kisah seorang blogger yang menganggap perbuatan ibu-ibu yang berkongsi kisah tentang PSI secara terbuka sebagai perbuatan lucah dan tidak bermoral. Kemudian timbul pula perdebatan hangat di laman sosial apabila seorang ustazah yang mungkin telah khilaf dalam mengulas isu DNA susu lembu dan kemudian dihentam hebat oleh golongan ibu-ibu yang tidak berpuas hati akan hal itu.

Kerana semua isu ini, sejujurnya saya berasa bimbang untuk menulis jurnal penyusuan Nur Khadijah seperti dalam entry yang lepas kerana saya sedar, masih ada segelintir golongan yang belum begitu terbuka dengan PSI dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Dan saya nekad, saya hanya akan berkongsi perjalanan penyusuan saya dengan rakan-rakan saya sekiranya ada yang bertanya, dan selebihnya biarlah saya kongsikan dalam blog ini, berkongsi dengan mereka yang tidak mengenali saya.

Isu tentang PSI ini pernah terjadi kepada diri saya sendiri. Pernah saya ditegur oleh seorang rakan saya ketika menyusukan Khadijah di khalayak. Kata rakan saya itu, dia malu untuk menyusukan anaknya seperti yang saya lakukan. Dia hanya akan menyusukan anaknya di rumah dan bila di luar, dia akan menyusukan anaknya menggunakan botol susu.

Sewaktu ditegur, saya hanya mendiamkan diri, tidak membantah, tiada kecil hati, dan tidak berasa malu. Saya kira saat itu saya perlu menghormati pandangannya. Mungkin benar, PSI di khalayak dikatakan sebagai perbuatan yang menjengkelkan bagi sesetengah pihak. Tapi bukan suatu masalah bagi saya kerana setiap kali menyusukan Khadijah, saya sentiasa mendapat restu suami, memakai baju yang mempunyai akses penyusuan dan yang paling penting menutup aurat. Masa kali pertama saya menyusukan Khadijah di khalayak, saya banyak bergantung kepada nursing cover. Hinggalah saya telah mahir untuk menyusukan Khadijah, barulah saya tidak perlu bergantung kepada nursing cover lagi dan menggunakan tudung saya sahaja untuk meng'cover' proses penyusuan itu.

Saya akui, masih ada mata-mata yang memandang sinis perbuatan saya menyusukan Khadijah di khalayak itu. Paling aneh, yang memandang saya berkali-kali itu adalah kaum wanita yang juga seorang ibu. Untuk mengatasi rasa tidak senang ini, sekiranya perlu, saya akan menyusukan Khadijah di bilik penyusuan (jika ada). Tapi dalam kebanyakan waktu, saya akan menyusukan Khadijah bila mana Khadijah perlu tanpa mempedulikan pandangan manusia itu. Kerana seperti yang pernah saya janjikan sebelum ini, demi menebus kesilapan yang lalu, saya nekad ingin menyusukan Khadijah dan menunaikan haknya di mana pun jua dan pada bila-bila masa. Biarlah seribu aral melintang patah, saya tidak mahu mengalah.

Selain isu menyusukan Khadijah di khalayak, saya juga pernah dilanda isu lain. Isu berkaitan 'Ibu Susuan'. Gara-gara mengalami 'over supply' selepas habis pantang, saya bingung bila freezer mula penuh dengan stock EBM. Dan untuk mengatasi masalah itu awalnya, saya pernah menawarkan diri untuk menjadi ibu susuan kepada anak seorang hamba Allah ini. Dan tanpa diduga, ibu tersebut terus menolak permintaan saya dengan alasan bahawa perbuatan memberikan anaknya untuk disusukan saya adalah perbuatan menggelikan. Paling mengguris hati apabila dia mengatakan dia lebih sanggup memberi anaknya direct susu dengan lembu dari disusukan saya. Sungguh saya rasa tersentap dan berasa malu saat itu.

Sejak hari itu, saya tidak berani lagi menawarkan diri untuk menjadi ibu susuan kepada anak sesiapa pun melainkan anak saudara dan anak sahabat saya yang meminta dengan saya sendiri. Dan Edy juga minta saya lebih berhati-hati untuk berkongsi atau bercerita tentang PSI dengan orang lain kerana bukan semua orang bisa menerimanya, kerana mungkin mereka lebih tahu mana yang baik untuk anak mereka sendiri. Pernah sekali saya menziarahi anak seorang hamba Allah yang baru lahir, saya lihat sendiri bagaimana ibu tersebut salah dalam mengendalikan EBMnya. Tapi tah kenapa, saat itu mulut saya terkunci, takut untuk berkata apa-apa. Saya hanya membisukan diri dan hanya akan memberi pendapat sekiranya ditanya sahaja. Saya tahu perbuatan saya itu salah, tapi saya tidak mahu terguris lagi dan mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Saya akui saya bukanlah seorang pejuang PSI sejati. Cukuplah sekadar saya mempertahankan hak menyusukan Nur Khadijah dan menjadi pejuang PSI buat anak yang dicintai.

Jurnal Penyusuan Nur Khadijah akan terus saya karang buat tatapan anakanda dan diri saya sendiri sekiranya ada hari-hari yang saya perlu kembalikan memori terhadap apa yang telah saya usahakan untuk menyusukan Nur Khadijah dengan izin Allah SWT. Pernah saya mengalami kemeruduman bila Allah menarik sedikit nikmat sihat dan saya diuji dengan batuk yang teruk sewaktu musim jerebu. Jika selalunya saya membawa pulang 3 botol (3 x 5oz) sehari, sewaktu saya tidak sihat, saya hanya mampu membawa pulang 2 botol (2 x 4oz) untuk 3 kali sesi perahan dan paling dahsyat saya pernah membawa pulang hanya 1 botol (3oz) sahaja. Namun saya masih bersyukur, masih ada lagi nikmat rezeki susu buat Nur Khadijah walaupun sedikit. Syukur saat saya mengalami kemeruduman teruk itu, stock frozen EBM sejak bulan 7 masih belum digunakan (saya simpan dalam deep freezer). Kerana bekalan stock EBM itulah saya terus kembali bersemangat dan saya tahu usaha perlu diteruskan tanpa putus asa seperti mana yang saya pernah lakukan sewaktu cuti bersalin. Maka, saya berikhtiar untuk melakukan power pumping, menjaga kesihatan, dan paling penting pemakanan dan minuman saya. Alhamdulillah, berkat usaha power pumping setiap hari, stock fresh EBM kembali ada dan kesihatan saya semakin pulih.

Saya akur sekiranya tidak semua orang dapat menerima penulisan saya tentang PSI ini. Dan seperti yang saya katakan, Jurnal Penyusuan Nur Khadijah akan diteruskan juga untuk diri saya sendiri dan rakan-rakan yang memerlukan. Selain usaha saya berTTC sebelum ini, inilah satu usaha lain yang sentiasa membara dalam jiwa seorang ex-TTCian untuk melakukan yang terbaik buat anak yang dinanti-nantikan sekian lama. Tidak perlu mengeluh, hanya kenang segala yang telah kita lalui selama ini. Pasti ada ganjaran dari-Nya nanti.

Berjumpa di entry lain. In shaa Allah.


Wassalammualaikum w.b.t

Click! Click! Click!